Translate

Saturday, February 29, 2020

Alhamdulillah

Alhamdulillah, Daulat Tuanku, bersyukur kita atas pelantikan Perdana Menteri ke-8.
     Dalam portal berita Astro Awani,  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Tarikh 29 Februari 2020 ini bersamaan 5 Rejab 1441 Hijrah pasti diingati bukan sahaja sebagai tahun lompat, tetapi lebih daripada itu. 
    Saat ayah menghirup kopi petang ini, pasti di mana-mana isunya tentang pelantikan Perdana Menteri ke-8. Rakyat memerlukan pemimpin yang berakhlak dan bijaksana untuk memimpin negara, bukannya pemimpin yang sepanjang masa bertikam lidah sesama sendiri dan mempermainkan amanah rakyat serta negara tercinta.

Friday, February 28, 2020

Lompat

29 Januari 2020, hari yang istimewa. Empat tahun sekali, inilah harinya tahun lompat.
      Yang lahir pada tarikh ini pastilah sangat gembira, empat tahun sekali baru muncul. Yang mahu berkahwin mungkin tidak mahu, menyambut ulang tahun perkahwinan empat tahun sekali. Yang berniaga, tarikh ini satu promosi, banyak tawaran menarik yang diberi untuk pembeli. Tarikh ini pasti mahu diingati dengan pelbagai cara, terpulanglah kita untuk membuat pilihan.
      Pilihan ada di tangan kita untuk hari yang istimewa dalam tahun lompat, 2020 ini. Tidak mahu melompat, mahu melompat, mahu melompat lebih tinggi atau mahu tengok sahaja, terpulang kepada kita, ini masa hadapan kita.

Elok

Disebut 'telor', dieja 'telur', begitulah sifat sesetengah perkataan, disebut lain, dieja lain.
     Kebanyakan orang menyukai telur. Ada yang suka makan telur mata sapi atau telur mata lembu, ada yang menyukai telur separuh masak. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, telur separuh masak didefinisikan sebagai telur yang dimasak dengan cara merendamnya dalam air mendidih selama lebih kurang 7 minit (supaya tidak masak keras seperti telur rebus). Telur kemuruk pula bermakna telur yang menjadi busuk setelah lembaganya terjadi. Hari ini pula, anak-anak berebut telur dadar ayam mutiara yang digoreng umi.
      Berhati-hati memilih telur, di luar nampak cantik, di dalam isinya buruk, itulah telur kemuruk. Beruntunglah  yang memilih, di luar nampak cantik, di dalam pun isinya elok.

36

Pemimpin silih berganti. Cikgu pemimpin yang abadi.
    36 tahun sudah pasti penuh suka dan duka. Pada hari Penghulu Segala Hari, 28 Februari 2020 kami meraikan persaraan Cikgu Rohidah binti Samadi. Sekali cikgu, selama-lamanya cikgu. Sebelum mengenali Cikgu Rohidah, bilik sukan di tepi surau tempat Cikgu Rohidah dan Cikgu Salasun mengajar dikenali ayah terlebih dahulu melalui kartunis Ubi dalam karyanya 'Budak Hostel'. Begitu juga gelanggang bola keranjang Semsas yang sering dipaparkan dalam karyanya. Begitulah ingatan setiap anak murid kepada sekolah, kepada gurunya, diabadikan dengan cara tersendiri.
        Guru mengisi sebahagian daripada hidup kita. Kata-kata guru sering menjadi penyuluh hidup kita selain kata-kata ibu bapa. Guru bagaikan ibu bapa kita.

Wednesday, February 26, 2020

Luruh

Selain Atuk dan Opah ke ladang sawit, atuk dan opah juga ke ladang getah.
     Kalau di ladang sawit kami bertiga mengutip buah lerai dan mengangkut buah kelapa sawit guna kereta sorong, di ladang getah pula kami mengutip getah sekerap. Nenek dan arwah Wan selalu cakap bau getah itu bau duit. Aktiviti lain di ladang getah mengutip biji getah. Main laga biji getah itu biasa. Terkejut bunyi buah getah pecah atau meletup juga biasa. Dikejar penyengat yang bersarang pada pokok berbulu juga biasa. 
      Hijau menjadi oren. Oren pun luruh, oren pun gugur, musim luruh. Boleh dikatakan tinggal pohon tanpa daun dan kembali menghijau. Itu pokok getah. Buah sawit yang ranum pun luruh. Tidak ada yang kekal.

Tuesday, February 25, 2020

Bodoh

Dalam buku Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi, Adolf Hitler berkata, "Jika anda menagih simpati daripada rakyat terbanyak, anda hendaklah memberitahu mereka perkara-perkara yang paling buruk dan paling bodoh."
        Dalam situasi  hari ini, sudah pastilah media sosial menjadi tumpuan untuk mengetahui berita terkini. Banyak isu yang berlegar saat ini  dicipta oleh orang yang licik dan penuh muslihat. Banyak isu bersifat spekulasi dan sengaja disensasi untuk menagih simpati, mengelirukan fikiran dan memperbodohkan kita.  Kita harus tenang, harus menapisnya dengan fikiran yang rasional dan pertimbangan yang wajar. Baca sampai habis. Elakkan juga daripada membaca  tajuk sahaja,  kemudian  membuat andaian sendiri atau menokok tambah.
     Kita harus meneliti setiap isu yang terjadi. Pisang tak akan berbuah dua kali atau berkali-kali. Kita jangan jadi bodoh dan berkali-kali bodoh.

Pelucu

Dia pelucu. Dia melucukan. Dia suka buat kelakar. Dia suka berlelucon.
      Dalam kehidupan, perlu ada sesuatu yang menghiburkan, perlu ada kelucuan untuk mengurangkan tekanan. Sebab itu ada kata-kata, " jangan terlalu serius dengan kehidupan." Namun begitu, untuk membentuk kelucuan tidak perlulah mengaibkan orang lain atau menjadikan orang lain sebagai bahan ketawa. Setiap orang ada maruah termasuk diri kita.
     Kita memerlukan orang lain dalam kehidupan kita. Tambahan pula, jika kita dikenali dan menjadikan orang yang kita kenali sebagai bahan ketawa di media sosial, di saat kita memerlukannya, apakah masih lagi mampu untuk berhadapan dengannya? Kecuali kita jenis muka tak malu!

Monday, February 24, 2020

Menari

Bila menari dongak ke langit,
langkahmu sumbang salahkan bumi,
silap sendiri tak dipeduli,
terbiar sudah membuta tuli,
baru tengadah menyesali diri.
      Ayah suka benar dengar lagu Akar dan Bumi, Amuk. Lagu ini mengajar kita tentang sesuatu. Dalam Kamus Tatabahasa Dewan pun ada peribahasa yang berbunyi 'menari yang tak pandai,  dikatakan lantai yang terjungkat', maksudnya tidak tahu membuat sesuatu pekerjaan, dikatakan perkakas yang salah atau tidak cukup. 
Mari sama-sama kita perbaiki diri.     
       Adakah kita spesies yang sepanjang masa menuding ke arah orang lain untuk mencari salah tanpa menyedari empat jari lagi menuding ke arah diri kita? Mari sama-sama kita perbaiki diri.

Hangat

Hari Isnin, 24 Januari 2020, mulanya semalam ayah ambil tahu, malam semalam dan hari ini seperti biasa, pagi kopi Radix kosong secawan.
     Pagi yang semakin hangat, nasi dagang sepinggan habis. Kehangatan bersambung, perletakan jawatan Perdana Menteri dan pelantikan Perdana Menteri interim. Malam yang bertambah hangat, sepinggan sotong kangkung , sate Zul, 'sizzling yee mee' habis, kami pun berhenti. Kehangatan berterusan, malam ini, semua jawatan menteri Kabinet, timbalan menteri dan setiausaha politik dihentikan (portal berita Astro Awani, 24 Februari 2020). 
     Esok yang belum pasti, secangkir kopi harap di sisi dinikmati dengan penuh erti, apakah terjadi? M untuk Malaysia.

Sejahtera

Siapakah yang boleh 'membaca' apa yang bakal berlaku dalam politik?
       Rakyat mengharapkan kesejahteraan. Keselamatan penting untuk mewujudkan kesejahteraan. Kesejahteraan membolehkan kehidupan berjalan dengan lancar dan segala aktiviti harian berjalan tanpa sebarang halangan. Kesejahteraan tergugat apabila berlakunya ketidakadilan dan ketidakfahaman terhadap sejarah, terutamanya negara kita yang terdiri daripada masyarakat majmuk.
       Apa-apa sahaja boleh berlaku dalam politik. Politik tidak bersifat statik. Lawan boleh jadi kawan, kawan boleh jadi lawan. Kesejahteraan negara usah digadaikan, rakyat wajib diutamakan.

Sunday, February 23, 2020

Tahu

Dalam buku Mutiara Kata susunan Adi Alhadi, George Bernard Shaw menyatakan bahawa  dia tidak tahu apa-apa tetapi menyangka dia tahu segala-galanya. Jelas dia sesuai menjadikan politik sebagai kariernya.
      Setiap orang pasti mempunyai kecenderungan terhadap sesuatu bidang. Minat atau kecenderungan menyebabkan mereka menekuni atau mempelajari untuk mengetahui secara lebih mendalam tentang sesuatu. Dalam kehidupan seharian, kita akan menemui seseorang yang seolah-olah mahir dalam setiap perkara atau seseorang yang sepertinya begitu arif tentang setiap topik yang dibicarakan. Orang itu mungkin kita sendiri atau orang itu berlegar di sekeliling kita.
      Tahu segala-galanya tidak semestinya arif dalam sesuatu perkara. Arif dalam sesuatu perkara tidak semestinya tahu segala-galanya.

Tunggu

Hari Sabtu dan hari minggu, hari yang ditunggu-tunggu.
     Terpaksa menunggu pula selalunya akan mengundang rasa jemu. Jika ruang menunggu sempit, anak-anak pasti resah gelisah, meragam dan mula menjerit. Jika ruang menunggu luas, berlari, melompat dan berhenti apabila penat. Sempit atau luas, jika ada makanan atau minuman kesukaan, dapat menyelamatkan keadaan.
     Menunggu memang memenatkan, apatah lagi menunggu janji. Janji seharusnya ditepati, namun kalau janji itu membawa mudarat atau mengundang musibah, perlukah ditepati?

Friday, February 21, 2020

Bantu

Dalam cerita Sang Kancil pun ada watak Sang Singa walaupun Sang Singa tidak berasal dari Malaysia.
       Singa sering menjadi simbol kegagahan dan boleh di lihat di mana-mana sahaja menjadi lambang rasmi atau nama khas. Sewaktu ayah zaman sekolah dahulu, dalam kursus kepimpinan, ditayangkan  kartun 'The Lion King' dan kami diminta menyenaraikan ciri-ciri kepimpinan yang ada dalam cerita tersebut. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, peribahasa 'lebih baik seekor singa di padang yang luas, daripada seekor ular di dalam rumput' bermaksud lebih baik berdepan dengan musuh  besar di tempat terang daripada musuh kecil di dalam sulit.
      Sang Singa pun memerlukan bantuan tikus kecil yang sering diperkecil dalam cerita Sang Kancil. Kegagahan dan kekuasaan akan musnah jika sering memperkecil, meremehkan dan melecehkan orang lain.

Wednesday, February 19, 2020

Bahagia

 Usah kaupeduli, kaubuat kerja sendiri, biar ada yang perli, biar ada yang benci, biar ada yang caci, mereka tak mahu mengerti, mereka tak akan mengerti, sampai masa kan terbukti, serahkan kepada Ilahi, Insya-Allah bahagia di hati, bahagia di hati, bahagia di hati yang mereka tak miliki...
 (nyanyi ikut rentak rap)

Seringgit

"Air," jawab Angah setelah ayah bertanya tentang makanan yang boleh dibeli di kantin dengan harga seringgit.
       Sebelumnya, ayah menghulur seringgit kepada Along dan menyatakan bahawa sewaktu di tingkatan 4, duit belanja ayah hanya seringgit. Sewaktu tingkatan satu hingga tiga, duit belanja lima puluh sen. Sepinggan nasi lemak berharga tiga puluh sen dan segelas air berharga dua puluh sen. Jika belanja seringgit pada hari ini bermakna tidak cukup untuk membeli nasi, hanya dapat melepaskan dahaga.
      Daripada seringgit menjadi beringgit-ringgit. Sedekahlah walaupun seringgit, walau dirasakan sedikit, sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
      
  

Monday, February 17, 2020

Memukau

Umi ke stadium dan pasti disinari mentari hari ini. Lepas sahaja berita RTM pukul 7 pagi, juruhebah Pahang FM memutarkan lagu Endang S. Taurina, 'Apa Yang Kucari?'. 
     Di Dewan Al-Khawarizmi pula pagi ini kami menyanyi lagu Negaraku, Negeri Pahang dan Lagu Sekolah.  Pagi ini kami menyanyi diiringi pasukan Jasa Winds yang dibimbing Puan Zanariah dan Puan Nidzra. Buat julung-julung kalinya Jasa Winds memainkan Lagu Sekolah sempena Pelancaran Program Jom Ke Sekolah. Mengujakan! Hari Isnin yang memukau dan bersejarah.  Izzah yang akan ke Korea Selatan Khamis  ini untuk sambung belajar muncul di bilik guru sebelum ke sana. Lima tahun menimba ilmu.
     Kita perlu mencari sesuatu yang memukau untuk menghidupkan atau menyinari hari yang sedang kita lalui untuk lebih bersemangat. Ada semangat, kerja lebih 'menyengat', Insya-Allah.

Sunday, February 16, 2020

Dermaga

"Rasanya ayah dah sangkut besen pada dinding," kata ayah setelah melihat besen yang berisi air di dalam bilik air.
       Along mengaku bahawa dia menurunkan besen tersebut. Hari ini, dia dan angah menguji kapal yang dibinanya daripada blok lego sama ada boleh timbul atau akan tenggelam. Kapal yang tenggelam pastinya tidak boleh belayar, apatah lagi mahu menempuh gelombang. Kapal perlu dipastikan selamat dalam segala hal sebelum belayar.  Fizikal kapal perlulah kukuh dan diakui terbukti dalam menempuh gelombang kecil mahu pun besar. Anak kapal perlulah pakar dan tahu selok-belok di dalam kapal, apatah lagi kapten kapal. 
      Kapten kapal perlu tahu arah yang ditujui dan perlu memastikan anak kapal bersetuju dengan arah yang sama. Jika sebaliknya, kapten perlu lebih rasional, mendengar dan menimbang kata anak-anak kapal kerana sekukuh mana pun kapal, tanpa anak-anak kapal, kapal akan kekal di dermaga selama-lamanya.

Saturday, February 15, 2020

Inspirasi

Kebiasaannya ayah tanya anak murid ayah pasal lagu.
     Mereka cakap ayah mesti suka lagu 'Fly Me To The Moon'. Ayah dengar lagu yang dinyanyikan semula oleh The Macarons Project, bukannya yang dinyanyikan oleh Frank Sinatra. Ya, ayah menyukai lagu ini. Peminat lagu lama semestinya menyukai lagu ini. Di dinding tangga berhampiran Bilik Kaunseling pula diabadikan kata-kata Frank Sinatra, iaitu 'The best revenge is massive success'.       
     Kata-kata boleh menjadi hiburan, boleh memberikan kegembiraan. Kata-kata juga mampu memberi kita semangat dan pilihlah kata-kata yang baik supaya menjadi inspirasi serta dapat diikuti.

Thursday, February 13, 2020

Aki

Hari Radio Sedunia, 13 Februari. Ya, siaran radio mana yang sedang anda dengar?
       Waktu zaman sekolah dahulu, siaran yang selalu didengar ialah 'Best 104' dan RTM Pahang. Waktu itu siaran tidak sebanyak siaran radio sekarang. Kalau RTM Pahang, suka sangat dengar Aki berceloteh (cuma baca ikut loghat Pahang). Banyak juga dapat belajar loghat atau dialek Pahang. Waktu darjah 5, suka sangat pergi rombongan ke RTM Pahang. Masih ingat waktu itu juruhebah Adnan Majid sedang bersiaran.
    Mesti yang sebaya atau yang lebih berumur masih merindui celotehan Aki, Apa Khabar Orang Kampung di RTM Pahang. Radio tetap didengar dan menjadi teman setia dalam perjalanan.

Tuesday, February 11, 2020

Tangan

"Kenapa tak beli banyak lagi?" tanya ayah. "Bukan ada banyak tangan pun," jawab angah.
       Ya, kita ada dua tangan, dua kaki dan banyak pula kerja yang perlu diselesaikan. Umi rajin menyenaraikan kerja yang patut dibuat hari esok pada waktu malam sebelum tidur. Ada sahaja kerja yang perlu dibuat dan kadang-kadang rasa kerja itu tidak pernah habis. "Hidup ini bukanlah susah sangat, asal guna akal tulang empat kerat," itu secebis lirik lagu 'Marilah Maria',  nyanyian Def Gab C. Kata ustaz pula, kita selesaikan urusan dengan Allah SWT, Insya-Allah Allah SWT menyelesaikan urusan kita dengan mempermudah segala urusan yang kita lakukan.
       Segalanya di tangan kita, semua terpulang kepada kita. Kerja sendiri lain jalannya. Ada majikan, orang atasan tidak mahu langsung menerima alasan, mereka mahu kerja diselesaikan.

Buat

Dua hari lepas, sewaktu ayah menyapu sampah hujan pun turun.
      Oleh sebab tidak ada guruh dan petir, ayah meneruskan sahaja kerja ayah, membiarkan diri dibasahi hujan. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, ada juga peribahasa pasal hujan. Antaranya tidak hujan lagi becak, inikan pula hujan. Maksudnya,tidak berbuat pun dikata orang, apalagi kalau benar perbuatan kita. Kadang-kadang, dalam hidup kita, kita berbuat baik atau buat kerja pun tetap  dikata, apatah lagi kalau kita berbuat jahat. Pilihan yang kita ada biarlah kita teruskan berbuat baik atau buat kerja kerana seperti kata peribahasa, tidak berbuat pun tetap dikata orang.
   Memang ada spesies manusia yang rasa 'bahagia' melihat kita menderita, mahu kita ditimpa hujan, ditimpa kesusahan. Teruskan bekerja atau berbuat baik dan berbahagialah kerana Allah SWT sentiasa bersama-sama kita.

Monday, February 10, 2020

Al-Fatihah

Hujan sejak semalam seperti tidak mahu berhenti.
     Dia tetap tersenyum. Adakalanya dia ketawa. Kadang-kadang dia menangis. Kadang-kadang kita terkejut, dia menyinga, dia memberang. Tiba-tiba dia serius. Dia menyusun kata-kata untuk membuat kita ketawa, membuat kita hiba. Ada masanya dia berdiri, ada waktunya dia duduk dan bangun semula. Dia memerah otak untuk menghiburkan kita. Dia cuba semampu yang mungkin menggeletek hati hati kita. Dia buat segala-galanya untuk menghiburkan kita, untuk menyedarkan kita. Dia mendidik kita dalam tawa, mengajar kita dalam duka.
      Pagi ini hujan masih bersambung. Kita dikejutkan dengan pemergian Abam. Al-Fatihah. Kita pasti menyusul.

Saturday, February 8, 2020

Benar

"Ni  apa?" tanya ayah. Adik jawab, "Ambing." Mungkin kambing yang dimaksudkannya.
     Ayah tunjuk gambar harimau kepadanya, bukan gambar kambing. Jika waktu kecil dahulu, biasanya teka teki berkaitan seorang tua, sireh, kambing, harimau dan sebuah sampan cukup popular. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ada peribahasa tentang harimau dan kambing. Anak harimau tak akan menjadi anak kambing bermaksud orang yang berani tak akan jadi penakut. Anak kambing tak akan jadi anak harimau pula bermaksud orang yang pengecut (bodoh) tidak akan menjadi berani (pandai).
      Kita boleh memilih untuk menjadi 'harimau', kita boleh memilih untuk menjadi 'kambing'. Peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa berani kerana benar, takut kerana salah.

Friday, February 7, 2020

Sihat

Dalam buku Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi, Anthelme Brillat-Savarin menyatakan bahawa nasib sesebuah negara bergantung pada bagaimana rakyatnya makan.
       Sesiapa pun pasti suka akan makanan. Teringat kata-kata Cikgu Nasir,"Apatah lagi jika makanan itu tidak perlu dibayar." Sudah tentulah Cikgu Karim yang di sisi kami sentiasa bermurah hati untuk belanja kami makan. Moga Allah SWT limpahkan rezeki Cikgu Karim.
Begitu cantiknya Islam, ada halal dan haram. Yang halal begitu banyak untuk dimakan, yang haram pula ada sebab tertentu tidak boleh dimakan terutamanya dari segi kemudaratan kepada pemakannya. Dari segi cara penyediaan sesuatu makanan sehinggalah sewaktu hendak makan dan makan, ada cara dan adabnya. Insya-Allah, makanan yang dimakan dapat memberikan kesihatan yang baik kepada pemakannya. 
     Saat  makan bersama-sama menimbulkan rasa gembira, menimbulkan rasa ceria di samping makan makanan yang baik untuk kesihatan.

Thursday, February 6, 2020

Bukan Kanibal

Sahabat atau rodong akan  mengopi atau mengeteh bersama-sama, makan bersama-sama di Mamak Maju, Servis Laju atau di mana-mana sahaja.
      Sahabat tidak makan sahabat. Sahabat bukan kanibal atau karnivor. Sahabat hanya ada satu muka, mereka tidak bermuka-muka. Sahabat saling menyayangi, saling menasihati. Sahabat mungkin nampak garang, itu tanda sayang seorang abang. Sahabat mungkin memekak, itu ambil berat seorang kakak. Sahabat saling hormat, guraunya tetap berbatas, pesannya tetap berbekas. Sahabat itu mungkin jauh, namun sentiasa mengisi ruang hati, bukan susah baru nak cari, baru terhegeh nak ambil hati. 
      Sahabat itu bukan dinilai daripada rupa paras tetapi dinilai daripada hati yang ikhlas.

Tuesday, February 4, 2020

Ukhuwah

Apabila bergelar Cikgu,  ke mana-mana pun dikenali, apatah lagi bertugas di kawasan kampung atau Felda.
     Jika tidak disapa pelajar, disapa ibu bapa pelajar. Cikgu turut diperhati. Di stesen bas atau di mana-mana sahaja, sebut sahaja 'Cikgu', pasti ramai yang berpaling, mahu lihat yang mana satu cikgu. Berjumpa dengan orang yang baru dikenali, tahu sahaja teman berbualnya seorang guru, pasti terus dipanggil 'Cikgu'. Cikgu juga dilimpahi rezeki. Kadang-kadang, emak ayah hantar makanan ke sekolah, jamu semua cikgu makan. Jika di kedai makan,    baru hendak bayar, sudah ada yang membayar, kadang-kadang tidak tahu siapa pun yang belanja.
     Ada masanya Cikgu itu ibarat ibu bapa, menjadi kawan kepada pelajar, menjadi kawan ibu bapa pelajar dan orang di sekeliling. Cikgu belanja makan atau belanja Cikgu makan, itu satu ikatan ukhuwah, itu satu momen indah.

Praktik

Semalam, ayah cerita tentang pakai stoking. Ayah suruh Along baca artikel itu.
    Pagi ini, jam loceng sudah bunyi banyak kali, Along masih belum bangun. Ayah masuk ke biliknya. Amboi, nyenyak sungguh tidur pakai stoking! Terus dipraktikkannya rupa-rupanya, patut tak bangun-bangun. Adik pula menghulur kepada ayah, ayah membuka. Dia memicit, cecair tidak keluar pun. Tidak ada apa-apa di atas telapak tangannya. Dia pun pura-pura menyapu ke seluruh mukanya. Nasib baik cecair tidak keluar sebab itu tiub minyak rambut. Ayah ingat dia mahu sapu pada rambutnya. Dia cuba praktikkan perkara yang dibuat umi setiap pagi.
       Anak-anak cukup terkesan dengan tingkah laku kita melalui pemerhatian. Anak-anak juga mahu mencuba sesuatu yang baharu. Mahu tidur lebih nyenyak? Mahu tidur pakai stoking malam ini?

Monday, February 3, 2020

Korea

      Mungkin ada yang  mengeja 'stokin', tetapi ejaan sebenarnya ialah stoking.
     Dalam portal berita Harian Metro, artikel 'Manfaat Tidur Pakai Stoking' (ditulis Nurul Husna Mahmud) bertarikh 20 Oktober 2019 menyatakan bahawa satu kajian dijalankan di Korea Selatan mengkaji hubungan antara kualiti tidur dan tabiat tidur memakai stoking. Kajian itu mendapati kualiti tidur bagi individu yang memakai stoking lebih baik berbanding yang tidak memakai stoking.
     Anak-anak kecil dapat kita  lihat begitu nyenyak apabila tidur memakai stoking. Kadang-kadang stoking  juga menjadi tempat simpanan buah dam haji. Patutlah stoking ayah berat lain macam pagi ini. Ini kerja siapa ya?😂

Sunday, February 2, 2020

Tidak Naik

   Hari ini 2/2/2020, antara tarikh yang ayah paling ingati tentulah 2/2/2002.
     Hari ini, Umi bertanya, apakah yang anak-anak mahu beri kepada Umi apabila sudah besar?Jawapannya ialah makanan. Itu jawapan anak-anak Umi apabila Umi bertanya. Mereka tahu Umi suka makan. Pastinya orang perempuan yang suka makan seperti Umi mahu mencuba segala jenis makanan dengan syarat berat badan tidak naik. Pasti ramai yang bersetuju dengan Ayah kan!
      Makanan boleh membuatkan orang tersenyum, apatah lagi berjumpa dengan makanan idaman. Makanlah selagi ada selera, berhentilah sebelum kenyang seperti yang selalu kita diingatkan.

Saturday, February 1, 2020

Ramal

Minggu lepas, hari minggu, selesai sahaja Hari Keluarga, kami bergerak dari Bukit Changgang ke Sungai Ramal Dalam mengekori Mak Long dan Pak Long.
    Apakah yang ada di Sungai Ramal Dalam? Sesuatu yang menarik dan cantik sedang menanti kami. Perut perlu diisi dan apabila sampai, parkir pun telah penuh terisi. Alhamdulillah, akhirnya berjumpa tempat parkir. Kedai Makan Cantik itulah namanya. Wow, sungguh banyak pengunjung, sungguh banyak juadahnya!
Penggemar masakan kampung, penggemar ulam-ulaman, pasti rambang mata, kuih-muih pun ada.
      Ikan kering, ulam-ulaman pun sudah cukup membuka selera, apatah lagi aroma pelbagai  lauk yang bertebaran. Mulakan dengan Bismillah, akhiri dengan Alhamdulillah.

 

Salam Aidilfitri

"Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain," inilah kata-katanya yang menceritakan segala-gal...