Translate

Friday, November 19, 2021

Sementara

Isnin, 15 November, Fakhri suami kepada Zira (sepupu Ayah), telah sampai masanya, diambil Allah SWT kembali. Al-Fatihah untuknya dan moga rohnya ditempatkan di tempat yang terbaik.
        Kita semua sedang menanti detik itu saat ini, tidak tahu bila dan di mana. Sementara itu, banyak perkara yang perlu kita isi atau kita ambil daripada hidup ini sebagai bekalan untuk ke sana. Di dunia ini sesungguhnya banyak perkara yang mengujakan kita, yang membuatkan kita terkejar-kejar. Ada yang dikejar itu dapat, ada yang dikejar semakin dekat tetapi semakin jauh meninggalkan kita.
       Menghadap kehidupan ini, banyak perkara yang akan kita lakukan. Semuanya akan dihitung di sana, kerana di sini hanyalah sementara. Kejarlah kebaikan sementara yang boleh, Insya-Allah.

Saturday, November 13, 2021

Baik-baik

Penghujung hari kadangkala mengingatkan kita tentang perkara yang telah dikerjakan sejak awal pagi.
      Tambah-tambah hari cuti, sudah pasti rutin dan kerja  tak seperti di tempat kerja bagi yang tak bekerja di rumah. Kadang-kadang sudah lima hari bekerja, hari cuti dirasakan hanya ingin duduk saja, tapi pandang ke kiri dan ke kanan, pandang ke depan dan ke belakang, pandang ke atas dan ke bawah, ada yang tak sedap mata memandang, itu bermakna ada yang perlu dikerjakan walau fokus asalnya lain. Jika dirasakan kepuasan menyelesaikan sesuatu perkara itu lebih penting, jika dirasakan sesuatu perkara itu jika dibiarkan dan akhirnya mesti juga diselesaikan, maka keutamaan sudah berubah.
       Begitulah, sejak celik dan sebelum berakhir dengan menutup mata, banyak perkara yang baik perlu dikerjakan kerana pastinya kita semua mahukan yang baik-baik saja menemani hidup kita, Insya-Allah.

Friday, November 12, 2021

Lebih

Apabila mula melangkah, Insya-Allah pengalaman mula bertambah.
    Anak-anak sememangnya suka, ke hulu dan ke hilir, memerhati dan memberanikan diri. Jika tidak dibiasakan, sepanjang masa akan berasa janggal. Jika sudah bermula, itu akan menjadi pengalaman yang menakjubkan. Merasai gebunya bulu arnab dan melihat anak arnab yang kemerah-merahan, melihat anak itik yang disangka anak ayam dan ini kali pertama anak-anak berada di ladang sawit yang ada haiwan ternakan. Ada juga yang baru berjumpa sudah nampak manja-manja.
       Kadang-kadang kita menemui apa-apa seperti yang dirancang. Kadang-kadang, kita menemui dan dapat lebih daripada apa-apa yang telah dirancang, Alhamdulillah. Perjalanan dan pengalaman tak dapat dipisahkan!

Tuesday, November 9, 2021

Tujuan

Berkonvoi itu menemukan kita dengan banyak perkara.
        Biasanya Tok Lang berkonvoi dengan mengayuh basikal, kali ini tidak. Bermula selepas Asar sampainya malam, baliknya pun lebih kurang begitu. Jalan menghala ke Triang yang berada bersebelahan Sungai Pahang disusur dan seterusnya ditemani pemandangan kebun kelapa sawit dan getah. Kata Vincent van Gogh, "Berikan seluruh cintamu pada alam kerana itulah jalan sebenar memahami keindahan." Perjalanan ke Labis pula merentasi kawasan Gunung Ledang yang menghijau dan sempat singgah di rumah Atuk Mak Su Zyma yang membuatkan anak-anak bertambah teruja, mungkin yang dewasa juga.
          Tujuan akan membawa kita meneroka ke seluruh alam ini selagi ada keinginan dan kudrat. Tujuan dapat menyatukan dan menjalinkan hubungan yang erat antara kita, Insya-Allah.
      
          

Sunday, November 7, 2021

Cari-Cari

Gembira itu ada di mana-mana dan tak sama bagi setiap orang, ada juga yang sama.
      Dalam setiap perjalanan, pastinya ada yang menarik perhatian mata yang memandang. Ada ketikanya  hanya menarik mata untuk memandang, ada masanya terdorong untuk berhenti di tempat yang menarik hati. Tempat yang ada makanan pasti salah satunya yang menarik perhatian semua orang. Apabila sudah menarik hati, sudah pastilah jatuh hati dan berkali-kali mahu ke tempat idaman. Bermula dengan Umi dan akhirnya hampir semua ke tempat yang sama. Dalam hujan, aiskrim tetap dinikmati dan oden masih panas menjadi pilihan hati.
       Insya-Allah, pastinya ada kegembiraan dalam perjalanan hidup yang sedang kita lalui, mungkin kita sedar atau baru kita  sedar bahawa itulah kegembiraan yang sedang kita cari-cari.

Sama-Sama

Sejak dibenarkan merentas negeri, banyak aktiviti kembali berjalan sebagaimana yang direncanakan.
       Aktiviti ziarah turut menjadi sebahagian daripada rencana. Umi dan Opah banyak merencana, sehingga ke Johor dan Melaka lepasnya. Ziarah yang lama tak jumpa, keluarga Tok Wa dan keluarga Tok Ndak. Dari Pahang singgah di Negeri Sembilan, terus ke Johor dan Melaka. Aplikasi perjalanan membawa ke mana-mana saja setelah ditetapkan lokasinya dan ada masanya, cara lama itu lebih berkesan, berhenti dan tanya orang. Anak-anak tetap gembira di mana-mana saja, asalkan ada yang menarik perhatian atau sendiri mencipta permainan.
      Masa sentiasa ada untuk bersama-sama. Bersama-sama menikmati segala yang ada dengan penuh rasa kesyukuran membuatkan kita lebih menghargai masa yang sedang kita lalui, Insya-Allah.

Saturday, November 6, 2021

Kutip

Semalam, Sabtu bertemu Sabtu, Alhamdulillah.
       Sekejap masa berlalu, Sabtu lepas Achik keluar dari hospital. "Buang kahak," itu doktor pesan kepada Achik. Ya, entah kali ke berapa Achik masuk hospital, tahun ini kali kedua. Apabila bernafas mula ada bunyi, itu salah satu tandanya. Sebelumnya, suara pun tak berapa nak keluar. Umi cek nadi Achik, tak normal- tinggi kiraannya dan bacaan SpO2 rendah.
       Sabtu bertemu Sabtu, sudah lepas merata-merata, sudah banyak pengalaman dikutip.  Pengalaman ada di mana-mana, namun tak sama, tapi sampai masanya tetap akan berguna walau sedikit, Insya-Allah.

Benar

Membaca dan mengkaji sangat penting supaya kita tahu yang benar. Ada anggapan bahawa benar itu  pahit dan menyakitkan, bergantung jua pada s...