Translate

Sunday, July 28, 2024

Moga

Sabtu, cuti yang tak bekerja, nak balik kampung, kenderaan pun tak banyak sangat, bukan cuti sekolah.
             Singgah makan kejap sebelum bergerak, orang pun tak banyak lagi. Sampai di rumah Atuk dan Opah, Opah muncul dari belakang rumah. Nampaknya pokok anggur di dalam pasu di tepi garaj kereta masih menjalar. Tiga empat hari lepas lipan gigit kaki Atuk, Alhamdulillah Atuk nampak semakin baik. Hampir Zuhur, Tok Lang muncul, Opah suruh ambil buah cempedak. Antara peribahasa Melayu yang jarang kita dengar ialah tanam cempedak tumbuh nangka. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maksudnya ialah apa yang diperoleh lebih daripada apa yang diharapkan. Duduk sekejap borak-borak, Tok Lang pun balik bawa buah cempedak. Pagi tadi, awal sudah bau cempedak goreng, Atuk bancuh kopi Kulim. Sebelum tengah hari, Baba dan Mami sampai. Baba hilang agak lama, kemudian masuk rumah bawa air kelapa muda.  Hampir tengah hari, Achik bergegas ke dapur, tekaannya betul, Opah masak sup.
          Cuti semestinya untuk lakukan apa-apa yang boleh buat kita gembira atau orang lain gembira. Cuti masa yang terbaik untuk melakukan sesuatu bersama dengan keluarga atau orang yang kita sayang setelah seminggu penat bekerja. Moga kita kembali ke tempat kerja dengan lebih segar dan ceria serta bertambah semangat, Insya-Allah.


          
           
        
          
           
         

Tuesday, July 23, 2024

Setiap Detik

"Pandai pun suruh sabar," kata Ayah kepada Angah. Ayah terus menyambung kata-kata, belum sempat semakin panjang, Adik datang pegang belakang Ayah di dapur.
           "Jom tarik nafas panjang, jom duduk dan bertenang, sabarlah bila marah, pasti Allah sayang."  Adik datang, menyanyi untuk Ayah. Ayah tak pasti sama ada Ayah pernah dengar lagu 'Sabar Bila Marah', nyanyian Omar  dan Hana, itu sedikit liriknya. Ya, menyebut sabar memang senang. Adakah kita benar-benar boleh bersabar dengan kerenah anak-anak atau orang lain? Adakah anak-anak pun boleh bersabar dengan kerenah kita atau orang lain boleh bersabar dengan kerenah kita?  Ya setiap hari kita diuji dengan sabar, bermula keluar dari rumah untuk ke tempat kerja di jalan raya yang sesak dan masing-masing mahu cepat,  di tempat kerja yang banyak urusan, seterusnya kembali ke rumah bersama dengan keluarga atau dengan rakan serumah. Kadang-kadang bukan manusia saja yang menguji kita, kucing yang datang tanpa dipinta menggesel pada kaki juga menguji sabar jika mental kita terlalu letih.
              Bersabarlah semungkin yang boleh dan duduklah dulu minum kopi atau apa-apa air yang kita sukai tatkala sabarnya lari. Banyak orang, binatang atau hal yang Allah SWT kirimkan untuk kita belajar sabar, sama ada kita lulus atau gagal dalam ujian tersebut, itulah pelajaran untuk kita renung hari ini dan kembali pada hari esok untuk belajar tentang sabar kerana pelajaran sabar itu setiap detik selagi kita bernafas.


            

Saturday, July 6, 2024

Anak Kandung

Sebut saja O.T.  Dussek, bagi kami dan kamu yang tahu, banyak kenangan berkumpul, banyak kisah yang tertulis.
          Kali terakhir Ayah menjejakkan kaki ke O.T. Dussek, sudah bertukar fungsinya menjadi Fakulti Bahasa.  Sempat bertemu Kak Ani, tidak kesampaian bertemu Encik Ahmad Khair. Itulah tempat lahirnya cinta, mekar persahabatan kami semua di sini. Di koridor bawah meniup pelbagai alat tiupan itu biasa, yang di dalam ralit memegang berus pun itu pun biasa. Waktu itu kegilaannya lagu Hindustan, CD pun baru bermula, 3310 itu sesuatu yang hebat dan sesiapa pun pasti mengenali Pak Aris. Mengayuh dan berjalan itu merata-rata, menjadi biasa, kadang-kadang makan paginya Perak, makan tengah harinya di Kuala Lumpur dan makan malam di Selangor. Banyak kali berada di kedai Abuya, menikmati juadah siang malam, menikmati kereta api yang melintasi dan melintas ke pekan Tanjung Malim pun beberapa langkah sudah sampai. Pagi tadi bertemu dengan salah seorang daripadanya, warga O.T. Dussek, hari terakhir baru ketemu walau Selasa sampainya.
         Kita bersama-sama mengumpul kenangan walau kisahnya dari sudut pandang tak sama. Tetap ada sesuatu untuk kita kenang, walau ada  ingatan terkambus dalam. Kita pernah menjejak tanah yang sama, merenung langit yang sama, Pengetahuan Suluh Budiman itulah yang kita genggam. Juga pernah berada di dalam perut yang sama, Ibu Kandung Suluh Budiman, jangan disangkal, kitalah Anak Kandung Suluh Budiman!

 

Friday, July 5, 2024

Tahniah

Menanti hujan berhenti, duduk makan kuaci, memerhati ke seberang, kesesakan di jalan, nampak sarat, begitu juga dalam fikiran.
          Perlawanan terhenti dan kembali bersambung, kenderaan masih bertali arus. Ketegangan ada di mana-mana, masing-masing ada cara mengendurkannya, berborak dan sebagainya, ikut naluri, ikut kebijaksanaan. Beberapa hari berkampung di sekolah dan Stadium Hoki Indera Mahkota, masing-masing ada komitmen, bahkan hingga ke malam. Ayah meminta kata-kata tentang hujan daripada Cikgu Shafiq dan tiga perkataan diberinya, disuruh sambung sendiri, mungkin ini permainan kata-kata. "Mengharungi setiap kesukaran..." itulah bunyinya. "Mengharungi setiap kesukaran bukanlah satu beban, tapi untuk tambah pengalaman dan dipegang sebagai teladan," mungkin boleh ditambah sebegitu. Ya tamat di situ, hujan kata-kata. Hujan pun berhenti, satu Malaya ada di stadium, gamat kembali dengan sorakan. Sebelum itu, Pak cik Hafiz muncul dengan Ruzaizul dan seperti biasa, Ayah memang tak ingat nama, disuruh teka Pak Cik Hafiz. Bergerak ke gelanggang yang lagi satu, jumpa pula kawan, namanya sudah berubah di Facebook @Naz Othman, sambung berborak.
         Ya anak-anak, hidup begitu sarat dengan ujian. Renung kembali kata-kata Cikgu Shafiq  yang telah bersambung, "Mengharungi setiap kesukaran bukanlah satu beban, tapi untuk tambah pengalaman dan dipegang sebagai teladan." Tahniah buat anak-anak, guru-guru dan semua yang tak pernah henti berjuang! Inilah prosesnya untuk hidup yang lebih bermakna, Insya-Allah. Hidup Berjasa.

Mahu Pilih

Setelah 55 tahun, akhirnya Nottingham Forest dapat menewaskan Liverpool di Anfield, memecahkan satu rekod yang cukup lama, itu yang Ayah den...