Setiap hari, banyak perkara anak-anak boleh dapat. Di rumah, di sekolah dan di mana-mana saja, seharusnya ada sesuatu yang bermakna untuk anak-anak.
Jumaat lepas, Alhamdulillah, masih belum terlambat, Sambutan Maulidur Rasul berjalan, berarak keliling taman dalam cuaca mendung sambil berselawat, mengingati Rasulullah SAW serta perjuangan baginda. Menikmati jamuan ringan kemudian, diteruskan dengan ceramah di masjid dan seterusnya pulang beraktiviti pula di surau. Sabtu, 28 September, anak-anak dibawa ke Stadium Darul Makmur untuk Pahang Scout Scarf Festival 2024. Tak ada bayangan pun festivalnya macam mana, yang terbayang hanya kesesakan untuk ke sana, Alhamdulillah sampai juga akhirnya. Macam semut menghurung gula, begitu banyak peserta, begitu banyak juga pesanan dan ingatan sebelum menjalankan aktiviti yang telah direncana. Berwarna-warni dengan skarf, ke sana dan ke mari untuk mendapatkan cap di samping ilmu di setiap stesen, sebelumnya pun telah banyak aktiviti dipos dalam Telegram. Gembira masing-masing bertukar skarf dengan peserta Malaysia, juga luar negara, maka berkenal-kenal.
Alhamdulillah, pelajaran, pengalaman dan pedoman sentiasa ada untuk anak-anak pada setiap masa. Apa-apa yang anak peroleh setiap hari, itulah yang akan membentuk tingkah laku atau sahsiah dan pemikiran anak-anak pada setiap hari, juga masa depan. Kita yang dewasalah menentukannya!
Translate
Sunday, September 29, 2024
Tentukan
Monday, September 23, 2024
Tak Siapa Tahu
Jodoh satu perkara yang misteri, mungkin boleh datang sendiri, mungkin juga kena usaha cari, semua dengan izin Allah SWT.
Cuti sekolah, waktu yang memang digemari, yang lama sudah berjanji, inilah waktu sesuai untuk kenduri, setelah dua-dua setujui, ijab dan kabul bersaksi wali, serius atau lucu tok kadi tetap mendebarkan hati. Yang datang semua berseri, ada sedondon berwarna-warni, bawa keluarga, anak, suami dan isteri, ada yang datang sendiri atau berteman kawan sejati. Anak-anak yang dulu mesti kerap diperhati, sekarang sudah pandai bawa diri dan berdikari, sudah bertemu cinta sejati dan ada yang masih tercari-cari, itulah yang harus dilalui dan dialami. Berteman insan inovasi, di samping anak-anak yang sudah menjadi suami atau bergelar isteri serta teruna dara yang bakal mengikuti, terasa muda kembali walau uban bertambah hari demi hari, satu demi satu kenangan kembali, ada yang diingati, ada jua yang dibawa angin pergi. Alhamdulillah, Tahniah buat Anuar dan Aliya, buat Syakirah dan Naeem, moga kekal bahagia di dunia terus ke sorga nanti.
Jodoh, mungkin semalam, hari esok atau hari ini, tak siapa yang tahu, mungkin ada sedang diperhati, mungkin ada telah dimiliki, apa-apa pun siapkan diri — ukhrawi duniawi, mengenal diri dan mengenal hati. Bertemu itu indah sekali, bersama-sama itu bahagia mengerti, segala-galanya perancangan Ilahi.
Sunday, September 15, 2024
Mahu Pilih
Setelah 55 tahun, akhirnya Nottingham Forest dapat menewaskan Liverpool di Anfield, memecahkan satu rekod yang cukup lama, itu yang Ayah dengar sambil mengunyah nasi lauk masak tempoyak dimasak Opah.
Anak-anak pula menonton tv dengan Atuk. Ayah pun rasa nak pecahkan rekod, agak lama tak tulis cerita, kali terakhir 5 September dan sebelum itu 18 Ogos. Semalam singgah dulu di rumah Nenek, ambil rambutan anak sekolah. Sampai di situ, Tok Lang pun ada. 'Ubat batuk' yang satu ini memang buat Ayah tak tahan walau sedang batuk. Kalau Arah dan Adik yang batuk tetap nak makan aiskrim, Ayah yang batuk tetap nak makan rambutan. Sedang menulis, "Nasi lemak dan teh tarik jadi pilihan rakyat Malaysia untuk sarapan pagi," ini pula dilaporkan pemberita Astro. Sekarang pun sedang hangat dengan isu Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), yang mana satu jadi pilihan? Ingat terus 'terserap' dan tak perlu buat pilihan, itu yang mula-mula faham.
Setiap detik manusia sentiasa ada kemahuan, itulah bunyi peribahasa Melayu, 'di mana ada kemahuan di situ ada jalan'. Kemahuan boleh membawa kita sangat jauh. Namun, kadang-kadang 'mahu' itu ada dilemanya, mesti dipilih, ada yang kita dapat dan ada yang mesti kita lepaskan.
Wednesday, September 4, 2024
Ambil
Kata-kata sentiasa ada di mana-mana, boleh kita ambil dan simpan untuk diri kita jika kita rajin mendengar dan rajin membaca.
'Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa', itu kata-kata yang Ayah temui sewaktu di singgah di IPDA (Institut Pendidikan Guru Darul Aman) sebelum ke Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Perlis untuk program Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh (HKSBP) pada tahun 2004. 'Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa', kata-kata inilah yang diingati Hafiz. Ayah turut mengingati kata-kata mentor Ayah, Cikgu Zaiton, "Minat boleh dipupuk." Jika kita tidak mendapat sesuatu yang kita kehendaki tetapi mendapat sesuatu yang lain, kita boleh ambil risiko untuk mencubanya, kerana minat itu boleh dipupuk, bak peribahasa Melayu, alah bisa tegal biasa.
Kata-kata sentiasa ada untuk kita renungi dan ambil sesuatu atau teladan daripadanya. Dengarlah dan bacalah daripada pengalaman sendiri atau pengalaman orang lain untuk setiap detik yang harus kita harungi saat ini. Moga jadi lebih baik, Insya-Allah.
Bahagia Ke Sorga
Dua hari lepas, Ayah dan Along ke Bentong, bukan untuk mencari halia Bentong tetapi menghadiri walimatulurus. Rasa macam baru makan kenduri...
-
Baulu atau bahulu? Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ejaannya BAULU. Baunya pun dah sedap. Rasanya sudah tentu sedap.Baulu memang sedap. Berta...
-
Hari ini apabila ayah mendukungnya, adik bau mentega kacang. Dia bukan boleh tengok mentega kacang, diambil sudu dan dijilat mentega k...
-
'Di sini Pemimpin Dilahirkan', Ayah terbayang-bayang perkataan ini, tertulis di atas bumbung bangunan di bahagian tangga utama untuk...