Translate

Thursday, January 24, 2019

Hari Ini Dalam Sejarah

Merujuk Astro Awani (24 Januari 2019) seperti yang dilaporkan Firdaus Azil, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in, telah dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-16.
      Pelantikan itu diumum oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini.
       Daulat Tuanku!

Tuesday, January 22, 2019

Sesuai

Minggu-minggu penyesuaian diri masih berlaku bagi anak-anak prasekolah yang sudah naik darjah satu dan bagi anak-anak tingkatan satu yang baru tinggal di asrama.
      Ada sahaja yang berlaku. Stoking terlupa dipakai dan semalam along, angah dan ayah mencari beg angah tetapi tidak ada di dalam kereta. Tengah hari tadi, dia menggalas begnya. Katanya, dia terlupa. Semalam, dia letak begnya di tepi tangga berhampiran kelas along. Beberapa hari sebelumnya, dia menggalas beg kelas petang ke kelas waktu pagi. Begitu juga achik yang ceria waktu petang dan paginya masih  dicempung ayah dan mula sedih apabila hampir sampai di sekolah.
        Penyesuaian itu memerlukan sedikit masa dan apabila telah menjadi rutin, Insya-Allah segalanya akan berjalan dengan lancar. Jika tidak, anggaplah itu ujian untuk meningkatkan kesabaran kita.

Monday, January 21, 2019

Pilih

"Tak nak pergi sekolah," kata achik setelah naik kereta melalui jalan ke sekolahnya malam ini.
       Beriya-iya dia mengulangi yang dia tidak mahu ke sekolah. Pagi tadi pun begitu. Ayah fikir ayah tidak akan dengar lagi ayat itu. Ternyatalah telahan ayah menyimpang. Begitulah cabaran setakat ini setiap pagi. Adegan kejar-mengejar masih berlaku. Zaman along dan angah sudah berlalu. Ada masanya sesuatu perkara itu perlu dipaksa untuk menjadi biasa. Kadang-kadang itu sahaja pilihan yang ada. Mahu melalui sesuatu itu dengan rasa gembira atau mahu melalui dengan rasa menyampah, perkara itu tetap akan kita tempuhi.
        Pilihan tetap ada, mahu mencipta gembira atau terus mengeluh sepanjang masa, kita tentukan sendiri.

Saturday, January 19, 2019

Jaga

Melangkah kaki ke kedai haiwan peliharaan, kami melalui 'Lebai Ali Food Street', kawasan tempat persinggahan burung merpati.
        Achik mengejar burung-burung merpati dan burung-burung itu terbang lalu hinggap beratur di atas tali elektrik. Dia tersengih. Dia bukan boleh duduk diam. Apabila kita memandang ke atas, akan nampaklah mural besar gambar salah seorang  pahlawan yang mempertahankan tanah air tercinta, iaitu Mat Kilau.  Sudah sampai masanya kita bersatu dalam apa-apa isu yang melibatkan agama, bangsa dan tanah air kita walau berbeza ideologi politik. Lihat merpati terbang sekawan, walaupun tak sama kumpulan, tetap bersama-sama berkongsi makanan.
         Sama-samalah kita ingat pesan pahlawan kita, Mat Kilau,"Jaga agama, jaga keluarga, jaga negara. Jangan sampai bangsaku tiada negara!"

Tuesday, January 15, 2019

Hari Ini Dalam Sejarah

Hari ini, 15 Januari 2019 (Selasa), 9 Jamadilawal 1440H, hari yang cukup bersejarah.
         Merujuk Astro Awani yang bersumberkan Bernama, tanggal 15 Januari mencatat sejarah istimewa untuk rakyat Pahang apabila istiadat pemasyhuran Sultan Pahang Keenam dalam era moden, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berlangsung di Istana Abu Bakar pagi tadi. Sultan Pahang Keenam, Sultan Abdullah akan memakai gelaran rasmi sebagai Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah.
        Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Pahang, Kolonel Nazim Mohd Alim, gelaran itu membawa maksud Sultan Abdullah pembela agama yang dipilih Allah.

Monday, January 14, 2019

Seekor

Nampaknya, hari ini kucing tidak begitu menghiburkan bagi ayah dan mungkin juga salah ayah.
          Lepas subuh, ayah sudah ke sangkar. Mula-mula, nampak biasa. Kali kedua, baru ayah perasan, dinding daripada kotak yang diikat pada sangkar sudah tercabut. Cepat-cepat ayah buka sangkar, ternyata tinggal seekor. Sewaktu ayah, along dan ayah bawa balik semalam, sudah menarik perhatian Oren dan kawan-kawannya. Terserlah sifat kebinatangan. Itu sebahagian daripada makanan mereka. Ayah pun sudah lupa cara memelihara anak ayam sedangkan itu sebahagian aktiviti kami tiga beradik waktu kecil di kampung.      
         Akhirnya, dibawa masuk ke dalam rumah dan melepaskan ke dalam bekas yang sesuai untuk seekor anak ayam api-api yang comel. Bukan anak-anak sahaja mengulang tengok, ayah umi pun sama. Satu lagi aktiviti luar yang tidak melibatkan telefon pintar.

Sunday, January 13, 2019

Afrika

Umi cakap kalau bela ayam kampung boleh dapat telur ayam kampung.
            Ayah ajak along dan angah pergi kedai di bandar. Ayah parkir agak jauh. Sampai di kedai, dekat muka pintu ada arnab, di bawahnya ada ayam serama. Hajatnya mahu tengok-tengok sahaja. Pandang ke bawah, barulah nampak anak ayam yang agak besar dan tanyanya tentang mana satu jantan dan mana satu betina. Ditunjuknya tetapi mata ayah nampak sama sahaja. Kemudian, anak ayam katanya di sebelah belakang kedai. Ayah, along dan angah ke belakang. Banyak anak ayam dan anak itik.
        Mahu beli yang mana? Akhirnya, kami memilih yang mula-mula kami tengok, ayam api-api. Balik rumah baru ayah rujuk 'Google'. Nampaknya 9 atau 10 bulan lagi, Insya-Allah, umi boleh makan 'telur ayam kampung Afrika'. Nama lainnya ayam mutiara.

Satu Hari Lagi

Fajar telah tiba nan menyinsing membawa harapan Tanah Semenanjung Tanah Semenanjung permata nilam.        Sebentar tadi, Ayah mendengar...