Semalam, Jumaat, 24 Januari, tibalah waktunya. Achik sudah tak larat mendengar usikan Angah.
Selain Achik, Ayah bawa Along sebagai peneman. Angah dan Emir memang hendak ikut sangat, Ayah tak izinkan.
Hampir tengah hari bergerak, sampai di sana, tunggu sekejap. Along diberi makan ubat tahan sakit. Keluar seorang budak berkain pelikat, telefon pintar pada tangannya bersama dengan seorang lelaki, mungkin ayahnya. Kemudian, Achik dipanggil. Sebelumnya disuruh membuang air kecil dan memakai kain pelikat. Ayah masuk sekejap dan meninggalkannya sendirian. Kemudian, keluar seorang dari bilik, meminta telefon pintar untuk diberikan kepada Achik, untuk mengalih sedikit perhatian daripada apa yang akan dilakukan oleh doktor seterusnya. Ayah duduk sebentar di kerusi menunggu, menonton Tok Kasa yang mahu melawan sahabat baiknya ketika dulu Retak'ka. Kemudian, Ayah bangun dan beritahu Along, Ayah mahu ke kedai sebelah sekejap sebab sewaktu sampai tadi Ayah tengok ada kedai yang jual baja dan lain-lain. Ayah nak cari ubat penggalak akar, itu yang Ayah sebut sebab istilah sebenar Ayah tak tahu. Diberi pekerja kedai dua biji limau Mandarin, tanda hampir tahun Baharu Cina. Masuk kembali, sambung menonton Tok Kasa yang sudah dibelasah Retak'ka.
Tiba waktunya, kita kena hadap, kita kena lalui, tak kiralah macam mana pun keadaannya. Sedia atau tak bersedia, kita kena menerima segala yang datang kerana itulah prosesnya, itulah kitarannya. Ada yang datang dan pergi tak kembali. Ada yang datang, pergi dan kembali. Ada juga yang sentiasa menghantui! Teruskanlah kehidupan!
No comments:
Post a Comment