Translate

Monday, February 27, 2023

Amanah

Mendaki antara aktiviti yang Ayah, Umi dan anak-anak tak terfikir untuk lakukan.
               Apabila difikirkan kembali, aktiviti mendaki ini sebenarnya amat berkaitan dan memberi kesan yang  sangat besar dalam hidup kita. Wahyu pertama diturunkan Di Gua Hira', di puncak Jabal Nur (perlu turun ke bawah sedikit untuk ke gua tersebut setelah berada di puncak). Tingginya dari permukaan tanah kira-kira 281 meter dan memerlukan kira-kira satu jam untuk sampai ke situ (Makkah Al-Mukarramah, Dr. Abd. Basit Abd. Rahman, Oktober 2015). Ayah memerlukan masa yang lebih daripada itu berbanding anak-anak dan Umi berserta ahli rombongan yang lain. Angah sampai terlebih dahulu, diikuti, Along, Aidil dan Ziyad, kemudian Umi dan  Acik Lia. Ayah belum sampai lagi, Aidil sudah turun dan naik semula mencari Babanya. Sampai di puncak kelelahan hampir tengah malam, barulah Ayah bertemu Umi dengan yang lain. Sudah ada tangga simen untuk mendaki, tidak dapat dibayangkan keadaan sewaktu  Rasulullah SAW mendaki suatu ketika dulu.
              Bersusah payah dan berpenat lelah Rasulullah SAW mendaki untuk umatnya, mendapat wahyu pertama daripada Allah SWT yang menyuruh kita membaca, baca Al-Quran dan segala ilmu yang bermanfaat. Kita seharusnya melaksanakan amanah ini sebaik-baiknya dan moga semuanya berpeluang ke puncak Jabal Nur, Insya-Allah. Rasai lelah pengalaman yang sangat mengesankan dan tak akan dapat dilupakan!


Friday, February 24, 2023

Tunggu

Saat ini, hiruk-pikuk masih berterusan di hadapan Jawad Al Taj Hotel.
        Yang berbaju hijau biru setia menjalankan tugas berbekalkan penyapu dan penyodok sampah. Ada yang sedang duduk berborak sambil makan, bertali arus manusia melangkah, begitu juga dengan bunyi hon kenderaan silih berganti dan berlaga-laga. Beg penuh di depan hotel, di sebelah Ministry of Haji and Umrah, ada stesen bas kecil yang dipenuhi orang. Yang berpakaian  ihram, yang berjubah hitam, yang berkopiah beraneka jenis dan warna serta wajah-wajah dari serata negara boleh dilihat  berganti-ganti, ada berkumpulan, ada sendiri-sendiri. Yang menjunjung sekotak kurma meletakkan di pinggir jalan dan bersandar pada dinding meregangkan tangan. Kelihatan anak kecil berpimpin tangan, ada yang duduk di atas leher dan seorang lelaki membawa sekotak kurma pada tangan menyuakan kepada yang lalu-lalang.
         Bagasi satu demi satu disumbat ke dalam mulut tempat  beg  bas yang menunggu  bagai singa mengaum yang kelaparan. Sudah berhenti agak lama, perjalanan perlu diteruskan. Dalam kehidupan, banyak perhentiannya, jangan lupa, ada perhentian yang sentiasa menyeru dan menunggu kita, Alhamdulillah.


Tuesday, February 21, 2023

Dekat


Suasana yang berbeza walau di negara yang sama. Begitulah menurut kehendak-Nya, kita perlu menghadapinya.
          Sejuk dan dingin memamah sedikit demi sedikit, bermula dengan kulit, daging dan terus ke tulang, itu di Madinah. Kata Ustaz, "Kena sabar." Pakai empat lapis baju pun masih terasa sejuk, itu Ayah. Sejuknya rasa lain macam, ditambah pula tatkala air menyentuh kulit, wow! Walau dalam dingin, walau dalam hembus angin,  jemaah berpusu-pusu ke Masjid Nabi tak kira siang dan malam. Merpati yang banyak, menarik perhatian pejalan-pejalan kaki dalam perjalanan, tambah-tambah lagi anak-anak. Di Makkah, lain pula, selapis memadai, Alhamdulillah dan setakat ini Ayah tidak membalut muka kerana kesejukan. Sejuk rezeki, panas pun rezeki. Di Madinah kita menjadi jiran Rasulullah SAW dan setiap hari kita dekatnya, Alhamdulillah. Di Makkah kita dapat menatap Rumah Allah SWT, Kaabah yang menjadi kiblat kita, yang sentiasa dekat di hati, pandang pun dapat pahala.
         Rezeki pun boleh jadi ujian. Cuaca dan manusia sering menguji, di mana-mana pun kita berada. Namun, dekatnya diri kita dengan Allah SWT dan kekasih-Nya, Rasulullah SAW mampu membantu kita menghadapi segala-galanya, Insya-Allah.


Saturday, February 18, 2023

Anugerah


          Tak kenal maka cinta, itulah ungkapan yang tak perlu dijelaskan lagi kepada kita semua. Walau kita saling berbeza, di sini tujuan kita sama.
Walaupun masing-masing yang berziarah ke sini tidak lama, masing-masing cuba sedaya-upaya berinteraksi menggunakan bahasa percakapan dan bahasa badan yang sesuai untuk mengeratkan ukhuwah. Paling mudah dengan memberi salam dan jangan lupa melontarkan senyuman. Ada yang kita sangat kenal dan tak sangka-sangka dapat berjumpa, ada yang kita sudah lama kenal bersama dengan kita, ada yang baharu kita kenal dan begitu mesra serta menyenangkan, semua ini pengalaman yang berharga, tambah-tambah lagi untuk anak-anak.
            Kita semua dapat  berjiran dengan Rasulullah SAW walau ada yang kita kenal dan ada yang tidak kita kenal, walau berbeza negara, bangsa dan percakapan, ini satu anugerah Ilahi. Dunia begitu luas, namun  di sini kita bertemu untuk cinta yang sebenar, cinta kepada Allah SWT Dan Rasulullah SAW, Alhamdulillah.


             
              

Thursday, February 16, 2023

Jiran

7.13 malam 14 Februari, waktu di Arab Saudi, kami sudah di dalam bas Di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz. Di Malaysia pukul 12.13 malam, mungkin tengah sedap tidur dan mungkin ada yang masih cuba memujuk mata untuk lelap.
       Sebelumnya, meletakkan empat jari kiri dan empat jari kanan dan seperti biasa, masalah seperti waktu pagi-pagi di tempat kerja, masih tak berjaya, akhirnya terpaksa jari disembur air. Barulah ke tempat menunggu beg, semuanya berwarna merah, maka tanda pada beg hanya tuan badan yang kenal. 7.40 malam sudah masuk ke Tanah Haram Madinah. Makan dulu,  kemudian beg naik lif dan dibawa masuk ke bilik setelah diambil di tingkat 12. Seterusnya, Umi, Baba dan yang lain menguruskan hal nombor telefon di sini. Nampaknya pada malam ini, payung besar menaungi seperti bunga besar yang berkembang.
         Teringat kata-kata Ustaz di dalam bas sewaktu perjalanan, "Sebentar lagi Tuan-Tuan dan Puan-Puan akan menjadi jiran Rasulullah SAW." "Rebut seribu pahala," tambahnya lagi. Moga yang membaca dan semuanya diluaskan serta dilimpahkan rezeki untuk sampai ke sini, Insya-Allah.


Tuesday, February 14, 2023

Pengajaran

Opah sering memanggilnya dengan nama timangan Awang Kenit. Tempoh hari, matanya digigit cengkenit. Kesannya masih kelihatan.
         Nampaknya dia begitu teruja. Sepatutnya dia memakai baju sejuk tetapi dimasukkan ke dalam beg. Beg tersebut pula telah disumbat ke dalam perut bas, tempat letak beg. Akhirnya, dia hanya berselimut.14 Februari 2023, 1.40 pagi sudah di dalam bas yang bergerak dan 5.30 pagi berhenti di Dengkil. Dia tidak pasti mahu makan apa pada asalnya walau Umi menunjukkan beberapa jenis makanan yang boleh dipilihnya, akhirnya pilihannya memang berbeza daripada yang lain. "Ayah minum kopi satu gula je kan? " dia bertanya, dalam masa yang sama mengingatkan Ayah. Kemudian, dia melari-larikan jarinya yang halus pada skrin sesentuh, mencuba permainan yang ada dibantu Umi.
           Perjalanan baru saja bermula, gegaran sememang terasa di sepanjang perjalanan yang masih panjang. Yang sedang dilalui, yang sudah pun berlalu dan setiap saat yang datang ada cerita dan perkara yang perlu ditempuhi untuk pengalaman yang bakal menjadi panduan serta pengajaran, Insya-Allah.



Saturday, February 11, 2023

Senja Pun Terlelap

Setiap hari yang lelah anakku
engkau rebah di pangkuan ibu
pergimu gelap yang lelap
pulangmu senja pun terlelap.
Di permulaan yang kelam
dan di penghujung yang kelam
di tengah-tengah
cahaya menerangi dan menemani
selagi tak mengah kautuntut ilmu
selagi  tak muak kautekuni ilmu
selagi tak jelak kauamalkan ilmu
dalam gelap tak rasa sunyi
dalam gelap tak rasa bersendiri!


Friday, February 3, 2023

Lebih

Membaca sentiasa menemukan kita dengan sesuatu. 
          Semalam ayah membaca e-mel yang dihantar Irfan Khairi. Bunyinya lebih kurang begini menurut pemahaman Ayah, "Kita mesti pernah  mendengar atau menyebut 'buat  sekadar yang termampu'. Shah Rukh Khan pula mengatakan bahawa kita perlu membuat sesuatu melebihi kemampuan yang kita ada. Ya, bagus juga untuk difikirkan. Adakah selama ini kita membuat sesuatu mengikut kemampuan yang kita ada atau sudah kita membuat sesuatu melebihi kemampuan yang kita ada secara sedar atau tidak sedar? Seperti yang selalu ayah sebut, "Kita ialah watak utama dalam cerita kita, iaitu kehidupan yang sedang kita lalui. Sangat salah jika kita berfikir bahawa kita bukanlah penting atau sekadar watak sampingan. Maka apa-apa yang kita lakukan, mestilah kita mahu yang terbaik untuk hidup kita dan di sinilah kemampuan kita teruji. Mungkin kita rasa kita sudah berikan yang termampu dan mungkin juga ada yang percaya  bahawa kita boleh melakukan sesuatu yang melebihi kemampuan atau jangkaan kita sendiri.
           Bagus juga berhenti sebentar, merenung perkara yang sedang berlaku. Adakah sudah kita berikan usaha yang terbaik atau yang melebihi kemampuan kita dalam menyelesaikan masalah yang timbul atau tanggungjawab yang sedang kita kerjakan? Perkara ini bukan renungan 'kosong', ini lebih kepada muhasabah diri, Insya-Allah.
         

Kesan

Sate ialah ejaan sebenarnya. Di sebalik secucuk sate ada banyak makna dan ceritanya.          Dulu-dulu, sangat gembira tatkala Atuk bawa ba...