Translate

Tuesday, June 18, 2024

Ibrah

Seperti yang Baba cerita, begitulah Aidiladha kali ini, walau sekejap bersama-sama, banyak yang terjadi untuk dikenang.
        Semalam Opah beritahu bawa besen saja untuk ambil daging, segala-galanya telah diuruskan. Maka, Pak Su duduk dibuai, Ayah duduk di kerusi batu, banyak yang ikut Baba dan Atuk pergi tengok korban. Tengok mesej, kereta Umi pancit. Ayah pergi dengan Pak Su. Pak Su bawa pam siap-siap, "Senang guna yang ni!" katanya. Selesai tayar dipam, bawa balik cepat-cepat untuk urusan selanjutnya. Cari jek tak jumpa, di bawah kerusi rupanya. Selesai naikkan jek, tayar dicabut. Ah sudah,  tak lepas Pak Su nak masukkan tayar ganti! Jek makin terbenam  ke dalam tanah, petang semalam dan malam hujan, kereta makin senget ke sebelah kanan. Pak Su bergegas ambil jek keretanya. Kali ini jek berlapik batu-bata, berjaya kereta diangkat semula, jek yang tadi pun dilapik, dinaikkan juga. Baru hendak rasa lega, kereta senget ke sebelah kiri pula, pantas ditahan Mak Su dan Pak Su, Ayah lekas-lekas turunkan jek lepas masukkan tayar. Mak Su menenangkan sejak awal lagi. Hampir petang, satu per satu kereta mula beransur. Hari ini Opah sudah kembali membakar sunyi, membakar baulu kesukaan cucu.
          Aidiladha walau sekejap, tetap meriah, dirai dan dihargai. Korban mengajar kita banyak perkara, tentang sejarah, tentang susah payah,  tentang perintah, tentang ibadah, tentang ukhuwah, tentang segala-galanya yang boleh kita ambil sebagai ibrah untuk melangkah dalam kehidupan. Semoga Allah SWT menerima segala ibadah kita.


No comments:

Mahu Pilih

Setelah 55 tahun, akhirnya Nottingham Forest dapat menewaskan Liverpool di Anfield, memecahkan satu rekod yang cukup lama, itu yang Ayah den...