Hari ini, hari pertama tahun baharu. Semalam, hari terakhir tahun 2022. Semalam yang ditinggalkan masih segar di fikiran.
Semalam sewaktu dalam perjalanan ke rumah Atuk Dan Wan, Angah dan Adik menikmati telur rebus. Malam tadi, sebelum tidur, Adik mahu telur rebus lagi. Sebelum ke rumah Atuk Dan Wan, kami ke walimatulurus di rumah Cikgu Hamdan. Alhamdulillah, Tahniah dapat menantu! Moga bahagia ke sorga. Sebelum itu, Cikgu Khair menghubungi Ayah, menghantar gambar di rumah kenduri. Dia terlebih dulu sampai, walaupun ke tempat sama, tidaklah dapat bersua muka. Bunga telur dan baulu bertukar tangan sebelum balik. Dulu-dulu, memang bunga telur menjadi bekalan dibawa balik. Orang Melayu sememangnya tahu dan seharusnya tahu, bunga telur itu simbol kesuburan, satu doa bagi tetamu yang hadir buat pasangan pengantin moga dikurniakan zuriat.
Semalam telah berlalu, hari ini yang sedang dilalui, hari baharu bagi kita. Moga semalam dan hari ini serta esok menjadi hari yang kita ingati kerana kegembiraan dan kebaikan yang kita dapati, Insya-Allah. Selamat Tahun Baharu 2023.
Translate
Saturday, December 31, 2022
Ingati
Masuk Gua
Friday, December 23, 2022
Banyak
Sunday, December 18, 2022
Angka
Sebut saja 'The Hand Of God', peminat bola sepak pasti terbayang orang dan nombornya.
Malam tadi, bukan lagi 'The Hand of God', pertembungan menjadi lebih genting, rancak dan penuh debaran selepas penyamaan gol ketiga yang berpunca daripada tangan. Di luar padang dan di dalam padang tak senang duduk sehinggalah ke sepakan penalti yang menamatkan kemarau 36 tahun. Dulu-dulu banyak yang memilih nombor 10 kerana nombor ini mewakili pemain legenda Maradona.
Setiap angka mewakili kesungguhan dan ketabahan.
Kesungguhan dan ketabahan dalam melakukan sesuatu itulah yang menjadikan diri kita lebih bernilai daripada emas dan permata serta lebih bersinar daripada bintang kejora.
Saturday, December 17, 2022
Bisik
Thursday, December 15, 2022
Akar
Semakin moden, banyak perkara yang harus dikekalkan dan tak ditinggalkan.
Seni budaya tak harus dipandang sebelah mata. Seni budaya dapat dilihat dalam kaum yang pelbagai seperti cara hidup, penulisan, bangunan, seni pertahanan diri dan makanan. Sebut pasal makanan, awal pagi lagi, Opah sudah membuat lempeng kelapa, Nenek menyebutnya sebelum tidur sebab ada kuah gulai dan cucu-cucu Opah gemar sangat. Dalam filem animasi Mechamato pun ada karipap yang lazat, sarat dengan seni budaya serta aksi yang membuatkan kita bangga dan terpesona.
Seni budaya akan terus bernyawa sekira adanya kita yang teguh dengan jati diri. Setiap daripada kitalah yang harus menjaga seni budaya kerana sesebuah tamadun akan terus berdiri teguh dengan adanya rakyat yang mencintai negara daripada akar umbi.
Tuesday, December 13, 2022
Kering
Musim hujan, salah satu perkara yang dimahukan ialah pakaian cepat kering.
Kering itu banyak makna, perkara dan cerita. Musim hujan pun kalau dapat nasi panas dan ikan kering goreng terasa sangat sedap. Nak makan yang mewah-mewah kena ada duit dan yang selalu cepat kering jika tak diurus dengan elok walaupun musim hujan ialah duit. Lima puluh ringgit hari ini jika dipecahkan sekejap saja boleh habis. Yang selalu tak diinginkan ialah musim kering, iaitu musim kemarau dan tetap kena dilalui serta disyukuri. Musim hujan begini tak sempat kering embun sebab dari malam sudah hujan. Kering embun dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pagi hari kira-kira pukul 8 hingga 9 pagi.
Kita memerlukan kering, kita memerlukan basah. Untuk mendapatkan kering, pakaian perlu dibasuh dan menjadi basah. Kering idea itu harus didahulukan dengan membaca sering supaya akal sentiasa boleh diasah.
Friday, December 9, 2022
Harung
Tuesday, December 6, 2022
Kuasa Berkat
Saturday, November 26, 2022
Bina
Monday, November 21, 2022
Kita Pernah Bersatu
Di jeriji pagi ini
seekor kucing muncul
menawarkan aku
sebagai sahabat tanpa pilih bulu
tatkala hari ini yang masih panjang
dengan tipu daya belum habis
banyak musuh yang memilih diam
kauanggap sahabat kudus
dan yang kaulihat seakan-akan
membenci kerenahmu belumlah pasti
benar-benar musuhmu yang jelas.
Kurungan ini
tiada hirau manusia mana
dan tiada hirau kaum yang mana
kita pernah bersatu kerananya
tanpa perangkap prejudis
tanpa jebak muslihat.
Ternyata dunia ini
sulit dengan putar belit
selagi belum di penjara azab!
Friday, November 18, 2022
Kota Bukti
Media sosial nampaknya terlalu meriah dengan kata-kata sejak tarikh PRU ke-15 diumumkan.
Yang di sana katanya begitu begini, yang di sini katanya begini begitu. Yang sulitnya, yang mendengar dan yang membaca. Cuba untuk memahami dan mentafsir, kadang-kadang betul tafsirnya, kadang-kadang ke laut tafsirannya. Yang di sini katanya demi agama, bangsa dan negara, yang di sana pun begitu juga penegasannya. Hanya yang berkata-kata tahu akan niat dan tujuan sebenar atau tujuan di sebaliknya, yang mendengar dan yang membaca hanya dapat maklumat secara tersurat seperti yang dinyatakan kepada khalayak secara terbuka.
Kita mungkin percaya dan terpedaya dengan kata-kata. Namun begitu, sepatutnya kita lebih percaya dan terpesona dengan kata-kata yang dikotakan atau dibuktikan, iaitu hasil melalui tindakan. Timbang-timbangkanlah!
Thursday, November 17, 2022
Pantun Melayu
Padi sudahlah berbuah,
Berhuma Wak Empuk Wan Malini,
Diberi amanah tolak rasuah,
Maruah terjaga negara disegani.
Pantun Melayu
Wednesday, November 16, 2022
Pantun Melayu
Di Bukit Si Guntang padi berbuah,
Asalnya padi dari Palembang,
Jangan memilih dek amarah,
Guna akal bertimbang-timbang.
Sunday, November 13, 2022
Pantun Melayu
Wednesday, November 9, 2022
Pantun Melayu
Siang malam bila-bila,
Tiba bawa oleh-oleh,
Bantuan datang tak tahu bila,
Wajib bekerja selagi boleh.
Tuesday, November 8, 2022
Pantun Melayu
Elok-elok memilih beras,
Padi sawah padi huma,
Semua mendabik hatinya ikhlas,
Salah pilih tidur tak lena.
Monday, November 7, 2022
Pantun Melayu
Semua mengaku baik-baik,
Mana satu pilihan hati,
Hati mula berbolak-balik,
Salah pilih janji dikhianati.
Saturday, November 5, 2022
Pantun Melayu
Friday, November 4, 2022
Pantun Melayu
Di sana kawan di sini pun kawan,
Duduk semeja lain pendapat,
Lawan tetap kena lawan,
Jangan sekali putus sahabat.
Tuesday, November 1, 2022
Baik Benar
Monday, October 17, 2022
Anugerah
Masa semakin pantas berlari tanpa rasa lelah, kita semakin bertambah usia.
Bertambah usia bererti meningkat dewasa dan semakin tua. Semakin tua, masih dikurniakan kesihatan, itulah nikmat yang paling besar. Masih dapat menikmati dan melalui hari lahir itu pun nikmat yang sangat besar. Terima kasih untuk semua, abah dan mak yang melahirkan, ayah dan mak mentua, isteri dan anak-anak, saudara-mara, sahabat-sahabat di alam nyata dan di alam maya, anak-anak murid, sahabat yang jarang bertemu dan selalu mengingati seperti LHDN, makhluk Allah SWT yang lain seperti kucing, terima kasih atas doa kalian. Moga semuanya dalam perlindungan Allah SWT, diberkati umur, dilimpahkan rezeki dan dikurniakan kesihatan.
Insya-Allah, bertambah usia, diharapkan bertambah pahala kita dan dikelilingi insan yang mengambil berat di sekeliling kita merupakan satu anugerah yang tak ternilai, Alhamdulillah.
Saturday, October 15, 2022
Jati Diri
"Seri Pekan, nama diberi,
Zapin Pekan, namanya tari,"
Memetik sedikit lirik lagu, sudah tentunya lagu ini mengiringi tarian Zapin Pekan.
Seni budaya ada tempatnya dalam setiap tamadun. Seni itu sesuatu yang halus dan kehalusan itu terserlah dalam budaya yang diwarisi dari generasi ke satu generasi. Seni budaya itu sedikit sebanyak akan memberi maklumat dan kefahaman tentang sesuatu bangsa atau tamadun kepada orang yang melihat atau menontonnya. Semalam, Sabtu, 15 Oktober 2022, anak-anak didedahkan dengan Zapin Pahang di Dewan Bandaraya, Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan melalui Bengkel Tatih Zapin Pahang.
Ilmu itu ada di mana-mana dan seharusnya kita menggali ilmu untuk mengenali bangsa atau tamadun kita sendiri. Seni budaya itu boleh membentuk jati diri, Insya-Allah.
Friday, October 14, 2022
Budi Bahasa
Ben atau Abdul Aziz muncul pada hari Khamis, agak lama tak berjumpa.
Ayah lebih banyak bertukar senyuman dengan Pak cik Ben. Tak pandai sangat nak bercakap. "Itulah pentingnya English Education," begitulah kata-kata yang mengingatkan kita kepada Usop Wilcha . Bab ini kena serah kepada Ustaz Fuad, senyum lebar Ben dengar Ustaz berceloteh dan bertanya. Semalam, hari Jumaat, kami bersama-sama berarak sambil sempena sambutan Maulidur Rasul. Sudah boleh dikira pengantarabangsaan, warga Jerman turut sekali dalam perarakan kali ini setelah lama tidak berarak. Waktu makan, bertukar-tukar cerita, mendengar khabar dari Jerman, Jumaat yang meriah.
Globalisasi sudah tidak ada sempadan, bukan setakat di alam maya, di alam realiti pun kita dapat berkawan dengan sesiapa saja tanpa mengira bangsa. Budi bahasa menyatukan kita, Alhamdulillah.
Friday, September 30, 2022
Pahit Manis
Tuesday, September 27, 2022
Empunya
Setiap hari ada saja tragedi berlaku dalam hidup kita dan hidup orang lain.
Tragedi pasti meninggalkan kesan, kesan yang menyedihkan. Kesedihan sudah menjadi lumrah, sebahagian daripada hidup kita. Sedih datang, tak perlu diundang. Pasti tak ada yang mahu bersedih-bersedih, namun sedih kadang-kadang puncanya daripada diri sendiri dan ada juga orang lain buat kita sedih. Takdir juga selalu buat kita sedih. Mahu tak mahu, dalam sedih pun perlu meneruskan hidup. Sedih tetap akan datang dari masa depan, sedih juga pasti kembali dari masa silam kalau selalu sangat mengenangkannya.
Apa-apa pun, banyak juga yang dapat kita belajar daripada tragedi. Daripada tragedi, kita belajar muhasabah diri, kita belajar mengenal diri dan kita belajar mengenal serta mendekati Empunya diri ini, Insya-Allah.
Saturday, September 24, 2022
Juang
Thursday, September 15, 2022
Selagi
Wednesday, September 14, 2022
Abata
Saturday, September 10, 2022
Sepetang
Friday, September 9, 2022
Sekelip
Kekal
31 Julai 2022 bersamaan 2 Muharam 1444 Hijrah, pilihan telah dibuat.
Pagi bertenang-tenang dulu, Mbah Man mencari sarapan, dibawa balik ke tempat penginapan. Lebih kurang pukul 11.00 pagi, kami sudah di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Pasir Panjang, Segari. Mahu ke sini, tertanya-tanya kerana sepertinya tidak akan bertemu kawasan pantai, melalui kawasan ladang sawit, persoalan terjawab, memang ada kawasan pantai. Sudah lama tak bertentang mata dengan penyu. Merujuk laman buzzkini.com yang merujuk Dr. Fitri Yusof, penyu digelar fosil hidup. Penyu hidup sejak zaman dinosaur lagi, kira-kira lebih 200 juta tahun dulu. Teruja pastinya melihat ada penyu yang besar dan berenang-berenang beriringan.
Apa-apa pun pilihannya, tetap menemukan kita dengan sesuatu. Semua ini tentang kita, alam dan manusia yang saling memerlukan, yang saling melengkapi, tanggungjawab kita untuk mengekalkannya.
Sunday, August 14, 2022
Panduan
Ruang
Tuesday, August 2, 2022
Guna
Friday, July 29, 2022
Gantung
Monday, July 11, 2022
Korban
Friday, July 8, 2022
Bangkit
Pagi, 9 Zulhijah, selepas solat subuh, takbir raya bergema. Esok Aidiladha.
Malam tadi, penuh kehangatan, di luar dan di dalam. Di luar pawagam, orang yang ramai, ada yang bertanjak, ada yang bercapal. Di dalam pawagam, bertambahlah kehangatan, seperti mana juga kehangatan di media sosial, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan menjadi perhatian dan sebutan. Filem yang baik seperti mana juga penulisan yang baik, akan menimbulkan atau mencetuskan rasa ingin tahu yang tinggi kepada penonton dan pembaca. Rasa ingin tahu yang tinggi membuatkan sesiapa saja yang menonton atau yang membaca akan menyelongkar kisah di sebalik penceritaan atau di sebalik penulisan serta kembali membaca untuk lebih tahu.
Maka, sejarah perjuangan akan terus hidup selagi mana kita disajikan filem yang digarap dengan hebat dan disajikan penulisan atau kata-kata yang berkesan untuk membangkitkan semangat, Insya-Allah.
Monday, July 4, 2022
Bijaksana
Apabila harga minyak naik, semua orang berbunyi dan tertanya-tanya.
Menurut pandangan orang awam, harga minyak masak dan minyak kenderaan tak patut naik harga. Kita ada banyak minyak, kenapa harga boleh naik? Apabila minyak naik, harga barang-barang akan naik. Apabila harga barang naik, tentulah perbelanjaan bertambah. Minyak tetap satu liter, harga makin mahal. Sebiji kuih karipap pun seharusnya masih sama besar, bukan semakin kecil atau intinya semakin kurang dan harga sudah pastilah akan makin mahal. Orang yang pakar dalam ekonomi sepatutnya memberi penerangan yang jelas supaya orang awam faham serta memikirkan kaedah yang terbaik untuk menstabilkan harga barangan.
Kenaikan harga bukanlah saja mencetuskan rasa panik, bahkan membabitkan perbelanjaan isi rumah atau keluarga serta melibatkan kuasa beli pengguna. Kebijaksanaan dalam penyelesaian masalah diperlukan ketika ini dan bukannya jawapan yang menjengkelkan hati.
Friday, July 1, 2022
Diburu
Saturday, June 18, 2022
3H
Thursday, June 16, 2022
Ada
Wednesday, June 15, 2022
Abaikan
Esok 16 Jun, keputusan SPM akan diumumkan.
Menanti hari esok, malam ini apa fikirnya? Memikirkan perkara yang bakal berlaku esok kadang-kadang amat memenatkan dan menyeksakan. Apa kata saat yang ada ini, kita nikmati saja. Ingat saat yang menggembirakan kita. Semalam Harimau Malaya menamatkan kemarau yang panjang, layak ke Piala Asia 2023 setelah mengalahkan Bangladesh, lebat hujan gembira. Sesuatu yang menggembirakan kita mungkin ada di sekeliling kita atau kita sendiri sebenarnya boleh menjadi pencetus kegembiraan buat orang lain tanpa kita ketahui.
Bergembiralah dan raikan saat yang kita ada ini walau kadang-kadang kita selindungkan duka lara dengan senyuman yang cukup manis untuk menggembirakan orang yang menghargai kita. Abaikan esok sebentar.
Monday, June 6, 2022
Pijak
Tak Perlu Tunjuk
Setiap hari, mungkin kita terpaksa berhadapan dengan yang bodoh sombong dan terpaksa menjaga hatinya, entah berapa banyak kesabaran yang kita perlukan, kita pun tak pasti.
Orang bodoh selalu menemui orang yang lebih bodoh untuk mengaguminya," ujar Nicolas Bolleau-Despreaux. Yang lebih parah, ada si bodoh berpakat untuk membodohkan orang lain dengan kebodohannya untuk menutup salah silapnya sendiri serta disebabkan hasad dengki. "Orang yang bijaksana sedar betapa sedikitnya yang dia tahu; hanya yang bodoh menyangka dia tahu segala-galanya," itu kata-kata daripada Jawarhalal Nehru.
Bodoh tak perlu tunjuk pun boleh orang nampak, begitu juga bijak. Maka, berhatilah dengan kata-kata dan tindak-tanduk kita kerana bukan hubungan dengan Pencipta saja yang perlu kita jaga, dengan manusia pun sama.
Friday, June 3, 2022
Budaya
Nak jadi budaya, perlukan komitmen, masa dan konsisten.
Untuk membentuk budaya cemerlang dalam apa-apa jua bidang atau lapangan, putus asa perlu dihindari sama sekali. Tidak berputus asa wajar dipegang dan digenggam erat kerana bukanlah hanya ada satu jalan untuk berjaya. Bukalah minda kita, cemerlang itu tidak bermaksud mesti berada di tempat yang paling atas dan wajib menewaskan atau menumbangkan sesiapa saja, namun jika ada sebarang peningkatan (walaupun sedikit) ke arah yang lebih baik dalam diri, kumpulan dan organisasi, itu sudah dikira cemerlang. Yang paling penting, komitmen, masa dan konsisten telah dilabur untuk mendakap cemerlang.
Kita ialah juara selagi mana kita tidak berputus asa! inilah yang perlu dibudayakan, Insya-Allah.
Saturday, May 28, 2022
Di Sana
Subur
Kita semua mahu jadi lebih baik. Tak tahulah kalau ada yang tak mahu jadi lebih baik.
Merujuk buku Mutiara Kata susunan Adi Al-Hadi, kata William Faulkner, "Jangan fikir untuk menjadi lebih baik daripada mereka yang lebih lemah atau lebih hebat daripada anda. Cubalah menjadi lebih baik daripada diri anda sendiri." Kita semua tahu bahawa tidak ada batasan atau sempadan untuk kita menjadi lebih baik. Setiap detik yang datang pastinya ada saja perkara yang sedang kita lakukan sama ada seorang diri atau dengan orang lain. Mencabar diri melakukan sesuatu dengan lebih baik cukup menyeronokkan, dengan syarat tidak putus asa kerana kadang-kadang badai yang kuat itu bukanlah datangnya dari luar tetapi datangnya dari dalam diri sendiri.
Benih 'lebih baik' itu perlu disemai ke dalam tubuh supaya tumbuh dan subur sepanjang masa dalam jiwa kerana kita semua mahukan sesuatu yang lebih berlaku pada setiap detik dan detak yang akan ditinggalkan.
Friday, May 27, 2022
Dengar
"Malas nak dengar!" tiba-tiba Adik berbunyi sewaktu keluar dari rumah.
"Dengar apa?" Ayah bertanya. Dia tak menjawab pun soalan Ayah. Kadang-kadang ada perkara yang malas kita nak dengar dan kita boleh memilih untuk tak mendengarnya, ada juga perkara yang terpaksa kita dengar kerana sangat berkaitan dengan kita dan ada juga yang boleh kita pilih mana-mana saja bahagian yang kita nak dengar daripada semua yang diperkatakan. Mendengar satu proses penting dalam menerima maklumat untuk menyebarkan kebaikan dan kebenaran.
Sesuatu yang didengari seharusnya memberi kebaikan walaupun pahit, memberi kegembiraan walaupun sakit dan memberi semangat walaupun penat selagi mana jantung berdenyut.
Raikan
Menjelang hari raya, akan ada beberapa aktiviti telah disusun dan kebiasaannya menjadi acara wajib sebelum raya. Khamis 27 Mac, Majlis ...
-
Baulu atau bahulu? Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ejaannya BAULU. Baunya pun dah sedap. Rasanya sudah tentu sedap.Baulu memang sedap. Berta...
-
Ada empat maksud tongkol dalam Kamus Edisi Keempat. Salah satu maksud tongkol ialah tempat butir-butir jagung tumbuh atau mel...
-
'Di sini Pemimpin Dilahirkan', Ayah terbayang-bayang perkataan ini, tertulis di atas bumbung bangunan di bahagian tangga utama untuk...