Skip to main content

Posts

Showing posts from February, 2018

Panas

Siang panas, malam sejuk. Sebelumnya, siang sejuk sangat. Cuaca pun tak menentu.
       Apatah lagi orang, ada yang cepat panas, ada yang cepat sejuk. Ada yang lambat panas, ada yang lambat sejuk. Ada yang cepat panas, tak sejuk-sejuk. Ada yang sejuk, tak panas-panas. Ayah kalau panas, lambat sejuknya.
       Semalam, umi pun panas sebab demam. Ayah pun sebab nak cepat, silap masukkan air ke dalam bekas air along. Ayah masukkan air panas. Panas memang boleh mengubah keadaan atau sesuatu.

Selongkar

Ada masanya ayah akan mengikut umi mengambil achik dan adik.
       Sampai sahaja, umi macam lipas kudung mengambil telefon yang berada di dalam tas tangan. Dalam hati ayah, amboi sampai begitu sekali tidak boleh berenggang dengan telefon pintar. Kemudian, masuk achik ke dalam kereta. Dia pantas mencapai beg tangan umi dan menyelongkar. Ya, dia menyelongkar mencari telefon pintar.
        Selepas umi mengambil telefon pintar tadi,  sebelum keluar dari kereta, dia menyorokkan telefon pintarnya di tempat lain. Konklusinya, jangan cepat membuat rumusan atau kesimpulan dan jangan cepat salah sangka.

Rancak

Peribahasa China menyatakan bahawa  perkataan hanyalah perkataan dan tanpa hati, perkataan tidak mempunyai apa-apa makna.
       Confucius pula menyebut bahawa kerana satu perkataan seseorang itu selalunya dianggap bijak dan kerana satu perkataan dia mungkin dianggap bodoh. Kita sesungguhnya harus berhati-hati dengan apa-apa yang kita katakan. Saidina Ali bin Abi Talib mengatakan bahawa lebih sedikit orang menggunakan akal, lebih banyak pula ia berkata-kata.
        Hari ini, kata-kata tidak serancak dahulu. Tiada lagi kata-kata pabila telefon pintar mengambil alih, masing-masing menghadap dan senyum atau ketawa pun seorang diri. Kata-katanya hanya banyak berlegar di alam maya.

Risiko

Di taman permainan sebenarnya bagus untuk orang tua seperti kita. Mungkin ada yang tidak mahu meneruskan bacaan kerana merasa dirinya muda.😜 Gurau sahaja, jangan ambil hati.
     Perhatikan anak-anak kecil, mereka meneroka segala yang ada di taman permainan. Jarang sekali mereka katakan 'tidak' untuk mencuba sesuatu yang baharu. Mereka memerhati seketika kawan- kawan yang lain melakukannya dan seterusnya, mengambil tindakan melakukannya. Walaupun kita yang dewasa tahu ada permainan yang belum sesuai dan belum sampai masanya disebabkan fizikal mereka, mereka tetap mencuba. Akhirnya, achik tetap berjaya sebab ayah mengangkatnya dan dia mengalihkannya jari-jemarinya dari satu palang  besi ke palang besi yang lain.
    Kata Jackson dalam buku Mutiara Kata Pencetus Minda (Zaiton Afidza B.A. (Hons), "Orang yang takut menghadapi risiko ialah orang yang mengalah sebelum mencuba kemampuannya, menyerah sebelum berjuang."

Lebih Berani

Ayah dulu tak pernah kenal pun taman permainan.
       Duduk di kampung mana ada taman permainan macam sekarang. Tak ada palang besi untuk bergayut dan dipanjat dan tentulah pokok tempat terbaik untuk memanjat dan bergayut. Taman permainan di sekeliling rumah sahaja. Anak-anak  pula cukup gembira jika ke taman permainan. Sekeliling rumah tak macam di kampung yang cukup luas.
      Abang-abang cukup tercabar jika melihat adik lebih berani daripada mereka. Pastinya mereka tidak mahu mengalah dan keberanian itu muncul disebabkan si adik. Dalam  buku Mutiara Kata Pencetus Minda (Zaiton Afidza B.A. (Hons), Jackson mengatakan bahawa jangan sesekali bermuafakat dengan perasaan takut.

Lebih Berani

Ayah dulu tak pernah kenal pun taman permainan.
       Duduk di kampung mana ada taman permainan macam sekarang. Tak ada palang besi untuk bergayut dan dipanjat dan tentulah pokok tempat terbaik untuk memanjat dan bergayut. Taman permainan di sekeliling rumah sahaja. Anak-anak  pula cukup gembira jika ke taman permainan. Sekeliling rumah tak macam di kampung yang cukup luas.
      Abang-abang cukup tercabar jika melihat adik lebih berani daripada mereka. Pastinya mereka tidak mahu mengalah dan keberanian itu muncul disebabkan si adik.

Luar Kelas

Umi ingat juga pasal tadika. Ayah tak ingat sangat. Dulu masuk tadika pun masa umur 6 tahun.
     Sekarang budak 3 atau 4 tahun dah masuk prasekolah atau yang sealiran dengannya. Yang ayah ingat, banyak masa ayah dihabiskan di luar bilik darjah. Lama jugalah aktiviti ini berlangsung, ada masa atuk tunggu dan ada masa atuk balik terus tak tunggu.
     Aktiviti yang ini bukan aktiviti kelas  atau PAK 21 tapi kejar atuk nak ikut balik dan 'melalak'  di luar kelas. Mungkin ayah terlalu fokus dengan keseronokan menangis.😂

Terbaik

Umi cakap waktu dia sekolah tadika, waktu rehat paling seronok sebab dapat main gelongsor dan lain-lain.
    Waktu rehat pagi  di sekolah mungkin biasanya 9 lebih hingga 10 lebih. Umi cakap  dulu rehat pukul 9. Umi rajin kongsi Nota 'Parenting' Taufiq Razif dengan ayah.    
    Kata Taufiq Razif,"Pastikan setiap hari  anak kita kena 6 minit hingga 8 minit cahaya matahari. Waktu terbaik adalah pada pukul 10 pagi hingga 2 petang. Kajian mengatakan bahawa 80% remaja Malaysia sekarang kurang vitamin D."
    Yang ada anak dan yang nak tambah ilmu bolehlah ke telegram di alamat http://t.me/NotaTaufiqRazif.

Tercipta

Antara penulis kesukaan ayah ialah Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad (bekas Ketua Pengarah DBP).
        Ayah menyukai penulisannya tentang kehebatan bangsa Melayu dalam ruangan Kaca Di Jendela (Dewan Masyarakat) suatu masa dahulu. Beliau sering memberi pandangan berdasarkan bukti-bukti yang ada sejak dahulu lagi tentang kehebatan orang Melayu.
       Sejarah bangsa Melayu tercipta lagi. Hafizh Syahrin Abdullah menjadi pelumba pertama dari Asia Tenggara yang  akan beraksi dalam Kejuaraan Dunia MotoGP  dengan menyertai pasukan Monster Yamaha Tech3.
      Insya-Allah, aksi pertama  beliau dapat dilihat di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, pada 18 Mac ini (Sinar Harian). Kita patut berbangga dan bersyukur serta bersama -sama mendoakan kejayaan Hafizh Syahrin Abdullah.

Biar

Ayah memang banyak mulut. Ayah juga suka membaca dan menonton filem.
      Apabila bergebang, mulut tak boleh berhenti. Kadang-kadang umi tak sempat habis bercakap, ayah dah menyampuk sebab rasa lebih tahu. Ayah pun ada baca tentang pentingnya kemahiran berkomunikasi dan pentingnya menjadi pendengar yang baik.
   Nampaknya, dalam berkomunikasi ayah perlu lebih banyak mendengar dan mungkin sebab itu ayah tak banyak kawan sebab cakap sampai lupa diri. Kata Ibid,"Jika anda mahukan musuh, atasilah orang lain, jika anda mahukan kawan, biar orang lain mengatasi anda."

Kabur

Umi suka jam itu sebab di dalamnya ada gambar kapal terbang.
     Tak silap ayah, jam itu kami beli waktu along baru hendak naik darjah satu. Semalam, angah mandi dan dia pakai jam tersebut. Dia cakap jam tersebut hebat sebab masih 'hidup'. Memang masih bergerak cuma cerminnya kabur sebab ada air masuk. Jam itu sudah jatuh beberapa kali dan cermin bahagian tepi ada yang sudah serpih.
     Kata George Elliot,"Jangan membuang waktu walau seminit pun untuk orang yang tidak kita sukai."

Kopiah

Anak-anak sekolah, umi dan ayah cuti.
    Hantarlah anak-anak ke sekolah dan sampai sahaja, angah meraba-raba kepalanya. Mencari kopiah yang dipakainya dan ayah menunjukkan kopiah pada tangan ayah.
    "Bukan," katanya dan tidak mahu turun kereta.
     "Kopiah jatuh, ayah ambil," kata ayah. Barulah dia turun. Waktu ayah dukung dia tadi memang dia tidak pakai kopiah.

Meriah

Jika ada kenduri, opah yang paling sibuk dan banyak kerja.
      Atuk pula bahagian kemas rumah. Opah cukup suka dengan kenduri. Ada sahaja yang opah buat, bakar kek, buat agar-agar dan kuih baulu serta peneram wajib ada. Menu yang wajib ada mestilah acar buah. Memang nampak opah letih tetapi kenduri membuatkan opah lupa akan keletihan.
      Hari kenduri pagi-pagi lagi orang sudah datang. Nasi lemak menu wajib. Sambal tumis telur dan kadang-kadang ada juga sambal bilis dan sambal sotong.
      Opah dapat jumpa kawan-kawan dan juga saudara-mara serta pastinya cukup meriah.

Setuju?

Sudah jarang-jarang ayah pakai baju Melayu sepasang.
      Kali terakhir rasanya Raya Haji tahun lepas. Balik kampung, ada kenduri akikah. Umi dah siapkan baju ayah. Sampai masanya ayah pun pakai. Terasa lainnya. Minggu lepas pun ayah ada pakai seluar baju Melayu. Juga terasa lainnya.
        Ayah tidak rasa pun berat ayah naik tetapi kalau naik pun, ayah tak risau sangat. Yang ayah risau perut ayah yang naik. Rasanya sendat semacam. Ya, ayah  rasa mesti semua yang membaca setuju dengan ayah, seluar ayah yang 'mengecut'.

Dialek

Apakah keunikan Felda? Salah satunya ialah dialek.
     Felda kaya dengan dialek atau loghat atau juga disebut pelat daerah. Felda mengumpulkan anggota masyarakat daripada negeri-negeri di Malaysia. Sebahagian besar daripada anggota masyarakat di Felda masih mengekalkan dialek negeri masing-masing.
     Nak dengar dialek yang pelbagai atau cerita yang pelbagai, tunggulah masa kenduri. Riuh rendah dengan macam-macam isu sambil mengeteh atau mengopi. Ada masa sirih pinang campur kapur juga menu tambahan waktu berborak.

Kumbang

Kumbang yang ayah biasa tengok warna kuning dan hitam.
    Waktu dulu-dulu, rumah asal felda dibuat daripada kayu dan nak naik rumah, kena naik tangga. Biasanya, kumbang suka buat sarang di bawah rumah dengan menebuk kayu yang menampung papan lantai. Alatan yang digunakan untuk menangkap kumbang ialah botol kaca (botol kicap atau sos yang tidak digunakan). Muncung botol ditekapkan pada kayu berlubang yang menjadi sarang kumbang. Kemudian, kayu atau apa-apa yang keras diketuk pada bahagian kayu tempat kumbang bersarang. Kumbang terkejut lalu keluar dan  terus terperangkap di dalam botol. Bunyi kumbang sebahagian daripada bunyi alam. Kami hanya mahu menikmati bunyinya. Kadang-kadang kumbang diikat dengan benang dan dibiarkan terbang, kemudian ditarik supaya kumbang tak terbang jauh (yang ini menganiaya binatang dan masa kecil nampak sangat kurang empati).
      Sekarang, nampak kumbang kecil pun anak-anak panggil ayah.

Pegang

Cuti-cuti balik kampung. Macam-macam perangai anak-anak waktu di dalam kereta.
       Ayah membrek kereta kerana kereta di hadapan tiba- tiba membrek secara mengejut. Angah terjatuh kerana dia berdiri.
      "Macam mana boleh jatuh, dah pegang dah tadi," katanya beberapa kali seperti tidak puas hati.
       Kami tergelak mendengar omelannya. Macam biasa dia akan cakap, " Janganlah gelak."
       Kemudian, kami singgah di rumah nenek. Lepas maghrib kami bergerak ke rumah opah. Sampai di rumah opah, adik buat pertama kalinya meniarap.

Kejar

Dulu, nak makan ayam kena bersusah payah dahulu, barulah berasa nikmatnya apabila makan.
       Sebelum dapat makan ayam, kena kejar ayam atau buat jerat guna tali dan letak gandum atau beras dalam bulatan tali untuk menangkap ayam.
       Waktu makan, riuh-rendahlah cerita pasal kejar ayam, tangkap ayam tak dapat, dah dapat tangkap terlepas, ayam tak  dapat tapi dapat bau tahi ayam, jatuh masa kejar ayam. Dan yang paling ayah paling ingat, kejar ayam turun bukit tak sempat nak 'brek', mata tercucuk ranting pokok rambutan. Ke kliniklah jawabnya. Jika tidak dah jadi macam Shogun Samurai (cerita Jepun) dan anak-anak hari ini lebih kenal Kapten Jack (Peter Pan). Alhamdulillah, masih boleh melihat. 
       Hari ini, nak makan ayam? Sediakan duit secukup rasa sahaja.Tidak ada lagi cerita susah payah kejar ayam.

Puji

Waktu pagi sekarang ini rasanya sangat sejuk. Orang selalu cakap, sejuk sampai ke tulang.
   Antara peribahasa Melayu yang popular tentang pagi ialah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang (Kamus Dewan Edisi Keempat). Maksudnya ialah pendapatan hanya cukup untuk hidup sahaja (kalau tidak bekerja tidak akan makan). Peribahasa yang jarang-jarang kita dengar ialah usahlah teman dimandikan pagi (Kamus Dewan Edisi Keempat). Maknanya, janganlah dipermainkan dengan pujian yang berlebih-lebihan.
      Hangatkanlah pagi kita dengan secawan kopi dan Segala Pujian Hanya Untuk Allah.

Angkat

Ayah dan umi tidak dapat menyelesaikan semua perkara yang terjadi.
     Adakalanya ayah menyerahkan kepada along untuk menyelesaikannya. Mungkin along lebih memahami perangai adik-adiknya. Achik meniarap di atas lantai tempat orang lalu-lalang di Kuantan Parade. Ayah menyuruhnya menguruskan achik. Ayah hanya memerhati. Dua kali ayah suruh, dua kali dia gunakan cara yang sama. Dia mengambil robot pada tangan achik dan mengangkat mainan ke atas dan berdiri. Achik pun bangun untuk mengambil robot pada tangannya. Itu rupanya caranya. Ayah pun tak terfikir.
      Sampai di rumah, achiklah yang tidur dulu.

Kecil

Waktu di kampung, antara tugasan rutin ialah menyapu daun kering di bawah pokok.
     Jika di sekolah dahulu, antara rutin atau denda yang biasa dikenakan ialah kutip sampah. Sebenarnya, latihan atau tugas kecil seperti ini sangat penting kerana akan membentuk sikap seseorang apabila mereka  dewasa. Jika tidak, masakan wujud peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya.
       Dalam buku Mutiara Kata (susunan Adi Alhadi), kata Ralph Waldo Emerson,"Tugas yang besar-besar lazimnya akan menjadi milik mereka yang berkebolehan  menyelesaikan yang kecil-kecil."

Gembira

Nampaknya angah masih ingat lagi cara yang diajar umi untuk mengeluarkan air dengan cepat dari kolam mandi mereka.
     Pagi ini pula, along bertanya ayah untuk memastikan beg sekolah petangnya dibawa masuk ke dalam kereta memandangkan ayah tertinggal beg sekolahnya selepas meletakkan kembali begnya untuk menyiapkan bekal angah semalam.
    Sampai sahaja di sekolah, begnya tiada dan ayah pun tidak mahu memaksa kerana ayah membuatkan dia tidak gembira. Maka, ayah pun membawanya kembali ke tempat kerja ayah. Memang dia gembira di sini. Ada kantin dan koperasi.
     Dia melukis dengan meniru watak-watak Lawak Kampus, karya Keith. Dalam buku Mutiara Kata (susunan Adi Alhadi), kata Robert Browning,"Berikan kami kegembiraan dan anda menjadikan kami lebih baik."

Gembira

Nampaknya angah masih ingat lagi cara yang diajar umi untuk mengeluarkan air dengan cepat dari kolam mandi mereka.
     Pagi ini pula, along bertanya ayah untuk memastikan beg sekolah petangnya dibawa masuk ke dalam kereta memandangkan ayah tertinggal beg sekolahnya selepaskan meletakkan kembali begnya untuk menyiapkan bekal angah semalam.
    Sampai sahaja di sekolah, begnya tiada dan ayah pun tidak mahu memaksa kerana ayah membuatkan tidak gembira. Maka, ayah pun membawanya kembali ke tempat kerja ayah. Memang dia gembira di sini. Ada kantin dan koperasi.
     Dia melukis dengan meniru watak-watak Lawak Kampus, karya Keith. Dalam buku Mutiara Kata (susunan Adi Alhadi), kata Robert Browning,"Berikan kami kegembiraan dan anda menjadikan kami lebih baik."

Gembira

Sampai di rumah, ada perkara lain pula yang hendak dilakukan.
    Air di dalam kolam mandi anak-anak belum dibuang. Hari ahad mereka mandi dan main air. Hari ini nampaknya kena selesaikan.
     Dengan penuh bersemangat ayah menggunakan baldi mencedok dan mencurahkan ke longkang yang dipenuhi batu-batu. Tangan  membuat kerja tetapi kepala fikir macam-macam. Datang angah dengan 'selamba' memijak dinding kolam plastik dan air mencurah-curah keluar. Nampaknya ayah menggunakan cara susah untuk mengeluarkan air.
       Ada benarnya juga kata-kata ini,"Don't think too much. Just do what makes you happy!"

Gembira

Kami sudah lambat.
      Tiba-tiba angah mahu bawa bekal pula. Mahu roti kaya. Ayah cakap sudah tidak sempat kerana nanti lagi lambat. Ayah tengok dia tidak berganjak daripada keputusannya dan tidak mahu masuk ke dalam kereta. Akhirnya, ayah mengubah keputusan. Mengambil bekas di dapur, kaya ayah sapukan atas roti.
      Nampaknya dia gembira membawa bekal. Dia menggalas beg dan membawa baju kelas petang turun dari kereta berjalan ke kelasnya tanpa ditemani ayah seperti biasa.
       Ayah menjumpai kata-kata Mark Twain tentang gembira, "Cara terbaik untuk menggembirakan diri anda adalah dengan cuba menggembirakan orang lain."

Penting

Kata bijaksana, Rom tidak dibina dalam masa sehari. Apa-apa  yang kita lakukan pada saat ini ialah masa hadapan.
      Untuk membina sesuatu, bukanlah perkara yang mudah kerana memerlukan komitmen daripada semua orang. Setiap orang perlu menyumbangkan segala yang ada mengikut kepakaran masing-masing.
      Sedikit atau banyak, apa-apa yang disumbangkan cukup penting. Inilah yang ayah  belajar dalam teater. Walaupun sekadar ditugaskan sebagai tukang petik  suis lampu, jika tidak ada tukang petik suis lampu, persembahan tidak dapat dijalankan. Semua orang yang terlibat adalah penting.
      Apa-apapun yang berlaku, ayuh, teruskan perjuangan!

Gembira

Keterujaan pada sesuatu itu juga sifat anak-anak.
     Pagi-pagi lagi sudah pergi tengok Oren dan anaknya di dalam kotak. Semalam anaknya hanya seekor. Kata umi pula anaknya sudah bertambah. Tengah hari tadi pun nampaknya  sangat gembira dan sudah tidak sabar dia untuk tengok Oren balik sekolah nanti.
      Kata Frank Llyod Wright (Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi), "Limpahkan aku dengan kegembiraan, dan aku akan melakukan apa-apa sahaja tanpa sebarang sebab.

Isi

Cari sesuatu untuk dilakukan. Itulah prinsip anak-anak. Jika tidak, kita boleh nampak kebosanan di wajah mereka.
      Seharusnya kita juga begitu, mengisi masa dengan sesuatu perkara. Membaca tidak pernah membosankan ayah. Cuma akhir-akhir ini, akhbar dipenuhi cerita politik. Akhirnya, ayah membelek Dewan Masyarakat Ogos 2010. Antara ruangan yang ayah suka ialah Ceritalah, tulisan Karim Raslan.
     Memetik kata-kata penulisnya, Karim Raslan, "Wartawan seharusnya menjadi penulis sejarah zaman mereka. "Kami" seharusnya mengingatkan orang tentang masa lampau, menjelaskan tentang masa kini dan menggambarkan akan keadaan masa akan datang."

Isi

Cari sesuatu untuk dilakukan. Itulah prinsip anak-anak. Jika tidak, kita boleh nampak kebosanan di wajah mereka.
      Seharusnya kita juga begitu, mengisi masa dengan sesuatu perkara. Membaca tidak pernah membosankan ayah. Cuma akhir-akhir ini, akhbar dipenuhi cerita politik. Akhirnya, ayah membelek Dewan Masyarakat Ogos 2010. Antara ruangan yang ayah suka ialah Ceritalah, tulisan Karim Raslan.
     Memetik kata-kata penulisnya, Karim Raslan, "Wartawan seharusnya menjadi penulis sejarah zaman mereka. "Kami" seharusnya mengingatkan orang tentang masa lampau, menjelaskan tentang masa kini dan menggambarkan akan keadaan masa akan datang."

Beranak

Ayah baru nak basuh kereta. Tiba-tiba dengar bunyi anak kucing.
     Mesti Oren dah beranak. Tengah hari tadi gelisah semacam, masuk rumah cari tempat nak beranak. Belum sempat ayah pergi tengok, tiba-tiba dia meluru, menggonggong anak yang masih bertali pusat dan berdarah masuk ke dalam rumah, terus masuk ke dalam laci almari televisyen yang tidak bercermin.
       Umi terkejut dan membawa masuk adik ke dalam bilik. Ayah mencari kotak dan meletakkan di depan almari.  Dia hanya duduk dengan anaknya yang masih bertali pusat.
        Akhirnya, ayah hanya sempat basuh kereta separuh sahaja kerana kejap-kejap masuk rumah mengharapkan Oren membawa masuk anaknya ke dalam kotak. Maghrib pun tiba.
        Terpaksalah ayah memegang anaknya berlapikkan tisu dan memasukkan ke dalam kotak. Oren pun ayah masukkan ke dalam kotak.

Gigit

Gigit ialah salah satu cara melepaskan geram, melepaskan stres atau mempertahankan diri dan mungkin juga tujuannya untuk bergurau bagi anak-anak.
      Naik atas belakang ayah, mula-mula naik sahaja, kemudian gigit dan ketika bergumpal dengan ayah, digigitnya ayah sebab mahu melepaskan diri daripada ayah.  Bergaduh dengan abang, kadang-kadang gigit abang, kadang-kadang abang gigit adik.
      Kadang-kadang, menggigit kuku sendiri, baju yang dipakai, pensel warna yang digunakan dan kereta pun boleh jadi mangsa. Mungkin mahu tahu rasanya macam mana.

Pandang

Hidup ini, bagi yang boleh melihat, itu antara rahmat yang paling besar daripada Allah.
      Hijjaz dalam lagunya, Pandangan Mata, juga ada menyebut tentang perkara ini.       Hati tempat jatuhnya pandangan  
       Allah
      Jasad lahir tumpuan manusia
       Utamakanlah pandangan Allah
       Daripada pandangan manusia      Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat pula, peribahasa Minangkabau, pandang jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan bermaksud memeriksa sesuatu dengan cermat ( teliti).
      Ada masanya, kita tak pasti siapa memandang siapa sebenarnya, apatah lagi di zoo.

Pandang

Hidup ini, bagi yang boleh melihat, itu antara rahmat yang paling besar daripada Allah.
      Hijjaz dalam lagunya, Pandangan Mata, juga ada menyebut tentang perkara ini.       Hati tempat jatuhnya pandangan  
       Allah
      Jasad lahir tumpuan manusia
       Utamakanlah pandangan Allah
       Daripada pandangan manusia      Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat pula, peribahasa Minangkabau, pandang jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan bermaksud memeriksa sesuatu dengan cermat ( teliti).
      Ada masanya, kita tak pasti siapa memandang siapa sebenarnya, apatah lagi di zoo.

Ayam

Apabila ayah sampai, dia baru mahu membeli ayam goreng dan tidak sempatlah dia membeli ayam goreng.
     Biasanya, jika dia sudah nampak ayah, ayah berhenti sahaja sebentar di tengah jalan yang penuh motor dan kereta di kiri kanan jalan.
     Masuk sahaja di dalam kereta, dia pun cakap," Tak nak pun ayam goreng."
Ayah tahu itu bahasa terbalik.
     Esoknya, dia naik sahaja kereta, sudah ada ayam goreng di tangan. Nampaknya misi semalam ditunaikan hari ini.