Translate

Monday, September 12, 2016

"Hang Pi Mana?"

Malam ini anak-anak mengangkat bendera putih. Semua keletihan kerana mandi kolam.
    Malamnya ke Ulu Melaka mencari pasar malam tetapi tidak ditemui. Maka bermulalah episod perut berkeroncong mencari tempat makan untuk disinggah di bumi Mahsuri ini.
     Ayah pun terus kenderaan panjang yang dipanggil 'urvan' walaupun sudah tidak lama memandu secara manual dan terasa seperti sedang menjalani ujian memandu untuk mendapatkan lesen 'L'.
     Makanan baru sahaja disajikan di Kampung Padang Lalang. Sotong celup tepungnya cukup enak. Kedai ini berhadapan pintu gerbang Kampung Padang Lalang dan di sebelah TM Padang Lalang.
     Esok "hang pi mana?"

Kerbau

Malindo mendarat di bumi Helang. Sewaktu pesawat semakin hampir mendarat, kelihatan petak-petak sawah menembusi tingkap.
    Abang sudah terlentok. Angah pun sama. Adik bermain cak-cak dengan kakak yang baru ditemui di tempat duduk belakang.
     Ayah, emak, atuk,opah dan nenek menikmati panorama yang bukan selalunya dinikmati setiap hari. Aidiladha ralit membaca buku.
     Di dalam van, anak-anak pakat berlagu.
      " Kerbau oh kerbau kenapa engkau kerbau?"
    "Eh, macam tu ke lagunya?"
Masing-masing mengekek kelucuan.

Sunday, September 11, 2016

Selera

Habis azan maghrib, takbir raya berkumandang.
     Malam raya riuh-rendah dengan suara anak-anak dan sepupu-sepupunya.  Bunga api bercahaya di langit. Entah siapa-siapa yang bermain dan tidak kelihatan dari depan rumah. 
     Anak-anak berlarian ke luar rumah melihat bunga api menerangi malam Aidiladha.
     Juadah tradisional dan juadah moden di atas meja kopi. Masing-masing menikmati berselera.
     Selamat Hari Aidiladha diucapkan ayah. Maaf zahir dan batin.

Tenang

Anda mahu rasa lebih tenang dan bahagia? Banyak cara digunakan orang mendapatkan kebahagiaan dan ketenangan.
    Masa ayah kecil, ayah suka sangat pisang. Sampailah sekarang, ayah suka makan pisang. Anak-anak ayah pun suka sangat makan pisang.
     Mengikut kajian, pisang mampu membuat perasaan seseorang menjadi lebih tenang dan bahagia.
     Apalagi, jom makan pisang!

Saturday, September 10, 2016

'Chef Kecil'

Ayah terlelap di bilik abang. Emak mengemas baju untuk dibawa balik ke kampung. Abang menonton ultraman. Adik ke hulu ke hilir.  Kawasan dalam rumah seperti taman permainan bagi adik.
    Tiba-tiba emak datang mengejut ayah. Emak cakap pergi tengok di dapur. Ada yang telah main beras. Ayah ingat adik sebab tempat simpan barang di bawah sinki dan di bawah dapur jika terbuka, adik pasti ke situ.
    Rupa-rupanya angah. Dia berdiri di atas kerusi yang dirapatkan ke singki. Penuh periuk sehingga melimpah beras yang dituang ke dalam periuk di dalam singki. Dia tengah meramas-ramas beras yang dipenuhi air di dalam periuk.
   Mahu masak nasi kata 'chef kecil' kepada ayah.
  

Manggis

Pagi ini sudah tidak kedengaran salakan anjing. Yang kedengaran Si Jalak bersahut-sahutan berkokok. Begitu juga Cik Murai yang sangat peramah tiadanya henti-henti berkicau.
    Ayah mendukung angah ke belakang rumah. Manggis  begitu lebat tahun ini. Tahun sebelumnya lebat buahnya tetapi isinya tidak boleh dimakan. Buah-buah berkehitaman di bawah pokok.
      Ayah meletakkan angah di atas kayu yang disusun seperti pangkin. Ayah mencapai manggis dengan tangan. Kemudian, ayah menjolok manggis dengan galah.
     Opah berada di dapur. Dapur setentang dengan pokok manggis. Opah menyuruh ayah menggegarkan dahan manggis dengan menarik menggunakan penyangkuk pada galah. Sebelum itu, ayah  memepah dahan tetapi tidak ada yang gugur.
       Angah sudah berkali- kali menyuruh ayah membasuh kakinya yang terpijak tahi ayam yang ada di atas pangkin.
      Keunikan buah manggis yang perlu anak-anak ayah tahu ialah di bahagian bawah buah manggis menunjukkan bilangan isi di dalam buah manggis. Sebab itu waktu ayah kecil, ayah kira dahulu isinya, baru dimakan ayah isinya.

Api

                     Ada api!
                     Ada api!
          Ada kebakaran hutan!

Itu kata abang dalam perjalanan ke kampung setelah melihat api yang menyala-nyala di suatu kawasan yang dilalui.
    "Kebakaran hutan akan menyebabkan apa?," tanya emak.
     Masing-masing meneka. Angah pun menjawab, "Jerebu.
     Emak dan ayah terkejut.
      "Siapa bagi tahu?," tanya kami.
      "Muallimah bagi tahu," kata angah.
        "Zika?," tanya emak lagi.
        " Zika jadi sebab nyamuk. Kalau orang mengandung kena zika, anak yang lahir mukanya jadi macam orang tua," balas abang. Yang itu emak cerita kepadanya.
     Ya, ini juga salah satu aktiviti di dalam kereta.

Pedoman

Cuaca agak sejuk pagi ini kerana malam tadi hujan lebat dan moga dapat meredakan sedikit jerebu yang datang dari jauh tak diundang.        ...