Translate

Sunday, March 31, 2019

Bendera

Tanya nenek kepada pemandu kereta 'buggy', "Kata Bukit Bendera, mana benderanya?" "Ada dekat dua tempat," jawab pemuda berbangsa India dalam loghat Utara.
        Umi membeli tiket dalam talian, lebih cepat. RM 5  untuk kanak-kanak dan warga emas (60 tahun ke atas). RM 10  untuk dewasa. Untuk lebih cepat, ada 'Fast Lane'. Harga tiketnya RM 40  untuk dewasa. Untuk kanak-kanak harganya RM 20 dan untuk warga emas  (60 tahun ke atas), harganya tetap sama, RM 5. Untuk meronda  di sekitar Bukit Bendera boleh menaiki kereta 'buggy' dengan harga RM 30.
        Kesempatan yang ada digunakan untuk bergambar sebelum kereta gantian sampai kerana tayar kereta 'buggy' pancit. Jom ke Bukit Bendera!

Friday, March 29, 2019

Sengketa

Satu lagu yang  perlu diperdengarkan kepada anak-anak ialah Anak Kecil Main Api supaya mereka mendapat iktibar.
     "Nenek moyang kaya raya,
       Tergadai seluruh harta benda,
       Akibat sengketa sesamalah kita,
       Cinta lenyap di arus  zaman."
      Ada sesetengah daripada kita terlalu taasub dengan  parti politik sehingga sanggup bersengketa sesama sendiri dan menolak kepentingan agama, bangsa dan negara. Demi kepentingan agama, bangsa dan negara,  kita seharusnya bersatu tanpa mengira fahaman politik.               
      Berbeza pendapat tidak boleh dielakkan, tetapi bersengketa sesama sendiri sehingga menjadi lemah untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air suatu kebodohan yang tidak boleh dimaafkan.



Wednesday, March 27, 2019

Malu

Banyak perkara yang melibatkan malu.
      Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, terdapat tiga peribahasa yang maksudnya sama. Tiga peribahasa tersebut ialah malu bertanya, sesat jalan,  malu berdayung, perahu hanyut dan malu makan, perut lapar. Ketiga-tiganya bermaksud kalau tidak mahu berusaha tentulah tidak akan mendapat kejayaan. Untuk berjaya, kata-kata yang memperlekehkan usaha kita seharusnya diabaikan. Kata-kata ini hanya bertujuan untuk membunuh semangat kita dan menggagalkan impian kita. Siapakah yang mahu menolong kita jika kita susah?
      Mahu berjaya? Mulakan sekarang. Kita kena tolong diri sendiri. Malu apa bosku?

Tuesday, March 26, 2019

Senja

Kami disambut bendang luas terbentang.
      Kemarau mengeringkan sebahagian bendang. Padi telah dituai. Ada juga baru  menghijau. Panas seperti di Pantai Timur juga. Sesekali ditemani sedikit titisan hujan sepanjang perjalanan. Petang menjelang, terasa sayu melihat matahari maghrib mula tenggelam di celah pohon kelapa berlatarbelakangkan bentang yang kontang.
     Bangau cukup setia menanti kerbau  di bendang dan pulangnya berpasangan di langit senja.

     

Monday, March 25, 2019

Baharu

Dua hari lepas hari lahir Achik. Kami, Pok De, Mok De dan Aqil menjejakkan kaki ke Grand Lexis di Port Dickson.
         Tidak kiralah di mana-mana,  tempat itu akan dikira 'lima bintang' dan menarik bagi anak-anak jika ada kolam mandi. Jika tidak ada kolam mandi, tidak ada 'bintang' untuk tempat itu. Kolam mandi di dalam bilik, siapa-siapa pun akan teruja. Kedalaman kolam 1.2 meter. Nampaknya Along begitu bersemangat sebab diajar umi berenang.  Memang betullah belajar itu perlu dimulai sejak kecil, jika sudah besar, faham-faham sahajalah.
       Belajar sesuatu yang baharu di tempat baharu sesuatu yang mengujakan. Kita perlu keluar dari zon selesa untuk meningkatkan semangat.

Sunday, March 24, 2019

Warna-Warni

Hidup ini penuh warna-warni, bukan satu atau dua warna sahaja.
     Warna-warni bukan milik seseorang atau dimiliki satu kumpulan atau kelompok  sahaja, warna-warna milik kita semua. Bukankah Allah s.w.t mengurniakan pelangi yang warna-warni untuk kita semua nikmati? Cantuman warna membuatkan pelangi begitu indah. Begitu juga kita manusia yang walaupun berbeza, tetapi kita saling melengkapi bagaikan warna pelangi. Barulah hidup kita bertambah indah.
      Hiduplah kita seperti pelangi  indah berwarna-warni yang saling melengkapi.

Kekal

Memilih untuk kekal sama, atau memilih untuk kekal berbeza, tanyalah pada diri sendiri.
         Walaupun kopi pilihan tegar, ada masanya memilih teh. Kekal sama itu satu pilihan. Kekal berbeza juga satu pilihan. Pilihan ini penting untuk penambahbaikan. Untuk meningkatkan keupayaan diri, kita tidak boleh kekal sama selamanya. Kita perlu menambah ilmu dan menambah pengalaman untuk terus ke hadapan kerana untuk sampai ke puncak halangan semakin sukar.
      Jika tidak mahu langsung melangkah ke hadapan, bolehkah sampai ke tempat yang dituju?

     

Benar

Membaca dan mengkaji sangat penting supaya kita tahu yang benar. Ada anggapan bahawa benar itu  pahit dan menyakitkan, bergantung jua pada s...