Translate

Sunday, December 31, 2023

Gelegak

Masihkah menggelegak atau mendidih semangat kita di saat ini untuk melakukan sesuatu? Esok sudah tahun baharu Masihi.
         Setahun berlalu bermaksud telah banyak yang kita lakukan, telah banyak yang kita usahakan. Banyak yang boleh kita imbas kembali, tak kiralah saat manis atau saat pahit. Ada yang berjalan seperti yang dirancang, ada berjalan walau tak dirancang, ada dirancang lain jadinya dan macam-macam  lagi. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa jika tidak dipecah ruyung di mana boleh mendapat sagu. Maksudnya dalam Kamus Edisi Keempat ialah tidak akan tercapai cita-cita dengan tidak berusaha kuat. Ruyung di sini bermaksud kulit atau kayu yang keras daripada batang rumbia. Peribahasa ini menunjukkan bahawa jika mahu sesuatu, kita perlulah berusaha dengan sedaya upaya.
          Setelah setahun kita berusaha, mestilah ada sesuatu yang boleh kita bawa sebagai pedoman untuk mengharungi hari esok serta hari berikutnya selagi ada kudrat dan hayat. Sesuatu yang bererti pasti menanti kita selagi mana ada usaha dengan semangat yang menggelegak atau mendidih berterusan dalam diri kita, Insya-Allah. Selamat Tahun Baharu 2024.


Thursday, December 28, 2023

Ucap

Ucapan 'terima kasih' perlu ringan di mulut kerana itu salah satu tanda syukur kita pada setiap waktu.
         Sedar atau tak sedar, setiap hari kita terlalu banyak dibantu dalam melalui kehidupan seharian yang terlaelu banyak ceritanya.  Kerja-kAqwerja yang dijalankan oleh setiap watak dalam kehidupan menyebabkan kita amat beruntung tanpa melakukan semua perkara. Sebutir nasi yang kita suap ke mulut dikerjakan dengan susah payah oleh pak tani ke bendang bebulan-bulan lamanya. Dengan izin Allah SWT, sampai ke rumah kita, masuk ke mulut setiap kali waktu makan tanpa kita merasai kelelahan mereka. Setitis minyak mlasak yang kita guna di rumah, dituang ke dalam kuali ialah titisan-titisan  peluh para  peneroka yang  berada di ladang sawit mengait buah kelapa sawit, terpaksa membuang terlebih dahulu pelepah yang berduri sebelum setandan kelapa sawit dijatuhkan ke tanah. Membesarnya kita  dan menjadi seperti hari ini begitu memeritkan, setiap titis keringat, setiap patah kata, sentiasa dicurahkan ayah dan ibu untuk memanusiakan kita, supaya kita menjadi yang terbaik, supaya kita mengamalkan yang baik-baik dalam kehidupan.
         Berterima kasihlah kepada yang ada0 di depan mata kita, yang sentiasa  ada di hati kita, yangf sentiasa ada di sekeliling kita, hatta walau yang jauh, titipkan doa supaya sihat sejahtera serta dirahmati Allah SWT sentiasa kerana senangnya kita hari ini adalah dengan pertolongan dan kelelahan orang lain.

Tuesday, December 26, 2023

Tonik

Lakukanlah sesuatu yang menggembirakan diri kita selagi mana sesuatu itu memberikan kebaikan kepada kita atau orang di sekeliling kita.
          Bangkit pagi walaupun hujan masih tak berhenti, tentu ada suatu yang boleh memberikan kita atau orang lain kegembiraan. Kegembiraan itu satu kekuatan  untuk kita meneruskan satu hari  lagi yang penuh bermakna dalam hidup kita. Walau di luar mendung, tentu ada sesuatu yang boleh menyinarkan  hati kita.  Pastinya ada sesuatu yang cukup menggembirakan kita saat melakukan sesuatu, biar pun terlalu kecil atau terlalu biasa di mata orang lain.  Doakan orang yang kita sayang, doakan kesenangan orang yang kita nampak di sepanjang perjalanan ke tempat kerja, doakan kesenangan orang yang berhutang dengan kita,  belanja anak-anak balik dari tempat kerja, dengar celotehan anak-anak sebelum tidur, memberi makan kepada binatang, menikmati kopi melihat hujan turun, membaca sepuluh minit untuk ambil tahu pasal isu semasa atau tambah ilmu baharu, itu antaranya.
            Menggembirakan diri sendiri dan berkongsi kegembiraan tak boleh lari dalam menjalani kehidupan seharian. Kegembiraan kita dan menggembirakan orang lain boleh menjadi 'tonik' atau boleh memotivasikan diri supaya kita menjadi lebih baik daripada hari semalam dan esok menjadi lebih baik daripada hari ini, Insya-Allah.

Sunday, December 24, 2023

Ada

Menjadi kuat impian semua orang kerana hidup memerlukan kekuatan batin dan zahir.
         Mengejar impian memerlukan kekuatan. Mental dan fizikal perlu bersedia kerana latihan keras diperlukan dalam proses menjadi lebih kuat.  Apa-apa saja yang kita kejar atau impi akan ada kepayahannya. Semakin tinggi yang diimpi, semakin tinggilah tahap kesukarannya. Latihan demi latihan, pengalaman demi pengalaman harus diharungi, kadang-kadang banyak pahit daripada manisnya. Berparut itu biasa, di luar dan di dalam akan meninggalkan parut, itulah yang akan lebih menguatkan kita selagi mana kita tak putus asa dalam perjuangan. Tersalah langkah, tersilap memilih, terburu-terburu, salah petunjuk, semuanya akan mengajar kita supaya tak terjun ke dalam lubang yang sama dua kali atau berkali-kali. Kadang-kadang kita rasa sendiri dan kadang-kadang dikelilingi riuh tetaplah dihimpit sunyi,  bermacam-macam yang akan kita lalui.
          Setiap saat Allah SWT ada untuk kita. Segala kekuatan ialah milik-Nya dan segala ujian daripada-Nya tak lain tak bukan untuk menjadikan kita lebih kuat. Parang tak akan tajam kalau tak diasah, permata tak akan bersinar kalau tak dicanai, begitulah juga kita.


Friday, December 22, 2023

Rai

Pagi sentiasa datang. Yang patut kita syukuri ialah kita masih dapat meraikannya.
          Di mana-mana pun pada waktu pagi, dengan secawan kopi atau secawan teh, pagi harus dinikmati, itu tandanya kita masih punya hayat. Memulakan pagi dengan sesuatu yang kita cintai, mungkin sesuatu yang tidak terungkap, hanya kita yang merasai. Melakukan sesuatu yang kita suka serta boleh membuat kita bahagia atau orang lain bahagia,  sekadar memerhati sesuatu yang boleh memberi ketenangan, itu antara yang kita boleh mulakan andai pagi itu masih kita miliki. Mengenang sesuatu yang menggembirakan dalam hidup kita pun boleh kita mulakan untuk menghidupkan permulaan hari kita kerana sesuatu yang besar itu bermula dengan perkara kecil yang sering kita ambil berat. 
          Pagi sentiasa datang, mentari kan mencerlang. Terpulang kepada kita, selagi bernafas, kita boleh mulakan sekali lagi. Kita berhak untuk mengenang yang telah hilang, meraikan sesuatu kan mendatang, tak ulang silap yang lepas dan membaiki hari ini untuk hidup yang lebih baik serta hidup yang lebih indah.

Monday, December 4, 2023

Erti

Setiap kali melangkah, kita akan menemukan sesuatu yang baharu, sedar atau tak sedar itulah yang berlaku.
        Dengan perhati, dengan mendengar, dengan bertutur dan dengan bertindak, akan kita dapat sesuatu jika kita mahu, jika tidak, semuanya akan berlalu jika kita abaikan. Ada saja kita dapat pelajari tatkala memulakan langkah, tatkala berhenti, tatkala melangkah kembali. Langkah kanan itu mujur dan langkah kiri itu tidak beruntung, itu peribahasa Melayu, simpulan bahasa. Untung atau tak beruntung tatkala melangkah, tetap mengajar kita walau tersalah langkah. Melangkah dan mendongak, kita nampak yang di atas, tersandung, kita sedar yang ada di bawah. Asalkan kita dapat sesuatu, itu yang akan memandu.
          Melangkahlah dengan berhati-hati, jika mahu cepat boleh berlari, banyak yang akan menanti, walau apa-apa yang kita temui, akan lebih bernilai jika dimengerti, Insya-Allah.


Saturday, December 2, 2023

Sajak - Bau Benar

Hujan
aku mahu menikmati sejukmu
dalam kehangatan kopi
bau benar yang bertebar
hidungku sungguh pasti
pedas di dalam mulut
cengkih yang kumamah
itu juga benar pasti
tak dapat kubendung
tak dapat kukurung
apa-apa yang terselindung!

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...