16 September 2026 sangatlah bermakna. Marilah kita terus membaca supaya terus celik dalam memahami sejarah. Janganlah kita terpedaya dengan pihak yang mahu kita melupakan sejarah kita sendiri atau mahu kita salah faham dengan sejarah tanah air sendiri.
Penjajah yang datang dulu melabelkan bangsa kita pemalas. Janganlah kita mengiyakan tuduhan itu dengan benar-benar menjadi pemalas kerana mengabaikan perkara yang sangat penting, iaitu amalan membaca. Sekarang bukan seperti dulu lagi, hanya ada buku saja sebagai sumber utama. Sangat tidak wajarlah pada hari ini untuk kita malas membaca, hanya membaca tajuk dan hanya membaca daripada sumber yang tidak sahih. Hari ini, banyak musuh di luar dan musuh dalam selimut pada setiap masa mahu kita terus keliru dan percaya bahawa kita bangsa yang lemah sedangkan pada abad ke-15, bangsa kita sudah mendunia.
Sejarah hanya kekal menjadi sejarah jika kita tidak membaca. Jika kita tidak mencari kebenaran melalui pembacaan, sia-sialah perjuangan orang terdahulu. Kitalah tulang belakang tanah air tercinta ini yang wajib meneruskan perjuangan nenek moyang yang telah menumpahkan peluh dan darah. Selamat Hari Malaysia!
khm79.blogspot.com
Translate
Wednesday, September 16, 2026
Tulang Belakang
Monday, September 14, 2026
Satu Hari Lagi
Fajar telah tiba
nan menyinsing membawa harapan
Tanah Semenanjung
Tanah Semenanjung
permata nilam.
Sebentar tadi, Ayah mendengar lagu Bahtera Merdeka diputarkan radio Manis FM. Seperti biasa, Isnin kebanyakan orang mula bekerja dan menghantar anak ke sekolah, ada yang bergerak sebelum fajar dan ada yang bergerak sesudah fajar.
Setiap pagi kita bergerak membawa harapan walaupun jerebu masih berkeliaran. Sambil ke tempat yang dituju dengan matlamat yang sudah ditetapkan, kita dapat melihat ada yang sudah berjual beli dan ada yang berhenti mengisi perut kereta serta perut sendiri. Ada juga yang sudah berbasikal dan berjoging. Sedar atau tidak, kita bukan hanya melakukan untuk diri sendiri dan keluarga, bahkan perkara baik yang kita lakukan itu jua melibatkan negara yang tercinta. Rakyat Sihat Negara Sejahtera dan Bahasa Jiwa Bangsa, itu antara slogan yang sering diwara-warakan dan perkara ini pun sering kita ambil berat dan kita praktikkan sepanjang hari sebagai warganegara yang bertanggungjawab.
Syukur untuk satu hari lagi yang penuh dengan harapan kerana masih kita dapat melihat indahnya matahari pagi dan pulang petang dapat melihat indah matahari yang hampir terbenam sebab esok tak siapa yang tahu.
Friday, September 11, 2026
Pedoman
Cuaca agak sejuk pagi ini kerana malam tadi hujan lebat dan moga dapat meredakan sedikit jerebu yang datang dari jauh tak diundang.
Dari tingkap dapur Ayah dapat melihat bunga-bunga liar yang merebak dan berkembangan, merebak dan berkembang seperti kenangan 1980-an di medial sosial. Pada tahun 1980-an, Ayah masih kecil dan di penghujung 1980-an Ayah masih bersekolah rendah. Yang Ayah ingat pasal fesyen 1980-an tentulah tentang Tok Lang yang nampak begitu 'rugged' dengan jaketnya. Sebelum keluar pasti dibelai rambutnya, ditekan dengan tangan dan dipusing-pusingkan bahagian depan rambut untuk mendapatkan jambul seperti yang diinginkan. Kalau pasal lagu pada era itu, Fantasia Bulan Madu (1987) antara yang Ayah suka dan penghujung 1980-an lagu Isabella (1989) pula menjadi fenomena.
Waktu berjalan dan kenangan pun bertambah. Kenangan lalu tetaplah dipuja dan menjadi pedoman untuk hari ini dan hari-hari yang mendatang supaya yang baik-baik sentiasa mendekati kita dan menjadikan kita lebih bersyukur.
Monday, September 7, 2026
Al-Fatihah
Ayah kembali menelaah Facebook setelah mengusik Adik pada petang Sabtu 5 September, Ayah berhenti pada satu paparan, kartunis Nud's atau Aminuddin Alias yang berkarya di majalah Gila-Gila sewaktu zaman Ayah membesar telah meninggalkan kita, Al-Fatihah.
Kemudian Ayah melangkah ke rak buku, membelek-belek buku yang tersusun dan akhirnya Ayah pun mengeluarkan majalah kompilasi Gila-Gila, karya allahyarham Nud's, 'Once Upon A Time Volume 1'. Apabila air mata telah kering, nampaknya Adik berminat pula dengan majalah tersebut. Dia menyelak sehelai demi sehelai dan kejap-kejap datang suruh Ayah baca, mahu berkongsi lucu. Adik tunjuk gambar seekor ayam yang berjaya melepaskan diri pada akhir cerita kerana watak utamanya, seorang anak kecil tidak memegang kaki ayam kuat-kuat sewaktu bapa mahu menyembelih ayam yang ditangkapnya dengan rasa susah payah. Tak macam hari ini, mahu makan, semua main tunjuk saja.
Dulu-dulu, majalah kartun antara penghibur utama untuk buat kita senyum sendirian. Hari ini, alam maya mengambil alih tempat tersebut. Terima kasih buat yang pernah menggembirakan dan membuat kita tersenyum walau tak pernah bersua. Al-Fatihah untuk yang telah meninggalkan kita dengan kenangan amat berharga dan bermakna.
Saturday, September 5, 2026
Kesan
Friday, September 4, 2026
Sedar
Thursday, September 3, 2026
Ingat
Tulang Belakang
16 September 2026 sangatlah bermakna. Marilah kita terus membaca supaya terus celik dalam memahami sejarah. Janganlah kita terpedaya dengan...
-
Ada empat maksud tongkol dalam Kamus Edisi Keempat. Salah satu maksud tongkol ialah tempat butir-butir jagung tumbuh atau mel...
-
Baulu atau bahulu? Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ejaannya BAULU. Baunya pun dah sedap. Rasanya sudah tentu sedap.Baulu memang sedap. Berta...
-
Mandi masih menjadi isu besar bagi sesetengah anak-anak, tambahan pula cuti sekolah. Seperti biasa, ada masanya ada menangkap dan me...