Translate
Thursday, June 27, 2024
Perhati
Tuesday, June 18, 2024
Sajak - Membakar Sunyi
Hari ini Opah kembali
membakar baulu kesukaan cucu
semalam Aidiladha yang meriah.
Dalam keriuhan kesibukan
sempat lagi
Opah menghitung ke mana pergi
cucu main sembunyi-sembunyi
riuh di dalam ke luar jalan
mencari cucu mana seorang lagi.
Semalam sunyi sembunyi
dan hari ini
Opah kembali membakar sunyi.
Sungai Soi
18 Jun 2024
Khairul Hakimi Mansor
Ibrah
Seperti yang Baba cerita, begitulah Aidiladha kali ini, walau sekejap bersama-sama, banyak yang terjadi untuk dikenang.
Semalam Opah beritahu bawa besen saja untuk ambil daging, segala-galanya telah diuruskan. Maka, Pak Su duduk dibuai, Ayah duduk di kerusi batu, banyak yang ikut Baba dan Atuk pergi tengok korban. Tengok mesej, kereta Umi pancit. Ayah pergi dengan Pak Su. Pak Su bawa pam siap-siap, "Senang guna yang ni!" katanya. Selesai tayar dipam, bawa balik cepat-cepat untuk urusan selanjutnya. Cari jek tak jumpa, di bawah kerusi rupanya. Selesai naikkan jek, tayar dicabut. Ah sudah, tak lepas Pak Su nak masukkan tayar ganti! Jek makin terbenam ke dalam tanah, petang semalam dan malam hujan, kereta makin senget ke sebelah kanan. Pak Su bergegas ambil jek keretanya. Kali ini jek berlapik batu-bata, berjaya kereta diangkat semula, jek yang tadi pun dilapik, dinaikkan juga. Baru hendak rasa lega, kereta senget ke sebelah kiri pula, pantas ditahan Mak Su dan Pak Su, Ayah lekas-lekas turunkan jek lepas masukkan tayar. Mak Su menenangkan sejak awal lagi. Hampir petang, satu per satu kereta mula beransur. Hari ini Opah sudah kembali membakar sunyi, membakar baulu kesukaan cucu.
Aidiladha walau sekejap, tetap meriah, dirai dan dihargai. Korban mengajar kita banyak perkara, tentang sejarah, tentang susah payah, tentang perintah, tentang ibadah, tentang ukhuwah, tentang segala-galanya yang boleh kita ambil sebagai ibrah untuk melangkah dalam kehidupan. Semoga Allah SWT menerima segala ibadah kita.
Sunday, June 16, 2024
Saturday, June 15, 2024
Korban
16 Jun 2024, Hari Arafah, juga Hari Bapa, hari yang istimewa untuk kita semua raikan. Esok pun Hari Raya Haji, banyak yang buat korban.
Sejak dua tiga hari lepas, Ayah buka siaran radio, lagu raya pun sudah berkumandang, cuma taklah disebut raya haji atau raya korban. Dalam hidup sememangnya sejak awal kita telah didedahkan dengan konsep korban. Kisah anak dengan bapa yang cukup berbekas di hati kita, kisah Nabi Ismail AS dengan Nabi Ibrahim AS sentiasa mekar di ingatan kita. Dalam hidup kita, Ayah sentiasa ada untuk kita walau kita jarang berjumpa. Ayah walau nampak kadang-kadang macam tak peduli, tapi tetap ambil berat pasal kita. Ayah sentiasa mahu berikan yang terbaik untuk kita walau macam mana sekalipun susahnya dia.
Pengorbanan sentiasa ada di depan mata kita. Indahnya hidup kita hari ini kerana pengorbanan ayah dan ibu yang boleh kita nampak dan yang banyak kita tidak nampak. Senangnya kita hari ini kerana susah payah ibu ayah. Tak ada yang lebih indah daripada pengorbanan mereka. Selamat Hari Bapa.
Friday, June 7, 2024
Hidup Berjasa
Thursday, June 6, 2024
Istimewa
6 Jun 2024, hari tak ada mesyuarat, hari istimewa Lazada dan Shopee, mungkin yang lainnya juga, mengabadikan 66.
Pagi tadi, setelah berpusing berkali-kali, walau mahu lebih dekat, tiada upaya, agak jauh juga memarkir, Alhamdulillah, walau hujan sudah seriat, masih berbaju hujan. Arah bukan boleh tengok makanan, Ayah cakap kenapa tak makan dulu roti dalam kereta tadi, katanya tadi tak lapar, begitu juga kalau tengok kedai hijau, semuanya tiba-tiba jadi lapar biarpun baru lepas makan. Kaki terus melangkah ke depan, ingatan sebaliknya, berundur setapak demi setapak. Selasa malam, 9.30, 4 Jun 2024, diambil kembali Ilahi seorang Osman Tikus, watak yang terus diingati, seorang lagi insan istimewa meninggalkan kita, pelakon, penulis dan penyair Pyanhabib, Al-Fatihah. Ingatan berhenti, mengambil nombor, duduk dan Arah terus berayun, pergi main buai. Petang, di rumah, adik membaca buku nota kecil, menunjuk cerita yang dikarang. Ayah ambil baca, ditulisnya rapat-rapat, tak sempat habis, diambil semula, katanya Ayah tak faham. Adik tulis guna ejaan seperti yang disebutnya, teringat kata Pendeta Za'ba, eja ikut sebutan, majoriti yang menyebutnya. Macam nenas, ejaannya nanas, berapa orang yang menyebut 'nanas', entahlah.
Pabila difikirkan, setiap saat kita lalui amat istimewa dan sangat berharga sebab kita dikelilingi orang-orang yang berbakat, hebat dan istimewa walau kita kenal, walau kita tak kenal. Hadirnya mereka mengajar kita erti hidup ini, tentang pentingnya hidup ini berjuang untuk sesuatu yang kita percaya, apa yang kita tinggalkan, jadi bekal kita di sana, Insya-Allah.
Tuesday, June 4, 2024
Inspirasi
Majlis Graduasi dan Anugerah Gemilang ke-47, begitulah namanya, majlis meraikan yang telah berpenat lelah menuntut ilmu dan selagi belum menutup mata itulah tugas kita.
Alhamdulillah, hari ini, 4 Jun, anak-anak Al-Imtiaz 1923 naik ke pentas menerima anugerah. Ada yang telah memulakan langkah di tempat baharu dan banyak yang hanya menunggu masa untuk melangkah ke tempat baharu untuk menunaikan cita-cita yang diimpikan sekian lama. Ke mana-mana pun melangkah, banyak yang akan ditempuhi, banyak yang akan menguji, itulah kehidupan. Peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Apa pun rintangan yang mendatang, jika sudah ada kemahuan yang tinggi, pastilah kesungguhan akan mencari jalan atau meneroka jalan penyelesaian. Kata George Crabbe pula, "Jika ada kemahuan, kebijaksanaan akan menemui jalannya."
Tahniah dan syabas buat anak-anak Al-Imtiaz yang telah memberi inspirasi kepada semua! Dalam kesibukan mengutip pengalaman sebagai pemimpin dan menyertai pelbagai program, tetap belajar menjadi keutamaan, Alhamdulillah. Moga terus sukses, Insya-Allah.
Raikan
Menjelang hari raya, akan ada beberapa aktiviti telah disusun dan kebiasaannya menjadi acara wajib sebelum raya. Khamis 27 Mac, Majlis ...
-
Baulu atau bahulu? Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ejaannya BAULU. Baunya pun dah sedap. Rasanya sudah tentu sedap.Baulu memang sedap. Berta...
-
Ada empat maksud tongkol dalam Kamus Edisi Keempat. Salah satu maksud tongkol ialah tempat butir-butir jagung tumbuh atau mel...
-
'Di sini Pemimpin Dilahirkan', Ayah terbayang-bayang perkataan ini, tertulis di atas bumbung bangunan di bahagian tangga utama untuk...