Translate

Sunday, November 28, 2021

Sahabat

Detik bersama-bersama menjadi satu rakaman yang tak dapat dilupakan, apatah lagi detik suka duka dilalui bersama.
        Banyak perkara yang diharung bersama-sama menjadikan kita mengenali seseorang dengan lebih dekat. Kesanggupan berada di sisi di saat sukar, menjadikan hubungan lebih akrab kerana tak semua sanggup meredah susah bersama-sama. Kata Aristotle, "Nasib yang buruk akan menyebabkan kita mengenali siapa sebenarnya yang bukan kawan kita." Beruntunglah kita mempunyai sahabat yang sentiasa menghulur tangan saat kita benar-benar memerlukan pertolongan dan seharusnya kita pun menjadi begitu juga.
        Sahabat ada di sekeliling kita, yang lama sudah dikenali dan ada juga yang baru dikenali. Dapat mengenali sahabat-sahabat yang hebat, yang sanggup susah senang bersama, satu kurniaan yang besar diberikan Allah SWT kepada kita semua, Alhamdulillah.

Saturday, November 27, 2021

Menanggung

Hidup ini bergerak dalam acuan kita. Kadang-kadang tak seperti yang diacu. 
     Ada yang suka berjalan, ada yang gemar berlari, ada juga yang masih bertatih, ada yang selesa merangkak dan ada yang gembira didukung dan ditanggung. Ada yang berjalan dan berhenti seketika, kemudian terus berlari. Ada berlari dan berhenti sekejap, seterusnya berjalan. Ada yang didukung dan ditanggung, kemudian turun dan duduk.  Ada yang bertatih, akhirnya berjalan sepertinya tak letih. Ada yang merangkak, duduk, lantas berbaring. Kata Charlie Chaplin, "Hidup ialah tragedi jika dilihat dari dekat, tetapi komedi jika dilihat dari jauh."
       Bergerak itulah sifat kehidupan. Kita yang akan menanggungnya mengikut gerak geri sendiri. Walau dalam tragedi, walau dalam komedi, hidup ini sentiasa akan menduga kita. Bersedialah!

Tuesday, November 23, 2021

Pelaksana

Saat menulis ini, kopi Ayah masih hangat, cerita pasal PRN Melaka pun masih hangat.
          Tempoh hari, kami di Melaka, penuh dengan bendera. Demokrasi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pemerintahan oleh rakyat atau wakil yang dipilih dalam pilihan raya. Calon yang berintegriti pastinya menjadi pilihan rakyat. Banyak  perkara yang dimahukan rakyat.  Perkara yang dimahukan rakyat sudah terang lagi bersuluh, mestilah perkara yang bermanfaat untuk rakyat demi kesejahteraan bangsa, agama dan negara.
Menjadi pilihan rakyat tanggungjawab yang besar kerana setiap suara rakyat harus didengar dan diteliti. 
         Yang terpilih semestinya  membawa suara rakyat dengan telus dan amanah kerana mereka pilihan rakyat. 
Rakyatlah pelaksana segala kerja dalam pelbagai sektor, maka rakyatlah yang lebih memahami sesuatu isu dengan lebih mendalam.

Saturday, November 20, 2021

Kebenaran

       Kita mengenalinya sejak sekian lama, kebenaran kini, mungkin boleh diterima, mungkin juga tak boleh menerima.
         Ayah termasuk dalam golongan yang tak boleh menerima, itulah kebenarannya. Kebenarannya mungkin sudah tak boleh diubah, mungkin sudah termaktub atau tersurat, keputusan telah dibuat. Kebenarannya, dia menghiburkan kita sekian lama tanpa rasa bosan dengan meninggalkan pesan dan kesan. Kebenarannya, realitinya dia mewakili segelintir daripada kita  yang benar-benar hidup dengan wataknya yang menghiburkan walau sekadar sampingan.
        Kebenarannya, dia mencipta peminatnya yang tersendiri walau disingkirkan dengan kehendak yang majoriti, kehendak yang minoriti cukup menghargainya kerana kebenaranlah yang membuatkan jalan cerita dan watak utama lebih hidup!

Friday, November 19, 2021

Laluilah

Teoretikal saja tak mencukupi, praktikal melengkapkannya dan di sinilah cabaran sebenar bermula.
        PdPR dan bersemuka pun banyak bezanya dan kerenah yang dihadapi banyak tak sama. Orang yang sama dan ada yang tak sama langsung perwatakannya sewaktu bersemuka. Mengajar di alam maya dan di alam nyata, banyak yang dapat dapat dikutip, ditambah pula dengan kerja-kerja sampingan yang mungkin tak pernah difikirkan untuk dibuat, mencambahkan lagi benih pengalaman.
        Praktikal sedikit sebanyak memberi gambaran awal terhadap teoretikal, mungkin ada yang sama, mungkin tak sama langsung, mungkin ada sesuatu yang baharu ditemui. Perjalanan ini baru bermula, percaya dan laluilah!

Tumpuan

Ayah pernah beritahu sebelum ini, Ayah pun tak tahu Kakak dari planet  mana, tiba-tiba saja muncul.
       Kakak akan muncul di waktu yang tak terduga. Maka, Kakak mula jadi perhatian dan kakak jadi ubat penenang anak-anak. Cerita yang keluar pun mula banyak tentang Kakak.  Sekejap-sekejap menjenguk Kakak menyiapkan kerja sekolah di bilik. Kakak mula jadi tumpuan, mungkin seperti selebriti. Menjadi tumpuan, menggembirakan atau merimaskan, itu Ayah tak pasti. Apabila ditanya tentang adik, abang-abang beritahu, Adik di bilik geng perempuan, bersama dengan Umi dan Kakak.
      Menjadi tumpuan itu satu anugerah. Tumpuan itu seperti guru, mengajar kita banyak perkara, terutamanya dalam menguruskan masa dan menguruskan manusia.

Memberi

Rabu, hari-hari yang dihitung Angah akhirnya muncul, Alhamdulillah.
       Ke manakah mahu dituju untuk meraikannya setahun sekali? Meraikan hari yang penting kadang-kadang keadaan menjadi genting. Bukan hari cuti, itu sudah satu hal. Siang yang penuh dan yang tinggal hanya malam untuk diraikan. Satu hari tidaklah dirasakan lama andai banyak perkara yang telah diisi. Memberi, itulah yang dilakukan Angah kali ini kerana dia tertanya-tanya tentang hari yang dirai dan seseorang yang dirai itu dilihat pula banyak kali memberi. Umi menjelaskan kelebihan memberi, dan kali ini dia mahu turut sama begitu - yang diraikan memberi.
        Memberi di saat sukar, itu antara yang selalu kita dengar. Apa-apa pun, memberikan itu dapat menggembirakan orang lain, Insya-Allah. Memberi itu salah satu cara meraikan seseorang, apatah lagi di hari istimewanya. 

Benar

Membaca dan mengkaji sangat penting supaya kita tahu yang benar. Ada anggapan bahawa benar itu  pahit dan menyakitkan, bergantung jua pada s...