Hari terakhir 2025, apakah yang sedang anda lakukan, fikirkan dan renungkan?
Tika ini, pasti sedang kita lakukan sesuatu, itu tandanya kita hidup. Setiap hari seharusnya ada sesuatu yang mengujakan kita dan setiap hari pastinya tidak sia-sia kerana kata peribahasa Melayu, "Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit."
"Kota Rom tidak dibina dalam sehari," begitu ungkapan yang sering kita dengar, apatah lagi tamadun Kesultanan Melayu Melaka yang begitu panjang kisahnya. Menyusur Sungai Melaka bagaikan kita menyusur kembali perkara-perkara lepas yang telah kita lakukan, melihat bangunan-bangunan lama, mengenang kembali perkara atau peristiwa yang telah lepas.
Apa-apa yang telah kita lakukan, akan memberikan kesan kepada kita hari ini dan akan membentuk kita pada hari ini. Muhasabah sentiasa kita perlukan untuk menjadikan kita lebih baik dan hidup kita lebih baik Insya-Allah. Selamat tinggal 2025 yang bermakna.
Translate
Tuesday, December 30, 2025
Bermakna
Thursday, December 25, 2025
Pergi
Suatu masa nanti, kita yang hidup akan 'Pergi Tak Kembali' sebagaimana lagu yang dinyanyikan kumpulan Rabbani, itulah hakikatnya.
Menghampiri 2026, kami kehilangan seorang sahabat, Cikgu Jafri, Allah SWT lebih menyayanginya, 20 Disember beliau telah pergi. Ayah banyak bersama dengannya sewaktu pertandingan Lalu Lintas Shell suatu ketika dulu, pernah ke negeri Sembilan dan juga ke tempat lain mengiringi murid-murid. Seingat Ayah, kali terakhir Ayah bertemu dengannya pada Julai lepas. Pada 21 Disember pula, suami allahyarhamah Ustazah Saturiah telah meninggal dunia, Ustazah Saturiah meninggal dunia pada 21 November. Ustazah Saturiah kawan Opah dan juga mengajar Ayah sewaktu di KAFA dulu. Semalam pula kami menerima berita kehilangan sahabat yang terlibat dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu tempoh hari, Cikgu Tengku Khairul Zakiah.
Yang pergi tak kembali meninggalkan amalan baik dan kita yang masih diberi ruang dan berpeluang, mesti terus menambah amalan baik sebelum kita pergi. Al-Fatihah untuk yang telah meninggalkan kita, moga Allah SWT mengurniakan yang terbaik untuk yang telah diambil kembali.
Wednesday, December 10, 2025
Kongsi
Semalam 10 Disember 2025, soalan Biologi dijawab anak-anak. Minggu depan ialah minggu terakhir untuk anak-anak bersama-sama menjawab soalan di Dewan Bapa Algebra.
Selepas kami menghantar anak-anak dan laungan suara Cikgu Zaidi bergema disambut laungan anak-anak bersemangat di depan pintu kaca, kami ke kantin dalam perasaan yang berbaur, terutamanya Cikgu Aidil. Saat-saat ini harus kami nikmati kerana perjuangan itu tidak tamat di sini kerana ketika makan bersama-sama, di situ juga ceritanya berkisar tentang anak-anak, berkisar tentang nilai tambah untuk meningkatkan prestasi anak-anak di samping menambah juadah untuk dikunyah tatkala juadah kena dengan selera dan cerita. Menurut John Lubbock (The Pleasures of Life) di dalam buku Mutiara Kata susunan Adi Alhadi, "Setiap manusia dewasa bertanggungjawab menentukan nasibnya sendiri, tetapi nasib kanak-kanak bergantung pada nasib manusia dewasa di sekelilingnya."
Saat kita bersama-sama itu harus kita nikmati walau di mana-mana saja pun. Bersama dengan teman-teman dan anak-anak, ada perkara yang dapat kita pelajari dan berkongsi, maka bersyukurlah kita dengan nikmat kurniaan-Nya.
Thursday, November 27, 2025
Hidup
Hari yang keempat, anak-anak terus tekun di dewan menjawab soalan penulisan, di luar hujan masih berterusan.
Legasi dan semangat yang dibawa Cikgu Hamdan diteruskan oleh Cikgu Zaidi yang menggegarkan dewan dengan laungan kata-kata semangat dan takbir bersama dengan anak-anak Sagacious sebelum masuk ke dewan. Diuji hanya beberapa jam saja walau belajarnya telah sekian lama, itulah kehidupan, tak pernah sunyi daripada ujian. Melihat anak-anak yang keluar tersenyum dari dewan itu satu perkara yang melegakan. Diuji dalam kehidupan begitu jua, ada masanya kita masih boleh tersenyum bukan sebab kita kuat, sebab kita telah diuji berkali-kali dan pastinya ada sesuatu telah disiapkan untuk kita setiap kali kita diuji.
Diuji itu tandanya kita hidup dan akan terus didewasakan oleh pengalaman. Maka, bagi kita yang terus diuji, mohon diberikan kekuatan kesabaran dan ketenangan oleh Allah SWT dalam mengharungi segala yang mendatang. Moga sukses untuk anak-anak Sagacious 2025, batch pertama tanpa UPSR.
Thursday, November 20, 2025
Terima Kasih
Achik dah balik rumah, Alhamdulillah, moga yang lain juga sama. Moga Allah SWT memberi kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit buat semua yang diuji.
Tatkala berada di wad Hospital Sultan Haji Ahmad Shah UIAM Kuantan menjaga siang malam, barulah ayah nampak bahawa hospital juga ialah sekolah pengalaman bagi anak-anak yang bakal menjadi doktor masa depan. Pengalaman sebenar sangat penting kerana dapat mendedahkan situasi sebenar di tempat kerja. Anak-anak yang bakal menjadi doktor ini datang dari seluruh negara — sekolah harian, sekolah menengah kebangsaan agama, maktab rendah sains mara dan sekolah berasrama penuh. Ada juga yang berada di sekolah yang sama sewaktu ayah dan rakan-rakan melawat ke Sabah beberapa tahun yang lepas, ada sahabatnya anak murid Ayah dan yang membuatkan Ayah merasa lebih dekat ialah ada antara Cikgu yang mengajar anak-anak ini Ayah kenali — Cikgu Hamir Habeed Mohd, Puan Roslina Ab Aziz, Cikgu Husaini Zakaria. Alhamdulillah, anak-anak ini sedang menghampiri impian mereka.
Terima kasih tak terhingga kepada warga Hospital Sultan Haji Ahmad Shah UIAM Kuantan, doktor, jururawat, staf — sanggup menumpahkan bakti dan sentiasa komited serta sabar dalam menjalankan amanah. Moga semuanya dalam lindungan Allah SWT dan diberikan Allah SWT kemudahan dalam segala urusan.
Tuesday, November 18, 2025
Moga
Semua orang tak tahu apa-apa yang akan datang, termasuklah Ayah. Pelbagai kemungkinan, mungkin semalam kita gembira, mungkin hari ini kita sedih.
Suka duka silih berganti, itulah selalu kita dengar selagi bernadi. Lepas tengah malam Umi bawa Wan, sebelum subuh, kami bawa Achik. Pagi Pok De datang ambil Angah dan Adik. Maghrib, Umi muncul. Di sini, semua yang datang berharap pulang membawa senyuman dengan secepat yang mungkin. Mungkin berlaku dan mungkin juga tidak, namun di sinilah ikhtiarnya. Mahu tidak mahu, kita kena hadap, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Berat yang kita rasa mungkin tak sama, masing-masing ada bahagian, ada berat dan ringan yang mesti dipikul dan dijinjing. Apa-apa yang kita akan temui dan sedang menanti, pastinya ada sesuatu untuk kita renungkan.
Sepertinya tiga hari yang ada untuk kita selagi bernyawa — Semalam, Hari Ini dan Esok, diharapkan tiga perkara ini — Ikhtiar, Doa dan Sabar juga akan sentiasa menemani kita walau apa-apa pun yang datang dan yang sedang menunggu. Moga Allah SWT memberi kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit buat semua.
Wednesday, November 12, 2025
Hidup Berjasa
Saturday, November 8, 2025
Di Setiap Detik
Friday, November 7, 2025
Sajak — Malam Tujuh Sebelas
Tuesday, October 28, 2025
Sajak — Berkat Umur
Sahabat hebat ibarat
kembang wangi lili
merah semurni cinta
putih setulus kasih.
Ubat mujarab sahabat
pesan ajar pahit manis
akrab jauh dekat ingat
utus doa berkat umur.
28 Oktober 2025
Sungai Soi
Sunday, October 19, 2025
Sajak — Kehilangan
Melihat gajah
melihat aku
menghulur belalai
tebu dicapai
dipilih dimamah
bermain lumpur
disimbah lindung diri.
Aku di sini sepertimu
— kehilangan!
Kuala Gandah
19 Oktober 2025
Friday, October 17, 2025
Sajak — Selagi Hayat
Sunday, October 12, 2025
Sajak — Mendarat Hasrat
Tuesday, October 7, 2025
Sajak — Pura Bak Maun
Berakal gelong
kuasa mudarat
benar selindung
memarakkan
tuding tuduh
pura bak maun.
7 Oktober 2025
Sungai Soi
Sunday, October 5, 2025
Sajak — Sepotong Kek Tanda
Sepotong kek tanda
ingatan ibu melahirkan
di hari lahir raikan.
Muliakan ibu yang pernah
menyimpan rasa sakit lahir
ampunkan dosanya ke hujung
Yang Maha Kuasa.
5 Oktober 2025
Sungai Soi
Friday, October 3, 2025
Sajak — Sahabat Hadir
Ikhtiar belayar
bermuatan sedar
di laut luas buas
menggalas cinta umat,
onar di mata lalat Zionis.
Ombak sahabat hadir
mengirim hasil —
Palestina basah
kalimah syahadat.
Sungai Soi
4 Oktober 2025
Tuesday, September 16, 2025
Sajak — Bagasi Memori
Di sini kebanyakan
menolak lelah dan
mengheret bagasi memori
diam mengenang sebelum
menoleh memilih oleh-oleh
untuk simpanan rak ingatan
bual penjual kenangan
burung hantu simbol ilmu
warisan sukar peroleh
singgah di Kebaya Story
merai juadah tradisi nikmati.
Di sini mungkin kembali
perjalanan tak pasti.
Sunday, September 14, 2025
Sajak — Rintik Masih Menari
Saturday, September 13, 2025
Sajak — Bimbang Opah Hilang
Bimbang Opah hilang
berseri malam bandar cahaya
terbit di sisi jendela langit
sebentar tadi
resah Opah bertambah
awan-gemawan menghilang
hujan menyelimuti pandangan
dua cucu lapar bau mengapung
juadah ditolak menggamit selera
di belakang lelaki yang
mula bergebang hanya berhenti
saat pesawat mendarat
di depan seorang wanita ralit
menghitung kenangan satu per satu.
Senyum Opah kembali di Miri.
13 September
Miri
Thursday, September 11, 2025
Waras
Sajak — Asyik
Aku melihat ayah dengan secawan kopi asyik — mengolah lelah, mencungkil fikir, menukil degil, mengatur sulit, mengurai selirat, membongkar tindak, memantak rentak, mengarang lowong senggang — dengan secawan kopi aku asyik melihat ayah.
10 September 2025
Sungai Soi
Friday, September 5, 2025
Perjuangan
Semalam, Jumaaat 12 Rabiulawal 1447 Hijrah bersamaan 5 September 2025, kita meraikan kelahiran Baginda Rasulullah SAW.
Kata Ustaz, dalam kita meraikan kelahiran Baginda Rasulullah SAW, kita juga mengingati kewafatan Baginda Rasulullah pada tarikh yang sama. Dengan berselawat, kita sentiasa mengingati Nabi Muhammad SAW dan semalam juga kami berkumpul, kemudian berarak sambil berselawat mengelilingi taman perumahan berhampiran dan berakhir di masjid. Nabi Muhammad SAW contoh yang terbaik untuk kita dalam segala aspek dan perjuangannya ini disambung oleh umatnya, iaitu kita. Saat ini pula kita sedang melihat sebahagian daripada kita, sedang berjuang untuk Palestin, berlainan bangsa, ada juga berlainan agama tetap bersatu hati dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla. Sama-samalah kita mendoakan!
Akhirnya, marilah kita sama-sama terus berselawat, terus menghayati sirah Nabi, menghidupkan sunah dan meneruskan perjuangan Nabi Muhammad SAW. Maka, menjadi tugas kita untuk mengambil teladan yang telah ditinggalkan Nabi Muhammad SAW dan meneruskan segala perjuangan dengan menggunakan setinggi-tinggi kemampuan yang kita ada dengan cara terbaik, Insya-Allah.
Wednesday, August 27, 2025
Sajak — Dalam
dalam diam mengandung ribut
dalam ribut selindung takut
dalam riuh mengandung guruh
dalam guruh selindung gemuruh
dalam tindak mengandung telunjuk
dalam telunjuk selindung tunduk
dalam arah mengandung akur
dalam akur mekar ingkar
dalam perintah mengandung patuh
dalam patuh selindung rusuh
tafakur fikir mungkir
27 Ogos 2025
Sungai Soi
Tuesday, August 26, 2025
Sajak — Bala Kota Iktibar
Insan bagaikan panji maruah! Gah megah dikibar berkibar, berkobar memegang amanat, menggenggam mengawas bangga — itulah pejuang! Angin tak terduga pantang tok nenek dibiar jatuh atau terlorot — apatah khabar benar berkibar songsang! Pengkhianat loba sekongkol serakah petualang — tumbang Melaka bala kota iktibar!
Sungai Soi , 26 Ogos 2025
Monday, August 25, 2025
Sajak - Onar Curiga
Monday, August 18, 2025
Alhamdulillah
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Isnin bermaksud hari kedua dalam seminggu, selepas hari Ahad.
Memulakan Isnin, pasti sudah ada rancangan setelah seminggu berlalu dengan pelbagai perkara dan peristiwa. Hari ini Isnin kembali, 18 Ogos, sekejap masa berlalu dan apakah pencapaian kita dalam masa seminggu? Saat kita sedang meraikan kejayaan untuk sesuatu, saat kita sedang menyiapkan sesuatu, saat kita melakukan sesuatu dan saat kita sedang memilih untuk makan apa, haruslah kita sentiasa mengingati saudara kita di Palestin yang berterusan dibunuh dan sedang kebuluran. Dalam buku Mutiara Kata, susunan Hadi Alhadi, Mantan Presiden Amerika Syarikat yang mati dibunuh, John F. Kennedy menyatakan bahawa manusia harus menamatkan peperangan atau perang akan menamatkan manusia.
Memulakan hari dengan rasa bersyukur, itulah yang seharusnya. Di saat kita rasa 'berat' atau terbeban, kita masih punya kerja, masih bebas berkomentar dan masih boleh berehat sebentar tatkala lelah, Alhamdulillah.
Friday, August 15, 2025
Tidak Mahu
Bukan tidak tahu
tetapi tidak mahu
malah tidak mengaku
kerana keakuan
kerana keegoan
susu dibalas tuba
kerana kaduk naik junjung.
Semsas
15 Ogos 2025
Thursday, August 14, 2025
Tiada Laksana Bijaksana
Dingin begini
ingin saja mengopi
memutih di kepala
asal sehitam air kopi
meneguk dari segelas fikir
nanti berapakah lagi kan pergi
saban tular menjalar
kan cuma lahir semanis cara
tiada laksana bijaksana.
Semsas
14 Ogos 2025
Sememangnya Aneh
Tuesday, August 5, 2025
Senja Pulang
Kuterpegun di jendela,
Bila hujan gerimis senja,
Tak kulihat di hadapanku,
Diriku dalam lamunan.
Sedikit petikan 'Gerimis Senja' alunan Alleycats mungkin boleh mengembalikan kenangan dan mungkin meninggalkan makna untuk kita.
Senja sering kali diabadikan dalam lagu dan menjadi pilihan untuk digambarkan dalam lukisan. Senja dan Maghrib juga tak dapat dipisahkan. Kata Opah, "Senja sering buat orang sayu." 'Senja' di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud waktu matahari hampir terbenam (lebih kurang pukul 7.00 malam), ketika hampir akan malam. Di dalam kamus yang sama, 'senja buta' atau 'senja raya' bermakna senja yg sudah agak larut (lebih kurang pukul 8.00 malam). 'Senjakala' pula diberi makna waktu senja. Masih di dalam kamus yang sama, maksud pertama 'Maghrib' dalam bahasa Arab ialah tempat arah matahari terbenam, barat. Maksud kedua, waktu Maghrib ialah waktu terbenam matahari sehingga hilang cahaya merah di ufuk barat.
Menatap senja merah ketika pulang, burung-burung riuh pun sudah pulang ke sarang. Hilang senja datanglah kelam dan kita mengharap esok menemui senja kembali untuk satu hari lagi yang lebih baik, Insya-Allah.
Monday, August 4, 2025
Lapar
'Kembara' dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pergi ke mana-mana (dengan tidak tetap tempat kediaman dan tidak tentu pula tempat yg ditujui), bertualang dan menjelajah.
Sabtu, 2 Ogos pula berakhirnya Kembara Ilmu anak-anak di UMPSA Pekan. Kembara yang amat jelas tujuannya sebagai persiapan akhir, maka anak-anak bermula hari ini, 4 Ogos, mula berjuang di medan percubaan SPM. Kembara yang berjalan walaupun tidak sampai seminggu seharusnya membangkitkan semangat anak-anak untuk terus berjuang demi matlamat yang telah ditetapkan. Semuanya telah bersiap siaga, dayung sudah di tangan, perahu sudah di air, begitulah peribahasa Melayu.
Insya-Allah, Kembara Ilmu tidak pernah berakhir bagi kita yang sentiasa lapar ilmu. Ilmu akan membawa kita ke mana-mana yang kita mahu selagi mana kita punya kehendak yang jelas. Teruslah berjuang dan Hidup Berjasa!
Friday, July 25, 2025
Tindakan
And here we are still fighting for our lives
Watching all of history repeat itself
Time after time
Saat pagi membaca tentang Putera Kegelapan yang telah pergi, Ozzy Osbourne, Ayah pun cuba mendengar salah satu lagunya 'Dreamer'.
Malam tadi pula membaca tentang Hulk Hogan, wira berambut kuning di gelanggang gusti yang ditunggu-tunggu aksinya setiap kali bergulat, juga diambil pergi. Petang semalam setelah singgah hampir tengah hari mengambil Nenek, kami berziarah ke rumah Tok Chik dan Tok Lang. Pagi ini cahaya di dalam suram dan tatkala mendengar radio di dalam kereta sewaktu perjalanan semalam, berita memberi ingatan tentang jerebu. Selesai menikmati lempeng kelapa buatan Opah, sambil berbuai, pelepah kelapa bergoyang-goyang dari jauh, bermain dan melompat sang tupai dari pelepah ke pelepah, tiga ekor semuanya berkejar-kejaran dan meniti talian elektrik lantas melompat ke atas bumbung rumah. Ada masanya bermain di atas tanah menurut Atuk dan tupai-tupai ini sempat berhenti sebentar menikmati buah nanas di pinggir bukit.
Masa terus bergerak dan masa mengikat kita. Yang lepas tak akan kembali, namun ceritanya mungkin berulang-ulang dan penuh warna-warni, bukan hanya hitam putih. Mengharapkan sesuatu yang lebih baik itu mungkin, mungkin juga sangat berkaitan dengan tindakan kita saat ini.
Wednesday, July 23, 2025
Hidup Berjasa
Berakhirnya semalam, 23 Julai Rabu, Kejohanan Hoki Sekolah Berasrama Penuh Peringkat Kebangsaan 2025.
Di sebalik sesuatu yang dirangka, ada usaha keras. Lima hari yang berwarna-warni dan panas berpanjangan, kita dapat melihat usaha gigih, kecekalan dan kesabaran. Di mana-mana, kita dapat melihat wajah-wajah yang bertungkus-lumus demi memastikan segala-galanya berjalan dengan baik. Wira dan wirawati yang dijulang ada di mana-mana, wira dan wirawati yang tak didendang pun ada di mana-mana, Allah SWT jua yang mengetahui segala-galanya. Segalanya cuba untuk disempurnakan seperti yang telah dirancang demi membina modal insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Terima kasih tak terhingga buat Cikgu Haliq, Encik Arif, Encik Zaki dan Encik Nasir. Terima kasih tak terhingga juga buat semua yang bertungkus-lumus.
Pengalaman dan pengajaran dikumpul dan digaul bersama. Setiap yang terjadi ada hikmah untuk direnungi. Kejayaan dan kegagalan itulah guru dalam kehidupan. Terima kasih dan tahniah untuk semua! Hidup Berjasa!
Wednesday, July 16, 2025
Hidup Berjasa
Friday, July 11, 2025
100
Hari ini, Sabtu 12 Julai, sedang kita melaluinya, esok sudah Ahad. Semalam 11 Julai, hari lahir Baba dan 10 Julai, hari yang istimewa, hari lahir Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ke-100.
Yang bernama Melayu, yang mengambil tahu pasti tahu tentang 'Dilema Melayu' yang pernah diharamkan. Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, analisis dan pandangan beliau dibuat berdasarkan pemerhatian dalam tahun 60-an. Menurut beliau lagi dalam prakata Dilema Melayu bertarikh 2 Julai 2008, beliau percaya bahawa faktor keturunan tidak lagi menjadi faktor yang menyekat kemajuan orang Melayu. Tambahnya lagi, apa yang lebih ketara dan dan lebih berpengaruh hari ini ialah peranan budaya serta sistem nilai hidup. Begitulah sedikit ulasan Tun yang Ayah bawa di sini. Maka persoalannya di sini, apakah budaya yang kita pegang atau anuti dan sistem nilai hidup yang kita praktikkan pada hari ini? Apakah budaya dan sistem nilai hidup yang kita amalkan pada hari ini memberikan impak yang besar kepada agama, bangsa dan tanah air kita? Jika dirujuk maksud 'budaya' dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud pertamanya ialah tamadun, peradaban. Maksud kedua pula kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya). Maksud 'nilai' yang ketiga dalam kamus yang sama ialah darjah, kualiti, mutu, taraf. Maksud keempat 'nilai' pula ialah sifat ketinggian (pemikiran, agama, kemasyarakatan dan lain-lain).
Semalam, hari ini dan esok, tiga hari yang sentiasa ada untuk kita selagi bernyawa, inilah masanya untuk menyemak kembali diri kita, tentang budaya dan sistem nilai hidup seperti yang diungkapkan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Budaya dan sistem nilai hidup yang betul, yang kita pegang dan amalkan akan membantu kita untuk menjadi lebih baik demi agama, bangsa dan negara, Insya-Allah.
Monday, July 7, 2025
Seronok
Tuesday, July 1, 2025
Pelakon
Friday, June 27, 2025
Selami
Kesunyian itu antara itu sahabat yang boleh membantu untuk kita merenung sesuatu yang telah lepas atau yang telah kita lalui dan juga sahabat yang membantu kita untuk terus menulis.
"Barang yang lepas jangan dikenang," itulah yang sering Ayah dengar dan mungkin jua didengari orang lain. Tak ada yang lepas atau tak ada yang berlalu, tak adalah saat yang masih kita diizinkan untuk dinikmati pada saat ini. Yang berlalu meninggalkan kita dan ada jua saat dan sampai saat kita meninggalkan yang lain. Mungkin masih ada yang berbekas, kita masih teringat akan saat kita ditinggalkan dan saat kita meninggalkan dalam setiap babak hidup kita. Kita tidaklah 'keseorangan' walau hakikat yang dilihat ada antara kita keseorangan. Jika kita benar-benar memahami hakikat, kita tak akan cemas kerana keseorangan — sama ada ditinggalkan atau meninggalkan. Tatkala cemas menjadi sahabat pula, dalam keramaian pun kita boleh merasakan diri keseorangan.
Kesunyian itu sahabat yang boleh hadir pada bila-bila masa, tak kira sewaktu meninggalkan atau sewaktu ditinggalkan. Kesunyian itu boleh menyedarkan kita akan adanya sesuatu yang lain di sekeliling kita jika benar-benar kita amati dan selami.
Sunday, June 22, 2025
Menginjak
Hari ini sudah 22 Jun. Ahad lepas, 15 Jun Hari Bapa. Seminggu yang berlalu banyak yang terjadi.
Sabtu minggu lepas, 14 Jun ada Karnival STEM dan Xplore 2025. Bergembiralah anak-anak menyertai pertandingan yang disediakan untuk menimba pengalaman dan juga menyertai aktiviti yang ada. Robot anjing yang bergerak dengan pelbagai aksi pastilah menjadi kegemaran anak-anak. Kesempatan bermain permainan video mengggunakan VR turut tak dilepaskan. Jumaat, 21 Jun pula, perlawanan akhir ragbi MSSD berlangsung setelah beberapa hari anak-anak bertungkus-lumus berjuang menggunakan kudrat dan akal. Syabas dan Tahniah buat anak-anak Helang! Teori dan praktikal berjalan seiring. Teori yang dipraktikkan sewaktu latihan dapat memberikan pengalaman yang amat mahal untuk anak-anak semasa pertandingan.
Seminggu yang berlalu banyak memberikan pengalaman dan pengajaran. Menginjak dewasa itu memang seharusnya dimatangkan oleh pengalaman yang dikutip dalam hidup sehari-hari. Pengalaman itu pula akan memberikan kita pengajaran yang terbaik untuk lebih bersedia menghadapi cabaran yang mendatang.
Thursday, June 12, 2025
Diterima
Saturday, June 7, 2025
Panduan
Sunday, June 1, 2025
Dipandu
Kadang-kadang kenangan boleh dicipta, kadang-kadang kenangan boleh datang secara tiba- tiba. Itulah uniknya kehidupan.
Menonton Ejen Ali, pastilah anak-anak sangat nantikan. Walaupun sarat dengan aksi dan emosi, tetap dapat dihadam oleh anak-anak pengajarannya. Sudut pandang yang berbeza boleh membawa kita ke arah yang lain dan itulah sebenarnya yang mengeratkan kita dan membuatkan ikatan terjalin. Banyak yang kita tak sedar dan jika direnung lebih dalam, banyak orang di sekeliling kita sebenarnya berkorban untuk kita, untuk menjadikan kehidupan kita lebih baik. Keluang Man? Anak-anak Gayong Ibu Kandung Suluh Budiman pasti teruja menonton latar tempat hospital Borhan ditempatkan, tempat kita berlatih petang-petang. Bagi Ayah dan Umi yang merupakan Anak Kandung Suluh Budiman, sememangnya mengundang nostalgia sewaktu menuntut ilmu di situ. Pastinya rakan-rakan seperjuangan yang bergelar Anak Kandung Suluh Budiman akan dapat mengembalikan memori yang panjang, memori yang menjadikan kita hari ini di tempat tersebut. Sudah pasti Keluang Man sangat dekat dengan kita kerana kita membesar dalam ceritanya dan kitalah yang lebih memahami keadaan ketika itu. Yang membuatkannya kita lebih dekat dengan Keluang Man sebab kita sebagai Anak Suluh Budiman, kita pernah berada di situ selama 3 tahun atau 4 tahun, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Kini tempat itu diabadikan dalam filem Keluang Man dan membuatkan rindu itu kembali.
Sememangnya, hidup ini dibelenggu kenangan. Walaupun hidup ini ada arah tuju, namun kadang-kadang arah tuju itu dipandu kenangan silam yang mencengkam.
Wednesday, May 28, 2025
Tuesday, May 27, 2025
Cahaya
Saturday, May 17, 2025
Ambillah
Thursday, May 15, 2025
Selamat Hari Guru
Tuesday, May 6, 2025
Secawan Kopi Sedar
Monday, May 5, 2025
Terus Bangkit
Saturday, May 3, 2025
Telah Kalian Sediakan
Tak perlu peluru
sedang mengopi
harap terus-terusan
dimakan api murka
telah kalian sediakan
sekian lama kayu
pada pohon percaya.
3 Mei 2025
Sungai Soi
Saturday, April 26, 2025
Syukur
Sabtu, 26 April 2025, masih suasana beraya, kita masih beraya di penghujung Syawal kerana ada jemputan rumah terbuka, syukur Alhamdulillah dengan rezeki yang melimpah.
Masihlah beraya dan tetaplah ada yang bergaya seperti mana Cikgu Zaidi dan Cikgu Zainuddin yang lengkap mengenakan baju Melayu dan bersamping. Program lain tetap berjalan, maka langkah pun diatur mengikut keutamaan. Bertemu dengan Cikgu Sakirin dan anak murid, Hilman, tentulah banyak ceritanya. Lepas Zuhur pula, bertemu dengan Cikgu Nasir yang nampaknya semakin segar dan ceria seperti mana Cikgu Hamdan yang muncul selepas itu. Ada pula serawa pisang, makan sambil mendengar cerita Cikgu Nasir dan Cikgu Sakirin. Selesai makan, "Lepas ni mana?" tanya Angah. Masing-masing sudah letih. Malam, berlangsungnya perlawanan bola sepak antara Sri Pahang dan JDT.
Masa terus bergerak, banyak perkara yang dirancang, banyak perkara yang berlaku seperti yang kita mahu, juga banyak yang berlaku seperti yang kita tidak mahu. Teruskanlah perjalanan, teruskanlah bersyukur.
Bermakna
Hari terakhir 2025, apakah yang sedang anda lakukan, fikirkan dan renungkan? Tika ini, pasti sedang kita lakukan sesuatu, itu tandan...
-
Baulu atau bahulu? Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ejaannya BAULU. Baunya pun dah sedap. Rasanya sudah tentu sedap.Baulu memang sedap. Berta...
-
Ada empat maksud tongkol dalam Kamus Edisi Keempat. Salah satu maksud tongkol ialah tempat butir-butir jagung tumbuh atau mel...
-
Mandi masih menjadi isu besar bagi sesetengah anak-anak, tambahan pula cuti sekolah. Seperti biasa, ada masanya ada menangkap dan me...