Translate

Friday, December 9, 2016

Genggam

                     Jom pi MAHA
               Macam-macam ada

Esok hari terakhir MAHA 2016. Kami pergi MAHA beberapa tahun lepas.
       Tahun ini nampaknya lebih meriah dengan adanya Kampung Durian Runtuh dan Kampung Mok Cun. Sememangnya macam-macam ada di sana.
     Yang paling ayah ingat, sewaktu mahu balik, riuh-rendah dengan suara orang yang menunggu bas. Bas akan membawa pengunjung ke tempat parkir kenderaan.
       Semua menunggu bas. Terlalu ramai orang. Sementara menunggu bas, ayah mendukung angah. Ayah berasa lenguh dan menurunkan angah. Bas tiba-tiba datang.
        Kami semua bergerak dan bergegas ke arah bas. Masing-masing beratur. Tiba-tiba ayah terdengar suara memanggil ayah. Baru ayah perasan, ayah terlupa membawa angah sekali. Alhamdulillah, dia masih di khemah tadi, di celah-celah orang ramai.
      Walaupun rambang mata dan bersesak-sesak, pastikan tangan anak-anak digenggam erat.

Indah

            Alangkah indahnya hidup ini
          Andai dapat kutatap wajahmu
          Kan pasti mengalir air mataku
         Kerna pancaran ketenanganmu

           Alangkah indahnya hidup ini
         Andai dapat kukucup tanganmu
Moga mengalir keberkatan dalam diriku
       Untuk mengikut jejak langkahmu

          Lagu ini cukup mengesankan. Pagi ini berkumandang di TV9. Hidup ini pasti indah jika Allah dan Rasulullah sentiasa di hati kita, Insya-Allah.
       Alhamdulillah, pagi yang indah dan anak-anak ayah emak bangun awal pagi ini. Ayam masih berkokok tetapi tidak semeriah semalam.

Ingat

Hari ini kami ke Temerloh Bandar Ikan Patin.
     Peribahasa tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain paling tepat menggambarkan Temerloh bagi ayah. Dulu yang ada Happy Fried Chicken dan Kentucky Fried Chicken, sekarang zirafah dan Sushi King pun ada di belakang The Store di stesen bas ekspres. 'Grape Farm' pun sudah lama ditutup.
     Walaupun sudah banyak yang berubah, kenangan tidak pernah berubah, bezanya sama ada kita ingat atau kita lupa, itu sahaja.

Thursday, December 8, 2016

Syukur

Alhamdulillah. Bersyukur kerana pagi ini disambut kokokan sahut-menyahut. 
     Kita diuji musim tengkujuh dan Banda Aceh diuji  gempa bumi tanggal tujuh Disember. Pagi ini cerah dan semalam petang yang basah.  Adik sedar awal pagi ini kerana kebasahan.
    Adik tidur semula setelah ayah menjirusnya dengan air sejuk dan ayam bapak masih tidak jemu berkokok.
   

Paha

Ayah biasa menyebutnya 'peha'. Ejaan sebenarnya ialah paha.
    Ada beberapa peribahasa yang berkaitan dengan paha. Salah satunya ialah bergendang paha yang bermaksud bergembira kerana orang lain mendapat kesusahan. Musim hujan sekarang ini lebih baik kita bergembira dengan mendoakan diri sendiri dan orang lain supaya mendapat kesenangan.
     Adik pun gembira dapat berbantalkan paha ayah sambil menghisap botol dan tangannya yang satu lagi  menepuk-nepuk perut ayah.
    
   

Wednesday, December 7, 2016

Ustaz

Kelazimannya, anak-anak kecil seperti adik lebih tertarik kepada selipar atau kasut orang dewasa.
     Ayah masih ingat ketika berada di asrama, selipar merupakan benda penting selain 'tray'. Kadang-kadang kami terpaksa mencari selipar ustaz yang datang ke surau di dewan makan kerana ada yang tersalah ambil sewaktu keluar dari surau dan menuju ke dewan makan untuk makan lewat malam.
      Ayah masih ingat seorang kawan ayah, dia sengaja memakai selipar sebelah lain sewaktu ke masjid kerana ada ketikanya selipar baharunya lesap sewaktu hendak pulang ke asrama dari masjid.

Benang Raja

Apabila disebut ganu, benang raja, ular danu dan bianglala mungkin terasa janggal mendengarnya dan encik persoalan akan muncul di benak kita.
     Ayah berhenti di persimpangan jalan Pekan kerana lampu merah. Petang yang panas dan hujan pun turun. Sebelumnya, pelangi di langit  terbentang sebelah kanan sentiasa indah untuk dipandang. Ciptaan Allah yang cukup menakjubkan.
Perkataan-perkataan dalam perenggan pertama itulah nama lain bagi cahaya melengkung berwarna-warni  di langit yang kita panggil pelangi.
       Alunan lagu Pelangi Petang oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad pun bermain-main di telinga ayah.

         Seharian waktu bersamamu
        Tak terasa saat yang berlalu
    Bagai pelangi petang kaukan pasti
                          Pergi jua
    

Benar

Membaca dan mengkaji sangat penting supaya kita tahu yang benar. Ada anggapan bahawa benar itu  pahit dan menyakitkan, bergantung jua pada s...