Translate

Saturday, April 4, 2026

Bayang-bayang

Seminggu satu masa yang agak panjang, bersama dengan sahabat-sahabat, banyak peristiwa yang dirancang, dirakam dan yang tak terbayang.
        Bermula saja Isnin selepas cuti raya, seperti yang Ayah ceritakan tempoh hari, saat-saat yang mendebarkan, bukan saja buat anak-anak Sagacious, Ayah dan sahabat-sahabat pun sama, tidak dapat membayangkan perkara yang akan berlaku pada keesokannya,  mengharapkan kegembiraan dan yang baik-baik saja berlaku untuk kami. Begitulah setiap tahun saat keputusan SPM diumumkan, mahu bayangkan yang baik-baik, itulah yang mahu ada di fikiran. Maka, setelah keputusan keluar, Ayah dan sahabat-sahabat mula membayangkan dan merancang tindakan susulan, perjuangan perlu diteruskan untuk yang ditinggalkan dan untuk yang meninggalkan, juga ada perancangan sendiri.
         Kata Ustaz Fuad, "Sahabat ibarat bayang-bayang, sentiasa ada di sisi kita, mengikut kita ke mana-mana saja,  dalam suka dan dalam duka, tetap sentiasa bersama." Membayangkan saat suka dan duka, mungkin rasa bersendiri dan berasa sepi, ingatlah sentiasa bahawa kita sentiasa ada sahabat bak kata Ustaz Fuad.

Monday, March 30, 2026

Terbaik

Sewaktu Ayah singgah di bilik rehat lepas balik dari kantin hari ini, Cikgu Aidil sedang menghadap komputer riba sambil melagu, "Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali!"
       Merujuk Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, penyusun Abdullah Hussain, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali bermaksud jika hendak membuat pekerjaan yang baik, janganlah berlebih-lebihan sehingga tidak pada tempatnya, dan pekerjaan yang jahat hendaklah dihindarkan sama sekali. "Sebab tu jangan buat jahat, kalau kita buat jahat hanya satu kali pun, orang akan ingat!" begitulah diingatkan Opah. Pesan Ustaz pula, banyak perkara yang baik telah kita lakukan pada bulan Ramadan, moga kita dapat teruskan amalan baik tersebut di bulan Syawal ini  dan seterusnya di hari-hari yang mendatang. Hari ini juga, diharapkan Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) batch Sagacious bersedia dari segi mental dan fizikal untuk hari esok yang mendebarkan. Ada yang membawa buah tangan, Alhamdulillah, terima kasih Rai, Jannah dan Nana.
       Alhamdulillah, hari ini pun banyak yang baik telah berlaku. Esok yang mendebarkan, 31 Mac 2026, keputusan SPM 2025 diumumkan, moga yang baik-baik akan terus berlaku. Usaha yang terbaik pun telah kita buat. Tahniah untuk semua!


          

Sunday, March 29, 2026

Sentiasa

Esok 10 Syawal, 30 Mac, anak-anak kembali ke sekolah. Sedang Ayah menulis, mercun masih berbunyi, meriahnya Syawal mengikut cara masing-masing.
      Meninggalkan yang disayangi, meninggalkan kampung menuju ke kota, meninggalkan kota menuju ke kampung, meninggalkan kampung menuju ke kampung, meninggalkan kota menuju ke kota, semua ada tujuan setelah habis cuti raya. "Yang ditinggalkan lebih terasa," begitulah yang kerap disebut Opah. Meninggalkan dan ditinggalkan, itulah lumrah kehidupan, kadang-kadang ditinggalkan, kadang-kadang kita meninggalkan, dapat bersua kembali, Alhamdulillah. Yang berlaku tatkala bertemu itulah yang menjadi ingat-ingatan untuk kita terus mengingati yang ada di sekeliling dan yang pernah ada serta hadir di sekeliling kita.
        Syawal yang masih ada, bersama-samalah kita meraikannya dengan cara yang terbaik. Sentiasalah kita mendoakan yang sentiasa membuat kita tersenyum dan yang pernah serta sentiasa cuba untuk buat kita tersenyum.

Friday, March 27, 2026

Nikmat


Menyanyi kerana gembira
Menyanyi kerana sedih
Menyanyi kerana rindu
Aduh, siapa dapat membaca hatiku saat ini?
       Alhamdulillah, syukur, sudah 8 Syawal hari ini. Ayah beralih dari satu tempat ke satu tempat di layar Instagram dan berhenti melihat video yang dipos penyanyi yang tak asing lagi, Mawi yang berduet dengan Dato' Dr. M. Nasir di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi  bin Md Nor. Sudah tentu Lagu Jiwa Lagu Cinta antara lagu kesukaan Ayah. Pernah satu ketika, Cikgu Aidil dan Cikgu Din berduet mendendangkan lagu ini di Dewan Al-Khawarizmi. Memang sudah terang lagi bersuluh, seperti ayat terakhir lagu yang Ayah petik, "Aduh, siapa dapat membaca hatiku saat ini?" hanya diri sendiri yang tahu apa-apa yang bermain dalam fikiran dan dalam hati. Hanya Allah SWT yang dapat membaca hati dan fikiran. Manusia hanya boleh meneka-neka saja. Menikmati Lagu Jiwa Lagu Cinta sambil menikmati kuih cara Opah, seharusnya kita menikmati saat yang sedang kita lalui saat ini.
     Seharusnya kita menikmati saat yang sedang kita lalui saat ini walau dalam fikiran dan dalam hati kita ada macam-macam. Pilihlah sesuatu yang dapat menggembirakan diri tanpa memudaratkan diri kita. Walau perkara itu mungkin nampak kecil, yang penting kita gembira dengan cara kita.
          

Wednesday, March 25, 2026

Warna-warni

Syawal kelima, ada yang sudah bekerja, ada yang baru bercuti raya, ada yang masih beraya dan ada yang kembali berpuasa.
        Syawal menemukan kita tatkala kita beraya, ada yang menyambut sekali dengan kenduri-kendara di samping meraikan hari bahagia. Kunjung-mengunjungi menghidupkan suasana, berkongsi makanan dan bertanya khabar, semuanya menjadikan Aidilfitri sangat bermakna. Dugaannya tetap ada seperti  panas lit-lit yang melanda dan ujian-ujian yang tak terduga. Perang masih berlarutan, diharapkan ada titik noktah kerana kebenaran sudah jelas dan musuh Islam itu buta zahir dan batinnya. Keamanan itulah yang kita harapkan dan Syawal ini syukur kita titipkan walau di dalam kesesakan lalu lintas, kita masih boleh pulang ke kampung, masih boleh beraya dan masih boleh pulang bekerja.
        Alhamdulillah, Aidilfitri yang berwarna-warni masih boleh kita raikan bersama.  Syukur itu harus sentiasa ada kerana kita masih punya kesempatan bersama dengan orang yang menyayangi dan mengambil berat akan diri kita pada Syawal indah ini.


Friday, March 20, 2026

Salam Aidilfitri 1447

Salam Aidifitri 1447
Maaf lahir dan batin
Taqabbalallahu Minna Wa Minkum Taqabbal Ya Karim

Syukur

Ramadan terakhir Jumaat, esok 1 Syawal Sabtu bersamaan 21 Mac 2026. Sedang dalam perjalanan, sedang menyiapkan juadah untuk esok atau sudah berehat-rehat menanti hari esok?
        Bagi yang suka lemang dan sedang melemang saat ini, ada beberapa peribahasa berkaitan lemang di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Peribahasa yang pertama, bersandar di lemang hangat bermaksud berlindung kepada orang yang zalim akan binasalah akhirnya. Yang kedua, memakan hendak lemang, membeli hendak pelo bermakna inginkan barang yang elok tetapi enggan membayar harga yang sepatutnya. Yang terakhir, menyandang lemang hangat orang didefinisikan sebagai menanggung akibat perbuatan orang lain. Bagi yang sedang merebus nasi himpit pula, pasti tak lengkap tanpa kuah kacang dan nasi himpit juga sebahagian daripada juadah lontong. Tak sabar rasanya nak makan lontong air tangan Nek Su.
        Alhamdulillah, bersyukurlah kita yang sedang melalui saat-saat ini. Moga semua selamat dalam perjalanan dan moga semuanya baik belaka dalam perlindungan dan dilimpahi rahmat Allah SWT.


Wednesday, March 18, 2026

Ladang

Mungkin besok raya atau tidak, di kiri dan di kanan jalan sudah banyak daging yang dijual, bergantungan paha, pilih bahagian yang mana dimahukan.
         Lagu raya tentulah sangat banyak diputarkan di radio dan Angah tanya Ayah, "Tak tengok ke iklan raya macam tahun lepas?" Tahun ini Ayah tak sempat lagi tengok dan malam tadi baru tengok iklan raya yang Pak Su Apit hantar, dibikin Pak Su dan pasukannya untuk Hospital Putra Melaka. Ya, tatkala kita bersiap-siap untuk balik kampung, ada yang bekerja untuk kesenangan kita  semua, ada yang bekerja untuk keselamatan kita semua,  beraya mereka di tempat kerja, itulah tugas dan pengorbanan tatkala menjadi dewasa. Bagi anak-anak pula, menghampiri raya, gembira tak terkata. Bagi yang duduk di asrama, Selasa, 17 Mac sudah pulang ke rumah. Persiapan menyambut raya pula dapat dilihat di mana-mana saja, anak-anak pastilah sangat seronok. Masih lagi Ramadan, yang belum bayar zakat, bolehlah membayar sebelum terlupa.
         Mungkin esok raya atau tidak, kita mengharapkan Ramadan yang masih bersisa ini terus menjadi ladang pahala untuk kita dan moga kita terus istiqamah melakukan amal dan kebaikan, Insya-Allah.
       

Tuesday, March 10, 2026

Besok Tak Tentu

Dari jendela dandelion
memerhati merpati singgah
terbang dan kembali
merapi dan menari
alangkah indah berteman
secangkir kopi malam ini
mengatur besok tak tentu.

10 Mac 2026
Aurelius, Kuantan


Monday, March 9, 2026

Suara Tanpa Bicara

Ada masanya kita menyimpan senyuman dan ada masanya kita melepaskan senyuman. Senyuman boleh ditakrifkan dengan pelbagai maksud.
      Ada yang sangat pemurah — sentiasa menjungkitkan bibir melepaskan senyuman untuk sesiapa saja. Ada yang sangat kedekut dengan senyuman sehingga dilihat sentiasa masam catung.
Ada yang memilih-milih senyuman untuk diberikan pada waktu yang sesuai dan senyuman itu satu tugas. Ada juga yang melepaskan senyuman sebab ada makna seperti kata Pak Ali, "Baik ada makna tu." Ada juga yang melepaskan senyuman kerana tidak sengaja dan tatkala berasa teruja. Kadang-kadang ada juga yang melepaskan senyuman ketika melihat diri sendiri di cermin atau melihat diri sendiri dulu dan sekarang. Ada juga yang melepaskan senyuman kerana senyuman itu satu sedekah.
       Senyumlah untuk menggembirakan diri sendiri dan orang lain selagi mampu dan ketika perlu kerana senyuman itu suara tanpa bicara yang memberi makna dan kesan.

Tuesday, March 3, 2026

Sajak — Ingatkan Aku

Sahabat
aku tak minta lebih
tolong hulurkan kopi o
yang di dalamnya ada cengkih.
Sahabat
kita sama-sama letih
melawan nafsu mendidih
dan syaitan gigih tak langsung letih.
Sahabat
Kita sama mujahadah
Ingatkan aku selalu Allah!

3 Mac 2026
Sungai Soi


Monday, March 2, 2026

Sajak — Ber-

Satu dicampur ber-
bunyinya — 'bersatu'
tiada ber- pada 'satu'
bercerai kita roboh
'satu' kita teguh
bukan bijaksana Melayu
itu layu — kering dan kecut.

02032026
Semsas, Kuantan


Thursday, February 19, 2026

Rai

Dua Ramadan, Jumaat pertama Ramadan, 20 Februari 2026, cuti sekolah, rumput dan tanah masih basah, ya, hujan sudah membasahi bumi banyak hari. Penyidai dan pakaian bertambah, lambat kering.
       Di luar masih mendung, sebahagian pakaian disidai Opah di dalam rumah, di sudut di tepi tingkap. Emir yang sudah mandi berpusing-pusing sejak tadi mencari seluar kering. Awal  lagi Hana, Eshal dan Safiyah mandi, nampaknya kegembiraan bersama-sama mengatasi kesejukan air kolah. Oh, Emir sudah di depan televisyen,  bersedia dengan Ziyaad untuk bermain bola sepak. Nampaknya, apabila kegembiraan atau keterujaan mengatasi segala-galanya, secara sendiri atau bersama-sama, apa-apa yang datang itu bukan lagi menjadi halangan walau dari sudut pandang yang lain itu mungkin satu halangan besar.
       Untuk memulakan sesuatu, kita memerlukan kegembiraan atau keterujaan, namun ada juga masa kegembiraan atau keterujaan itu datang setelah kita memulakan langkah pertama. Raikan hidup!


Monday, February 16, 2026

Rasa

Kata Opah, "Tiba-tiba rasa nak makan lempeng kelapa."
      Maka, tak lama kemudian, sebahagian cucu Opah ada yang sudah berada di meja makan, ada yang sedang menunggu lempeng kelapa yang masih di atas dapur, ada yang selesai makan dan mahu menambah lagi lempeng kelapa, laris sekali. Ada yang mencicah dengan susu dan Ayah memilih kuah kari, masakan tengah hari Opah tadi. Hujan baru seriat (reda), lempeng kelapa pula panas-panas, ditambah dengan kopi 'o' dan teh 'o', hidangan petang yang sangat menyelerakan. Tatkala Ayah menaip 'lempeng kelapa' di Google, maka terbitlah perkataan 'pek nga', ya itulah yang dipanggil di Kedah menurut Opah.
       Rasa itu boleh diterjemah menjadi tindakan dan ada hasilnya. Rasa itu juga boleh ditelan begitu saja dan sekadar menjadi luahan. Rasa itu boleh bergantung dan terpulang pada kita.


         
       

Thursday, February 12, 2026

Luah

Ada, tapi tak semestinya kita nampak. Tanda itu wujud, peristiwa itu berlaku, tak mungkin kita nampak akan semuanya. Ayah ingatkan meluahkan sesuatu itu hanya kerja manusia.
       Maka pada satu hari, kata Bonda, "Anak hantu yang selalu kacau tu dah dipindahkan, dia dah rasa tak seronok duduk di sini." Ibunya dan yang lain telah dipindahkan, maka yang tinggal hanya dia seekor. Hantu pun pandai meluah rupanya. Sebelumnya, setiap kali Ayah lalu, dia 'padam' lampu di tepi jalan, beberapa langkah ke depan, lampu pun menyala kembali. Bukan Ayah seorang saja yang mengalaminya. Ayah pernah tanya kepada yang lebih pakar, Pak Cik Hafiz. Mengikut ilmu yang ada pada Pak Cik Hafiz, jika lampu 'padam' tiba-tiba, lampu lain pun akan 'padam' sama. Pada masa itu, lampu tak pakai sensor automatik macam sekarang. Lampu itu saja yang dilihat padam ikut suka hati, lampu lain tak pernah begitu. Sejak hari itu, lampu itu tak bertindak ikut suka hati lagi.
     Ayah fikir, jika kita meluah pada tempat yang betul, kepada orang yang betul, bukan sekadar luahan itu didengari dan diambil berat, malah tindakan susulan akan diambil segera serta akan berlakulah perubahan ke arah yang lebih baik, Insya-Allah.

Tuesday, February 10, 2026

Wajar

        
Waktu ingatan itu muncul, secara tiba-tiba, entah mengapa selalunya di bilik air.
        Waktu ayah belajar dulu, waktu paling berdebar tatkala membawa kata-kata untuk ditunjukkan kepada pensyarah. Ada masanya, banyak kata yang perlu dibetulkan dan diolah semula. Maka, beberapa hari kemudian, apabila kembali, ada juga yang masih perlu dibaiki. Tatkala meneliti satu per satu, kadang-kadang yang dibaiki itu semula ialah kata-kata yang diolah kembali oleh pensyarah pada pertemuan pertama dan Ayah hanya menyalinnya kembali untuk ditunjukkan pada pertemuan berikutnya. Ayah fikir, begitulah cara kehidupan, ada masanya kita hanya perlu membetulkan kembali apa-apa yang telah kita lakukan untuk jadi lebih baik. Mungkin itu juga pernah Ayah lakukan kepada anak-anak didik ayah.
       Waktu terus berjalan. Banyak sebenarnya waktu untuk membetulkan diri kita sendiri berbanding untuk membetulkan orang lain,  itulah salah satu perkara yang wajar diambil berat dalam kehidupan.

Sunday, February 8, 2026

Hidup Berjasa

Alhamdulillah, 8 Februari 2026, akhirnya KOSAS ke-50 telah pun bermula untuk menentukan Juara.
     Di tempat pengacara, Cikgu Yanti dan Cikgu Diyana bersedia untuk melakukan tugas mereka, begitu jua yang lain. Anak-anak tingkatan 5 pula begitu bersemangat berbaris untuk melakukan Lintas Hormat, seterusnya melakukan formasi yang bertemakan 'Magical' mengikut pilihan rumah masing-masing. Inilah saat yang dinanti-nantikan semua setiap tahun, keunikan Kosas, bukan saja perbarisan tetapi kreativiti disuburkan dalam perbarisan dan formasi dengan pakaian serta aksesori yang memukau. Bukan saja ibu bapa saja yang hadir, bekas guru dan bekas murid turut memeriahkan hari ini untuk melihat persembahan di samping mengimbau masa lampau yang membekas tatkala pernah melakukannya aksi seperti itu di padang. Cikgu Khair, Cikgu Nasir, Cikgu Hamdan dan Cikgu Hayati pun muncul, itu antara yang Ayah temui dan begitu juga anak-anak Exsas yang lebih banyak Ayah ingati wajah mereka berbanding nama mereka. Bertambah meriah, aiskrim Malaysia percuma seperti tahun lepas yang dibawa para ibu bapa dan yang hadir. Terima kasih kepada semua. Tahniah kepada Soyuz!
      Ini semua tentang kita, tentang perkara atau peristiwa yang sedang kita tempuhi bersama. Kita sedang mencipta kenangan terindah bersama dan kita akan ada cerita untuk diulang atau dikongsi di sepanjang jalan kehidupan ini. Alhamdulillah, Tahniah kepada semua! Teruskan Perjuangan! Hidup Berjasa!


        

Tuesday, January 13, 2026

Dua Lapis

Apabila buka saja sekolah, hari kedua timbul rasa stres Ayah. Kata adik, "Ayah stres, tapi benda tu buat kita belajar!"
         Disebabkan perkara itu, Ayah pun melayari lautan Youtube untuk mendapatkan jawapan. Sebaik saja Ayah siap menaip dan menekan butang carian, sepantas kilat Ayah mendapat jawapan. Ayah sangat gembira dan bertambah gembira apabila Adik dapat mengikut cara yang ditunjukkan dengan betul. Ayah mengharapkan esok pun begitu. Cemas Ayah pun menghilang. Maka awal pagi tadi Adik pun muncul, "Susah pula," katanya sambil tersengih. "Ah, sudah!" kata hati Ayah. Ayah cuba ingat semula apa yang dibuat adik malam tadi, Alhamdulillah, berjaya akhirnya (mengikut mata Ayah). Ayah tak pernah fikir yang 'tudung dua lapis' boleh buat Ayah  stres pada hari kedua Adik bersekolah. Patutlah di dalam kelas Ayah tengok anak-anak sekejap-sekejap 'bela tudung'. 
          Ya,  betul juga kata Adik. Ada stres yang buat kita belajar tentang sesuatu. Bolehlah kita mula renung kembali tentang stres yang membolehkan kita dapat belajar sesuatu. Asalnya kerana stres, mungkin sudah banyak sebahagian daripada kita menjadi pakar dalam melakukan sesuatu. 
 

Monday, January 12, 2026

Wajar

Jika tidak hari ini, mungkin minggu depan,
jika tidak minggu ini, mungkin bulan depan,
jika tidak bulan ini, mungkin tahun depan.
        Lagu 'Kita Usahakan Lagi' daripada Batas Senja, banyak maknanya untuk kita. Ada yang sedang kita tunggu, yang pasti itu 'mati'. Yang lainnya sebelum kita mati, ada yang kita tunggu setiap hari.
        Mungkin hari ini ada mengabadikan kenangan dengan menunggu anak yang kali pertama melangkah kaki ke sekolah, mungkin ibu bapa yang debar menunggu atau anak sendiri yang tak sabar menunggu waktu balik. Mungkin waktu ini ada yang sedang menunggu giliran untuk sesuatu urusan, maka menunggu hari ini mungkin kadang-kadang saja diisi berbual dengan orang sebelah, berbualnya sudah banyak di alam maya. Mungkin masa ini kita sedang menunggu untuk membeli sesuatu setelah menunggu sekian lama, maka inilah masa yang dirasakan sesuai. Mungkin saat ini kita ingin menyatakan sesuatu, telah lama kita nantikan, inilah masanya untuk kita luahkan.
        Banyak cerita tentang menunggu. Banyak sebab kita menunggu. Kadang-kadang kita menunggu sebab perlu, kadang-kadang sebab FOMO (fear of missing out), sebab berbaloi, sebab bertangguh, sebab menyesal dan sebab tak pasti. Asalkan untuk kebaikan, menunggu itu wajar.


Saturday, January 3, 2026

Nilai

Setiap hari ialah permulaan baharu untuk kita melakukan perkara rutin atau biasa, perkara baharu yang dirancang dan perkara yang tiba-tiba datang, apatah lagi kita baru saja berada di tahun baharu 2026, hari yang keempat.
        Setiap hari seharusnya menjadikan kita teruja dengan terus berjiwa untuk melakukan sesuatu tanpa rasa jemu atau bosan dalam mengisi masa yang kita ada. Meskipun kita melakukan perkara yang sama, kendatipun kita melakukan perkara yang berbeda, selagi mana perkara itu memberi kebaikan untuk kita walau kadang-kadang berlaku tak seperti yang dirancang, maka hari itu semestinya kita tutupi dengan senyuman kerana pengakhirannya ialah kebaikan. Walau kita di mana-mana saja, sendiri atau berteman, tentunya kita mahu bergembira dengan perkara yang sedang kita kerjakan dan matlamat yang jelas pasti sangat membantu kita untuk lebih bersemangat dalam melakukan sesuatu, tidak kiralah sewaktu bekerja atau sedang bercuti.
        Maka itu, marilah kita terus mengisi permulaan sehingga pengakhiran hari dengan sesuatu yang dapat memberi nilai tambah dalam hidup kita dan hidup orang di sekeliling kita. Jika kita tidak mampu tersenyum pada penghujungnya, sekurang-kurangnya kita dapat membuat orang lain di sekeliling kita tersenyum dengan kebaikan yang kita hulurkan.


Bayang-bayang

Seminggu satu masa yang agak panjang, bersama dengan sahabat-sahabat, banyak peristiwa yang dirancang, dirakam dan yang tak terbayang.      ...