Translate

Friday, May 31, 2024

Pantun Melayu

Begitu saja elok dimakan,
Banyak khasiat durian belanda;
Yang baik-baik kita amalkan,
Berdoa untuk yang telah tiada.

Thursday, May 30, 2024

Berjalan

Petang semalam hujan lagi, mengurangkan haba panas. Boleh tahan lebatnya, boleh menghanyutkan selipar di depan muka pintu.
        Rumah Opah dan Atuk di atas bukit, air turun dari tempat yang lebih tinggi, melimpah melalui muka pintu, kalau terlalu lebat, boleh masuk ke dalam rumah. Biasanya jika terlalu lebat, Atuk akan mendalamkan longkang dan membuat sekatan untuk melencongkan laluan air. Achik menghampiri Ayah dan berkata lebih kurang begini bunyinya, "Bagi kita, air tu biasa je, tapi bagi semut, air tu bencana alam!" Ya, memang bencana alamlah kalau selipar pun boleh hanyut, apatah lagi bagi semut. Hujan surut, Achik dan Adik kembali ke buaian dengan gembira.

Monday, May 27, 2024

Terus

Hari ini Isnin, 27 Mei 2024, hari ketiga cuti sekolah, sudah lari debaran bagi yang mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia, begitu juga bagi keluarga murid dan cikgu yang mengajar.
         Hari semalam,  sudah terbit hari ini dalam fikiran,  libang-libu pun memainkan peranan, walau bermacam-macam yang berterbangan di fikiran,  mengharapkan yang baik-baik  dan apa-apa pun yang berlaku, pasti ada kebaikan di dalamnya, Insya-Allah.  Hari ini telah pun datang, hari ini bukanlah hasil usaha satu hari, hasil usaha bertahun-tahun lamanya, sedar  atau tidak sedar kita telah membikinnya sejak sekian lama. Lama yang kita kerjakan, bermula dengan niat dan disudahkan oleh kemahuan, itulah yang kita perlu terima dengan rasional kerana ada jalan baharu yang telah menanti dan terbuka luas untuk kita.
          Dengan adanya kemahuan, bunga harapan itu akan sentiasa mekar, tidak kira di mana-mana pun. Kemahuan itu akan tetap  membawa kita ke mana-mana saja jalan yang kita hajatkan. Yang penting, teruskan perjalanan walau apa-apa pun yang berlaku, kita mesti terus melangkah untuk niat yang baharu atau niat yang telah ada. Tahniah untuk semua, tetaplah Hidup Berjasa!


Tuesday, May 21, 2024

Terima Kasih Cikgu

Rabu, 22 Mei 2024, Cuti Hari Wesak dan Hari Hol Negeri Pahang, di belakang dapur, bunga liar galak berkembang. Sabtu lepas,18 Mei 2024, KOSAS berlangsung dengan limpahan semangat.  Isnin, 20 Mei 2024 pula, Sambutan Hari Guru disambut dengan limpahan keriangan dan kemeriahan, Alhamdulillah.
          Bermain atau bersukan akan mencipta keriangan dan kemeriahan,  dapat dilihat semangat yang membuak-buak, begitulah yang dapat direnung pada diri anak-anak. Sabtu yang riuh-rendah dengan sorakan sebagai tanda sokongan, juga dihadiri mak ayah, masing-masing kegirangan mengejar kemenangan. Isnin, kemeriahan beralih arah, cikgu-cikgu pula yang bermain, sukaneka, memancing, meneka guru dan ada juga yang ditutup mata. Melibatkan permainan, anak-anak juga begitu kreatif dan bersungguh-sungguh, berehat sebentar sebelum kembali belajar, meredakan tekanan yang ada untuk kembali segar dan ceria.
        Di luar kelas atau di dalam kelas, tetaplah anak-anak belajar, menimba sebanyak mungkin pengalaman, belajar membuat keputusan, belajar mengurus masa, melatih komunikasi dan membina keyakinan diri. Cikgu-Cikgu dan mak ayah sebagai guru pertama, menjadi acuan yang penting sebagaimana peribahasa Melayu, bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Terima kasih Cikgu!


          
          

Wednesday, May 15, 2024

Selamat Hari Guru

Tatkala kauragu tanyalah guru
tatkala kautahu tetaplah berguru
tatkala mekar rindu
kirimkan doa buat gurumu!
Selamat Hari Guru Cikgu.

16 Mei 2024
Semsas
Khairul Hakimi Mansor

Saturday, May 11, 2024

Selamat Hari Ibu

Kasih ibu tak pernah dilupa,
Sentiasa dibawa ke mana-mana,
Selamat Hari Ibu buat semua,
Moga Allah SWT  kurniakan syurga.

Friday, May 10, 2024

Angka

Angka 3455  memberi makna yang besar untuk Puan Rashidah Derasid.  34 tahun 5 bulan 5 hari, itulah satu  tempoh yang panjang berkhidmat sebagai seorang pendidik. Selamat Bersara dan menempuh alam baharu Cikgu.
          Sebahagian besar hidupnya di Bumi Hidup Berjasa mencurah bakti, termasuklah sewaktu masih bergelar seorang murid. Ujar beliau, "Segalanya menjadi pengajaran dan sempadan selama 34 tahun 5 bulan 5 hari." Ya, benarlah sekali sebagaimana yang dituturkan Puan Rashidah Derasid.  Banyak sempadan atau had yang kita temui dan perlu diambil kira atau diambil berat dalam kehidupan. Kita perlu ambil  tahu sempadan dalam tindakan kita, kita juga perlu ambil tahu sempadan-sempadan yang ada sebelum kita melangkah lebih jauh. Begitu juga pengajaran yang mengekori kita di sepanjang perjalanan kehidupan, tak pernah melepaskan kita.
         Angka bukanlah sekadar angka. Angka mengandungi pengajaran dan sempadan. Pengajaran dan sempadan sentiasa memimpin kita dengan memberikan teladan untuk menjadikan kita bertambah baik, untuk menjadikan kita sentiasa teruja untuk Hidup Berjasa.


Saturday, May 4, 2024

Sesuatu

Sabtu kembali, Sabtu minggu lepas di tempat kerja Ayah, semalam di sekolah anak-anak pula jamuan raya. 
         Dulu dari rumah ke rumah, sekarang jamuan hari raya atau rumah terbuka banyak menemukan kita. Yang pastinya anak-anaklah, gembira bertemu kawan, belum habis makan, sudah cari kawan-kawan. Anak-anak sentiasa punya masa untuk bergembira, berlari ke sana ke mari walau cuaca sudah mula panas, ada juga yang berkumpul di bawah khemah, bersama-sama menghadap telefon pintar, peranti elektronik yang tak ada di zaman Ayah. Adik seperti biasa, suka ketupat pulut daun palas. Achik macam biasa teruja dengan makanan dan Angah memilih nasi dengan ayam masak merah.  Habis makan, menuju ke kenduri kahwin.  Memang banyak juadah, masih Syawal, kuih raya pun banyak, ada pula roti dengan sup cendawan, itu kegemaran anak-anak. Angah teruja dengan kata, 'Tautan Kaseh', ikut ejaan lama, ada juga Jawi, juga ramai yang bertanjak dan berpakaian tradisional. Selamat Pengantin Baharu buat Hasan dan suri hati, moga kekal bahagia ke sorga.
           Seminggu penuh dengan kata-kata dan cerita, berbahagialah dengan apa-apa yang kita ada, dengan apa-apa yang sedang kita lalui kerana kita masih dikurnia masa. Setiap detik yang berlalu meninggalkan sesuatu untuk kita nikmati, renungi dan pelajari.
      

Raikan

Menjelang hari raya, akan ada beberapa aktiviti telah disusun dan kebiasaannya menjadi acara wajib sebelum raya.      Khamis 27 Mac, Majlis ...