Apabila buka saja sekolah, hari kedua timbul rasa stres Ayah. Kata adik, "Ayah stres, tapi benda tu buat kita belajar!"
Disebabkan perkara itu, Ayah pun melayari lautan Youtube untuk mendapatkan jawapan. Sebaik saja Ayah siap menaip dan menekan butang carian, sepantas kilat Ayah mendapat jawapan. Ayah sangat gembira dan bertambah gembira apabila Adik dapat mengikut cara yang ditunjukkan dengan betul. Ayah mengharapkan esok pun begitu. Cemas Ayah pun menghilang. Maka awal pagi tadi Adik pun muncul, "Susah pula," katanya sambil tersengih. "Ah, sudah!" kata hati Ayah. Ayah cuba ingat semula apa yang dibuat adik malam tadi, Alhamdulillah, berjaya akhirnya (mengikut mata Ayah). Ayah tak pernah fikir yang 'tudung dua lapis' boleh buat Ayah stres pada hari kedua Adik bersekolah. Patutlah di dalam kelas Ayah tengok anak-anak sekejap-sekejap 'bela tudung'.
Ya, betul juga kata Adik. Ada stres yang buat kita belajar tentang sesuatu. Bolehlah kita mula renung kembali tentang stres yang membolehkan kita dapat belajar sesuatu. Asalnya kerana stres, mungkin sudah banyak sebahagian daripada kita menjadi pakar dalam melakukan sesuatu.
No comments:
Post a Comment