Translate

Wednesday, May 15, 2024

Selamat Hari Guru

Tatkala kauragu tanyalah guru
tatkala kautahu tetaplah berguru
tatkala mekar rindu
kirimkan doa buat gurumu!
Selamat Hari Guru Cikgu.

16 Mei 2024
Semsas
Khairul Hakimi Mansor

Saturday, May 11, 2024

Selamat Hari Ibu

Kasih ibu tak pernah dilupa,
Sentiasa dibawa ke mana-mana,
Selamat Hari Ibu buat semua,
Moga Allah SWT  kurniakan syurga.

Friday, May 10, 2024

Angka

Angka 3455  memberi makna yang besar untuk Puan Rashidah Derasid.  34 tahun 5 bulan 5 hari, itulah satu  tempoh yang panjang berkhidmat sebagai seorang pendidik. Selamat Bersara dan menempuh alam baharu Cikgu.
          Sebahagian besar hidupnya di Bumi Hidup Berjasa mencurah bakti, termasuklah sewaktu masih bergelar seorang murid. Ujar beliau, "Segalanya menjadi pengajaran dan sempadan selama 34 tahun 5 bulan 5 hari." Ya, benarlah sekali sebagaimana yang dituturkan Puan Rashidah Derasid.  Banyak sempadan atau had yang kita temui dan perlu diambil kira atau diambil berat dalam kehidupan. Kita perlu ambil  tahu sempadan dalam tindakan kita, kita juga perlu ambil tahu sempadan-sempadan yang ada sebelum kita melangkah lebih jauh. Begitu juga pengajaran yang mengekori kita di sepanjang perjalanan kehidupan, tak pernah melepaskan kita.
         Angka bukanlah sekadar angka. Angka mengandungi pengajaran dan sempadan. Pengajaran dan sempadan sentiasa memimpin kita dengan memberikan teladan untuk menjadikan kita bertambah baik, untuk menjadikan kita sentiasa teruja untuk Hidup Berjasa.


Saturday, May 4, 2024

Sesuatu

Sabtu kembali, Sabtu minggu lepas di tempat kerja Ayah, semalam di sekolah anak-anak pula jamuan raya. 
         Dulu dari rumah ke rumah, sekarang jamuan hari raya atau rumah terbuka banyak menemukan kita. Yang pastinya anak-anaklah, gembira bertemu kawan, belum habis makan, sudah cari kawan-kawan. Anak-anak sentiasa punya masa untuk bergembira, berlari ke sana ke mari walau cuaca sudah mula panas, ada juga yang berkumpul di bawah khemah, bersama-sama menghadap telefon pintar, peranti elektronik yang tak ada di zaman Ayah. Adik seperti biasa, suka ketupat pulut daun palas. Achik macam biasa teruja dengan makanan dan Angah memilih nasi dengan ayam masak merah.  Habis makan, menuju ke kenduri kahwin.  Memang banyak juadah, masih Syawal, kuih raya pun banyak, ada pula roti dengan sup cendawan, itu kegemaran anak-anak. Angah teruja dengan kata, 'Tautan Kaseh', ikut ejaan lama, ada juga Jawi, juga ramai yang bertanjak dan berpakaian tradisional. Selamat Pengantin Baharu buat Hasan dan suri hati, moga kekal bahagia ke sorga.
           Seminggu penuh dengan kata-kata dan cerita, berbahagialah dengan apa-apa yang kita ada, dengan apa-apa yang sedang kita lalui kerana kita masih dikurnia masa. Setiap detik yang berlalu meninggalkan sesuatu untuk kita nikmati, renungi dan pelajari.
      

Selamat Hari Guru

Tatkala kauragu tanyalah guru tatkala kautahu tetaplah berguru tatkala mekar rindu kirimkan doa buat gurumu! Selamat Hari Guru Cikgu. 1...