SAYA TERUSKAN PELARIAN
i
TUJUH BULAN PERTAMA
Kehidupan saya
hari pertama di dunia hingga hari ini amat mengujakan. Menurut ibu, sewaktu
mula-mula lahir, besar saya hanya sebesar tapak tangan orang dewasa dan sebelumnya tinggal di dalam perut ibu selama
40 minggu atau 9 bulan 10 hari minggu.
Hari pertama celik tujuh bulan yang lalu, saya melihat
seorang perempuan muda berambut paras baru tersenyum. Mengusap-ngusap pipi
saya. Saya mendengar suaranya sejak minggu ke-15 di alam rahim lagi. Inilah
ibu saya. Walaupun saat itu telah berlalu, tiap kali dia menghadap saya, pasti
air matanya bergenang. Bibirnya sedikit
bergetar. Mengatakan saya satu anugerah. Anak bertuah. Mula mengesat air jernih
yang bergerak menuruni pipinya yang tembam. Tiba-tiba, muncul seorang lelaki,
memegang bahu ibu. Jari-jemari ibu memegang tangan lelaki berambut keriting
pada bahu kanannya. Inilah ayah saya. Ayah menjeling ibu dan ibu menjeling
ayah.
“Macam siapa?” keluar suara serak
ibu. “Macam kita. Bibir dan hidung mancungnya macam awak, mata dan kening
lebatnya sudah tentu seperti saya”, kata ayah. Dan
tatkala ayah bersuara, saya dapat melihat giginya yang kuning berkarat. Hembusan
nafasnya membuatkan saya tidak selesa. “Bila
nak berhenti?,” tanya ibu. “Saya kan kerja malam. Itulah teman saya. Ubat celik
waktu kerja,” jawapan yang sama dilemparkan ayah.
Ibu
menangis lagi. Merangkul saya dan mencium berkali-kali. Terasa hangat air mata
ibu yang menetes di pipi saya.
ii
TUJUH TAHUN PERTAMA
Ayah ibu
meninggal dunia pada hari yang sama, di hospital yang sama, dalam hari yang
saya berpindah ke alam ini. Puncanya, kanser
paru-paru tahap empat menurut cerita ibu. Awalnya, datuk hanya batuk-batuk dan
batuk merupakan perkara biasa bagi seorang penagih rokok. Kemudian, batuknya semakin
berlarutan dan akhirnya disusuli batuk berdarah.
“Anak ibu jangan cuba, nanti
ketagih, jadi macam atuk. Ibu juga buat perkara yang sama. Itu dahulu. Sebab
itu ibu lambat dapat kamu. Dua kali ibu gugur. Lima tahun ibu menanti kamu dengan penuh ikhtiar dan
sabar. Ibu nekad ikut nasihat doktor, berhenti dan sekarang ibu ada kamu. Tapi
ayah kamu masih.....,” ibu terhenti setakat itu dan memalingkan mukanya ke arah
ruang tamu.
Saya berlari meninggalkan ibu
setelah dijerit ayah. Bau tembakau bertebaran di segenap ruang. Ayah
mengarahkan saya mengambil bekas abu rokok di bawah meja kopi. Di dalam almari
kaca, tersusun bekas abu rokok pelbagai bentuk dan warna. Koleksi kesayangan
ayah. Ayah bersembang dengan rakan-rakannya yang berkunjung. Waktu bangun pagi dan selepas
waktu makan sudah menjadi tabiat ayah. Jarang sekali bau segar Colgate bertahan
begitu lama pada ayah. “Mencari ilham,” tutur ayah selalu.
Malam.
Jika ibu tidak memasak, kami akan makan di kedai makan yang berbaris di pinggir
jalan. Di sini, udaranya segar. Ditampar lembut sekali sekala angin laut yang
bertiup. Namun, kesegaran itu tidaklah lama kerana dihalau dek bau tembakau
yang menusuk hidung. Saya
mengibas-ngibas dengan tangan memaksa asap itu pergi ke tempat lain. Bukan ayah
seorang, di belakang tempat duduk kami, sekumpulan remaja turut sama. Di hujung
sebelah kiri kedai, beberapa orang tua berkain pelikat asyik menggulung daun
rokok pucuk.
iii
7 TAHUN KEDUA
Sebelum ini,
tauke kedai kuncit di hujung jalan sudah tahu tujuan saya ke kedainya. Sebelum
saya masuk kedai, dia sudah meletakkan sekotak sigaret di atas kaunter. Buatan
Amerika. Bukannya tidak ada peringatan daripada pemerintah. Jelas dalam Peraturan Kawalan Hasil Tembakau
1993 yang tidak membenarkan menjual kepada remaja di bawah umur 18 tahun,
tetapi sama seperti mencurah air ke daun keladi.
Sekarang,
keadaan sudah berubah. Badan ayah sudah berisi. Selera ayah makin bertambah. Hanya
pada mulanya, ayah asyik marah-marah.
Sekarang tidak lagi. Bau asap rokok buat ayah lemas. Sanggup dia pusing
satu daerah untuk cari kedai makan yang tidak ada asap rokok. “Sekali sekala
makan di luar, tempat jauh pun tak apa,”
alasan ayah tiap kali mahu mengubah haluan setelah didapati restoran atau kedai
makan yang mahu disinggahnya dicemari asap tembakau. Ibu hanya tersenyum
melihat telatah ayah. Semua koleksi bekas abu rokoknya sudah menghilang entah
ke mana. Saya pun tidak pernah bertanya ayah.
Pagi, saya seperti biasa ke sekolah menaiki
bas. Jika bernasib baik, saya dapat duduk. Jika tidak, saya terpaksa berdiri
dan berhimpit-himpit. Saya terbersin setiap kali deria bau saya tercium bau asap tembakau yang
bergerak perlahan. Mengingatkan saya kembali di dalam kelas tadi.
“Filem
dan iklan adalah antara agen utama yang mempengaruhi tabiat merokok dalam
kalangan remaja selain pengaruh rakan sebaya”, begitulah kata Cikgu Rahman
sambil mengeluarkan sapu tangan lalu mengesat pada hidungnya. Katanya lagi, remaja
disogokkan dengan keseronokan merokok dan seolah-seolah merokok membuatkan
seseorang lebih bergaya atau nampak lebih matang.
“Cikgu
demam?,” terpacul soalan di luar topik perbincangan daripada Rafidah. “Saya ni
dah seminggu berhenti merokok. Hidung pun berair. Rasa tak selesa,” jawabnya. “Kamu
semua jangan cuba nak merokok, ni dah kali kedua percubaan saya untuk
berhenti,” sambungnya kembali. Kemudian, dia mencapai botol air masak yang
baru dibawanya dalam tempoh seminggu. Bas
berhenti menghentikan ingatan saya.
Cuti
Sabtu dan Ahad sememangnya saya nanti-nantikan. Pada waktu petang, anak-anak
muda bermain di padang berhampiran. Waktu seperti inilah anak-anak muda
berkumpul. Salah seorang remaja tanpa segan silu menuang gam daripada dalam tin
berwarna hijau ke dalam plastik putih. Lantas dia menekup plastik itu ke arah
mukanya. Menutupi bahagian hidung dan mulutnya.
“Mak ayah dia pun tak tau nak buat,
dalam akta pun tak boleh nak dakwa kesalahan hidu gam. Hisap ganja ye la. Baru
semalam polis angkut tiga orang,” kata seorang pemuda sambil melantingkan
puntung rokok ke bibir jalan.
Cuti sekolah juga waktu terbaik
untuk mengadakan walimatulurus. Kenduri kahwin di kampung amat menekankan
budaya gotong-royong. Kerjasama menghidupkan semangat kejiranan dalam
masyarakat di kampung. Apabila balik kampung, peluang ini tidak akan
dilepaskan.
Selalunya saya berada di khemah atau
di kampung dipanggil balai. Tempat tetamu jemputan menjamu selera. Lauk-pauk
akan dihidangkan kepada tetamu. Talam akan digunakan untuk membawa juadah. Pada masa inilah, asap tembakau pasti
bertebaran memandangkan kebanyakan tuan rumah akan membekalkan rokok selain daripada tuala putih ‘Good Morning’ untuk bentara-bentara atau
anggota masyarakat kampung yang menolong menguruskan kenduri.
iv
TUJUH TAHUN KETIGA
Cuti semester
sudah tamat. Saya sedang menunggu bas. Puntung-puntung rokok bertaburan di
merata tempat. Saya umpama pelarian setiap kali di sini. Melarikan diri
daripada asap tembakau. Memandangkan terdapat segelintir orang yang tidak
mempedulikan orang lain. Yang kurang perasaan empati.
Tanpa
rasa bersalah mengeluarkan pemetik api lalu menyalakannya pada sebatang rokok
dengan anggapan orang di sekeliling boleh menerima keadaan sebegitu. Tidak
cakna dengan bayi yang terbersin beberapa kali. Dikendong oleh isterinya
sendiri. Mana mungkin untuk mendalami perasaan orang lain.
Di rumah
sewa, saya sedang menyiapkan lukisan. Setiap pelajar perlu meniru karya penulis
terkenal. Saya sedang menyiapkan lukisan sebuah lukisan karya Vincent Van Gogh.
Bukan Monalisa yang sering diperdebatkan orang sehingga ke hari ini.
Seorang
rakan sedang asyik mendengar lagu lama. Terkesan saya dengan liriknya. Masih segar dalam ingatan sewaktu menyertai
perbarisan Kempen Antidadah anjuran syarikat gergasi Pepsi dengan kerjasama
Kementerian Pendidikan Malaysia suatu ketika dahulu.
Lihatlah
sekeliling kita
Betapa
saban hari masih ada lagi
Harapan
serta bunga bangsa
Yang
rebah anak watanmu...
Teringat
saya sewaktu menyertai ceramah Prostar (Program Sihat Tanpa Aids untuk Remaja
Malaysia). Menyanyi bersama-sama. Bersemangat.
Prostar
Bintang harapan remaja dan bangsa
Jauhi AIDS hidup sejahtera
Tiada AIDS hidupkan jaya…
Bintang harapan remaja dan bangsa
Jauhi AIDS hidup sejahtera
Tiada AIDS hidupkan jaya…
Baru
semalam saya telefon ibu. Ibu menyampaikan berita sedih. Anak jiran sebaya saya
telah meninggal disebabkan virus HIV. Keluar masuk lokap sebab dadah. Saya
terkejut setelah pintu depan diketuk berkali-kali.
Muncul
teman sekuliah bersama-sama beberapa
orang temannya. Mereka duduk dan salah seorang mengeluarkan sekotak
sigaret. Menghulurkan kepada teman-teman
yang lain. Mempelawa saya. Saya menggeleng-gelengkan kepala.
Pada satu
hari, saya berasa tidak sedap badan. Rakan sebilik telah hantar saya ke klinik
panel. Saya disahkan demam. Tengah malam, berasa sesak nafas. Rakan saya
menyapukan minyak angin pada dada. Akhirnya terlelap.
Keesokannya,
dada saya masih berombak-ombak. Diserang kesukaran untuk bernafas sekali lagi.
Saya membonceng motosikal ke klinik yang sama. Perasaan saya ketika itu hanya
Allah yang tahu. Setelah sampai, saya terus dikejarkan ke hospital. Lewat
petang, saya masih di wad. Saya nampak ibu datang. Saya panggil ibu.
Saya
terjaga. Saya tidak tahu di mana. Wayar pada pergelangan tangan. Terdapat juga
satu alat disepit pada ibu jari tangan. Mahu diangkat tangan pun tidak saya
terdaya. Memandang ke arah tingkap. Hanya awan gemawan putih yang kelihatan.
Terasa ada sesuatu pada leher. Seluruh badan terasa lemah. Yang pasti saya
memakai pakaian berwarna hijau. Saya memalingkan kepala dan ternampak satu
plastik kosong di atas troli. Hospital Selayang tertulis padanya. Bukan
hospital yang sama.
Mahu
sahaja saya memanggil seseorang. Namun tidak ada sesiapa di situ kecuali
pelbagai peralatan yang saya tidak fahami akan fungsinya. Saya memusingkan muka
sekali lagi. Seorang jururawat muncul melihat saya. Berpatah kembali dan
memanggil rakan-rakannya yang lain. Semuanya bersorak kegembiraan dan
menyatakan kesyukuran kerana saya telah sedar. “Sedar?,” perkataan itu
berlegar-legar di minda saya.
“Benarkah
itu ibu? Wajahnya hampir sama tetapi sedikit cengkung. Begitu juga bentuk
badannya. Begitu susut sekali,” saya bermonolog sendiri setelah perempuan yang
sosoknya seperti ibu terpaku di muka pintu.
Saya cuba memanggil ibu, namun sia-sia. Tidak
ada suara yang keluar melainkan rasa perit. Rasa sakit. Pada tekak. Pada dada.
Saya cuba memusingkan badan. Gagal.
“Alhamdulillah,
kamu dah sedar”, ujar ibu. Menghampiri
katil dan memeluk saya. Sudah lama saya tidak merasa kehangatan air mata ibu.
Air putih meleleh membasahi pipi saya. Hujan air mata. Semuanya ada. Ayah, saudara-mara, rakan-rakan dan
jiran-jiran. Saya masih keliru dengan apa yang berlaku.
Sebentar
kemudian, saya dikhabarkan bahawa para doktor bersepakat untuk “merehatkan” saya. Koma. Saya “dikomakan” hampir dua bulan.
Bukan koma secara semula jadi. Saya “ditidurkan” oleh para doktor supaya
keadaan saya lebih stabil. Saya hanya akan disedarkan apabila keadaan menjadi
semakin baik.
‘
Menurut
doktor, berlaku jangkitan kuman pada paru-paru saya. Pneumonia. Badan saya
membesar ketika dalam keadaan tidak sedar. Kebanyakan yang datang tidak percaya
dengan apa yang berlaku. Asalnya, berat badan saya tidak mencecah pun 50
kilogram. Seluruh badan saya dipenuhi wayar ketika itu. Dada saya ditebuk.
Terdapat tiga kesan tebukan yang telah diijahit pada rusuk kiri dan satu pada
rusuk kanan.
Setelah
sedar, acap kali saya disoal tentang
rokok. Adakah saya seorang perokok? Berkali-kali saya nafikan. Hanya dengan
gelengan kepala. Disebabkan saya tidak sedar agak lama, tekak saya telah
ditebuk. Untuk tujuan pernafasan.
Saya bertambah
sugul. Tidak mampu untuk melontarkan kata-kata.
Hal ini membuatkan saya seperti mahu marah pada setiap orang kerana mereka tidak
memahami percakapan saya.
Banyak
perkara yang telah saya lupa. Ibu, ayah dan semua yang bergilir menjaga saya
menceritakan kembali peristiwa yang telah berlaku. Sedikit demi sedikit ingatan
lampau itu kembali. Yang paling perit apabila satu wayar dimasukkan ke dalam lubang
tekak yang telah ditebuk untuk mengeluarkan kahak yang ada masanya bercampur
dengan darah. Pada waktu yang telah ditetapkan pula, seorang jurupulih
berbangsa India datang untuk mengajar saya menguatkan kembali tangan kiri yang
tidak mampu diangkat. Begitu juga kaki. “Jangan malas,” itulah yang sering
diulangnya tanpa jemu. Saya hanya membalas dengan senyuman.
Di rumah saya, teman saya hanyalah
sebuah buku. Buku yang ditulis dengan perkataan. Perkataan yang mengandungi
vokal ‘u’. Buku, kuku, sudu dan lain-lain. Hanya itu caranya untuk
mengembalikan suara seperti sedia kala setelah tebukan di leher saya bercantum
kembali secara semula jadi dalam tempoh lebih kurang tiga hari sewaktu masih di
wad selepas satu alat dicabut daripadanya. Menyebut perkataan itu
berkali-berkali dengan sekuat yang mungkin.
Tersengih. Saya hanya tersengih.
Beberapa orang jurupulih menggelakkan saya bila mana saya menyatakan saya tidak
pandai meloncat menggunakan tali ‘skipping’. Kata mereka, baik untuk jantung.
Setelah kaki saya semakin kuat, saya berlatih meloncat menggunakan tali yang
diselangi gelak tawa saya sendiri dan mereka.
v
TUJUH TAHUN
KEEMPAT
Saya masih ingat seorang
sahabat. Dia mengharamkan sesiapa pun merokok di biliknya. Bagi yang tidak
merokok tidak rasa apa-apa. Di depan biliknya ditampal larangan merokok. Tidak
ada kompromi dengan si perokok.
Dan saya
masih ingat juga seorang rakan. Menyatakan seorang perokok hanya menyedut
sedikit asap rokok berbanding orang yang tidak merokok. Menggunakan alasan itu,
dia teruskan merokok.
“Awak
merokok? ,” tanya seorang doktor di sebuah klinik persendirian. Masih soalan
yang sama. Saya ke klinik setelah batuk saya berlarutan lagi. Batuk yang berterusan menyerang menyebabkan
saya memuntahkan segala yang telah saya telan.
“Mungkinkah saya
perokok pasif?,” soal saya kembali. “Mungkin. Hampir 600,000 orang yang tidak merokok.
Satu pertiga daripada mereka ialah kanak-kanak, meninggal dunia setiap tahun
akibat menyedut asap rokok daripada perokok. Jurnal Perubatan Britain, The
Lancet menyatakan bahawa separuh daripada perokok pasif yang maut ialah wanita dan bakinya ialah
lelaki dan kanak-kanak. Kira-kira 60 peratus kematian itu disebabkan oleh
penyakit jantung, 30 peratus lagi akibat
jangkitan paru-paru, dan selebihnya disebabkan asma dan kanser paru-paru,”
jelasnya panjang lebar.
“Jadi?,” saya menyoalnya
lagi. “Awak patut bersyukur kerana dipanjangkan umur. Kita harus memainkan
peranan masing-masing dalam menyedarkan semua orang tentang bahayanya rokok.
Semua orang tahu tentang bahaya rokok. Tahu sahaja tidak memadai kerana budak
kecil pun tahu merokok berbahaya. Kesedaran yang akan membuatkan seseorang itu
menghentikan tabiat merokok.
Merokok seperti mahu
membuang tabiat buruk yang telah lama kita buat. Misalnya, seseorang yang
mempunyai tabiat mencium stoking tiap kali mahu dipakai walaupun dia tahu
adakalanya stoking itu terbiar selama seminggu tidak berbasuh,” doktor
mengakhiri penjelasannya dengan sebuah analogi.
Saya tergelak. Dia pun
sama.
“Tapi, apa-apapun atas
kehendak hati, jika kita mahu buat sesuatu perubahan, kena usaha gigih, kalau
ada hati, semua boleh jadi,” sambungnya lagi.
Usai
diperiksa, saya menunggu giliran nama dipanggil untuk mendapatkan ubat. Keluar
dari klinik, bau tembakau kembali menerjah lubang hidung saya. Saya melihat ke
arah restoran di sebelah klinik.
Ya,
doktor tadi mengangkat tangan kepada saya. Menggabir-gabir. Di celah jarinya,
sebatang rokok yang menyala dan asap yang merayap mencari mangsa. Saya tergelak
sendirian sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Tabiat yang sukar
dibuang.
Betul
kata doktor. Bukan senang mahu buang tabiat buruk. Yang penting usaha gigih. Saya
menunjukkan jam. Alasan mahu cepat. Saya teruskan pelarian.
2 comments:
Salam perkenalan Tuan. Tahniah di atas karya-karya yang tersiar selama ini. Teruskan memartabatkan dunia penulisan.
Salam perkenalan juga. Terima kasih tuan tetamu istimewa.
Post a Comment