Translate

Friday, September 29, 2023

Di Mata Mana

Di laluan nasib berjerih
hijau, kuning dan merah
waktu sampai masa berhenti
tak pasti ragu-ragu
ingin beli kemanusiaan
mahu abai peraturan
atau 
ingin abai kemanusiaan
mahu hormat peraturan
rezeki ternanti-nanti atau bala menyambut
jalan yang salah atau jalan yang betul
di mata mana yang mana benar?

Sunday, September 24, 2023

Cubalah

      Kadang-kadang pesanan itu boleh ditinggalkan oleh sesiapa atau apa-apa saja seperti  secangkir teh Lipton yang menyampaikan pesan, 'Live Every Moment'. Setiap saat yang datang dan pergi sentiasa menghidupkan kita.
           Setiap saat yang datang dan pergi itu menghidupkan kita dengan pengalaman, kenangan dan suka duka. Melatih kita supaya lebih bersabar, melatih kita supaya lebih rasional dan banyak lagi, setiap saat pasti mengajar kita tanpa bosan. Akan ada saja perkara yang dilalui, akan ada saja perkara yang ditemui, akan ada masalah yang mencari kita, itulah kehidupan. Segala yang datang, segala yang pergi, itu satu proses pembelajaran yang penting, untuk kita fikir, untuk kita renung, untuk kita teliti serta diambil teladan. Setiap saat atau detik itu akan menjadi ingatan, akan menjadi kenangan kerana tanpa rasa manis kita tak akan kenal rasa pahit dan tanpa rasa pahit, kita  tak akan kenal rasa manis.
          Cubalah untuk kita hargailah setiap saat yang datang dan setiap saat yang pergi meninggalkan kita dengan rasa syukur. Secangkir teh panas boleh mengingatkan kita tentang banyak perkara yang telah kita lalui, juga tentang banyaknya nikmat hidup yang Allah SWT berikan kepada kita pada setiap saat.

Saturday, September 23, 2023

Hidup Berjasa

Keluar pagi tadi, tiga ekor anjing di tepi jalan, empat ekor merpati baru hinggap di wayar elektrik sebelum sampai ke simpang, ada dua ekor anjing lagi, awal bermain.
        Tak nampak pula kawanan monyet atau kera  pagi ini. Bukti bertentangan mata belum ada, rasanya kerja monyet atau kera yang sudah tahu tempat simpan makanan kucing, habis bertaburan makanan kucing  jatuh. Sampai di tempat kerja, parkirnya bukan di tempat biasa. Kon-kon bertulis 'Polis' diatur di tempat tertentu. Menguruskan sesuatu yang patut, kemudian telefon berbunyi, lagu Dato' M. Nasir, Di Balik Cermin Mimpi, lantas melangkah ke dewan. Habis ceramah, sempat ke pameran Perhilitan, Selamatkan Harimau Malaya, ya, harimau pun banyak jadi mangsa, perlu diselamatkan daripada manusia durjana. Selesai acara yang panjang di dewan, semua melangkah keghairahan, aksi yang tak boleh dilepaskan, anjing K9 beraksi, menunjukkan tangkasnya, bantu manusia cegah jenayah.
          Ah, teringat pula beberapa hari lepas Sasterawan Negara ke-15, Dato' Rahman Shaari mendeklamasikan sajak Chairil Anwar, 'Aku Ini Binatang Jalang' di UniPSAS. Sedangkan binatang tak berakal pun ada gunanya, apalagi kita khalifah di bumi. Ya, gunanya kita untuk jadi insan yang berguna, walau dikeji, walau dipuji, teruslah Hidup Berjasa!


Tuesday, September 19, 2023

Kalau Boleh

Naik harga itu mencipta resah semua orang dan naik harga itu boleh juga menimbulkan amarah.
          Naik harga terpaksa selalu kita hadapi walaupun kita tidak mahu. Naik harga bermaksud kos semakin meningkat, semakin banyak wang yang perlu dikeluarkan untuk mendapatkan sesuatu. Barang yang diterima masih sama jumlah atau beratnya, harga makin mahal itu amat menyakitkan. Yang lebih menjengkelkan dan luar biasa serta buat segala-galanya naik apabila harga makin mahal, kuantiti pun semakin sedikit atau kecil, ini yang paling haru-biru. Ini yang banyak buat orang naik geram, naik radang, naik marah, naik palak, naik panas, naik angin, naik minyak dan naik syeikh.
        Tidak ada yang mahu menaikkan harga kalau boleh, tidak ada yang mahu membayar lebih kalau boleh. Yang membeli terkesan, yang menjual pun terkesan, sama-sama cari makan, sama-sama saling memerlukan. Kehendak yang berlebih mesti dipinggirkan untuk penjimatan, untuk berbelanja lebih, mesti tambah pendapatan.

Sajak - Kromosom Penghubung Cinta

Kita ialah empat puluh enam
yang bermula dengan dua puluh tiga
dicampur dengan dua puluh tiga
dan inilah diri kita yang sebenar
anak ayah dan ibu
yang digendong sayang
yang didakap adab
yang disusui kebijaksanaan.
Kitalah kromosom penghubung cinta
pewaris tanah berdaulat
yang mesti kenal diri
yang mesti genggam harga diri
yang mesti berani berakal
berakarkan ilmu dan amal.

Saturday, September 9, 2023

Tak Akan Lagi Tepu Keliru

 Sudah tepu keliru,
tak dapat lagi dihitung
hari-hari yang mendatang
kerana sudah tak ditemui
Sabtu dan Ahad.
Memandang bagai semuanya sama
seperti Isnin, Selasa, Rabu, Khamis
dan Jumaat yang berselawat,
saat-saat dan hari-hari yang berselawat buat
tak akan lagi  tepu keliru kerana kata Ustaz
Allah SWT berselawat untukmu!


Wednesday, September 6, 2023

Perjuangan

Selain merdeka bermaksud bebas menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, merdeka juga bermakna berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain.
        Merdeka juga luas maknanya bagi setiap orang, bergantung kepada konteks, perbincangan dan apa-apa yang kita fikirkan saat mengungkapkannya.  Ada yang rasa merdeka tatkala dapat menyiapkan tugasan atau kerja, ada juga yang rasa merdeka saat dapat keluar dari rumah, ada yang rasa merdeka saat balik ke rumah, ada yang rasa merdeka saat dapat melakukan apa-apa yang disukai dan ada juga yang rasa merdeka saat menikmati apa-apa saja juadah. Apa-apa  yang kita makan saat ini, apa-apa yang sedang kita kerjakan saat ini dan apa-apa yang ada di sekeliling kita saat ini, hasilnya adalah daripada kemerdekaan.
        Menikmati merdeka itu hasil daripada keringat, darah dan kebijaksanaan dalam perjuangan. Perjuangan untuk merdeka itu membuat kita berterusan dapat mengecap rasa merdeka mengikut cara yang kita mahu pada saat ini. Kita tidak boleh lari daripada merdeka kerana tindakan kita pada saat ini yang akan memastikan kemerdekaan terus dikecap dan dinikmati.

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...