Translate

Wednesday, March 31, 2021

Terus Hidup

Kita hidup dalam kalangan yang mati, kita mati dalam kalangan yang hidup.
    Mati itu pasti, itu pasti diketahui semua orang. Setiap hari ada yang mati dan mungkin hampir setiap hari kita yang hidup bercerita tentang mati  dan tentang si mati. Yang mati, tidak tahulah kisah di dalamnya,   tentang apa-apa yang berlaku kepada kita di alam sana boleh kita menekuni Al-Quran dan Hadis, sirah  Nabi dan Rasul serta melalui pewaris Nabi. Yang mati akan terus hidup dalam kenangan dan dikenang melalui budi dan jasa yang sering benar diungkapkan dalam pantun Melayu.
    Kita hidup dalam kalangan yang mati, kita mati dalam kalangan yang hidup. Kita mungkin terus hidup dalam kalangan yang hidup walaupun telah mati. Hidup Berjasa.

Thursday, March 25, 2021

Hebat

Apakah hebatnya sahabat? Hebatnya sahabat kerana  setiap orang memang tak sama tapi saling melengkapi tatkala bersama-sama, itu kata-kata bijak pandai.
     Apabila bersua dan bersama, saling mendengar kata dan saling bekerjasama, maka hasilnya cukup menakjubkan. Ada yang beridea dengan kata-kata, ada yang beridea dengan angka, semuanya diakhiri dengan tindakan dan kata sepakat sepertinya peribahasa Melayu, bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Menetes basah peluh walau dalam hujan mencurah, menyala-nyala semangat dalam terik panas, hebatnya sahabat.
     Indahnya bersahabat itu kerana ukhuwah yang mendasari. Harumnya persahabatan itu kerana saling memahami. Mekarnya persahabatan itu kerana kerjanya bersama-bersama. Hebatnya bersahabat kerana Allah SWT.

Anugerah

Setelah panas berhari-hari, hujan datang mengganti, air melimpah-melimpah, longkang yang berganti dan digali tak seluas paya yang ditimbus setiap hari. 
    Malam tadi, masih 24 Mac, menyambut dalam hujan, meluncur meredah basah hati-hati. Penuh, ke kedai buku terlebih dulu, di situ sudah cukup gembira, tahun lepas di rumah Opah, menyambut dalam  PKP. Sudah dapat yang dihajati, Alhamdulillah, ada tempat kosong boleh diisi dalam hujan masih renyai. Hujan masih belum berhenti, namun perut  perlu dirai. 
    Alhamdulillah, hari berganti hari, kering  dan basah silih berganti, usia pun bertambah lagi. Detik yang dirai bersama-sama tika panas dan sejuk itu satu anugerah. Moga jadi anak yang soleh, Insya-Allah.

Tuesday, March 23, 2021

Makna

'Sut' Ironman yang pertama dibina di dalam gua batu, asalkan ada ilmu dan ditambah pula pengalaman yang perit.    
     Apabila terjadi sesuatu yang tragis, kita mula melihat dunia dari sudut yang berbeza, apatah lagi kemusnahan atau masalah yang berlaku ada kaitan atau berpunca daripada kita tanpa kita sedari atau kita memang menyedarinya.
Walaupun hidup ini bukan fiksyen, sesuatu yang tragis kebiasaannya akan mengubah sudut pandangan kita, itulah yang Ayah alami dan orang lain selalunya juga begitu.
   Ilmu dan pengalaman akan mengubah kepercayaan dan  pandangan kita. Jika tidak mahu mengutip ilmu, jika tidak mahu memungut pengalaman, jika tidak mahu mengambil pengajaran, maka apakah maknanya hidup ini?

Sunday, March 21, 2021

Magis

Apabila terpisah seketika, mulalah banyak yang tak kena.
     Ada yang di wad, ada yang demam di rumah. Kerenahnya memang tak sama, maka cabaran pun bermula. Sabar itu mula diuji dan didatangkan dalam pelbagai bentuk dan rupa. Otak pun ligat berfikir satu per satu, yang mana perlu didahulukan, yang mana perlu dikemudiankan. Yang mana amat penting, yang mana kurang penting, perlu diamati dan diberi perhatian. Mulalah skala daripada angka satu sehingga angka sepuluh melakukan tugasnya. Kadang-kadang yang dirancang lain jadinya, Yang Maha Kuasa menunjukkan jalan-Nya, Alhamdulillah.
    Apabila terpisah seketika, mulalah rindu menjelma, terdengar-terdengar suara dan terbayang-bayang senyuman. Rindu itu kuasa magis anugerah Allah SWT untuk hamba-Nya.

Friday, March 19, 2021

Dulu-Dulu

Sabtu, 20 Mac, Umi masih bekerja, terlibat dengan program di sekolah. Moga semuanya berjalan lancar, Insya-Allah.
   Memulakan pagi, ada yang suka terus bekerja, kemudian baru makan, ada yang suka bersarapan, baru mulakan kerja, ada yang suka melihat meja bersih, baru bergerak ke tempat makan dan macam-macam lagi. Memulakan pagi dengan secawan kopi dan sepinggan makanan atau sepiring makanan kegemaran antara keseronokan waktu pagi. Apabila pak cik Amir mengajak Ayah ke suatu tempat, Ayah terbayang akan sesuatu. Apakah itu? Nasi lemak sotong bungkus, itu dalam fikiran Ayah. Secawan kopi itu sudah pasti. Yang Ayah nampak, pak cik Amir banyak kawan, itu kelebihannya, ke mana-mana pun ada yang ditegurnya, ada yang menegurnya. 
   Maka, duduklah kami menikmati sarapan, sambil menikmati suasana kedai kopi dulu-dulu, mengundang selera, mengundang nostalgia. Di mana lagi kalau bukan di Kuantan Pickers!
   

Tuesday, March 16, 2021

Hidup Berjasa

Hari terakhir bukanlah pengakhirannya, tetapi pasti dikenang sampai bila-bila bagi calon SPM 2020.
      Episod baharu akan bermula, babak demi babak akan tercipta setelah Covid mencipta skrip yang tak terjangka pengakhirannya sehingga kini, perjuangan itu jua berlangsung dengan strategi yang juga tak terjangka dan tak terfikir sebelum ini. Walau apa-apa pun rintangannya, walau berat kaki melangkah, perjalanan harus diteruskan, aturannya mungkin berbeza sama sekali, hikmah tetap kan ada. Maka, melangkahlah bertemankan hati-hati dan beriringan fikiran yang waras.
     Tatkala melangkah melewati pintu gerbang 'Hidup Berjasa', pasti jalan yang kaulalui sudah tak sama walau kaupernah sederap selangkah, namun ingatlah 'Tempat Bertemu, Jangan Lupakan Diri'.

Sunday, March 14, 2021

Belenggu

Ahad, 14 Mac, malam ini AJL ke-35. Opah pasti puas hati dapat menonton persembahan Dato' Jamal Abdillah dan Wany Hasrita, Belenggu Rindu.
     Satu malam saja di rumah Opah, sudah lama  tidak balik kerana penangan Covid. "Aghah nak makan apa?" tanya dia macam biasa. Ayah dapat agak dia nak makan apa sebab makanan yang ada dia tak mahu. Ayah beritahu Opah. Baulu tak ada stok. Ayah beritahu Achik, dia kena bayar. Opah mengiyakan sebab Opah cakap waktu itu masa Opah rehat. Achik tersengih saja. Nenek pun ada di rumah Opah. Pagi tadi bertolak awal. Apabila empat orang sudah bersekolah, bertambahlah kerja Umi. Dekat rumah pun ada kenduri, kenduri pun sudah boleh dibuat, sebelum ini perlu ditangguh angkara Covid.
    Belenggu rindu itu mungkin banyak dihadapi orang. Belenggu Covid ini, kita semua terpaksa menghadapinya. Inilah ujian supaya kita lebih bersyukur dan lebih menghargai kebebasan yang pernah kita miliki.

Saturday, March 13, 2021

Luas

8 Mac, bermulalah perjalanan membawa empat orang penuntut ilmu walau Ayah sendiri masih bekerja dari rumah.
    Umi masih bertugas menjaga murid yang mengambil SPM. Lalu lintas kembali sesak dengan kenderaan yang menghantar anak-anak darjah 3 hingga darjah 6. Segala-galanya tetap mengikut peraturan. Suhu perlu disukat, berpelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal. Cabaran yang cukup besar digalas guru-guru kerana anak-anak usia dalam lingkungan ini cukup aktif dan tidak duduk diam. Selesai menghantar, berkejar-kejar ke rumah untuk PDPR. Bekerja di rumah pun banyak cabarannya, perlu mewujudkan persekitaran yang sesuai dan bahan bantu mengajar yang sesuai. 
    Mengajar dan belajar, itulah kehidupan kita. Ada masa kita menjadi guru, ada masa kita menjadi murid. Belajar tak pernah habis kerana ilmu itu begitu luas. Yang penting, jangan pernah jemu.

Saturday, March 6, 2021

Ada

Malam ini, tidak ada yang menjual, maka tak adalah pelanggan.
    Yang dijual selalunya  air dan makanan. Biasanya, disuruhnya  kita pesan, kemudian dikatanya,  "Tak ada," kemudian dia akan syorkan menu yang ada di kedainya. Pastinya, sesiapa pun suka makan dan minum. Ada juga yang berimpian untuk menggembirakan orang lain dengan air tangan mereka. Kegembiraan orang ialah kegembiraan mereka. Masih ingat lagi filem Chef (2014), Chef Carl Casper lakonan Jon Favreau, di sebalik konflik dan masalah yang  timbul, makanan dapat memberikan kegembiraan dan harapan. Nampak sangat keletihan, Adik tidur awal malam ini, tidurnya jagung di tangan, tak buka kedailah jawabnya dia malam ni.
     Yang menjual dan yang membeli sentiasa ada, rezeki tetap ada, kadang-kadang cepat, kadang-kadang lambat, usaha tetap kena ada. Sabar pun jangan dilupakan, Insya-Allah.
     
      

Saat Hati Sedang Memandu

Mentari menyala di pucuk kayu di bawah awan putih biru kelabu ingin kutangkap saat indah saat hati sedang memandu kuabaikan kalbu merayu...