Translate

Saturday, January 12, 2019

'Mercedes-Benz'

Mungkin ramai yang teruja dengan kata-kata seperti ayah. Ayah teruja dengan kata-kata motivasi.
      Disember 2018, sewaktu kami ke KLIA, setelah ayah membelek kembali gambar-gambar di dalam telefon pintar, ayah terjumpa kata-kata 'The New Mercedes-Benz C-Class: Never Stop Improving'. Setelah ayah menggunakan 'Google Translate', maksud yang ayah fahami ialah jangan berhenti menjadi lebih baik (kalau salah, betulkan ayah). Apa- apa pun yang kita buat, sudah pastinya kita mahu jadi lebih baik, mahu jadi bertambah baik. Mahu jadi lebih baik, mahu jadi bertambah baik, memerlukan tindakan atau cara yang lebih baik atau lebih berkesan.
      Kata-kata yang baik sentiasa memberikan semangat untuk kita. Terima kasih 'The New Mercedes-Benz C-Class: Never Stop Improving'.

Kubang Bujuk

Rasa mahu kembali ke kampung dan menjadi budak semula setelah melihat  gambar Muhammad Syukur dengan kerbau, lembu dan kambing di Kampung Kubang Bujuk.
         Maka, hari ini pun ayah pun bersemangat menyapu daun-daun kering  sepertimana selalu dibuat di kampung. Walaupun di kampung tidaklah bermain dengan kerbau, lembu dan kambing, ayam dan arnab sebahagian daripada kehidupan. Aktiviti sepenuhnya melibatkan alam semula jadi, panjat pokok, kejar ayam, jerat burung, main perang-perang dan macam-macam lagi.
         Salah satu gambar yang ayah suka apabila Muhammad Syukur bertentang mata dengan kambingnya. Petang ini pula, umi bertentang mata dengan ikan celup tepung nasi kerabu Mek La dan nasi kerabu ayah berlaukkan udang celup tepung.

Friday, January 11, 2019

Terima Kasih

Alhamdulillah, setelah empat hari di wad, Achik dibawa balik Umi petang semalam. Terima kasih Umi.
         Sampai sahaja, dia duduk mencapai buku. Rindu pada buku gamaknya. Ayah dan umi lupa bawa buku untuknya semasa di wad. Walaupun tak pandai membaca, dia menyelak-nyelak komik seperti sedang membaca. Apabila masuk hospital, kita boleh nampak begitu sabar jururawat dan doktor melayan kerenah pesakit. Satu kerjaya yang mulia. Terima kasih kepada jururawat dan doktor di DMMC dan di mana-mana yang bergelar doktor dan jururawat.
        Terima kasih kepada semua yang mendoakan Achik. Petang tadi ayah bawa Achik dan Adik singgah ambil angin di Pantai Kempadang selepas balik dari klinik dan Achik gembira bertemu Syasha kembali.

Tuesday, January 8, 2019

Azam

Azam tak pernah padam. Azam sentiasa menyala dalam diri saya.
       'Bacalah, sebutlah dengan nama, Tuhan yang menciptakan segala kejadian di dunia', begitulah antara petikan yang dinyanyikan oleh kumpulan Rabbani. Lagu tersebut dikaitkan dengan maksud ayat dalam surah pertama yang diturunkan Allah swt kepada Rasulullah saw, iaitu surah Al-Alaq. Oleh sebab itu, membaca lebih banyak secara istiqamah salah satu azam saya kerana membaca satu perkara penting bagi kita umat Islam.
      Kesimpulannya, memetik kata-kata Jusuf Kalla, "Bacalah! Maka kamu akan mengenal dunia. Menulislah! Maka dunia akan mengenal kamu!

Sunday, January 6, 2019

Doa

Sakit datang tidak mengira waktu.
       Pukul 3 pagi, achik datang dekat ayah, nafasnya berbunyi. Lepas isyak semalam ayah sudah bawa dia ke klinik. Pukul 3 pagi mengingatkan ayah sewaktu ayah sakit semasa berada di universiti. Tengah malam, rasa sesak nafas, pada waktu itu ayah demam. Apabila kita berada di hospital, banyak perkara yang dapat kita belajar. Tambahan lagi, apabila kita di kelilingi pesakit lain. Kadang-kadang kita rasa kita sakit teruk sangat, apabila tengok orang lain, ada lagi yang lebih berat diuji. Bersyukur sangat apabila kita dapat menikmati nikmat sihat dan sama-sama kita doakan lain juga sihat. Insya-Allah.
         Alhamdulillah.Terima kasih kepada Puan Hajah kerana membenarkan ayah bercuti. Terima kasih kepada umi yang menguruskan anak-anak. Terima kasih kepada kaum keluarga dan   semua yang mendoakan Achik.

Saturday, January 5, 2019

Bertindak

Minggu yang begitu sibuk baru bermula. Ada lagi tanda nama yang umi perlu jahit.
          Di mana-mana tempat pun, ceritanya hampir sama bagi yang berkeluarga, yang  mempunyai anak atau adik yang baru masuk sekolah. Mereka mula dapat kawan baharu dan apabila ditanya, masih belum tahu nama kawan. Proses kenal-mengenal baru bermula dan mereka akan belajar satu demi satu. Bukan setakat cerita anak-anak sahaja, masuk tahun baharu, waktu terbaik bagi yang berazam untuk memulakan langkah atau memulakan tindakan. Masa akan terus berjalan tanpa mempedulikan kita.
         Semalam pula, dilaporkan dalam Astro Awani, atlet Paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Puzi  mencipta sejarah sebagai atlet negara pertama dinobatkan sebagai Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018. Tahniah diucapkan. Atasi halangan, dakap kejayaan.

Thursday, January 3, 2019

Sibuk

Hari kedua persekolahan, lalu lintas di kawasan persekolahan masih agak sibuk.
      Anak-anak yang baru mengenal sekolah sudah tentu banyak ragamnya seperti mana kita dahulu juga. Dulu ayah bawa dua, sekarang ayah bawa tiga orang. Riuhnya bertambah dan banyak ceritanya.  Waktu balik pun sudah tidak sama. Masuk tahun baharu, banyak perkara baharu. Yang pastinya tahun baharu tidak datang dengan perangai atau sikap yang baharu. Sikap atau perangai baharu itu perlu diamalkan secara berterusan. Untuk melakukan sesuatu secara berterusan walaupun selama 5 minit dalam masa satu hari, memerlukan semangat yang tinggi walau sesibuk mana pun.
        Walaupun kita sibuk, masa tetap meninggalkan kita dan kita tetap perlukan melakukan sesuatu secara konsisten jika ingin melihat hasil yang lebih baik.

Satu Hari Lagi

Fajar telah tiba nan menyinsing membawa harapan Tanah Semenanjung Tanah Semenanjung permata nilam.        Sebentar tadi, Ayah mendengar...