Translate

Wednesday, January 29, 2025

Di Luar Jangkauan

Pagi sudah di dapur, kata Opah, "Tak empuk-empuk. "Ubi yang agak lama Opah rebus tidak empuk. Atuk cuba rasa, memang tak empuk. Biasa potong guna sudu pun ubi boleh terbelah.
       "Patut orang dulu-dulu cakap ubi direbus tak empuk," kata Opah. Bunyinya macam peribahasa, maka Ayah pun  buka internet. Tak ada pula peribahasa  yang berbunyi 'ubi direbus tak empuk'. Yang ada ialah direbus tak empuk (Kamus Istimewa Peribahasa Melayu,DBP 2016). Maksudnya ialah sangat sukar dikalahkan. Empuk pula dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ada empat makna. Makna yang pertama ialah (berkenaan makanan seperti ubi rebus dan lain-lain) lembut dan senang dikunyah. Makna kedua ialah gebu, tidak keras dan tidak lisut. Maksud ketiga ialah (berkenaan kain) sudah nipis dan mudah koyak, reput. Maksud terakhir ialah (berkenaan suara) sedap bunyinya, merdu. Ubi tak empuk, maka Opah ganti dengan cekodok selain nasi goreng yang sudah disiapkan lebih awal.
       Ya, kadang-kadang ada yang berlaku tidak seperti kebiasaannya atau di luar jangkaan. Maka yang berlaku selepas itu akan berubah jalan atau tindakannya. Itulah kehidupan, selalu di luar jangkauan walau telah ada rancangan.


Tuesday, January 28, 2025

Satu Tanda

Semalam, kami menghala ke Kuantan, nampaknya bayaran tol kurang separuh sempena Tahun Baharu Cina. Tol bayar separuh juga boleh buat semua orang gembira.
      Hari ini, 29 Januari, Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai bagi yang menyambutnya. Teringat pula dialog dalam filem Lagi-lagi Senario, "Cina suka makan Melayu punya nasi lemak, orang Melayu manyak suka makan yong tau fu, lagi semua orang suka makan roti canai India punya maa." Pagi ini pun Opah menebar roti canai. Biasanya Opah meregangkan tepung yang telah diuli di dalam talam. Opah memang suka memasak. Itu salah satu kegembiraan Opah. Untuk hari esok pun Opah sudah fikir hari ini, mana taknya, cucu-cucu nampaknya sentiasa lapar dalam musim hujan yang belum habis. Dalam buku Screw Work Let's Play (Edisi Bahasa Melayu), karya John Williams menyatakan bahawa bukan kejayaan yang mencipta kegembiraan tetapi kegembiraanlah yang mencipta kejayaan. Sebelum ke kedai, Opah tunjuk baulu yang telah siap, nanti yang telah menempah akan datang ke rumah untuk ambil. Emir ikut Opah bawa sekotak kain pelikat yang sampai semalam, Opah tolong beli untuk kawannya, Ninja Van hantar semalam. Emir balik dulu daripada Opah, gembira bawa aiskrim untuk yang lain.
        Bergembiralah untuk apa-apa yang kita sedang buat atau lalui, tak kiralah kecil ataupun besar kerana itu juga salah satu tanda kita sedang  bersyukur dengan nikmat yang kita terima pada saat ini.


Saturday, January 25, 2025

Tibalah Waktunya

Semalam, Jumaat, 24 Januari, tibalah waktunya. Achik sudah tak larat mendengar usikan Angah.
Selain Achik, Ayah bawa Along sebagai peneman. Angah dan Emir memang hendak ikut sangat, Ayah  tak izinkan.
        Hampir tengah hari bergerak, sampai di sana, tunggu sekejap. Along diberi makan ubat tahan sakit. Keluar seorang budak berkain pelikat, telefon pintar pada tangannya bersama dengan seorang lelaki, mungkin ayahnya. Kemudian, Achik dipanggil. Sebelumnya disuruh membuang air kecil dan memakai kain pelikat. Ayah masuk sekejap dan meninggalkannya sendirian. Kemudian, keluar seorang dari bilik, meminta telefon pintar untuk diberikan kepada Achik, untuk mengalih sedikit perhatian daripada apa yang akan dilakukan oleh doktor seterusnya. Ayah duduk sebentar di kerusi menunggu,  menonton Tok Kasa yang mahu melawan sahabat baiknya ketika dulu Retak'ka. Kemudian, Ayah bangun dan beritahu Along, Ayah mahu ke kedai sebelah sekejap sebab sewaktu sampai tadi Ayah tengok ada kedai yang jual baja dan lain-lain. Ayah nak cari ubat penggalak akar, itu yang Ayah sebut sebab istilah sebenar Ayah tak tahu. Diberi pekerja kedai dua biji limau Mandarin, tanda hampir tahun Baharu Cina. Masuk kembali, sambung menonton Tok Kasa yang sudah dibelasah Retak'ka.
        Tiba waktunya, kita kena hadap, kita kena lalui, tak kiralah macam mana pun keadaannya. Sedia atau tak bersedia,  kita kena menerima segala yang datang kerana itulah prosesnya, itulah kitarannya. Ada yang datang dan pergi tak kembali. Ada yang datang, pergi dan kembali. Ada juga yang sentiasa menghantui! Teruskanlah kehidupan!

Thursday, January 23, 2025

Di Sekeliling Kita

Ahad lepas, 19 Januari, balik dari Bentong, menghampiri petang, ada dua buah kereta masuk ke perkarangan rumah Opah tatkala Ayah sedang berborak dengan Opah.
      Nenek tiba bersama dengan Tok Ngah Ani dan  Tok Ngah Rahim, diikuti Pak Long Farhan dan isteri serta anak-anaknya,  juga Pak Su Syakirin dan isterinya. Anak-anak tetaplah bermain, tak kira siapa-siapa pun datang, kemudian berhenti, mengisi perut, sambung bermain. Dua hari lagi, Ahad datang lagi, cepat sungguh sudah hampir seminggu. Banyak perkara telah berlaku. Genjata senjata antara penjajah Yahudi Zionis dengan Hamas di Gaza turut bermula Ahad lalu. Donald Trump pula telah kembali mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-47. Itu antara dua peristiwa besar dunia, belum lagi berita yang lain.
       Banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita. Ada perkara yang memerlukan penglibatan dan campur tangan kita, ada yang mesti kita ambil tahu, ada yang kita tak tahu pun tak apa dan ada juga yang tak sepatutnya kita tahu serta ambil tahu. Lalui segalanya kerana pengalaman akan mengajar kita membuat keputusan, Insya-Allah.

 

Monday, January 20, 2025

Bahagia Ke Sorga

Dua hari lepas, Ayah dan Along ke Bentong, bukan  untuk mencari halia Bentong tetapi menghadiri walimatulurus. Rasa macam baru makan kenduri abangnya, kini sampai giliran adiknya.
       Sampai di sana, tidaklah banyak lagi yang datang, belum tengah hari. Bertemu dulu dengan abang dan ayahnya. Sambil menikmati juadah, telinga pun menikmati alunan lagu yang diputarkan. Selalunya tatkala menghadiri kenduri kahwin, terngiang-ngiang lagu Selamat Pengantin Baru nyanyian penyanyi yang tak asing lagi, Anita Sarawak. Selesai makan tunggu sekejap di luar dewan, menanti pengantin. Masa berlalu, anak murid yang di sebelah pun tidak perasan, masa mengubah segalanya. Dalam cuaca yang agak redup, pengantin muncul, berhenti sebentar dan bersedia untuk diarak masuk ke dalam dewan. Selamat mengharungi nikmat berumah tangga buat Harith dan suri hati. Kata T.S Eliot dalam buku Mutiara Kata susunan Adi Alhadi, "Rumah adalah di mana seseorang itu bermula."
         Masa terus bergerak, sampai ketikanya ada perkara yang akan berlaku dan boleh mengubah segala-galanya, salah satunya pastilah perkahwinan. Moga semuanya kekal bahagia ke sorga dan mencipta kenangan terindah.

Saturday, January 18, 2025

Mengikat Kasih

Sebut saja 'beb', pasti banyak yang terbayang seseorang. Kami di sini pastinya hanya akan terbayang satu orang, sahabat kami, tak lain tak bukan Cikgu Hamdan.
      Dua hari lepas, Jumaat, 17 Januari, secara rasminya, hari terakhir Cikgu Hamdan di bumi Hidup Berjasa walau masih belum sampai hari lahirnya dek kerana cuti hujung tahun bermula (walau telah masuk awal tahun 2025). Bergegar Dataran Akhlak dengan persembahan Haka oleh anak-anak sebagai tanda hormat atas jasa yang tidak terbalas sepanjang Cikgu Hamdan menyumbangkan ilmu dan bakti sekian lamanya di sini. Sebelumnya, kami beratur mengiringinya dan menyaksikan Cikgu Hamdan 'thumbprint', seterusnya menuruni anak tangga utama dan berhenti di situ kerana anak-anak batch Virtuous sudah menantinya. Tetaplah bersemangat, itulah jiwa seorang pendidik, seorang Cikgu Hamdan.
      Masa begitu cepat berlalu, masih terbayang kali pertama bertemu dan bertentang mata, akhirnya berpisah hadir jua. Banyak kenangan tercipta, jasa tetaplah mekar subur dan hubungan yang terjalin mengikat kasih antara kita semua. Teruskan perjuangan, Hidup Berjasa! Allahuakbar!


Wednesday, January 15, 2025

Semoga Tabah

Antara peribahasa Melayu yang jarang kita dengar fasal malang ialah geruh tak mencium bau. Yang selalu kita dengar ialah malang tak berbau dan sudah jatuh ditimpa tangga.
      Ada ubat tertentu tak boleh dimakan ketika perut kosong, ada juga ubat tertentu yang tak boleh diambil dan tak boleh diambil dengan dos yang banyak jika kita ada gastrik, langsung malang bermula di situ.  Maka, terpaksa Ayah meminta pertolongan Umi yang masih dalam rawatan kerana keadaan dirasakan sudah tidak terkawal.  Anak-anak ditinggalkan dengan Wan dan  Atuk. Akhirnya, terpaksa bermalam di hospital. Siangnya, dalam pukul 10 pagi lebih baru dirasakan stabil dan sudah tidak 'goyang'. Tak lama kemudian, Opah, Atuk dan Baba sampai. Petang, Cikgu Karim, Haji Hafiz, Cikgu Hashim, Ustaz Muzakir, Cikgu Sakirin, Cikgu Amirudin dan Cikgu Aidil datang melawat. Abah, Cikgu Khair, jiran sebelah turut bertanya khabar, begitu juga adik-beradik, tok lang Basri, nenda Zaharah dan saudara-mara. Anak-anak pun tiba juga selepas itu. Jutaan terima kasih kepada semua. Terima kasih juga kepada Tuan Haji Mahadzir, yang merawat di  DMCC dan Aurelius, semua guru, staf serta sahabat-sahabat yang ambil berat dan mendoakan. Moga Allah SWT merahmati semuanya.
        Sesungguhnya malang itu ujian untuk kita. Hidup tak diuji bukan 'hidup' namanya.  Mahu atau tidak mahu, kita akan diuji — di mana, waktu bila, bagaimana cara, kita tak pernah tahu. Semoga kita  dan semua tabah ketika diuji kerana memang kita tak boleh lari daripada diuji.

Saturday, January 11, 2025

Di Dalam Hujan

Di dalam hujan, mahu balik dan patah balik satu perkara yang kena difikirkan. Maka keputusannya, raikan waktu di dalam hujan sambil menunggu.
      Di seberang jalan Masjid Sultan Ahmad Shah kereta diparkir. Berjalan dan patah kembali mengambil satu lagi payung. Kemudian, berhenti di dataran berhampiran, menyuruh anak ke satu bucu dataran besi yang di bawahnya boleh nampak rumput-rumput dan air mengalir. Anak-anak berjalan takut-takut.  Berhenti lagi setelah melintas dan bergambar berlatarbelakangkan Muzium Masjid Sultan Abdullah. Dari sini sudah nampak gerabak keretapi di seberang sungai, ke situlah tujuan. Makan, itu yang Arah paling suka walau sudah makan sebelum pergi. Menikmati secawan kopi di dalam gerabak kereta api dan di luar hujan yang semakin galak, bukanlah selalu dan harus dinikmati, begitu juga yang lain datang ke sini. Selesai,  berjalan di dalam hujan, ke dataran di hadapan Muzium Sultan Abu Bakar (Istana Kota Beram), bergambar dengan arca.  Balik singgah lagi, di mana lagi kalau bukan Kafe Belibis, Alhamdulillah.
      Ada masa tertentu, masa menunggu boleh diisi dengan sesuatu, bergantung juga pada tempat dan waktu. Walau di dalam hujan, ada sesuatu boleh diisi, bukan saja ke dalam perut, juga ke dalam pemikiran tatkala melangkah merakam kisah baharu.

Friday, January 10, 2025

Pasti Menyegarkan

Ayah tak banyak pengalaman turun ke jalanan. Membaca Anekdot Jalanan akan membawa kita kepada realiti yang sebenar yang ada di sekeliling kita.
      Mungkin ada anak-anak tingkatan 5 yang menekuni antologi Sejadah Rindu, yang jatuh cinta dengan 'Cinta Ahmad Mutawakkil'. Itu salah satu cerpen Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad (ZRA). Anak-anak atau sesiapa saja mungkin juga boleh saja jatuh cinta dengan pengalaman yang mahal di dunia realiti ZRA dalam Anekdot Jalananan. Tatkala meningkat usia di tahun 2025, sedikit sebanyak Ayah terkesan dengan kata ZRA di muka surat 51 yang berbunyi," Menjadi tua itu berharga, yang bahaya 'dimalaskan usia." Dengan membaca pengalaman, sesungguhnya banyak yang memerlukan kita dan pasti ada sesuatu yang dapat kita hulurkan tanpa beralasankan usia. Hanya dengan ambil peduli kita dapat melakukan sesuatu serta mencapai sesuatu yang mungkin berada di luar atau jangkauan fikiran kita.
       Ternyata usia bukanlah penghalang untuk kita meneruskan kebaikan yang telah kita lakukan sekian lama, sama ada untuk mengisi dada seseorang  dengan ilmu atau untuk menjamu makan perut seseorang yang lapar. Membaca kisah benar pengalaman, inspirasi pasti menyegarkan kita kembali, Insya-Allah.


Monday, January 6, 2025

Jadi Lebih Baik

Sepanjang hari kita melakukan banyak perkara di samping bertemu dengan yang lain dan mungkin ada waktu tertentu, kita perlukan masa untuk bersendiri atau untuk diri sendiri.
         Tatkala kita bersendiri, kita boleh merenung, tidak kiralah dekat atau jauh,  mungkin ada sesuatu yang boleh kita baiki.  "Hanya ada satu sudut di alam semesta ini yang boleh anda perbaiki; ia adalah diri anda sendiri, " begitulah kata Aldous Huxley dalam buku Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi. Ya, membaiki diri sendiri ialah kerja kita setiap hari. Setiap hari kita mesti ambil masa untuk menyelongkar diri kita kembali. Mungkin ada sesuatu yang kita terlepas, mungkin ada skru yang longgar atau hampir tercabut yang patut kita ketatkan untuk memastikan kita kembali 'berfungsi' seperti yang sepatutnya. Dalam masa yang sama, kita juga patut merenung kata-kata Harold Nicholson dalam buku yang sama, "Kita sentiasa menilai diri kita dengan akal kita, tetapi menilai orang lain dengan perbuatan mereka."
        Bersendiri mungkin membolehkan kita merenung satu per satu atau menyusun satu per satu untuk meleraikan sesuatu supaya keadaan jadi lebih baik. Untuk jadi lebih baik, eloklah kita bermula dengan diri sendiri, Insya-Allah.

Wednesday, January 1, 2025

Yang Terbaik

Hari ini 2 Rejab, juga 2 Januari, perjuangan anak-anak SPM untuk menulis bermula. Persediaan telah dilakukan, maka ujian itu akan tiba, itulah dunia belajar.
       Semalam  hampir sehari suntuk sampai ke malam, anak-anak begitu bersemangat mengulang kaji - bertanya, mengingati kembali dan bersoal jawab tentang perkara yang masih musykil untuk persediaan hari ini. Dalam buku Mutiara Kata susunan Adi Alhadi, kata Horace, "Apabila seseorang itu memulakan kerjanya dengan penuh minat, bermakna dia telah menyempurnakan separuh daripada kerja itu." Anak-anak telah mula belajar sejak di rumah lagi, ibu bapa sebagai guru pertama. Seterusnya, tugas ibu bapa disambung oleh guru di sekolah dengan pendidikan yang lebih formal untuk mencungkil minat anak-anak supaya potensi mereka dapat digilap dalam pelbagai bidang. Insya-Allah, belajar dengan penuh minat akan membawa anak-anak lebih jauh dan ujian ini hanya sebagai langkah permulaan.
          Moga sukses anak-anak SPM 2024. Segalanya-galanya telah dilakukan. Insya-Allah, persediaan yang terbaik yang telah dilakukan pastinya akan membuahkan hasil. Ibu bapa, guru-guru serta yang berada di sekeliling sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anak. Selamat Berjuang!


Masih Ada

Cahaya matahari petang sangat menakjubkan dilihat tatkala menjamah batang pohon di kanan dan di kiri jalan menghala ke Bukit Katil.        ...