Translate

Monday, May 24, 2021

Baik-baik

"Achik ni lebih pandai bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu," kata Angah kepada Achik setelah Achik seperti terpinga-pinga apabila  perkataan 'lobak' disebut.
     "Lobak tu 'carrot' lah," sambung Angah lagi. Achik dan Adik memang suka lobak merah. Dulu-dulu ada lobak tak? Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, ada satu peribahasa Melayu yang berbunyi 'bagai lobak di pemerunan, bagai kacang tengah dua bulan', maksudnya perihal kanak-kanak yang subur tubuhnya (cepat membesar). Salah satu kebijaksaan orang Melayu sejak dulu lagi dapat dilihat melalui penciptaan peribahasa. Orang Melayu membuat pemerhatian terhadap alam sekeliling dan mengaitkan dengan pengalaman hidup seharian, kemudian  memilih dan menyusun perkataan dengan berhati-hati. Unsur alam yang dipilih sudah pastilah ada di sekitar hidup mereka pada waktu itu.
     Setiap hari kita dapat belajar sesuatu daripada kata-kata apatah lagi bagi yang banyak duduk di rumah saat wabak  dilihat semakin mengganas.  Berdoalah yang baik-baik.

Friday, May 21, 2021

Janji Yahudi

Pernah dengar  frasa 'Janji Yahudi'?  Biasanya 2 patah perkataan, selain kata majmuk, rangkai kata tersebut juga boleh membentuk simpulan bahasa.
      Tak sampai 24 jam genjatan senjata semalam 21 Mei 2021 (9 Syawal 1442H), 2 pagi  waktu di sana, selepas Jumaat, setelah 11 hari serangan, pengganas Yahudi menyerbu di sekitar Masjidil Aqsa kembali, melepaskan bom asap, melepaskan gas pemedih mata. Inilah janji Yahudi, bukan kali pertama berlaku, sejak sekian lama. Janji Yahudi ini juga ada di sekeliling kita, walau tidak ada Yahudi di negara kita. Janji Yahudi ini sudah pasti memporak-perandakan kehidupan masyarakat. Janji yang tak ditepati, janji yang didustai akan mengundang ketidakadilan, akan mengundang penindasan kerana rakyat hanya mengharapkan kehidupan yang selesa dan selamat serta kehidupan yang lebih baik. 
     Umat Islam wajib berjuang menentang Yahudi Zionis dan jangan sesekali jadi seperti mereka - melontarkan 'Janji Yahudi' dari pintu mulut manis.

Friday, May 14, 2021

Nakbah

15 Mei 1948, Hari Nakbah atau Malapetaka akan tetap diingati.
    Saat kita umat Islam masih meraikan kemenangan, masih ada lagi ketupat dan rendang yang bersisa, saudara Islam kita di Palestin banyak yang shahid, mempertahankan bumi Israk Mikraj. Saat Ayah menulis ini, 132 orang sudah terkorban sejak Isnin, termasuk 32 kanak-kanak dan 21 wanita, yang tercedera sudah pasti sangat banyak, serangan pengganas yang tiada berhati perut masih berterusan. Seharusnya kita menerangkan kepada anak-anak kecil kita tentang peristiwa yang berlaku di Palestin dan sebab Palestin menjadi begitu penting serta menjadi sebahagian daripada hidup kita, tugas kita menyampaikan, mohon kepada Allah SWT untuk memberi kefahaman kepada mereka.
    Saat kita menyuap ketupat dan rendang ke dalam mulut, ingatlah saudara kita di Palestin dan berdoalah kita semua untuk mereka kerana mereka sebahagian daripada diri kita.

Monday, May 10, 2021

Bebas

PKP lagi, 12 Mei sehingga 7 Jun 2021. Saat ini banyak mahu yang jadi seperti burung.
      Tatkala kita di sini mahu jadi bebas seperti burung kerana Covid dan PKP, rakyat Palestin sudah lama terkurung di negara sendiri, diperlakukan sesuka hati dan sewenang-wenangnya, dibunuh dan dicederakan penjajah dan pengganas Israel  tanpa perikemanusiaan. Pengganas Israel menyerbu masjid, mencederakan dan membunuh sesiapa sahaja. Sebahagian besar daripada kita hanya mampu melihat mereka  menderita dari jauh. Kita jauh lebih beruntung, sangat-sangat beruntung kerana dapat berpuasa dan beribadat dengan tenang tanpa gangguan di negara yang telah merdeka.
     Kita sebenarnya masih bebas seperti burung kerana bebas daripada cengkaman penjajah durjana walau belum bebas daripada cengkaman Covid. Memanglah sedih, sebahagian besar daripada kita tak dapat beraya dengan ayahanda, bonda  serta adik-beradik, namun kita masih boleh menghubungi mereka pada bila-bila masa. Berdoa untuk kita dan juga untuk rakyat Palestin.

Friday, May 7, 2021

Telan

Semalam Jumaat terakhir Ramadan, kita masih di penjara Covid.
     Suasananya sudah tak sama sejak tahun lepas. Semua rindu akan raya yang dulu-dulu, namun apakan daya, gelombang Covid masih bermaharajalela dan masih berleluasa. Di mana-mana saja berkisar tentang Covid, banyak yang terkesan dengan Covid, terutamanya sektor-sektor tertentu dan yang bekerja sendiri khususnya. Semua yang pahit terpaksa kita telan walau  tahap kepahitannya mungkin tak sama antara kita. Di media sosial pun, tak pernah surut cerita pasal Covid sedangkan air pun ada pasang surutnya. Yang bagusnya apabila ada 'kuasa' tular, ada yang ditimpa susah kerana Covid, Insya-Allah, ada tangan-tangan ajaib yang datang membantu, Alhamdulillah.
       Walau raya yang akan datang bukan lagi yang dulu, kuih-muih tetap pelbagai aneka, juadah tetap pelbagai rasa, Alhamdulillah. Insya-Allah,  Allah SWT sentiasa bersama dengan orang yang sabar.

Tuesday, May 4, 2021

Berisi

Raya menghampiri, antara menu yang akan muncul di muka pintu ialah lontong.
     Yang muncul di muka tingkap menghampiri raya kali ini ialah lotong, iaitu sejenis kera berekor panjang. Agak agresif, hampir setiap hari di atas pokok rumah jiran sebelah, habis dikekah buah mempelam, belum habis dimakan,dilempar ke tanah, diambil yang lain. Sudah tak banyak buah yang tinggal, memang dikerjakan sungguh-sungguh dua tiga pohon yang ada, satu kaum dibawanya, memang tak ikut 'SOP'. Adakah itu sebahagian tanda protes kepada kita yang mengambil tempat tinggal mereka untuk dijadikan tempat tinggal kita? Siapakah yang tak ikut 'SOP' sebenarnya?
      Raya menghampiri, masih ada yang kelaparan, tidak kiralah manusia atau bukan manusia. Manusia yang dikurniakan fikiranlah yang perlu memastikan semua perut berisi dan akal berisi perikemanusiaan.

Saturday, May 1, 2021

Perhati

 Angin galak bertiup, di atas pokok di seberang jalan, melompat dari pokok ke pokok seperti anak-anak yang terjun dari tebing ke dalam sungai.
       Langit tengah hari membiru, sekumpulan awan terbang mengikut naluri angin. Kelihatan helang berputar-putar di angkasa, tak putus asa mencari rezeki. Pipit bergurau senda berhampiran sarang, sesekali gembala kerbau terbang masuk ke sarang di hujung bumbung. Rama-rama kuning berterbangan ke hulu dan ke hilir, mencari bunga pilihan hati. Sedang ayah memerhati, seekor lotong dari seberang jalan memanjat pagar dan melompat ke tingkap yang tertutup, betul-betul di depan ayah yang di dalam bilik, memerhati dan menghendap di balik tingkap.
     Hidup ini adakalanya memerhati, adakala diperhatikan. Sedar atau tidak, kita sebagai hamba setiap saat tak lepas  diperhatikan oleh Yang Maha Kuasa. Syukur Alhamdulillah.
    
     

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...