Translate

Wednesday, September 29, 2021

Lakukan

Minggu lepas murid-murid tingkatan 5 sudah mendapat vaksin dos pertama. Minggu ini giliran murid-murid tingkatan 1, 2 dan 3. Umi pun terlibat menguruskannya.
       RMK ke-12 (2021 - 2025) -'Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan' telah pun selamat dibentangkan pada 27 September dan sedang dibahaskan. Jaguh tinju dunia Filifina pula, PacMan atau Manny Pacquiao telah mengumumkan persaraannya pada hari Rabu untuk memberi tumpuan kepada kerjaya politiknya. Melalui politik, kita mengharapkan banyak perubahan yang baik akan berlaku. Berharap itu boleh, terlalu berharap mungkin menimbulkan banyak kesan.
        Apa-apa pun yang berlaku, kita  perlu meneruskan perkara baik yang sedang kita lakukan untuk diri kita dan keluarga. Insya-Allah, dengan menjaga keluarga kita, masyarakat pun akan bertambah baik, begitu juga negara.

Tuesday, September 28, 2021

Hebat

Isnin, dalam perjalanan ke klinik, Wan dan Atuk singgah hantar roti canai.
       Duduk menghadap roti canai di meja, tiba-tiba Adik berbunyi,"Ada tangan!" Semua memandang ke arah Adik. Kemudian,  memandang ke arah mangkuk kecil berisi kuah kari. Semua tergelak. Ya, ada 'tangan' yang sedikit terkeluar dari pinggir mangkuk. Nampaknya kaki ayam kegemaran Umi kelihatan seakan-akan tangan. Ya, sekarang isu harga ayam naik pun masih hangat. Tangan ghaib mana yang menaikkan harga ayam? Dulu-dulu, nak makan ayam, tangkap saja di  belakang rumah. Sekarang, di belakang rumah ada rumah orang.
        Cerita pasal ayam telah berlaku sekian lama, sejak zaman Pak Kaduk lagi, tak pernah habis, cuma isunya saja tak sama. Sentiasa diperkatakan, begitulah hebatnya ayam, ayam berkokok melihat malaikat, kehebatan  kurniaan Allah SWT.

Saturday, September 25, 2021

Impi

Achik bangun pagi ini, dia beritahu Ayah bahawa dia dapat mimpi indah.
      Dia mimpi mandi kolam. Kolam itu besar. Dekat kolam ada bunga sakura. Ayah tanya, "Bunga sakura warna apa?" Dia jawab, "Warna pink." Dia beritahu bahawa Along, Angah dan Ayah pun mandi sama. Umi dan Hana duduk dekat bunga sakura. Lepas siap mandi, semua balik ke rumah Opah dan Atuk. Kemudian, dia terjaga sebab terdengar lagu tema Pokemon. Bunga sakura yang banyak di Jepun pun boleh masuk mimpi, apa-apa saja boleh masuk ke dalam mimpi. Itu hebatnya mimpi, batasannya hanya apabila terjaga.
       Bunga-bunga mekar di alam jaga, juga di alam mimpi. Fikirkan sesuatu yang baik-baik yang kita impikan tatkala hampir melelapkan mata, Insya-Allah, tatkala sedar kita akan memikirkannya kembali dan bertindak, untung-untung hadirnya ke dalam mimpi.

Friday, September 24, 2021

Bak Bunga

Bunga dengan kumbang, kenapa bukan bunga dengan lebah?
    Macam mana sekalipun bentuk dan warna bunga, bunga tetaplah menjadi perhatian kita, tetaplah menjadi tarikan mata  walau kita bukan kaki tanam pokok bunga. Bunga yang bau busuk pun tetap menjadi perhatian orang, apatah  lagi yang wangi merbak, memanglah menjadi kegilaan orang. Ada pula bunga yang tika malam semerbak baunya, tatkala pintu dibuka  di waktu malam, mulalah fikir macam-macam. Tanam apa hari ini? Pokok semalu pun orang dah tanam di dalam pasu saat ini. Ada juga yang tak suka bunga hidup dan di dalam rumah tetap penuh bunga plastik. 
     Jadilah bak bunga, bentuk, bau dan warna, memikat hati semua. Jadilah manusia, beradab berbudi dan berbahasa, memikat hati semua.  

Sunday, September 19, 2021

Hidup

Kenangan terus menggigit pandangan dan kenangan terus mencakar ingatan.
    Diusung ke sana dan ke mari, bagaikan anak patung dibuatnya, lepas seorang dan seorang. Mengambil air suam dan dicuci serta dilapnya mukanya hampir setiap pagi, itu antara rutinnya. Pagi-pagi sudah sudah di muka pintu beraksi menunggu, naik duduk di atas pintu besi, kemudian meloncat ke bawah. Tatkala pintu dibuka, meluru ke dalam rumah, mengekori kaki melangkah, minta perut diisi, kadang-kadang tidak perasan ada di kaki, terkejut tersepak. Kaki melunjur, datang dan menggigit-gigit ibu jari, bagaikan alat permainannya, kali terakhir datang naik ke ribaan dan melepaskan hajat kecilnya.
      Hidup sentiasa diisi dengan kenangan yang tak mahu dibiarkan melangkah pergi. Yang ditinggalkan itulah yang dipanggil kenangan, yang dipanggil sejarah. Kecil atau besar, pahit atau manis, kenangan itu makhluk hidup dalam diri yang mewarnai emosi kita pada setiap hari.

Saturday, September 18, 2021

Harap

Sebelum ini, kecuali Adik, semua orang sudah dikencingnya.
       Kena kencing, tidak ada yang mahu, pasti hancing. Pintu dibuka, meluru masuk ke rumah, ke satu sudut dinding kegemarannya, menguis-menguis seperti di atas tanah lagaknya, Along diperlukan untuk menyelamatkan keadaan. Jika tidak sempat, bertambah kuatlah jeritan Along. Macam tidak ada tanah di luar dan macam mahu menguji kesabaran nampaknya. Walaupun begitu, tetap menjadi kesayangan anak-anak. Sampai di rumah petang tadi, masih tidak kelihatan sampai sekarang.
        Kembali atau tidak itu tidak pasti, yang menunggu pasti terus berharap, walau harapan itu mungkin hanya akan tinggal harapan. Berharap itu sentiasa ada dalam diri manusia, yang diharapkan pastilah yang lebih baik, Insya-Allah.
        
     
      

Thursday, September 16, 2021

Mensyukuri

Belok ke kiri, dari jauh nampak seperti berlonggok-longgok, Opah ingat duku atau dokong. 
      Kereta diperlahankan, barulah nampak jelas, bertongkol-tongkol halia Bentong, durian pun dah tak banyak. Perjalanan diteruskan, yang nampak banyak ialah rambutan. Sampai, dari depan pintu, nampak satu pokok durian yang masih ada buah. Berhampirannya, ada pokok pulasan. Atuk suka benar, manis buahnya. Rambutan memanglah ada, yang menarik minat Opah dari jauh ialah buah dokong. Galah buluh ada, nak panjat pun boleh. Di depan bilik bergayutan buah timun, peria ada. 
      Alam perlu dihormati, alam perlu disayangi, alam perlu dihargai kerana melaluinya Allah SWT mengeluarkan rezeki, mencemari dan merosakkan alam tandanya kita tidak mensyukuri.

Benar

Membaca dan mengkaji sangat penting supaya kita tahu yang benar. Ada anggapan bahawa benar itu  pahit dan menyakitkan, bergantung jua pada s...