Dua hari hujan, melenyapkan sebentar api yang merebak di hutan paya sepanjang Jalan Kuantan - Pekan. Petang Jumaat panas kembali, bergerak melawan matahari, begitulah musim El-Nino.
Bazar Ramadan baru nak mula di Jaya Gading. Ada yang sedang membakar, sudah lama tak makan sata. Sampai di rumah Opah, rak sudah mula dipenuhi kuih raya, sudah banyak yang menempah. Nampak koleksi kuih Opah bertambah, ditunjuknya mazola, kemudian biskut bercampur kelapa berbentuk bulan sabit yang dulunya menjadi kuih wajib ada di rumah Tok Som setiap kali raya, disuruh rasa selepas berbuka. Bukan di dalam rumah saja, siang harinya, di luar pun ada kuih raya. Panas memanglah panas, inilah waktu terbaik untuk agar-agar kering. Dijemur di tengah panas, itulah prosesnya untuk mendapatkan hasil yang terbaik.
Untuk mendapatkan hasil yang terbaik, bukan kuih saja melalui proses tertentu seperti berpanas dan dibakar, manusia juga begitu. Berpanas berhujan, 'terbakar' dan 'dibakar', itu sebahagian proses mendewasakan kita, supaya dapat menimbang segala keputusan, supaya waras dalam setiap tindakan dan segala-galanya. Tidak ada jalan pintas, proses perlu dilalui untuk menjadi lebih matang dan lebih bersyukur.
No comments:
Post a Comment