Skip to main content

Posts

Showing posts from September, 2016

Telur

Hari khamis abang membawa balik kertas iklan tentang Pameran Pendidikan Seni Dinosaur.
    Pameran di Kuantan Parade ini bermula 30 September hingga 3 Oktober 2016, jam 10 pagi hingga 10 malam. Bayaran masuk kanak- kanak RM 4 dan dewasa RM 8.
    Jumaat malam Sabtu ayah dan emak membawa anak-anak ke Pameran Dinosaur itu. Seperti biasa, ayah jenuh mengejar adik. Panjang barisan di hadapan khemah.
    Ramai yang bergambar dengan replika T-Rex yang besar di hadapan khemah. Sebaik sahaja masuk, abang dan angah memakai kaca mata 3D untuk melihat dinosour yang berlari skrin televisyen. Ayah pun mencubanya dan dinosaur seperti betul-betul dekat di hadapan ayah.
     Ayah mendukung adik. Keadaan di dalam khemah yang menempatkan dinosaur itu agak gelap dan pencahayaannya mengggunakan cahaya kuning yang agak suram untuk menimbulkan keadaan yang lebih nyata.
   Emak seperti dalam cerita 'Night at The Museum' menerangkan kepada abang jenis-jenis dinosaur sambil menjawab soalan tentang d…

Sebelah

Kami memilih tempat yang menghadap televisyen. Kemudian, kami kecuali angah ke tempat ikan-ikan, sotong, ketam dan siput-siput untuk memilih yang menepati selera malam ini.
    Emak menjentik-jentik kulit ketam untuk mendengar bunyi bagi memastikan ketam itu berisi. Dua ekor sotong sederhana besar dipilih emak untuk dibuat sotong goreng tepung. Ketam dibuat ketam telur masin. Setelah duduk, air barli suam menjadi pilihan.
      Adik mula ke hulu ke hilir. Dia berhenti duduk berjongkok melihat kucing. Sotong goreng tepung sampai, masing-masing mengisi perut. Air sampai lebih awal. Anak-anak suka makan barli yang mendap di dasar gelas.
     Ketam pun tiba. Emak menyuap anak- anak makan ketam. Ayah mengawasi adik yang panjang langkahnya.Adik kembali ke meja dan ayah pun duduk menggigit kaki ketam.
     Abang pun menyertai adik bermain. Dia memakai selipar. Dia menyarungkan selipar dengan kakinya yang berselipar. Dua selipar dipakainya sekali gus. Emak berhenti makan. Ayah menghabiskan ke…

Jilat

Ayah, emak dan anak-anak ke East Coast Mall yang berhadapan dengan Hotel Zenith. Anak- anak cukup gembira berada di kompleks beli-belah. Ayah turut berlari seperti  mereka agar mereka tidak terlepas daripada pandangan ayah.
       Adik pula pantang melihat eskalator. Dia akan meluru ke arah eskalator dan ayah meluru ke arahnya lalu mencempungnya. Dia tidak berhenti tersengih. Abang-abangnya pula melihat kompleks beli-belah ini bagaikan trek larian di padang.
      Mereka berlari dan kadangkala sengaja menjatuhkan diri.Adik pun  menjatuhkan diri kerana meniru abang-abangnya dan ayah cepat-cepat mengangkatnya kerana dia menjilat lantai pasar raya.
        Akhirnya, abang-abangnya berjumpa dengan Pikachu yang besar tetapi pokemon yang ini tidak boleh ditangkap oleh aplikasi permainan Pokemon Go.
        Pokemon Go dihasilkan Niantic Labs, yang diasaskan oleh John Hanke, 49 tahun. John Hanke ialah orang yang membina Google Maps dan Google Street View (sumber: Dewan Masyarakat, Sep…

Meragam

"Ini botol adik!," kata abang. Dia merampas botol yang dihisapnya adiknya dan menghulur botol pada tangannya.
    Ada ketikanya adik mengambil botol susu dan menyambung menghisap susu dan sekarang dia sudah pandai merajuk.
     Berurusan dengan anak kecil sedikit sukar kerana bagi dia, kita perlu mengikut arahan atau kehendaknya. Jika tidak diikuti, akan berpanjanganlah ragamnya dan adik akan menjadi mangsa.
    Ayah dan emak perlu lebih kreatif untuk menyelesaikan perkara yang timbul dengan cepat supaya  segalanya tidak berlarutan.
    Bergembiralah ayah untuk menghadapinya kerana jika ayah tidak gembira, ayah pun akan meragam macam anak-anak dan anak-anak yang meragam berhenti meragam melihat ayah pula yang meragam.

Tidak Nampak

Apabila adik hendak bermain bersama-sama abang, abang selalunya merasakan adik mahu mengganggu mereka.  Adik masih tidak memahami apa-apa yang dimainkan abang-abang.
   Apabila abang  melarikan diri atau
menolak adik ke tepi, adik seperti memahami dan dia turut melarikan diri. Ada masanya ayah melarikan adik untuk mengelakkan ketegangan. Kadang-kadang adik bermain seorang diri setelah angah dan along hanya bermain sesama mereka.
    Adik pun masuk ke dalam bakul mainan yang muat-muat untuk dirinya sahaja dan menyuruh ayah menolak dan menariknya yang berada di dalam bakul. Selalunya dia masuk dalam bakul besar.Adik berasa cukup seronok.
     Setelah dia jemu duduk di dalam bakul, bakul itu 'disarungkan' seperti topeng. Bahagian kepala dan mukanya ditutupi bakul kecil. Dia berjalan dalam keadaan tidak nampak dan mujur tidak terlentang melanggar sofa.

Sengih

Pagi ini adik bangun awal. Tersengih dia masuk ke dalam bilik membawa kereta tolaknya.
    Semua benda mahu dimasukkan ke dalam tempat menyimpan barang yang terdapat di bawah tempat duduknya yang boleh diangkat itu.
    Mungkin selepas ini, botol susu, kaca mata ayah,   kunci yang tertinggal  di atas sofa  dan apa-apa sahaja yang boleh muat di dalamnya perlu dicari di situ jika ayah tidak menemukannya.

Selop

Kasut, selipar, sandal, selop, sepatu, dan capal semuanya adik suka. Ada masanya selipar Jepun ada di ruang tamu.
    Kasutnya sendiri pun dibuat main. Emak menemukan sebelah lagi kasut adik di dalam laci permainan setelah ayah dan emak menyelongkar satu rumah mencari kasutnya itu.
    Ada masanya, capal ayah kehujanan kerana adik memakainya dan meninggalkan di kawasan rumput karpet. Satu pagi, ayah mencari kasut kerja ayah dan mendapati kasut ayah berada di tepi kereta.
    Setelah membuka  pintu rumah, ayah sudah nampak kasut sukan emak yang berwarna merah jambu di depan pintu pagar luar. Apabila abang membuka pintu rak kasut, adik juga turut sama 'sibuk' mengeluarkan satu- persatu kasut yang ada di dalamnya.
      Yang membuatkan ayah berlari mendapatkannya apabila dia mula menggigit selipar.

Syarat

Perkara yang sedikit sukar adalah untuk menggerakkan anak-anak mengutip dan menyimpan kembali permainan mereka setelah bermain.
     Jika disuruh berkali-kali pun, akhirnya emak dan ayah kena mengemas sendiri dan mulalah mulut ayah tidak diam mengomel pasal anak-anak.
       Ada syarat utama jika mahu bermain Pepsi Cola kata emak kepada along dan angah. Anak-anak cukup suka mendengar perkataan 'bermain' selain perkataan 'mainan'atau 'perkataan 'permainan' seperti yang telah diceritakan ayah tempoh hari.
       Jika bermain Pepsi Cola dalam keadaan ruang tamu yang yang bersepahan dengan permainan yang kecil dan besar, kaki akan cedera atau sakit terpijak permainan. Jadi, semuanya perlu dikutip dan disimpan di dalam bekasnya.
        Kerja pembersihan menjadi cepat dengan adanya aktiviti bermain dan kerja tersebut akan dilakukan oleh anak-anak sendiri tanpa perlu dipaksa.
      Ayah tidak dapat mengingat cara permainan Pepsi Cola ini dimainkan tetapi main pi…

Doktor

"Muka Umi kalau diterbalikkan macam buah strawberi," kata along tiba-tiba bersuara. Kami hanya tersenyum. Macam-macam yang difikirkan oleh anak-anak.
   Adik pula tengah meragam sebab terlalu mengantuk. Serba tidak kena dibuatnya untuk mendiamkan dan menidurkannya. Dia di atas ribaan emak dan ada masanya dia meluncur turun ke bawah sambil menangis.
     Angah sedang bermain dengan dinosaur. Belum sampai di rumah, kaki dinosaur angah hampir tercabut. Sampai di rumah, dinosaur angah tidak boleh berjalan.
   Jadi,  ayah menampal pita pelekat pada kaki dinosaur angah. Barulah dinosaur angah boleh berjalan. Itu pun berjalan perlahan kerana telah 'tercedera'. Abang panggil ayah Doktor Dinosaur.
    Nasib baik angah dapat menerima 'kawan' baharunya yang 'tercedera' itu. Jika tidak, jenuh ayah dan emak kena membujuknya.

Lain

Emak cakap ayah  jadi lain apabila berurusan dengan orang lain. Ayah pun teringat pada zaman dahulu kerana opah menegur ayah tentang perkara yang sama.
    Waktu itu  waktu makan tengah hari. Ayah melayan budak perempuan itu yang sebaya dengan adik  ayah semasa makan tengah hari. Waktu itu opah cakap kalau anak orang lain boleh dilayan dengan baik, sepatutnya adik sendiri  pun dilayan dengan baik.
     Ayah berfikir dan mendapati perkara itu benar. Misalannya, waktu pagi apabila terlambat selalunya anak-anak dan emak tidak mendapat layanan yang sepatutnya kerana kesuntukan masa dijadikan alasan.  Masa tetap berjalan sama ada kita cepat atau lambat. Kita perlu berlaku adil terhadap semua orang.
        Ayah baru terjumpa kata- kata John Locke, setiap bapa yang mahu dihormati dan dipatuhi oleh anak-anaknya harus menghormati anak itu dan Theodore Hesburgh pula berkata bahawa  perkara  paling penting yang boleh dilakukan oleh seorang bapa untuk anak-anaknya ialah menyayangi ibu mereka.
  …

Sudu

Kebiasaannya emak menyuap adik makan. Kali ini adik hendak suap sendiri. Emak biar sahaja adik menggunakan sudu.
    Adik sudah pandai menggunakan sudu rupa-rupanya walaupun ada nasi yang disuap tidak masuk ke dalam mulutnya kerana sudu itu besar.
    Dalam peribahasa Melayu, terdapat peribahasa yang menggunakan perkataan 'sudu'. Antaranya, bubur kurang sudu lebih yang bermaksud  perkara kecil menjadi besar kerana dipercakapkan orang; pengetahuan sedikit tetapi terlalu besar cakapnya.
    Kita sentiasa bercakap dan perlu memilih perkataan yang tepat untuk diungkapkan kerana kata-kata ada masanya setajam senjata.

Mulut

Angah dan along sering bertengkar mulut.
     Kadang-kadang along mengatakan bahawa dia ada sesuatu dan angah tidak ada. Angah pun ada masa cakap perkara yang sama.
     Pada masa yang lain,  angah mengatakan bahawa apa-apa yang dipunyai dia lebih baik daripada  along. Along pun ada masanya kata begitu kepadanya.
      Sebab itu peribahasa Melayu menyatakan bahawa sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa. Maknanya perkataan yang tajam itu kerap kali mendatangkan kecelakaan kepada diri sendiri.
      Mula-mula bertengkar mulut, kemudian bergaduh. Semuanya kerana mulut. Bukanlah senang menjaga mulut, walau bagaimanapun cubalah untuk menjaga mulut.

Gigit

Emak tengah buat kerja. Adik main atas meja. Abang tengah melukis gambar Batman. Bandar bernama Batman ada di Turki.
    Ayah suka Batman sebab dia manusia biasa yang menggunakan teknologi dalam mencegah jenayah. Dalam masa yang sama dia merantau dan mencari ilmu untuk mengatasi ketakutannya dengan belajar seni pertahanan diri.
     Apabila abang melukis, adik pun ambil pensel juga dan emak cakap adik pegang pensel macam pegang berus lukisan. Nampak sahaja pemadam, dia memasukkan ke dalam mulutnya dan menggigitnya. Ayah memintanya tetapi dia terus menggigitnya.
       Emak pun bertanya, " Mana pusat?"
      Serta-merta dia meluahkan pemadam di dalam mulutnya untuk menunjukkan pusatnya. Emak berjaya mengalihkan perhatiannya dan itulah yang perlu ayah banyak belajar daripada emak.

Sama

Abang memakai baju Utraman. Angah juga mahu memakai baju Ultraman. Baju ultraman angah tidak ada, yang ada hanyalah baju Ben 10 dan baju Batman.
    Disuruhnya juga ayah mencari baju Ultraman untuknya. Ayah menyelak-nyelak  baju yang dikutip petang tadi mengikut kehendaknya. Memang tidak ada bajunya. Jadi, dia tidak memakai baju. Sebelum itu pun, seluar bercorak celoreng askar yang disarungkan ayah dicabutnya kerana dia mahu memakai seluar trek seperti abang. Mujur ada seluar trek yang hampir sama.
    Sekarang waktu dia mahu segalanya seperti abang. Banyak baju yang sama warna, sama corak dan sama gambar.
     Akhirnya, dia datang dekat ayah dan menyatakan bahawa dia mahu memakai baju Ben 10 sekejap sahaja. Dia tertidur dengan memakai baju itu kemudiannya.

Bertuh

Air atau H2o sangat kita diperlukan. Tengah hari tadi abang tidak mahu makan. Abang meminta ayah membancuh milo panas. Dia mahu cicah biskut dengan air milo.
    Adik pun sejak pandai menyebut air,pantang nampak air akan diminta dia. Apabila ada air di atas meja, ayah mula risau kerana tangan adik bukan boleh duduk diam. Kadang-kadang kerisauan ayah menjadi kenyataan kerana tangan ayah sendiri bertuh dengan gelas.
    Apa-apapun banyak ragam dan banyak mulut apabila anak-anak mula menyentuh air. Malam ini pun angah tunjuk teknik minum air di meja makan.

Warna-warni

Hari ini hari penghulu segala hari. Hari ini Hari Malaysia. Hari ini juga kita dikejutkan dengan berita sedih, tokoh agama, Tuan Guru Datuk Dr Haron Din telah meninggalkan alam ini. Al-Fatihah untuknya.
    Sebentar tadi adik mengaduh kesakitan diserang semut-semut gatal yang merayap. Tergaruk-garuk dia dibuatnya. Abang yang duduk di atas kerusi malas tiba-tiba bersuara, "Selamat Hari Malaysia." Dia mengajuk cakap tukang baca berita di televisyen.
     Selepas solat Jumaat, kami bergerak balik dan singgah di kampung melawat emak saudara dan nenek serta yang lain. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan. Bendera Malaysia besar terus berkibar sewaktu di lebuh raya.
     Hidup ini penuh dengan warna-warni. Warna-warna ini melambangkan banyak perasaan. Perasaan-perasaan ini yang mewarnai hidup kita selagi bernafas.

Lelap

Tiap-tiap kali makan malam, angah tidak makan. Bukan sebab dia tidak lapar, sebabnya dia keletihan bermain dan tertidur.
  Malam pertama di Langkawi, dia tidur di kedai makan Padang Lalang. Hari kedua, belum pun maghrib, dia melelapkan mata di restoran nelayan di jalan Bukit Malut.
    Malam ini di Nara, dia sudah memejamkan mata lebih awal dan ayah mendukungnya serta membaringkannya di atas kerusi. Mujur petang tadi dia sudah makan ayam goreng sewaktu kami berhenti makan durian di Meru.
    Mencari  kedai makan yang dibuka walaupun sudah Aidiladha keempat agak mencabar kerana masing-masing balik kampung. Begitu juga di Langkawi tempoh hari.
     Kami masih menunggu makanan dan kopi ais ayah sudah sampai.

Masin

Pagi ini anak-anak masih keletihan,pagi semalam mereka bermain air di kolam yang menghadap pantai Cenang.
     Mereka memanjat gelongsor dan menggelongsor terus ke dalam air. Abang dan Aidiladha tidak mempedulikan sejuk air dan keriangan terpancar di bawah mereka. Ayah merendam adik ke dalam dan kaki digerak-gerakkan.    
      Emak berenang sambil membawa angah ke tempat yang sedikit dalam. Anak-anak yang lain pun sama. Masing-masing menunggu giliran untuk menggelongsor ke dalam air. Kolam air ini setentang dengan calet kayu dan terdapat calet yang menghadap Cenang.
     Ayah membawa adik ke pantai. Ayah duduk di atas pasir dan  menunggu ombak yang bergulung datang menyergah. Adik agak terkejut apabila ombak melanggar dia yang di dalam pelukan ayah. Ayah bergerak dirempuh ombak.
     Kemudian, dia seperti menunggu sahaja  ombak kembali. Dia mengecap bibir. Air memercik ke mukanya. Mungkin dia merasai kemasinan air laut.
     Pacuan empat roda bergerak perlahan membawa jet ski. Kelih…

Derum

Pesawat di udara dan kami di dalam perut Malindo. Kami meninggalkan Langkawi tatkala langit sedang merah dan kelihatan awan  berambal-ambalan.
    Masih kelihatan pulau-pulau di sekitar Langkawi di sebelah kanan dan di sebelah kiri kelihatan cahaya-cahaya menerangi Langkawi dilihat dari cermin tingkap pesawat. Angah sudah belayar.
     Petang tadi kami Ke Kuah, singgah di Haji Ismail Group. Sebelumnya, kami singgah di tepi pantai yang terletak di sebelah lapangan terbang. Kami menikmati laksa sambil dihiburkan dengan deruman enjin pesawat yang berlepas ke angkasa dan mendarat ke bumi.
      Malam ini Malindo mendarat di Subang. Ayah dan emak tidak dapat mendengar deruman enjin Alza. Mulanya disangka bateri 'remote control' sudah kehabisan kuasa tetapi sebenarnya bateri kehabisan kuasa gara-gara lampu di dalam kereta tidak ditutup.
      Mujur adik ayah menghubungi kawannnya di Kampung Melayu Subang. Alhamdulillah enjin hidup kembali dan jutaan terima kasih diucapkan. Hanya All…

Benua

Pagi ini juga Cenang tenang. Malamnya Cenang seperti seakan tidak mahu tidur. Paginya aktiviti lebih bertumpu di pantai.
    Malam tadi masa dihabiskan di sini. Cenang begitu sibuk melayan tetamu di kaki lima mahupun di dalam perut kedai.   Masing-masing menjamu mata, menjamu selera dan menjamu kehendak.  Pelbagai bangsa  dari  benua yang  ada berada  di sini.
     Sebut pasal benua, ada satu peribahasa yang berbunyi seperti burung gagak pulang ke benua. Maknanya orang pulang merantau jauh yang tidak bertambah pengetahuannya.
        Sebelum kita ke mana-mana atau sebelum kita pergi 'bangsat', kita perlu ada misi atau matlamat yang jelas, barulah apabila pulang semula kita akan membawa pembaharuan atau perubahan yang lebih baik dan bertambah pengetahuan. Orang Kedah sebut 'bangsat' yang  membawa maksud merantau atau mengembara.
        Ayah mengharapkan anak-anak ayah dapat sesuatu di tanah Mahsuri. Pagi ini mereka masih keletihan dan ayah masih memerhati ke arah luar…

Keberanian

Tempat ini anak-anak memang suka. Masuk sahaja kami disambut kakak. Kakak yang langsung tidak berbunyi. Kebiasaannya ada bunyi. Kakak tua ini hanya menyepikan diri.
   Setelah membayar untuk mendapatkan makanan bagi haiwan di sini, bermulalah pengembaraan hari ini. Pengembaraan anak-anak untuk  menemukan  keberanian.
     Atuk begitu seronok menyuap  burung yang mirip kakak tua tetapi lebih kecil. Begitu juga nenek dan opah. Angah menghulur lobak kepada rusa India dan memberi rakun makan kacang. Aidiladha leka memberi makan anak itik yang agak banyak.
      Di setiap kurungan ada ditampal gambar dan tulisan yang menunjukkan gambar makanan binatang- binatang tersebut. Abang melihat gambar dan membaca sebelum memberi makanan.
     Abang berjaya menyuap epal ke mulut kancil. Emak begitu teruja kerana ikan yang digayut pada tali di hujung kayu akhirnya disambar buaya di udara. Ayah pula menggosok kepala ular sawa dan kulitnya terasa lembab. Akhirnya ayah sempat bergambar dengan empunya se…

Merah

Pagi di Cenang tenang. Pagi-pagi lagi ada yang mengejar ombak dan dikejar ombak. Berenang di Cenang mengharung ombak pagi pun ada.
   Sekawan merpati tak henti berjalan dan terbang kemudiannya melayah di sekitar pantai rezeki. Beralih tempat mencari makanan. Dari kejauhan terlihat Langkawi Permata Kedah.
    Deburan ombak cukup mengasyikkan. Menanggalkan selipar dan memijak kulit-kulit cengkerang kecil yang bersepahan bagaikan satu terapi.
    Di sebelah Putumayo, semakin ramai memenuhi gerai kecil berpayung membeli nasi lemak untuk 'menyorok'. Semakin ligat dia  membungkus nasi lemak untuk pengunjung pantai yang mula kelaparan.
   Anak-anak bersemangat dengan baju merah untuk mencari pengalaman seterusnya. Aidiladha dikejutkan.

"Hang Pi Mana?"

Malam ini anak-anak mengangkat bendera putih. Semua keletihan kerana mandi kolam.
    Malamnya ke Ulu Melaka mencari pasar malam tetapi tidak ditemui. Maka bermulalah episod perut berkeroncong mencari tempat makan untuk disinggah di bumi Mahsuri ini.
     Ayah pun terus kenderaan panjang yang dipanggil 'urvan' walaupun sudah tidak lama memandu secara manual dan terasa seperti sedang menjalani ujian memandu untuk mendapatkan lesen 'L'.
     Makanan baru sahaja disajikan di Kampung Padang Lalang. Sotong celup tepungnya cukup enak. Kedai ini berhadapan pintu gerbang Kampung Padang Lalang dan di sebelah TM Padang Lalang.
     Esok "hang pi mana?"

Kerbau

Malindo mendarat di bumi Helang. Sewaktu pesawat semakin hampir mendarat, kelihatan petak-petak sawah menembusi tingkap.
    Abang sudah terlentok. Angah pun sama. Adik bermain cak-cak dengan kakak yang baru ditemui di tempat duduk belakang.
     Ayah, emak, atuk,opah dan nenek menikmati panorama yang bukan selalunya dinikmati setiap hari. Aidiladha ralit membaca buku.
     Di dalam van, anak-anak pakat berlagu.
      " Kerbau oh kerbau kenapa engkau kerbau?"
    "Eh, macam tu ke lagunya?"
Masing-masing mengekek kelucuan.

Selera

Habis azan maghrib, takbir raya berkumandang.
     Malam raya riuh-rendah dengan suara anak-anak dan sepupu-sepupunya.  Bunga api bercahaya di langit. Entah siapa-siapa yang bermain dan tidak kelihatan dari depan rumah. 
     Anak-anak berlarian ke luar rumah melihat bunga api menerangi malam Aidiladha.
     Juadah tradisional dan juadah moden di atas meja kopi. Masing-masing menikmati berselera.
     Selamat Hari Aidiladha diucapkan ayah. Maaf zahir dan batin.

Tenang

Anda mahu rasa lebih tenang dan bahagia? Banyak cara digunakan orang mendapatkan kebahagiaan dan ketenangan.
    Masa ayah kecil, ayah suka sangat pisang. Sampailah sekarang, ayah suka makan pisang. Anak-anak ayah pun suka sangat makan pisang.
     Mengikut kajian, pisang mampu membuat perasaan seseorang menjadi lebih tenang dan bahagia.
     Apalagi, jom makan pisang!

'Chef Kecil'

Ayah terlelap di bilik abang. Emak mengemas baju untuk dibawa balik ke kampung. Abang menonton ultraman. Adik ke hulu ke hilir.  Kawasan dalam rumah seperti taman permainan bagi adik.
    Tiba-tiba emak datang mengejut ayah. Emak cakap pergi tengok di dapur. Ada yang telah main beras. Ayah ingat adik sebab tempat simpan barang di bawah sinki dan di bawah dapur jika terbuka, adik pasti ke situ.
    Rupa-rupanya angah. Dia berdiri di atas kerusi yang dirapatkan ke singki. Penuh periuk sehingga melimpah beras yang dituang ke dalam periuk di dalam singki. Dia tengah meramas-ramas beras yang dipenuhi air di dalam periuk.
   Mahu masak nasi kata 'chef kecil' kepada ayah.

Manggis

Pagi ini sudah tidak kedengaran salakan anjing. Yang kedengaran Si Jalak bersahut-sahutan berkokok. Begitu juga Cik Murai yang sangat peramah tiadanya henti-henti berkicau.
    Ayah mendukung angah ke belakang rumah. Manggis  begitu lebat tahun ini. Tahun sebelumnya lebat buahnya tetapi isinya tidak boleh dimakan. Buah-buah berkehitaman di bawah pokok.
      Ayah meletakkan angah di atas kayu yang disusun seperti pangkin. Ayah mencapai manggis dengan tangan. Kemudian, ayah menjolok manggis dengan galah.
     Opah berada di dapur. Dapur setentang dengan pokok manggis. Opah menyuruh ayah menggegarkan dahan manggis dengan menarik menggunakan penyangkuk pada galah. Sebelum itu, ayah  memepah dahan tetapi tidak ada yang gugur.
       Angah sudah berkali- kali menyuruh ayah membasuh kakinya yang terpijak tahi ayam yang ada di atas pangkin.
      Keunikan buah manggis yang perlu anak-anak ayah tahu ialah di bahagian bawah buah manggis menunjukkan bilangan isi di dalam buah manggis. Sebab i…

Api

Ada api!
                     Ada api!
          Ada kebakaran hutan!Itu kata abang dalam perjalanan ke kampung setelah melihat api yang menyala-nyala di suatu kawasan yang dilalui.
    "Kebakaran hutan akan menyebabkan apa?," tanya emak.
     Masing-masing meneka. Angah pun menjawab, "Jerebu.
     Emak dan ayah terkejut.
      "Siapa bagi tahu?," tanya kami.
      "Muallimah bagi tahu," kata angah.
        "Zika?," tanya emak lagi.
        " Zika jadi sebab nyamuk. Kalau orang mengandung kena zika, anak yang lahir mukanya jadi macam orang tua," balas abang. Yang itu emak cerita kepadanya.
     Ya, ini juga salah satu aktiviti di dalam kereta.

Kejar

Woof! woof!
                    Woof! woof!Tidak henti-henti salakan anjing. Sejak tadi lagi anjing berbunyi. Jika di kampung, pagi-pagi yang galak berkokok si jalak (kata abang ayam jantan di panggil si jalak) dan yang bermulut murai berkericau, tentulah cik murai.
      " Cuba abang pergi tengok anjing tu," ayah mengusik.
       " Mana boleh. Anjing kan kejar orang yang  tak dikenali,"balas abang.
     Agak-agaknya apakah jawapan ayah dan orang lain? Itu jawapan budak darjah satu.

Tinggal

Buai laju-laju,
                    Sampai pokok sena,
               Balik raya jangan laju,
                    Raya pasti kan tiba.Aidiladha menjelang tiba. Cuti sekolah pun dah bermula. Masing-masing dah ada perancangan.
     Jangan ada barang penting yang tertinggal. Jangan ada yang kemas barang dalam beg lain, bawa masuk ke dalam kereta beg lain. Jangan ada yang kemas barang dalam  kereta lain, balik ke kampung naik kereta lain. Jangan ada yang dah sampai ke simpang empat, berpatah balik kerana anak tertinggal  di dalam buaian.
     Selamat bercuti raya korban ayah ucapkan.

Ujian

Yang seorang sudah berumur tujuh tahun. Yang seorang lagi tidak lama lagi mencecah angka empat.
     Abangnya sudah mula pandai mengalah. Si adik masih tidak 'reti bahasa' dan sentiasa mahu menang. Apabila abang selalu mengalah, ada masanya dia akan naik angin kerana menganggap emak dan ayah selalu memenangkan adik.
       Apabila dua-dua buat perangai, emak dan ayah mula pening kepala. Masing-masing tidak mahu mengalah dan pergaduhan tercetus. Masa ini amarah cukup dicabar. Ada masa tewas, ada masa menang tatkala diserang amarah.
         Anak-anak itu satu ujian.

Fikir

Ayah bergegas keluar untuk ke sekolah. Ayah membuka pintu kereta dan menutupnya.
       Ayah mengundurkan kereta ke arah jalan. Kemudian, ayah menoleh ke kiri dan menoleh ke belakang.
       Ayah memandu kembali kereta ke dalam garaj. Dari dalam kereta ayah nampak along melambai-lambaikan tangan dari dalam kereta Alza.
        Ayah keluar dari perut Myvi. Ayah masuk ke dalam perut Alza. Ayah silap memandu kereta. Angah masih lena di kerusi belakang.
         Ayah cakap kepada along ayah terlalu banyak berfikir sampai silap naik kereta.

Hibernasi

Beruang kelabu tinggal di Banjaran Rocky. Beruang kelabu mendapat nama ini kerana mempunyai bulu kelabu. Panjang badannya 1.2 meter hingga 2.5 meter.
    Beruang akan berhibernasi pada musim sejuk kerana kekurangan makanan. Berhibernasi bermaksud tidur sepanjang musim sejuk.
     Pada zaman persekolahan, ramai yang 'berhibernasi' di dalam kelas  tak kira masa sejuk atau panas, terutamanya pelajar asrama, termasuklah ayah.

Mengapa?

Mengapa aku mudah terlupa
            Janji-janji kita kali pertamaMengapa? Ini lagu Awie. 'Ingatkan Dia' tajuk lagu ini. 'WHY? -Haiwan'  pula tajuk buku yang ayah telaah malam ini. Komik Berasaskan Sains ini terbitan Orbit Buku.
    Komik ini mengatakan bahawa jika mahu pandai dalam bidang sains, gunakan soalan 'Why?' kepada perkara di sekeliling kita. Katanya lagi, Sains wujud daripada sifat ingin tahu kita.
    Dalam buku ini mengatakan panjang badan katak goliath ialah 30 hingga 33 cm. Katak  ini yang terbesar di dunia dan hidup di kawasan iklim hujan tropika di Cameroon, Afrika Barat.
     Ayah,emak, along, angah dan adik memborong buku ini di pesta buku di Hotel Zenith."Mengapakah dia memakai selipar jepun berwarna hijau?" Ya, malam itu ayah datang berselipar Jepun.
       Yang ayah pasti ada mata yang memandang bukan disebabkan warnanya seperti sesetengah katak, tetapi disebabkan selipar Jepun.
      Zaman sekarang, selipar Jepun…

Murah

Angah sudah melelapkan matanya setelah botol susunya kosong. Along mengekor emak pergi membeli Mamy Poko. Hujung minggu selalunya harganya lebih murah.
    Adik sekejap-sekejap main cuping telinga ayah. Sekejap-sekejap tarik janggut ayah. Sekejap-sekejap main telinga sendiri. Matanya separa terpejam.
     Angah tidur di belakang. Adik di atas ribaan ayah di kerusi sebelah pemandu. Mulut adik masih menghisap botol. Akhirnya, dia pun memejamkan mata.
     Ayah memandang ke luar. Di sebelah pasar raya Giant ini akan dibuka kedai buku MBS. Ayah bukan boleh tengok kedai buku, wajib pergi.
    Emak dan along sampai. Tidak ada lampin pakai buang. Milo pun kehabisan stok. Semua orang tunggu harga murah untuk membeli.

Bugi Golf

Rambut anak-anak ayah sudah melebihi paras telinga. Maknanya rambut mereka perlu digunting supaya lebih kemas.
   Sampai di kedai gunting, mujur tukang gunting hanya tinggal satu 'kepala' sahaja untuk dirapikan.
   Ayah menyuruh anak-anak ayah lekas turun kereta. Langit menghampiri warna oren. Mujur tukang gunting menerima kami.Dia menghentikan kerjanya  sebelum azan berkumandang.
"Nombor tiga," kata ayah.
    Tiba giliran adik, ayah mengangkatnya ke atas kerusi. Rambutnya yang paling lebat. Dia menangis kerana sudah lama tidak ke kedai gunting rambut. Cepat-cepat rambutnya yang beralun dimesin tukang gunting.
    Alhamdulillah, selesai ketiga-ketiganya. Selesai juga adik menangis. Setelah ayah membayar sepuluh ringgit, kami pun bergerak. Sambil itu ayah bertanya abang tentang jenis  kereta yang berada di parkir.
   "Kereta golf," jawab abang.
     Entah dari mana-mana tiba-tiba kereta yang digunakan di padang golf  ada di situ. Zaman maklumat di hujung jar…

Lembu

Dekat kampung, dah jenuh ayah tengok lembu. Anak-anak ayah kalau balik kampung, dapatlah juga tengok lembu.
   Lembu di tempat ini hanya ayah tengok di televisyen. Mata kami tidak lepas-lepas daripada memandang lembu di sini kerana lembu jenis ini tiada kampung ayah.
   Sesiapa yang  ke Kundasang bolehlah ke Desa Dairy Farm kerana tidak jauh mana dari situ di samping dapat menikmati keindahan Gunung Kinabalu dari jauh.

Singa Putih

Makan malam sambil melihat singa putih melalui cermin satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan ayah.
     Emak membuat kejutan dengan membawa ayah menginap di Taman Safari Bukit Gambang sempena hari 'tua' ayah.
    Singa putih itu juga melihat ayah melalui cermin tebal lutsinar.
"Siapa tengok siapa sebenarnya?," fikiran ayah bertanya.

Jinak

Ada makanan,  kita boleh jadi kawan. Burung-burung Bukit Gambang Safari begitu jinak.
   Apa-apapun makanan perlu ada untuk jadi lebih rapat. Anak-anak sudah tentu menjauhkan diri kerana tidak mahu burung hinggap pada mereka walaupun pada mulanya mereka yang beriya-iya mahu memberi burung makan.
    Satu kerugian jika tidak bertemu dengan burung-burung ini jika bertandang ke Bukit Gambang.

Penyu

Emak suka merancang percutian. Kami bermalam di Impiana Cherating beberapa tahun lepas. Melihat anak-anak penyu cukup mengujakan. Dua ekor penyu perlu dilepaskan dengan membayar harga tertentu satu pengalaman yang cukup menarik.
    Abang tidak mahu memegang anak penyu untuk dilepaskan ke laut. Jadi, ayah dan emak tidak melepaskan pengalaman ini.

Upih

Dulu-dulu masa ayah kecil, kami adik-beradik ke belakang rumah untuk mengambil upih pinang.
    Anak-anak ayah hanya duduk di atas selimut. Angah duduk di atas selimut, kemudian along tarik selimut.
   Sekurang-kurangnya mereka ada aktiviti baharu pada malam ini.

Umum

Sedang anak-anak ayah main kereta, tiba-tiba ada pengumuman hari raya haji.
   Dulu-dulu apabila tarikh hari raya diumumkan, semua menanti dengan penuh suspens. Kami semua melompat kegirangan setelah diumumkan tarikh hari raya. Riuh dengan suara dan bunyi papan kerana masing-masing berlompat-lompatan. Al maklumlah, rumah kayu berlantaikan papan.
   Anak ayah masih kecil, terus bermain. Abang masih ralit dengan buku Boboiboynya. Emak di dapur. Hanya ayah menanti pengumuman 10 Zulhijjah.