Translate

Thursday, December 31, 2020

لبيه باءيق

٢٠٢١ دسمبوت دالم هوجن، الحمدلله، برمولاڽ ڤد هاري يڠ موليا، ڤڠهولو سݢالا هاري۔ مک، ماريله کيت باڽقكن صلوات۔ اد يڠ برچوتي، يڠ بکرجا تتڤله بکرجا والاوڤون ڤد هاري چوتي۔ مڠهرݢاءي اورڠ لاءين ساله ساتو ڤرکارا ڤنتيڠ دالم هيدوڤ۔ د ساعت کيت دودوق سليسا د دالم رومه، اد يڠ کهوجنن د لوار کران ماهو ممبري کسليساءن کڤد کيت، سام اد کيت سدر اتاو کيت تيدق سدر۔ سڤرتي يڠ سريڠ کيت دڠر، يڠ سريڠ کيت سبوت، "هيدوڤ بوکنله سمات-ماتا تنتڠ ديري کيت ساج۔" والاوڤون هيدوڤ بوکنله سمات-ماتا تنتڠ ديري کيت ساج، کيت ڤرلوله بلاجر منجاݢ دان مڠوروس ديري سنديري ترلبيه دولو۔ جک ديري سنديري تق ترجاݢ، مان موڠکين ماهو منجاݢ اورڠ لاءين دان اورڠ لاءين ڤون اکن راڬو-راڬو دڠن کيت! موݢ ٢٠٢١ لبيه باءيق اونتوق کيت سموا، إن 
شاء الله!

Iktibar

2020 tak akan kembali, yang akan kembali hanya ingatan tentang 2020.
      2020 ini terlalu banyak peristiwa, terlalu banyak cerita. Suka dan duka itu seperti biasa, akan silih berganti mewarnai hidup ini. Tatkala Ayah sedang menulis, hujan sedang turun,  Umi sedang menonton cerita Korea sambil menghirup teh hijau,  Angah  dan Achik bermain kad yang dibuat sendiri, Along menonton Ultraman yang berjuang menentang raksasa tak habis-habis sejak Ayah masih kecil lagi. Adik juga menonton Ultraman sambil main masak-masak. Ada dua atau tiga ekor ciak rumah di luar rumah yang sepertinya sedang bermain air hujan, kemudian terbang mencari perlindungan. Ayah mencapai buku Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi. Menurut Laurence J. Peter, "Seorang yang optimis ialah orang yang melakukan sesuatu yang terbaik ke atas sesuatu apabila dia mendapat sesuatu yang terburuk daripadanya."
    Esok 2021, diharapkan kita mendapat sesuatu atau iktibar sepanjang 2020 untuk menjadikan 2021 lebih baik untuk kita semua, Insya-Allah.

Tuesday, December 29, 2020

Alhamdulillah

Tempoh hari, sewaktu hari lahir Ayah, Achik di hospital, kali ini, hari lahir Umi, Umi pula sakit gigi.
   Sakit gigi pun disebut William Shakespeare, "Belum ada ahli falsafah yang dapat menahan sakit gigi dengan penuh kebijaksanaan." Walaupun sakit gigi, apabila dapat menyambut hari lahir bersama-sama, Alhamdulillah, itu tandanya kita masih dikaruniakan kesihatan. Salah satu rezeki yang paling besar daripada 5 lima perkara, sihat sebelum sakit. Tengah hari baru keluar makan, selepas makan ke rumah Wan dan Atuk, Mok De bawa kek kecil yang comel dan Mok Su dan Pok Su pula bawa balik kek Mamasab. Makan sama-sama memang seronok, apatah lagi dengan insan yang melahirkan kita dan membesarkan kita.
    Terima kasih kepada semua yang meraikan hari lahir Umi dan yang melahirkan kata-kata ucapan. Terima kasih atas ingatan tulus ikhlas.

Monday, December 28, 2020

Tulus

Memori itu akan terus dikenang, akan terus kekal selagi hayat ada, kekal selagi dekat di hati, Insya-Allah.
      Detik bersama dirasakan cukup indah, tak kira suka, tak kira  duka jika hubungan itu sudah bertaut di hati. Kata orang tua-tua, cinta itu bermula dari mata, lalu turun ke hati. Siang bersilih malam, malam bersilih siang, banyak momen tercipta dan dicipta. Kenangan itu silih berganti tatkala sendiri, tatkala sunyi, kadang kala hadirnya  ke kamar mimpi. Hidup menjadi satu mimpi ngeri tanpa kenangan yang mencetuskan inspirasi, tanpa kenangan yang mendewasakan diri sewaktu bersama-sama bertungkus-lumus membangunkan menara impian. 
     Kenangan itu akan terus dirai, akan terus dipuja tanpa mengira ketika, tanpa mengira usia yang dikarunia. Terima kasih atas kenangan, terima kasih atas ingatan tulus ikhlas.

Anugerah

Banyak yang mahu kembar, tetapi tak semua dapat kembar.
    Kembar itu salah satu anugerah untuk jadi lebih sabar. Tak percaya? Boleh adakan sesi dialog atau temu ramah dengan Pok Su dan Mok Su. Nak buat soal selidik pun boleh, ambil untuk satu semester, 3 jam kredit. Yang menjadi bakal menjadi suami atau sudah menjadi suami mungkin seronok melihat kembar. Maka, Ayah pun bertanyalah kepada Pok Su, "Waktu sekarang ni sempat tak main permainan video?" "Tak," inilah jawapannya. Waktu tidur pun  ada masanya tak sama, seorang tidur, seorang bermain. Keselamatan diutamakan. Pok Su sentiasa ada tatkala keduanya-duanya bermain, apatah lagi di rumah Wan dan Atuk ada tangga. Teringat pula lagu Najwa Latif, "Kauada di kala kusuka, di kala kuduka, setiap tangisan dan juga ketawa."
    Alhamdulillah, kembar atau tak kembar, anak satu rezeki yang sangat besar dan satu amanah apabila sudah berkeluarga. Insya-Allah, kita jaga ahli keluarga kita.

Sunday, December 27, 2020

Tunafoto

Petang semalam berkonvoi dan berkampung di rumah Pok De dan rumah Mok de.Waktu pergi kena tengok anak-anak naik kereta mana,  waktu balik pun sama, takut ada yang tertinggal, tertinggal barang itu biasa, tertinggal anak itu tak tahu nak dikatakan macam mana.
      Penuh satu rumah, meriah. Apabila semua balik kampung, itulah saat indah, berkumpul sama-sama, makan sama-sama dan sembang sama-sama. Juadah pun banyak, penuh satu meja, mengunyah tak habis-habis, takoyaki ada, pisang goreng keju dan air sarsi air tangan Pok De pun ada. Dah semua ada, sesi bergambar tak dilepaskan. Agak-agak berapa kali diperlukan untuk mengambil gambar dalam keadaan anak-anak yang tak duduk diam?
     Kadang-kadang, tunafoto (photobomb) itu menjadikan satu-satu gambar itu cukup bernilai kerana membuatkan kita dapat mengingati kisah menarik di sebalik gambar itu.

Saturday, December 26, 2020

Sekeping

Apabila sudah bertemu, bermacam-macam ragam boleh dirakam.
   Sekeping gambar boleh menggambarkan bermacam-macam keletah dan gelagat, apatah lagi apabila lebih banyak Adam daripada Hawa. Yang kecil dengan cara kecil, yang baru nak membesar dengan cara nak membesar, yang berumur dengan cara berumur. Yang kecil dikerumuni bagai semut mengerumuni gula, yang nak membesar, satu rumah berkejar-kejaran dan bergumpalan. Yang berumur mata melilau dan terbelalak melihat anak-anak naik turun tangga dan bergulat.
    Sekeping gambar bukanlah sekadar sekeping kertas foto berkilat atau sekeping gambar di alam maya, sekeping gambar ialah pengalaman yang mendewasakan kita semua.

Thursday, December 24, 2020

Harga

Covid memberikan kesan kepada kita semua.
    Pastinya setiap daripada kita ada cerita pasal Covid. Covid memberikan kesan yang amat besar terhadap diri sendiri mahu pun ahli keluarga serta sahabat handai. Tatkala kita masih berperang dengan Covid, pastinya kita terkenang kenangan indah kita yang bebas ke mana-mana saja sebelum ini bagaikan helang yang menari-nari di langit luas. Kita bebas mencipta kenangan, kita bebas menikmati kehidupan dan kita bebas membuat pilihan. Walau bagaimana pun, kita seharusnya bersyukur tatkala ada yang berjauhan daripada keluarga, kita masih di kelilingi ahli keluarga dan sahabat handai.
    Saat yang ada seharusnya tidak kita sia-siakan kerana masa itu cukup berharga. Begitu berharganya diri  buat insan yang menyayangi kita dan berharganya insan yang kita sayangi.

Sunday, December 20, 2020

4 Bapa

Isnin minggu lepas, kami bertemu, menguruskan buku teks.
    Selesai kerja, empat bapa tanpa empat dara duduk di tepi sungai duduk semeja untuk bersarapan. Tatkala bertemu,  berboraklah kami, bukannya duduk menjerat si ketamlah batu tetapi menanti juadah yang dipesan tiba satu per satu. Sabtu dan Ahad bersusun pelanggan di sini, menurut Cikgu Nasir. Bab makan-makan dan kedai makan, Cikgu Nasirlah orang yang paling sesuai untuk dirujuk. Ayah pun tak perasan akan kedai  yang sudah lama tular ini, Roti Bakar Beserah, berhampiran Balai Polis Beserah. Banyak isu yang menjadi topik, banyak juadah yang mencetuskan selera di sini. 
    Jika mahukan roti untuk sarapan pagi, inilah tempat yang paling sesuai dan tepat di samping ada juga juadah lain yang menepati selera. Nikmatinya bersama-sama teman atau bersama-sama ahli keluarga. Ayuh!

Saturday, December 19, 2020

Luar Biasa

Hari Selasa, 16 Disember, kawan Ayah, Cikgu Hamir menghantar mesej.
    Dia menghantar gambar yang tertera nama Ayah dalam Antologi Puisi Guru Malaysia, Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu (Program Guru Menulis Jilid 1). Alhamdulillah, kali pertama karya Ayah dalam antologi yang sama dengan Cikgu Hamir, dikira saat cukup istimewa dan satu penghargaan yang amat bermakna kerana seperti yang telah diketahui, banyak perkara tentang puisi moden ini Ayah pelajari daripadanya dan sajak pertama Ayah ada sentuhan ajaibnya. Rabu, 17 Disember, sewaktu di bilik komputer, Ayah bertanya kepada pak cik Hafiz jika ada bungkusan barang di pejabat. Sewaktu kelas dalam talian telah bermula, pak cik Hafiz membawa bungkusan barang untuk Ayah.
     Antologi Puisi Guru Malaysia diterbitkan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), urus cetak dan urus terbit oleh Nuha Creative Resources, Alhamdulillah, terima kasih banyak. 2020 memang luar biasa.

Wednesday, December 16, 2020

Pantas

Hari ini, semuanya kita mahu pantas.
    Bercakap pasal 'pantas', teringat akan seorang sahabat, "Adil," katanya. Dulu-dulu,  yang paling pantas kuda. Sekarang? Tak perlu cerita, banyak sangat. 24 jam dulu terasa lama, sempat ahli ilmu dan alim ulama belajar pelbagai ilmu. Sekarang, terasa begitu cepat, namun semuanya di hujung jari. Jumpa tok guru di hujung dunia pun boleh dalam talian walau Covid masih mengepung, asalkan ada 4G atau 5G atau yang lebih pantas. Adil kan? Semua mahu pantas, mahu yang hantar makanan yang cepat sampai ke pintu rumah, mahu syarikat penghantaran barang yang cepat sampai ke rumah, mahu jadi orang terawal makan di kedai tular dan macam-macam lagi.
   Satu perkara yang mungkin sebahagian daripada kita tidak mahu, matinya begitu pantas. Maka, marilah kita sama-sama berlumba-lumba menjadi pantas dalam melakukan amal kebaikan, Insya-Allah. 

Monday, December 14, 2020

Kejutan

Waktu menunggu, macam-macam aktiviti boleh buat.
    Menunggu di dalam kereta, boleh pasang radio. Anak-anak main permainan video guna telefon Ayah, Ayah cuma menikmati pemandangan kereta yang bersusun di pandu lalu. Dari jauh nampak juga banyak sanggup  beratur panjang di luar restoran, masing-masing berpelitup muka. Ada yang sudah dua atau tiga kali pusing untuk cari parkir yang paling hampir, banyak juga yang parkir di tepi seperti Ayah yang sedang menunggu, Umi  dan Along beratur untuk membeli aiskrim. Tiba-tiba bunyi hon bertalu-talu, mungkin memberi isyarat kepada seseorang dan Alza sama yang warna seperti kereta Ayah diparkir ke hadapan sedikit. Pintu kereta  disentak tiba-tiba, Ayah melihat seorang perempuan menarik pintu kereta kanan di sebelah belakang. Siapa? Umikah? Salah kereta dan dia berlari ke hadapan meluru masuk ke dalam perut Alza tadi.
    Sedang menunggu seseorang di dalam kereta? Pastikan pintu dikunci supaya yang di dalam kereta tidak terkejut serta yang masuk dan duduk juga tidak terkejut!

Wednesday, December 9, 2020

Selesa

Apabila bertemu, banyak kata-kata, banyaklah kisahnya. Walaupun subjeknya sama, ceritanya lain-lain, walaupun ceritanya tentang kasut, saiz dan jenama pun dah tak sama. 
     Cikgu Hashim bercerita tentang kasut kesihatan. Kasut yang membuatkan kita rasa selesa memakainya dan kaki kita tidak rasa sakit memakainya kerana ada kasut yang seperti menggigit kaki kita. Rasa selesa itu yang membuatkan Ayah terkejut sewaktu menyarungkan kasut pada kaki pada satu pagi kerana seekor katak nampak cukup selesa di dalam kasut Ayah. Cikgu Aidil pastinya memilih kasut yang sesuai untuk berlari dan mengayuh, Cikgu Hamdan pula akan memilih kasut yang sesuai untuk beraksi di gimnasium. Ustaz Rozeli sudah tentu mahu kasut yang sesuai dan selesa untuk konvoi motosikal.
    Jangan diremehkan kasut    yang disarungkan pada kaki walau apa-apa pun rupanya kerana kasut yang disarung sudah semestinya memberikan keselesaan kepada empunya badan untuk beraktiviti serta membuatkan pemiliknya tersenyum sepanjang hari.

Sunday, December 6, 2020

Kusyen

Salah satu tanda cucu Opah dan Atuk balik kampung ialah kusyen kerusi rumah Opah penuh di atas lantai.
   Nenek pun ada, pak su Apit dah ambil awal-awal lagi. Riuh-rendah bukan main, padahal cucu Opah yang balik hanya tujuh orang, belum lagi yang lima orang lagi balik.  Main lawan-lawan sebab yang banyaknya pahlawan, srikandi hanya berdua. Letih berlawan, pakat cari air, pakat cari makanan. Hurung makanan dah macam semut. Adakalanya yang lain pun tumpang sekaki. Sedap pula dapat makan ramai-ramai.
     Apabila pakat balik, mula rasa sunyi. Apabila riuh-rendah, kadang-kadang nak rasa sunyi. Apabila rasa sunyi, nak rasa riuh-rendah. Hidup  ini memang misteri.

Thursday, December 3, 2020

Di Sini Pemimpin Dilahirkan

'Di sini Pemimpin Dilahirkan', Ayah terbayang-bayang perkataan ini, tertulis di atas bumbung bangunan di bahagian tangga utama untuk ke pejabat dan ke bilik guru.
     Untuk melahirkan pemimpin yang benar-benar memimpin ke jalan yang benar tidaklah mudah namun tidaklah sampai ke tahap mustahil. Pertama, pemimpin mestilah boleh memimpin diri sendiri terlebih dahulu. Jika diri sendiri tidak terpimpin, mahukah orang lain merelakan diri mereka untuk kita pimpin? Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, pimpin itu sendiri membawa maksud dipimpin, dipandu, dituntut, ditunjuk. Maka yang memimpin seharusnya melakukan seperti perkara yang dimaksudkan perkataan 'pimpin', bukannya hanya pandai memberikan arahan tanpa bimbingan yang sewajarnya serta melepaskan tangan tanpa tunjuk ajar yang sepatutnya. 
     Pemimpin dapat dilahirkan dengan belajar dan mendisiplinkan diri sendiri terlebih dahulu kerana pemimpin  sejati menjadi  suri teladan tanpa disedari dan diikuti tingkah laku mereka walaupun tidak disuruh. 

Tuesday, December 1, 2020

Disiplin

Pagi ini makan roti bakar 'Buttercup', meratah tempe dan minta Umi bancuh kopi Maaez. Sedap nampaknya Umi menikmati kopi Maaez.
    Lepas Umi pergi, Ayah memberi makan kepada ayam mutiara dan masuk ke rumah, sambung makan nasi panas dengan sambal hitam Jerantut yang diberikan ustazah mengaji anak-anak, lantas menghabiskan 'Maaez White Coffee with Bird Nest'. Pergi memberi makan kepada ikan laga sekejap dan  Ayah membaca berita dalam laman Astro Awani. Pagi-pagi lagi, cikgu-cikgu dah mengepos bahan untuk PdPR untuk anak-anak. Tengah membaca, Umi mesej. Ayah pun membuka Youtube. Habis menonton, Ayah kembali membaca.
     Rutin waktu PKPP apabila sekolah tutup sudah tentunya berubah, namun disiplin tetap menjadi keutamaan untuk membuatkan hidup kita berubah menjadi lebih baik.

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...