Sabtu, 26 April 2025, masih suasana beraya, kita masih beraya di penghujung Syawal kerana ada jemputan rumah terbuka, syukur Alhamdulillah dengan rezeki yang melimpah.
Masihlah beraya dan tetaplah ada yang bergaya seperti mana Cikgu Zaidi dan Cikgu Zainuddin yang lengkap mengenakan baju Melayu dan bersamping. Program lain tetap berjalan, maka langkah pun diatur mengikut keutamaan. Bertemu dengan Cikgu Sakirin dan anak murid, Hilman, tentulah banyak ceritanya. Lepas Zuhur pula, bertemu dengan Cikgu Nasir yang nampaknya semakin segar dan ceria seperti mana Cikgu Hamdan yang muncul selepas itu. Ada pula serawa pisang, makan sambil mendengar cerita Cikgu Nasir dan Cikgu Sakirin. Selesai makan, "Lepas ni mana?" tanya Angah. Masing-masing sudah letih. Malam, berlangsungnya perlawanan bola sepak antara Sri Pahang dan JDT.
Masa terus bergerak, banyak perkara yang dirancang, banyak perkara yang berlaku seperti yang kita mahu, juga banyak yang berlaku seperti yang kita tidak mahu. Teruskanlah perjalanan, teruskanlah bersyukur.
Translate
Saturday, April 26, 2025
Syukur
Thursday, April 24, 2025
Tahniah
Khamis, 24 April 2025, keputusan SPM sudah keluar. Berakhirlah segala debaran dan pastinya semuanya sudah ada sasaran yang baharu.
"Jika kamu tak sanggup menahan lelah belajar, maka kamu harus sanggup menanggung perih kebodohan," begitulah kata-kata Imam Shafie. Anak-anak yang sudah ada keputusan di tangan, pastinya sedang menimbang-menimbang dalam fikiran untuk sambung pelajaran. Belajar itu memang lelah, tak kiralah di mana-mana pun. Di sekolah, di rumah dan di luar rumah, anak-anak tetap akan belajar tentang sesuatu sebab ilmu ada di mana-mana. Banyak yang telah berjaya, tak kiralah di universiti atau bukan di universiti, ilmu itu sentiasa ada di sekeliling kita untuk kita aplikasikan selagi mana baik untuk kita dan orang lain. Bertanyalah untuk kepastian jika masih ragu-ragu dengan masa depan kerana dalam pertanyaan itu selalunya banyak mengandung jawapan dan buatlah pilihan yang sepadan.
Alhamdulillah, Syabas dan Tahniah kepada murid-murid SPM 2024, anda telah melalui satu lagi proses dalam kehidupan! Anda akan melalui satu lagi jalan yang melelahkan namun semuanya tetap akan berbaloi kerana di situnya terletaknya kebijaksanaan dan kekuatan dalam mengharung kehidupan.
Wednesday, April 23, 2025
Terbina
Merentas Desa pun telah berlangsung. Yang suka berlari semestinya tertunggu-tunggu acara ini dan ada juga yang tugasnya menolong cikgu-cikgu. Semuanya telah dirancang sejak awal.
Setiap yang hadir ada peranannya dan secara keseluruhan, semua ada peranan masing-masing — sebelum, semasa dan selepas kejadian atau program yang dijalankan. Peranan setiap ahli itu sangat penting kerana tanpa kerjasama semua akan terjadi banyak kepincangan.
Alhamdulillah, segalanya menjadi lancar disebabkan semua tahu peranan masing-masing dan jika ada sesuatu yang di luar jangka, segera penyelesaian dicari mengikut pengalaman yang ada dan mengikut kepakaran yang ada. Antara yang dapat dilihat — Cikgu Amir dan Cikgu Shafiq yang bersedia dengan basikalnya, Cikgu Hashim, Cikgu Ifzul dan Cikgu Hafizuddin yang sentiasa mengawasi, Ustaz Muzakkir dan Cikgu Diyana yang datang ke sekolah bukan lagi dengan kereta, Cikgu Rapidah dengan balang airnya dan Abang Hafiz yang akan berada di mana-mana saja. Itu yang berlangsung pada Jumaat, 18 April 2025.
Semua yang berlangsung memerlukan komitmen daripada setiap orang. Setiap komitmen yang diberikan walaupun kecil dirasakan tetaplah amat penting kerana tanpa kerjasama tidak ada apa-apa pun yang akan terbina. Teruslah Hidup Berjasa!
Monday, April 21, 2025
Moga
Tuesday, April 15, 2025
Toleh Ke Belakang
Isnin, 14 April 2025 bersamaan 15 Syawal 1446H, kita kehilangan Mantan Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Al-Fatihah.
Kita sentiasa kehilangan tatkala masa bergerak. Ramadan pun telah lama meninggalkan kita dan banyak juga yang meninggalkan kita sewaktu di bulan Ramadan dan bulan sebelum-sebelumnya. Dalam kita bergembira di bulan Syawal, kita tetap mengingati yang pernah kita miliki dan hilang, ada yang muncul kembali dan ada yang pergi terus dengan meninggalkan kenangan untuk kita. Ditinggalkan itu memang sesuatu yang pahit dan menyedihkan, namun kadang-kadang tanpa kita sedar, itu yang membuatkan kita tumbuh untuk jadi lebih kuat walau telah kita lunyai dibelasah waktu. Syawal ini jua banyak menemukan kita kembali, walau sebentar, itu sangat indah, begitu jua yang meninggalkan kita, pasti ada indahnya untuk kita kenang.
Suka dan duka tak pernah engkar akan aturan, sentiasa silih berganti, yang hilang terus diingati selagi kita mampu dan mahu toleh ke belakang kerana ada sesuatu untuk diteladani. Yang ada teruslah kita jaga dan hargai. Doalah yang baik-baik walau dalam suka, walau dalam duka kerana kita hamba-Nya.
Tuesday, April 8, 2025
Masih Ada
Cahaya matahari petang sangat menakjubkan dilihat tatkala menjamah batang pohon di kanan dan di kiri jalan menghala ke Bukit Katil.
Beraya menemukan kita dengan bermacam-macam — alam dan manusia, sepertinya tajuk buku teks sewaktu di sekolah rendah. Melihat pemandangan pokok kelapa sawit itu sangat biasa bagi Along, apatah lagi Ayah yang dibesarkan Atuk dan Opah hasil daripada ladang kelapa sawit. Menghala ke Johor, merentasi Negeri Sembilan dan Melaka, pemandangannya banyak pokok kelapa sawit dan getah, sesekali melewati sawah yang disinggah bangau mencari makan, sangat mengujakan. Jalan yang bengkang-bengkok umpama ular seperti yang disebut Angah nampaknya sangat mengganggu Along. Nampaknya macam Ayah dulu, Along mewarisi Ayah, itu belum lagi melalui jalan ular Bukit Fraser yang membuatkan Ayah terbaring agak lama di lantai sebab pusing kepala sewaktu zaman belajar.
Suasana beraya masih ada walau sudah bekerja. Matahari petang tetap melimpahkan cahaya tatkala waktu pulang. Marilah sama-sama kita terus beraya dengan bekerja bersungguh-sungguh dan melakukan amal kebaikan sambil menikmatinya indahnya ciptaan Allah SWT.
Menginjak
Hari ini sudah 22 Jun. Ahad lepas, 15 Jun Hari Bapa. Seminggu yang berlalu banyak yang terjadi. Sabtu minggu lepas, 14 Jun ada Ka...
-
Baulu atau bahulu? Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ejaannya BAULU. Baunya pun dah sedap. Rasanya sudah tentu sedap.Baulu memang sedap. Berta...
-
Ada empat maksud tongkol dalam Kamus Edisi Keempat. Salah satu maksud tongkol ialah tempat butir-butir jagung tumbuh atau mel...
-
Hari ini apabila ayah mendukungnya, adik bau mentega kacang. Dia bukan boleh tengok mentega kacang, diambil sudu dan dijilat mentega k...