Translate

Saturday, May 28, 2022

Di Sana

Kaki banyak maksudnya. Salah satu maksud 'kaki' menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah maksud kiasan, iaitu orang yang suka melakukan sesuatu.
         Setiap orang mesti ada tabiat kegemaran atau kesukaan masing-masing. Ya, anda 'kaki' apa? Tak kiralah kita 'kaki' apa-apa pun, yang penting, kesukaan atau kegemaran kita itu dapat memberi faedah kepada kita dan lebih bagus, kepada orang di sekeliling kita. Kesukaan atau kegemaran yang elok akan memberi nilai tambah kepada diri sendiri dan orang lain, sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan. Kualiti kehidupan tidak meningkat kadang-kadang disebabkan kesukaan atau kegemaran kita yang membawa mudarat tanpa kita sedar, lantas mengurangkan berkat atau tidak menghadirkan berkat dengan izin Allah SWT.
       'Kaki' boleh membawa kita melangkah lebih jauh, adakalanya 'kaki' juga boleh tersalah langkah dan tersadung. Moga 'kaki' kita membawa bahagia di sini dan bahagia di sana, Insya-Allah.

Subur

Kita semua mahu jadi lebih baik. Tak tahulah kalau ada yang tak mahu jadi lebih baik.
        Merujuk buku Mutiara Kata susunan Adi Al-Hadi, kata William Faulkner, "Jangan fikir untuk menjadi lebih baik daripada mereka yang lebih lemah atau lebih hebat daripada anda. Cubalah menjadi lebih baik daripada diri anda sendiri." Kita semua tahu bahawa tidak ada batasan atau sempadan untuk kita menjadi lebih baik. Setiap detik yang datang pastinya ada saja perkara yang sedang kita lakukan sama ada seorang diri atau dengan orang lain. Mencabar diri melakukan sesuatu dengan lebih baik cukup menyeronokkan, dengan syarat tidak putus asa kerana kadang-kadang badai yang kuat itu bukanlah datangnya dari luar tetapi datangnya dari dalam diri sendiri.
         Benih 'lebih baik' itu perlu disemai ke dalam tubuh supaya tumbuh dan subur sepanjang masa dalam jiwa kerana kita semua mahukan sesuatu yang lebih berlaku pada setiap detik dan detak yang akan ditinggalkan.


Friday, May 27, 2022

Dengar

"Malas nak dengar!" tiba-tiba Adik berbunyi sewaktu keluar dari rumah.
        "Dengar apa?" Ayah bertanya. Dia tak menjawab pun soalan Ayah. Kadang-kadang ada perkara yang malas kita nak dengar dan kita boleh memilih untuk tak mendengarnya, ada juga perkara yang terpaksa kita dengar kerana sangat berkaitan dengan kita dan ada juga yang boleh kita pilih mana-mana saja  bahagian yang kita nak dengar daripada semua yang diperkatakan. Mendengar satu proses penting dalam menerima maklumat untuk menyebarkan kebaikan dan kebenaran.
         Sesuatu yang didengari seharusnya memberi kebaikan walaupun pahit, memberi kegembiraan walaupun sakit dan memberi semangat walaupun penat selagi mana jantung berdenyut.


Wednesday, May 25, 2022

Detik

Perjalanan jauh, memenatkan, namun kegembiraan terpancar.
        Walau tidak menjangka di penghujungnya bertemu Sungai Pahang dan jalan ladang, namun akhirnya tetap sampai, Alhamdulillah, walau tak benar-benar seperti yang dirancang. Sebelumnya,  singgah mengisi perut di jamuan hari raya, meriah tak terkata, lepas satu, satu, dikunyah dan ditelan. Sudah kekenyangan, maka bergeraklah. Masa yang ada tidaklah banyak dan menjadikan masa itu amat bermakna walau perjalanan untuk sampai itu lebih panjang, manakala waktu bertemu itu dirasakan terlalu singkat. 24 jam tetaplah sama waktunya pada 21 Mei 2022, bersua setelah dua minggu berlalu.
       Lama atau sekejap tetap akan berlalu. Setiap detik yang kita dapat untuk bertemu amat mahal harganya kerana kita tak selamanya bersama-sama pada setiap detik.


        
        

         
       

Friday, May 20, 2022

Mulia

 Kita melayan manusia sebagai manusia menggunakan pertimbangan akal.   
       Dalam masa yang sama, ada yang memilih untuk jadi binatang sebagaimana peribahasa Melayu, melepaskan anjing tersepit. Yang memilih untuk jadi binatang, maka dilayannya orang lain seperti binatang juga. Ya, nafsu boleh membuatkan kita lebih hina daripada binatang, itu pun kalau kita masih mengingati ajaran yang kita pelajari. Memilih untuk jadi binatang, kita lebih cenderung dan lebih banyak memihak kepada nafsu, lebih banyak melebihkan emosi negatif, lantas pertimbangan akal menyusut menjadi sedikit (tetap ada kerana kita dijadikan begitu).
        Manusia tetaplah manusia. Binatang tetaplah binatang. Namun, manusia boleh jadi lebih hina daripada binatang. Pilihan di tangan kita  kerana asal kita makhluk yang mulia.
      

Thursday, May 19, 2022

Terima Kasih

Semalam, 18 Mei 2022, masih berhari guru dan berhari raya, bukan selalu dirai dua dalam satu.
        Anak-anak sangat gembira, dibimbing guru, pelbagai acara diatur untuk kemeriahan yang berganda, ditambah pula setelah agak lama kemeriahan tergendala gara-gara musibah melanda. Yang merai dan yang dirai berganding bahu, itu tanda sehati sejiwa, itu tanda serumpun bagai serai, selubang bagai tebu. Yang penat menguruskan acara, yang penat bermain, juadah pelbagai telah menanti di samping persembahan sampingan. Tak cukup dengan itu, ada pula hadiah yang menyusul, Alhamdulillah.
        Merai dan dirai, itu sebahagian perkara yang mengindahkan hidup kita. Merai dan dirai itu tandanya kita ini saling melengkapi dan memerlukan kerana asal kita memang tak sempurna. Terima kasih atas segalanya.


         

Waris

Sudah pasti banyak kenangan yang terukir di dinding kenangan, kenangan antara kita dengan Cikgu.
          13 Mei 2022 (Jumaat), menerima berita sedih, kami kehilangan ibu saudara, seorang pesara guru, Ropiah Samsuri, yang kami panggil Mak Tam Peah. Aidilfitri baru saja bertemu, kini dia telah kembali kepada Pencipta, Al-Fatihah untuk guru-guru yang telah meninggalkan kita . Mak Tam Peah,  pernah berbakti di Kelantan,  merupakan cikgu sahabat Ayah, Cikgu Suhaimi Sulaiman.  Hidup Berjasa walau di mana-mana saja, Cikgu menyemai adab  dan ilmu untuk anak-anak tercinta.
         Semakin dewasa, semakin jauh kita melangkah, semakin jauh kita meninggalkan guru-guru. Namun, dalam diri kita, sedikit sebanyak kita mewarisi adab dan ilmu guru-guru, juga mewarisi adab dan ilmu guru pertama dalam hidup kita, Mak dan Abah kita. Terima kasih Cikgu. Selamat Hari Guru Cikgu.

      

Monday, May 9, 2022

Harta

Dua Along mula meniti usia remaja. Berjauhan, itu salah satu perkara yang perlu dilalui.
        Sering diulang, jauh perjalanan, luas pemandangan, apatah lagi perjalanan untuk menuntut ilmu, sudah pasti banyak perkara atau ilmu baharu yang akan ditemui, ditelan dan dihadam, Insya-Allah. Alhamdulillah, tempoh hari 31 Mac 2022, hari ini 9 Mei 2022, dua Along di tempat yang tak sama, atas tujuan yang sama, demi hari esok yang lebih baik, Insya-Allah. Banyak perkara yang akan menanti, banyak juga cabaran yang mahu menguji, persediaan luaran dan dalaman akan teruji.
       Moga Allah SWT memberkati dan merahmati perjalanan mencari ilmu buat kita semua kerana ilmu ialah harta yang benar-benar akan menolong kita di dunia dan di akhirat, Insya-Allah.

Kesan

Sate ialah ejaan sebenarnya. Di sebalik secucuk sate ada banyak makna dan ceritanya.          Dulu-dulu, sangat gembira tatkala Atuk bawa ba...