Translate

Saturday, April 30, 2022

Ganda

Banyak perkara tercipta di bulan puasa. Bulan puasa bukanlah alasan untuk menjadi tidak produktif.
       Pasukan bola sepak JDT mencipta sejarah tersendiri, layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC (ACL). Alhamdulillah, tahniah! Itu antara kejayaan yang terkini. Walaupun hari ini 1 Mei, Hari Pekerja, banyak yang masih bekerja, masih banyak perkara yang perlu dikerjakan dan diambil berat. Sebahagian besar anggota keselamatan sedang bertungkus-lumus, memastikan keselamatan kita semua yang berpusu-pusu balik kampung sejak semalam, begitu juga bagi yang lain, tetap produktif di bulan Ramadan, segalanya akan menjadi ibadah, Insya-Allah.
       Ramadan bukanlah penghalang untuk kita semua mencipta kejayaan. Ramadan bulan kita menambah amal, bulan kita menggandakan ibadah. Moga Ramadan yang bakal pergi meninggalkan kenangan manis untuk kita dan membentuk kita menjadi insan yang lebih bersyukur, Insya-Allah.

Thursday, April 28, 2022

Hati Pinjaman

"Rosak kalau hati kita busuk," begitulah kata Ustaz Amran Md Yusoff
dalam Tanyalah Ustaz, Biar Tahu Jangan Keliru.
      Apakah yang akan rosak? Ya, banyak kerosakan yang akan berlaku. Merosakkan diri kita sendiri dan merosakkan orang lain kalau hati sudah busuk. Maka kalau hati sudah busuk, segala-galanya diperhatikan untuk mencari buruk tanpa mempedulikan hakikat yang manusia itu memang dilahirkan dengan banyak kurang walau menyedari bahawa diri kita juga salah seorang manusia dan bukan malaikat yang bersayap. Apatah lagi kalau busuk hati dikongsi bersama-sama dan diratah bersama-sama, kita sudah tak peduli siapa-siapa kerana rasa dunia kita yang punya.
      Kita hanya manusia biasa, seorang hamba. Hati inilah saja yang ada untuk kita. Mungkin kita rasa bahagia di sini, namun bahagiakah kita untuk pulang ke sana dengan hati pinjaman yang telah kita rosakkan? Tepuk dada, tanya jiwa.

Friday, April 22, 2022

Adakah

Pabila tidur petang bergaul dengan kopi panas di waktu malam, celik yang ramah pun berumah seperti tak mahu pulang.
       Puas memejamkan mata, celik tak mahu pergi dan kita terus mengharapkan kantuk pulang. Mengharapkan esok bangun awal, takut tak kesampaian, mahu tak mahu, tetap juga kena bangun awal. Esok sering menjanjikan sesuatu untuk kita dan kadang-kadang kita suka serta sering mengesokkan hari untuk melakukan sesuatu perkara atau kerja.  Besok datang lagi kerja atau perkara lain, yang tak sepatutnya menjadi beban sudah mula dirasakan menjadi beban kerana bertambah banyak dan masa semakin suntuk.
       Kita mengharapkan esok yang lebih elok sedangkan kita sendiri langsung tak tahu masih adakah esok untuk kita. Sayangi dan hargai hari ini untuk esok yang tak pasti.

Wednesday, April 20, 2022

Sinar

"Awan lindung matahari," kata Ayah. Kata Adik, "Matahari menyorok dalam awan." Itulah selalu berlaku, jarang kita sependapat, tapi kita ke tempat yang sama.
       Kita sering tak sependapat dalam banyak perkara, bermula dengan perkara yang kecil sehinggalah perkara yang besar. Kadang-kadang apabila difikirkan, bukanlah senang untuk menemui titik persamaan, penuh dengan duri. Adakalanya sampai ke sudah tak berjumpa dengan titik persamaan tapi kita tetap bersama dalam banyak perkara. Itu bermaksud  sebenarnya kita sudah mempunyai satu ikatan yang kukuh, cuma kita tak bersama dalam banyak hal walau titik persamaan nampaknya seperti mudah ditemui.
        Kehidupan memang satu misteri kerana titik persamaan sering dicari. Selagi ada usaha untuk meneruskan pencarian, selagi itu ada sinar harapan, Insya-Allah.
           

Monday, April 18, 2022

Nuzul Quran

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, nuzul merujuk perkataan Arab, bermaksud turun. Nuzul Quran ialah hari peringatan turunnya Al-Quran (pada 17 Ramadan).
      19 April 2022 bersamaan 17 Ramadan 1443 Hijrah, disambut hujan sekejap sebelum Subuh sewaktu bersahur, Alhamdulillah mendung ke saat ini. Marilah bersama-sama membaca Al-Quran dan bahan-bahan yang baik untuk minda kita. Apa-apa yang kita baca akan mempengaruhi pemikiran dan pandangan, kemudiannya akan  diterjemah melalui penulisan dan percakapan kita. Merujuk dan meneliti buku 'Teroka Sains 3 (Uniknya Awak)', karya Wan Fahmi Wan Mohamad Nazarie dan Nurannies Abd Hadi,  seorang  manusia mampu berkata-kata sebanyak 15 ribu patah kata sepanjang hari secara puratanya. 
     Diharapkan kata-kata atau ayat-ayat yang keluar daripada bibir kita lebih banyak memberi manfaat berbanding mudarat kerana lebih banyak membaca seharusnya menemukan kita dengan perkara-perkara yang berfaedah, Insya-Allah. Selamat Menyambut Hari Nuzul Quran.

Besar

Yang cepat boleh diubah ialah diri kita sendiri berbanding orang lain. Ini pilihan yang kita ada.
       Untuk mengubah orang lain memerlukan masa kerana perlu dibiasakan supaya menjadi tabiat dan kebanyakan daripada kita hanya mahu berubah jika ada sebab yang kukuh seperti jika kita tidak berubah, kehidupan kita akan bertambah teruk. Maka, pilihan yang kita ada ialah mengubah diri kita sendiri dengan melakukan sesuatu yang betul dan perlu supaya menjadi tabiat serta menjadikan diri kita lebih baik. Apatah lagi kita sebagai orang yang lebih tua, sebagai orang yang lebih dewasa, sebagai mak ayah, tabiat kita sepatutnya menjadi rujukan atau contoh anak-anak dan orang yang terdekat. 
        Perubahan yang besar akan terjadi dengan mula mengubah diri sendiri walaupun hanya dilihat kecil. Membiasakan diri kita untuk berubah terlebih dahulu merupakan titik permulaan yang sangat besar untuk hari esok yang lebih bersinar, Insya-Allah.

Thursday, April 7, 2022

Beri

Sejak kecil, tiba bulan puasa, diajar mak ayah tentang memberi.
     Petang datang, maka tugas pun bermula, berebut-rebut menghantar juadah ke rumah jiran. Ada masanya, juadah yang satu bertukar menjadi lima kerana masing-masing membalas juadah yang diberi. Itu baru di sini, belum lagi di sana. Tetap mak  ayah ingatkan, beri jangan harapkan balasan. Maka membesarlah dengan pesanan itu, banyak atau sikit itu bukan nombor satu, asal biasakan diri memberi.  Apabila sudah biasa, kita tak kekok untuk memberi, tak berat untuk menghulur, apabila sudah biasa, kita gembira dan puas dapat berkongsi rezeki.
        Indahnya hidup kerana saling memberi. Terima kasih banyak kepada yang berkongsi rezeki, Alhamdulillah. Moga Allah SWT melimpahkan rezeki dan merahmati semuanya.

Sabar

     3 April 2022, Ahad, Ramadan yang pertama, hari yang banyak hujan.
      Hari ini sudah hari Khamis. Menanti berbuka setiap hari tatkala anak-anak sudah balik dari sekolah, bersedialah untuk menjawab. "Pukul berapa?" inilah soalan yang paling penting dan kerap ditanya anak-anak. Untuk sampai ke waktu berbuka dirasakan begitu lama, maka banyaklah aktiviti berlaku. Waktu sekarang  banyak tidak seperti dulu. Dulu, jika tidak menonton televisyen, waktu menunggu diisi dengan permainan seperti main tudung oren dan batu seremban. Sekarang, semuanya bergabung menjadi satu di alam maya. Jika tidak mahu anak-anak berada di alam maya terlalu lama, alternatif diperlukan. Kadang-kadang dibiarkan saja kerana kreatif dan inovatif akan muncul sendiri.
       Ramadan memang banyak cerita. Menanti berbuka puasa bagi anak-anak ialah satu masa yang amat panjang dan kesabaran diperlukan ibu bapa untuk melayan kerenah mereka. Bersabarlah kerana kita juga pernah menjadi anak-anak yang menguji kesabaran ibu bapa kita. 

Monday, April 4, 2022

Ajaib

Pagi yang cerah dan pelangi yang indah merenung di hadapan sepanjang perjalanan ke sekolah, Alhamdulillah.
    Pagi yang menakjubkan dan dipenuhi keajaiban, sedikit hujan renyai dan sepertinya sedang menujui pintu gerbang yang nampak dekat dan tak sampai-sampai, itulah pelangi yang gah di langit.
Cahaya yang melengkung dan bermacam-macam warnanya di langit, benang raja, bianglala, ular danu, ganu, itu maksud pelangi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat. Biarpun hadirnya sekali sekala, tetap menyenangkan, menenangkan dan menerbitkan kegembiraan walaupun terperangkap dalam kesesakan pagi, Alhamdulillah.
     Kadang-kadang, setiap hari kita mengharapkan keajaiban berlaku dalam hidup kita, sedangkan sebenarnya keajaiban itu memang sudah ada pada kita, sudah ada di sekeliling kita, mungkin hanya kita  yang tak perasan. 

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...