Translate

Monday, July 27, 2026

Benar


Membaca dan mengkaji sangat penting supaya kita tahu yang benar. Ada anggapan bahawa benar itu  pahit dan menyakitkan, bergantung jua pada sudut yang dilihat dan kepercayaan yang sudah tertanam.
         Benar itu melibatkan fakta. Sebab itu banyak yang cuba menyorokkan fakta dan sering memutarbelitkan fakta kerana ada udang di sebalik batu. Benar itu wajib disebar luas supaya diketahui semua dan akhirnya semua dikelilingi harmoni. Benar yang senantiasa cuba ditutupi dan seboleh-bolehnya mahu dikambus sedalam-dalamnya berpunca daripada niat yang terselindung — cuba disolek agar cantik di luar, jelas buruk dan busuk di dalam.  Bau busuk tetaplah mengapung dan pantas bertebar.
        Benar itu benih yang baik kerana tumbuh subur walau tidak disiram. Benar tak dapat diubah sebab wujudnya fakta atau bukti yang sahih. Bagi yang waras, benar itu menumbuhkan teladan dan buahnya manis untuk dinikmati bersama-sama.

Wednesday, July 22, 2026

Mengusik


         Maka, selepas Maghrib, Ayah dengan penuh keyakinan membawa Achik dan Adik ke Pantai Selamat. Tujuannya untuk mencari  satu balang kuih raya dan seikat kangkung. Mungkin sebab kangkung murah dan banyak dijual, itulah yang dipilih. 
        Sebelum membeli kangkung, Ayah lalu berhampiran rak roti dan Ayah nampak ada kuih baulu dalam bungkusan plastik. "Ya, kuih baulu kan kuih raya, bolehlah!" itu yang Ayah fikir. Seterusnya, kami ke bangunan sebelah, barang basah di situ. Balik singgah di kedai Eco, mencari benih kangkung, memang tak ada atau sudah habis stok. Janji kuih raya dan kangkung sudah ada. Sampai di rumah, sel otak masih berhubung, teringat ada balang kuih. Ayah pun menggunting bungkusan kuih dan masukkan semua kuih ke dalam balang. Kangkung dipotong pada bahagian batang hampir dengan akar sebab esok Adik nak bawa ke sekolah. Petang balik sekolah, Adik beritahu bahawa semua orang bawa satu balang kuih raya kosong tapi adik bawa satu balang kuih raya yang ada kuih baulu. Ayah ingat satu balang kuih raya maksudnya  satu balang kuih raya yang berisi kuih raya. Oh, rupa-rupanya balang kosong itu akan diisi tanah untuk ditanam benih kangkung! Mati-mati Ayah ingat kuih raya tu nak dimakan lepas penat beraktiviti. 
           Tidak fokus, terlalu penat dan sebagainya mungkin boleh buat kita salah faham dan menyimpang dari laluan asal. Kadang-kadang itulah yang menjadikannya kenangan yang mengusik jiiwa dan kangkungnya kita celur untuk  buat yong tau fu.
         

Saturday, July 11, 2026

Terima Kasih

Petang semalam 'kendurian', anak-anaklah yang paling gembira. Pagi ini,11 Julai, sangatlah berbesar hati ke Sungai Lembing bersama dengan anak-anak, terima kasih tidak terhingga buat Majlis Bandar Raya Kuantan (MBK) yang menjemput dan menghantar.
       Angah dan Adik mengira berapa kali sudah mereka naik bas dan nampaknya sangat teruja. Turut menemani anak-anak, Madam Rokiah dan CC Izan berserta suami. Seingat Ayah, kali terakhir ke Sungai Lembing pun bersama dengan anak-anak, juga atas undangan MBK, Alhamdulillah. Pintu gerbang yang berbatu-batu, itu tandanya sampai ke tempat yang dituju dan kali ini tujuannya menonton pementasan teater "The Stories of Sungai Lembing" sempena pembukaan semula panggung wayang terawal di Pantai Timur.  Bertemu ayah kembali dengan sahabat zaman sekolah, 'tauke bijih timah' - Sakri. Man dan Cikgu Lan pun ada sekali. Jutaan terima kasih buat Puan Suhaliah yang sentiasa menjemput dan menyambut,  Puan  Sharifah serta Encik Wan yang  menghantar dan menjemput.
      Menonton secara langsung, sentiasa mengujakan, memerlukan fokus yang sangat tinggi  bagi pemainnya dan yang di sebalik tabir. Setiap yang terlibat dalam pementasan memainkan peranan penting, di atas pentas dan di sebalik pentas saling melengkapi — itulah teater!

Monday, June 15, 2026

Sajak — Ujar Detik Yang Beredar

Pagi ini aku melihat 
pelangi di lantai bukan di langit
pagi lewat bangkit
dan sebelah kasut terselit kalut.
Detik tak berkasut pantas melangkah
tak peduli meninggalkan aku
di pentas lambat bertali leher merah
dan aku menyelak kata di balik kot hitam
'Buona Giornata' — bahasa Italia
Semoga hari anda indah!
Kukira itu ujar detik yang beredar.

Kuantan
15 Jun 2026

Monday, June 1, 2026

Sajak — Kawan Tak Bertangan

Ibarat berjabat tangan
disambut perkenalan
si anak kecil berebut-rebut
menghulur tebu persahabatan
dicapai kawan tak bertangan
yang berkongsi alam hijau
yang wajar kekal lestari
di tangan yang berakal.

1 Jun 2026

Kuala Gandah

Sunday, May 31, 2026

Sajak — Bau Ramah Kopi

Menoleh bot penambang
di tepian sungai lautan manusia 
berpusu-pusu kecil dan besar
di Titik Tengah Semenanjung
di Bandar Ikan Patin
menolak kereta sorong bayi
mengutip sebaris pengalaman
menolak kerusi roda sarat kenangan —
Apam balik Pulau Pinang, sekali makan terkenang-kenang!
lain dialek berbahasa bermesra
dan bau ramah kopi pun bertebar
kasih pun tumbuh di sini
ulang Tok Mami berkali-kali —
Cinta boleh disemai!

31 Mei 2026
Pekan Sehari Temerloh

Wednesday, May 27, 2026

Belajar

Semalam lepas solat raya, banyak yang masuk korban. Anak-anaklah yang paling suka, mahu lihat ibadah korban.
      Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, korban merupakan perkataan Arab.  Maksud korban yang pertama ialah amalan menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan menyembelih binatang ternakan (lembu, kambing, kerbau dan lain-lain) pada 10 Zulhijjah atau tiga hari selepasnya (hari tasyrik) dengan mengagihkan sebahagian daripada daging itu kepada fakir miskin. Sewaktu ibadah korbanlah anak-anak dapat melihat cara lembu direbahkan untuk disembelih.  Yang lebih mendebarkan tentulah tatkala lembu boleh bangun kembali setelah direbahkan. Yang melihat pun rasa nak lari sewaktu lembu bingkas bangun, apatah lagi yang sedang memegang tali yang terikat pada lembu, cemas itu kelihatan kerana banyak yang diluar jangka dan keselamatan tetaplah menjadi keutamaan. Alhamdulillah, akhirnya semuanya berjalan lancar.
        Ibadah korban satu pelajaran dan memberi pengalaman untuk kita. Ibadah korban itu memberi pengajaran yang sangat besar. Sejak kecil lagi kita telah didedahkan dengan peristiwa yang melibatkan Nabi Ibrahim alaihissalam dengan Nabi Ismail alaihissalam. Inilah masa yang tepat untuk anak-anak belajar tentang ibadah korban.

      

Tuesday, May 26, 2026

Salam Aidiladha

Moga Allah SWT menerima segala amal ibadah kita.
27 Mei 2026
10 Zulhijah 1447

Monday, May 25, 2026

Sajak — Di Lantai Siang

Serangga bersayap
yang terhidang di lantai siang
terkapar bergumpal merayap
diintai si anak mengkarung
lapar tanpa susah payah
melulur enak rezeki bawaan
usai lebat hujan malam.
Rezeki serah diri
rezeki hempas-pulas
kitaran alam aturan Ilahi.


25 Mei 2026

Lanchang


Saturday, May 23, 2026

Dengar

Adakah kita pernah terfikir? Kita sering mahu orang mendengar percakapan kita dan adakah kita mahu dan bersedia untuk mendengar perkara yang  disampaikan oleh orang lain?             
           Mendengar ialah satu kurniaan agung Allah SWT kepada kita yang dikurniakan pendengaran. Yang paling hebat adalah apabila kita dapat fokus kepada perkara yang patut kita dengar untuk tambah nilai diri kita dan orang di sekeliling kita turut dapat manfaat hasil daripada tindakan kita selepas itu. Ada kata-kata yang Ayah baca berbunyi, "Apabila kita berkata-kata, kita hanya menyampaikan apa-apa yang kita tahu tetapi apabila kita mula belajar untuk mendengar, kita dapat menambah apa-apa yang telah kita tahu." Maksudnya apabila kita memperuntukkan banyak masa untuk mendengar, banyak perkara kita dapat tahu dan apabila kita bertanya kerana tidak faham, kita akan mendapat jawapan serta ilmu baharu.     
        Sudah pasti kita tidak mahu jadi seorang yang membosankan bagi orang lain kerana asyik mengulang cerita atau  perkara yang sama, maka selain pengalaman yang kita mililki, mendengar dengan baik satu perkara yang wajib kita praktikkan untuk memastikan diri kita terus berkembang dan kekal relevan.

Thursday, May 21, 2026

Sama-sama

Bumi yang mana tak ditimpa hujan?
Lautan yang mana tak bergelora?
Begitu juga dengan kasih kita,
Penuh ranjau berduri.
Sebaik saja Ayah hidupkan enjin, melangkah ke kereta selepas habis majlis,  lagu ini berkumandang, Menyayangimu, nyanyian penyanyi legenda, allahyarham Saleem.
          Hidup ini memang aneh, penuh dengan suka, duka  dan senda gurau. Kata-kata yang sering kita dengar, "Pabila ada sebuah pertemuan, pasti datang sebuah perpisahan." Sewaktu majlis, pesan Tuan Haji Mahadzir, "Ketepikan masalah, sama-sama berdayung, jangan tebuk kapal kita, nanti kita akan sama-sama tenggelam." Pesan yang sangat dalam daripada beliau, untuk sama-sama kita renungkan. Kita semua pun tak pernah tahu dengan siapa kita akan bertemu dan berpisahnya dalam keadaan yang mana. Namun begitu, dalam senda gurau, ada perkara yang perlu kita ambil berat daripada setiap pertemuan.  Setiap yang kita temui pastinya membawa pelajaran untuk dihadam sebagai pedoman  dalam hidup kita. 
        Dalam hidup, yang tua dihormati, yang muda disayangi, maka itu membuatkan  kita saling melengkapi kerana masing-masing ada peranan.  Harus diingat, semuanya mengejar matlamat yang sama, kejayaan di dunia dan di akhirat. Sama-samalah kita mendoakan yang terbaik untuk semua dan moga ukhuwah terus terjalin.

Monday, May 18, 2026

Kongsi

Pelangi petang muncul setelah ayah balik kerja diiringi titisan hujan. Bermula Hari Guru sehingga tiba hari sambutannya, banyak benar warna peristiwa yang berlaku.
      Bersama-sama anak didik setiap hari sehinggalah muncul anak didik yang telah bekerja, ada yang sudah kembali ke sekolah mengajar, ada yang sedang belajar dan ada juga yang sedang meniti hari bahagia, sungguh warni-warni. Dalam masa yang sama, anak-anak bukan saja tekun di kelas, malah sangat lincah di gelanggang. Bertemu pula dengan sahabat-sahabat dari Zon Timur tatkala berlangsung Pertandingan Bola Keranjang Perempuan SBP, warna tertentu yang sudah sebati boleh membuatkan kita kenal pasukan yang bertanding. Sehinggalah hari ini, Isnin, 18 Mei 2026 Sambutan Hari Guru peringkat sekolah berlangsung, warnanya pun mengikut trend semasa.
        Terima kasih anak-anak untuk 'Strawberry Matcha'. Kadang-kadang warna juga boleh buat kita rasa lapar dan dahaga. Tatkala kita berkongsi warna, itulah bahagia kerana warna boleh memberi kita cerita untuk dikenang bersama. Selamat Hari Guru. Terima kasih Cikgu.


Friday, May 15, 2026

Sajak — Terima Kasih Cikgu

Membenderangi bak bulan
menerangi bak matari 
ajar tutur nur
suluh gelap hidup
terima kasih Cikgu
Selamat Hari Guru.

16 Mei 2026
Kuantan

Sajak — Pepatung Renung

Pepatung renung
bebas mengepak
diatur naluri
di simpang  henti
lampu merah resah
berbaris kesah
diatur akal
diakali nafsu.

14 Mei 2026
Kuantan

Saturday, May 9, 2026

Sajak — Suri Murni

Kasih melewati
bak melur wangi
bakti suci
penyubur atma.
Ibu suri murni.


10 Mei 2026
Kuantan

Saturday, May 2, 2026

Sajak — Teguklah Manis Secawan Reda

TEGUKLAH MANIS SECANGKIR REDA

Tiga hari tanpa secangkir kopi
tiada merangkai bait kata
menimbang kata demi kata
menimbang frasa demi frasa
menimbang ayat demi ayat
menautkan serapi mungkin
di hujung lidah petah
berangkai dan berkait
manis atau pahit akhirnya
teguklah manis secawan reda.


Pekan 

30 April 2026


Friday, April 24, 2026

Sajak - Ingatan di Helaian

Seekor gembala kerbau
muncul di muka pintu kelas
melangkah dua tiga tapak 
berpusing  pantas terbang ke langit
aku hanya memerhati sedang anak-anak
baru menarikan pena melepaskan
ingatan di helaian kertas masa depan. 

24 April 2026
Semsas

Saturday, April 18, 2026

Kongsi

Sabtu bertemu Sabtu, banyak peristiwa berlaku dan ada objektif yang telah dicapai. Hari ini Syawal terakhir, masih ada rumah terbuka dan sudah di rumah Opah.
        Setiap hari sudah ada rancangannya dan setiap rancangan harus dilaksanakan untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan. Rancangan itu adakalanya mengikut seperti yang dirancang dan kadang-kadang ada yang perlu diubah suai mengikut kesesuaian walaupun objektif masih sama. Objektif masih sama, ada masanya kita perlukan perkongsian pintar untuk ke tempat yang lebih tinggi. Tanpa objektif yang jelas dan tanpa mengenal pasti masalah yang jelas, hal ini akan terus memerangkap kita. Maka, anak muda yang bersemangat seperti Cikgu Aidil menemui jalan penyelesaiannya.
        Seminggu yang mendatang pasti  ada cerita yang lain. Objektif yang dikongsi bersama-sama untuk dicapai dengan berkongsi cara yang terbaik pastinya memberi manfaat kepada semua dan pahalanya akan terus mengalir dengan izin Allah SWT.

Saturday, April 4, 2026

Bayang-bayang

Seminggu satu masa yang agak panjang, bersama dengan sahabat-sahabat, banyak peristiwa yang dirancang, dirakam dan yang tak terbayang.
        Bermula saja Isnin selepas cuti raya, seperti yang Ayah ceritakan tempoh hari, saat-saat yang mendebarkan, bukan saja buat anak-anak Sagacious, Ayah dan sahabat-sahabat pun sama, tidak dapat membayangkan perkara yang akan berlaku pada keesokannya,  mengharapkan kegembiraan dan yang baik-baik saja berlaku untuk kami. Begitulah setiap tahun saat keputusan SPM diumumkan, mahu bayangkan yang baik-baik, itulah yang mahu ada di fikiran. Maka, setelah keputusan keluar, Ayah dan sahabat-sahabat mula membayangkan dan merancang tindakan susulan, perjuangan perlu diteruskan untuk yang ditinggalkan dan untuk yang meninggalkan, juga ada perancangan sendiri.
         Kata Ustaz Fuad, "Sahabat ibarat bayang-bayang, sentiasa ada di sisi kita, mengikut kita ke mana-mana saja,  dalam suka dan dalam duka, tetap sentiasa bersama." Membayangkan saat suka dan duka, mungkin rasa bersendiri dan berasa sepi, ingatlah sentiasa bahawa kita sentiasa ada sahabat bak kata Ustaz Fuad.

Monday, March 30, 2026

Terbaik

Sewaktu Ayah singgah di bilik rehat lepas balik dari kantin hari ini, Cikgu Aidil sedang menghadap komputer riba sambil melagu, "Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali!"
       Merujuk Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, penyusun Abdullah Hussain, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali bermaksud jika hendak membuat pekerjaan yang baik, janganlah berlebih-lebihan sehingga tidak pada tempatnya, dan pekerjaan yang jahat hendaklah dihindarkan sama sekali. "Sebab tu jangan buat jahat, kalau kita buat jahat hanya satu kali pun, orang akan ingat!" begitulah diingatkan Opah. Pesan Ustaz pula, banyak perkara yang baik telah kita lakukan pada bulan Ramadan, moga kita dapat teruskan amalan baik tersebut di bulan Syawal ini  dan seterusnya di hari-hari yang mendatang. Hari ini juga, diharapkan Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) batch Sagacious bersedia dari segi mental dan fizikal untuk hari esok yang mendebarkan. Ada yang membawa buah tangan, Alhamdulillah, terima kasih Rai, Jannah dan Nana.
       Alhamdulillah, hari ini pun banyak yang baik telah berlaku. Esok yang mendebarkan, 31 Mac 2026, keputusan SPM 2025 diumumkan, moga yang baik-baik akan terus berlaku. Usaha yang terbaik pun telah kita buat. Tahniah untuk semua!


          

Benar

Membaca dan mengkaji sangat penting supaya kita tahu yang benar. Ada anggapan bahawa benar itu  pahit dan menyakitkan, bergantung jua pada s...