Translate

Thursday, June 6, 2024

Istimewa

6 Jun 2024,  hari tak ada mesyuarat, hari  istimewa Lazada dan Shopee, mungkin yang lainnya juga, mengabadikan 66.
           Pagi tadi, setelah berpusing berkali-kali, walau mahu lebih dekat, tiada upaya,  agak jauh juga memarkir, Alhamdulillah, walau hujan sudah seriat, masih berbaju hujan. Arah bukan boleh tengok makanan, Ayah cakap kenapa tak makan dulu roti dalam kereta tadi, katanya tadi tak lapar, begitu juga kalau tengok kedai hijau, semuanya tiba-tiba jadi lapar biarpun baru lepas makan. Kaki terus melangkah ke depan, ingatan sebaliknya, berundur setapak demi setapak. Selasa malam, 9.30, 4 Jun 2024, diambil kembali Ilahi seorang Osman Tikus,  watak yang terus diingati, seorang lagi insan istimewa meninggalkan kita, pelakon, penulis dan penyair Pyanhabib, Al-Fatihah. Ingatan berhenti, mengambil nombor, duduk dan Arah terus berayun, pergi main buai. Petang, di rumah, adik membaca buku nota kecil, menunjuk cerita yang dikarang. Ayah ambil baca, ditulisnya rapat-rapat, tak sempat habis, diambil semula, katanya Ayah tak faham. Adik tulis guna ejaan seperti yang disebutnya, teringat kata Pendeta Za'ba,  eja ikut sebutan, majoriti yang menyebutnya. Macam nenas, ejaannya nanas, berapa  orang yang menyebut 'nanas', entahlah.
        Pabila difikirkan, setiap saat kita lalui amat istimewa dan sangat berharga sebab kita dikelilingi orang-orang yang berbakat, hebat dan istimewa walau kita kenal,  walau kita tak kenal. Hadirnya mereka mengajar kita erti hidup ini, tentang pentingnya hidup ini berjuang untuk sesuatu yang kita percaya, apa yang kita tinggalkan,  jadi bekal kita di sana, Insya-Allah.

 

No comments:

Mahu Pilih

Setelah 55 tahun, akhirnya Nottingham Forest dapat menewaskan Liverpool di Anfield, memecahkan satu rekod yang cukup lama, itu yang Ayah den...