Translate

Sunday, June 22, 2025

Menginjak

Hari ini sudah 22 Jun. Ahad lepas,  15 Jun Hari Bapa. Seminggu yang berlalu banyak yang terjadi.
         Sabtu minggu lepas, 14 Jun ada Karnival STEM dan Xplore 2025. Bergembiralah anak-anak menyertai pertandingan yang disediakan untuk menimba pengalaman dan juga menyertai aktiviti yang ada. Robot anjing yang bergerak dengan pelbagai aksi pastilah menjadi kegemaran anak-anak. Kesempatan bermain permainan video mengggunakan VR turut tak dilepaskan. Jumaat, 21 Jun pula, perlawanan akhir ragbi MSSD berlangsung setelah beberapa hari anak-anak bertungkus-lumus berjuang menggunakan kudrat dan akal. Syabas dan Tahniah buat anak-anak Helang! Teori dan praktikal berjalan seiring. Teori yang dipraktikkan sewaktu latihan dapat memberikan pengalaman yang amat mahal untuk anak-anak semasa pertandingan.
         Seminggu yang berlalu banyak memberikan pengalaman dan pengajaran. Menginjak dewasa itu memang seharusnya dimatangkan oleh pengalaman yang dikutip dalam hidup sehari-hari. Pengalaman itu pula akan memberikan kita pengajaran yang terbaik untuk lebih bersedia menghadapi cabaran yang  mendatang.


Thursday, June 12, 2025

Diterima

Hari Selasa, 10 Jun, hari terakhir berkorban, ini juga masa yang baik untuk anak-anak belajar memerhati dan belajar melakukan.
        Ayah hanya sempat tengok pada tahun ini.  Sememangnya seronok melibatkan diri dengan korban.  Salah satu perkara yang menarik dan buat ayah tertarik tatkala melihat koleksi pisau dan parang tukang sembelih dan tukang potong daging sewaktu korban dilakukan.  Dalam masa yang sama, dalam kehidupan kita sehari-hari pun banyak yang dikorbankan. Kita korbankan masa, tenaga dan fikiran kita untuk perkara yang bermanfaat, itulah yang sepatutnya. Kecil atau besar pengorbanan itu, asalkan amalan baik, itulah yang terbaik dalam hidup kita pada hari itu. Jika dilihat maksud kedua korban pula dalam Kamus Dewan Edisi Kedua ialah menanggung penderitaan untuk keselamatan (kebahagiaan, kepentingan) orang dan lain-lain, menyerahkan sesuatu untuk tanda bakti (cinta dan lain-lain).
        Berkorbanlah kita semampu yang boleh untuk diri dan yang di sekeliling kita dalam mencari reda Allah SWT. Semoga segala amalan dan segala pengorbanan kita diterima Allah SWT.

Saturday, June 7, 2025

Panduan

Aidiladha sering mengingatkan kita akan korban. Banyak pengorbanan yang telah kita lakukan dalam hidup ini jika direnungkan.
       Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud pertama korban ialah amalan menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan menyembelih binatang ternakan (lembu, kambing, kerbau dan lain-lain) pada 10 Zulhijjah atau tiga hari selepasnya (hari tasyrik) dengan mengagihkan sebahagian daripada daging itu kepada fakir miskin. Maka, menu tambahan untuk juadah Aidiladha juga banyak melibatkan daging. Petang semalam, bihun sup dibuat Opah. Pagi ini Pak Su Apit buat permintaan, nasi daging air asam menjadi pilihan. Pagi semalam lepas balik dari masjid, Pak Su Apit dan Mak Su Zyma bawa Nenek pergi tengok Tok Chik. Petang, pukul 5 lebih Pak Su, Mak Su, Nenek dan Umi sampai ke rumah Opah. Rabu lepas, Nenek pergi dengan Ayah dan Opah tengok Tok Chik. Petang itu baru Pak Su Atan dan Nek Su muncul. Pagi ini, Baba pula membawa Atuk melawat. Moga Allah SWT memberikan kesihatan untuk Tok Chik. Esok Isnin, 9 Jun, hari akhir cuti sekolah.
       Aidiladha sentiasa mendekatkan kita dengan Allah SWT. Dalam kita meraikan Aidiladha, amalan korban sentiasa menjadi panduan benar untuk kita hayati sepanjang perjalanan hidup ini. Salam Aidiladha.

Sunday, June 1, 2025

Dipandu

Kadang-kadang kenangan boleh dicipta, kadang-kadang kenangan boleh datang secara tiba- tiba. Itulah uniknya kehidupan.
        Menonton Ejen Ali, pastilah anak-anak sangat nantikan. Walaupun sarat dengan aksi dan emosi, tetap dapat dihadam oleh anak-anak pengajarannya. Sudut pandang yang berbeza boleh membawa kita ke arah yang lain dan itulah sebenarnya yang mengeratkan kita dan membuatkan ikatan terjalin. Banyak yang kita tak sedar dan jika direnung lebih dalam, banyak orang di sekeliling kita sebenarnya berkorban untuk kita, untuk menjadikan kehidupan kita lebih baik. Keluang Man? Anak-anak Gayong Ibu Kandung Suluh Budiman pasti teruja menonton latar tempat hospital Borhan ditempatkan,  tempat kita berlatih petang-petang. Bagi Ayah dan Umi yang merupakan Anak Kandung Suluh Budiman, sememangnya mengundang nostalgia sewaktu menuntut ilmu di situ. Pastinya rakan-rakan seperjuangan yang bergelar Anak Kandung Suluh Budiman akan dapat mengembalikan memori yang panjang, memori yang menjadikan kita hari ini di tempat tersebut. Sudah pasti Keluang Man sangat dekat dengan kita kerana kita membesar dalam ceritanya dan kitalah yang lebih memahami keadaan ketika itu. Yang membuatkannya kita lebih dekat dengan Keluang Man sebab kita sebagai Anak Suluh Budiman, kita pernah berada di situ selama 3  tahun atau 4 tahun, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Kini tempat itu diabadikan dalam filem Keluang Man dan membuatkan rindu itu kembali.
       Sememangnya, hidup ini dibelenggu kenangan. Walaupun hidup ini ada arah tuju, namun kadang-kadang arah tuju itu dipandu kenangan silam yang mencengkam.
 

 

Menginjak

Hari ini sudah 22 Jun. Ahad lepas,  15 Jun Hari Bapa. Seminggu yang berlalu banyak yang terjadi.          Sabtu minggu lepas, 14 Jun ada Ka...