Skip to main content

Posts

Showing posts from August, 2017

Lupa

Alhamdulillah, dapat lagi menemui Aidiladha. Lembu untuk dikorbankan kedengaran mengeboh sebelum solat raya. Tengah hari nanti solat Jumaat pula.
   Aidiladha tetap meriah dengan keletah anak-anak. Anak-anak dahulu hiburannya hanya televisyen, sekarang ada tablet, ada telefon pintar. Adik tersengih-sengih menonton Boboiboy.
     Along dan angah serta yang lain mengikut pak su dan pak de untuk melihat lembu disembelih. Lembunya agak liar dan semua memerhati dengan penuh debaran. Pengalaman untuk anak-anak dan semua orang lintang-pukang lari termasuk ayah apabila lembu bangun balik.
     Selesai disembelih, ada orang menegur ayah. Anak murid ada di mana-mana, tetapi cikgu selalu lupa nama.

Takbir

Hari Arafah, Hari Merdeka dan takbir telah berkumandang.
        Malam ini berasap lagi di kiri dan di kanan jalan, gerai lemang muncul di mana-mana sahaja. Raya tanpa lemang ketupat seperti irama tanpa lagu. Tambah-tambah lagi apabila hari isnin semua dapat cuti, bertambahlah meriah.
       Salam Aidiladha. Maaf zahir dan batin.

Boleh

Alhamdulillah, Malaysia menyasarkan 111 pingat emas pada Sukan Sea 2017, namun berjaya meraih  145 emas, 92 perak dan 86 gangsa (Sinar Harian).
         Malam ini, selain majlis Penutupan Sukan Sea, kita juga menunggu detik 12 tengah malam. Kedengaran laungan Malaysia Boleh di televisyen. Laungan yang telah sekian lama tersemat dalam pemikiran kita.
         'Boleh' atau pun 'tidak boleh' bermula daripada kepercayaan kita. 'Boleh' itu diterjemahkan melalui tingkah laku. 'Boleh' itu membuatkan kita melangkah lebih jauh.
        'Boleh' itu yang dapat mengekalkan kemerdekaan kita selagi kita boleh bertoleransi dengan semua anggota masyarakat yang pelbagai serta memahami perlembagaan yang sedia ada.
       Dalam masa yang sama kita wajib mengetepikan perbezaan pendapat demi mendaulatkan serta mempertahankan negara tercinta daripada anasir-anasir jahat.
        Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-60. Tahniah Malaysia!

Gunting

Sewaktu ayah sekolah dahulu, atuk selalu membawa ayah ke kedai gunting rambut yang tukang guntingnya berbangsa India di pekan Lanchang.
    Selepas ke Mempaga Segar, kami mencari kedai gunting rambut. Jika rambut sudah mencecah atau melebihi telinga bahagian atas, itu sudah dikira panjang.
      Kedai yang pertama, ada enam orang yang menunggu, kedai yang kedua ada tiga orang yang masih menunggu dan kedai yang ketiga tidak ada yang menunggu untuk digunting rambutnya.
     Yang menunggu hanyalah seorang budak yang sedang menunggu rambut ayahnya siap digunting. Dahulu, kedai gunting ini di pekan lama, kemudian berpindah ke sini, deretan kedai di hadapan SMK Datuk Bahaman.
     Sekarang  rambut anak-anak ayah juga digunting oleh tukang gunting yang sama sewaktu ayah sekolah menengah dahulu.

Brokoli

Hari ini along dan angah mengikut ayah dan atuk ke Mempaga Segar. Ayah menyuruh along membaca senarai barang yang ditulis ayah supaya atuk boleh mengambil barang yang dipesan opah.
    Kemudian, ayah menyuruh along membawa barang-barang ke kaunter timbangan. Along juga menolong ayah memilih kacang panjang. Jadi, along cukup bergembira dengan tugasan baharunya. Angah pula bertanya ayah tentang brokoli yang dicari atuk dan sememangnya tidak ada brokoli kecuali brokoli telah dipotong-potong dan sudah dicampur dengan bunga kubis serta dibungkus.
     Pelbagai kajian menunjukkan  bahawa pengambilan brokoli yang tinggi dikaitkan dengan pengurangan risiko obesiti, diabetes dan penyakit jantung. Pengambilan brokoli juga menggalakkan pertumbuhan kulit dan rambut yang sihat serta meningkatkan tenaga (www.hmetro.com.my, 10 April 2017).
       Selepas ini, bolehlah along dan angah menolong umi membeli dan memilih barang pula.

Merah

Kata Umi, "Merahnya bibir dia, ambil tisu lap."
"Bibir kan warna merah, itu pun nak kena lap ke?" kata angah.
      Angah ingat umi suruh dia mengelap bibir yang merah dan dia pasti semua bibir orang berwarna merah. Dia tidak nampak air sirap yang diminumnya melekat warnanya pada bibir dan di keliling bibirnya.
     Semalam along sakit perut dan muntah-muntah, badannya pula sedikit panas. Kami pun berada di rumah sahaja walaupun ada jemputan. Hari ini, pagi-pagi lagi along bangun dan mengatakan bahawa dia sudah baik demam.
      Kami pun ke rumah kenduri dan seperti biasa apabila masuk kereta, semua berebut mahu duduk di depan.

Dua

Ayah selalu cakap, ada dua perkara orang perempuan suka, yang pertama 'berwang' dan yang kedua, beruang.
      Selain beriman, 'berwang' ialah salah perkara penting yang orang perempuan suka. Siapa-siapa pun akan suka kalau suami atau bakal suaminya itu 'beruang'...opss... 'berwang'. Beruang yang ganas juga akan menjadi comel jika menjadi  patung dan boleh juga menjadi salah satu hadiah buat yang tersayang.
     Ayah tidak pasti pula jika ada tajuk novel atau drama yang berbunyi 'Suamiku Beruang' atau 'Suamiku Berwang'.

Lekat

Umi bawa balik jagung. Sejak kecil, ayah memang suka makan jagung. Kalau singgah RNR, jagung tidak dilupakan.
            Ayah pun mengupas jagung dengan menarik-narik kulit jagung yang 'berjanggut'. Angah datang meminta jagung. Ayah cakap jagung kena rebus dahulu.
         Ayah mengajak along mengupas jagung. Mula-mula dia setuju, kemudian dia tidak mahu apabila melihat jagung yang berbulu dan 'berjanggut'. "Kotor," katanya. Itu rasanya kali pertama dia tengok ayah mengupas jagung.
        Peribahasa yang berkait dengan jagung pula ialah baik berjagung-jagung sementara  padi belum masak  yang bermaksud sementara menunggu sesuatu yang lebih baik, yang kurang baik pun boleh dipakai dahulu.
            Selesai makan jagung, along berlari ke bilik air menggosok gigi kerana jagung terlekat di celah-celah giginya.

Lari

Peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa kalau bukan rezeki, dalam mulut lari keluar.
      Namun begitu, malam ini ayah bukan mahu bercerita tentang rezeki yang lari tetapi rezeki orang yang berlari iaitu Khairul Hafiz mencatatkan 10.38 saat menewaskan saingan terdekat pelari Filipina Eric Cray dan secara rasminya dinobatkan manusia terpantas di Asia Tenggara.
        Ayah tidak sempat menonton beriya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dan cuma mengambil tahu tentang pingat-pingat yang dikutip.
          Yang pasti, semangat  tidak mengenal erti  putus asa dan kegigihan atlet-atlet dapat kita contohi. Teruskan perjuangan! Malaysia Boleh!

Penjara

Peribahasa Jerman ada menyatakan bahawa tempat tidur ialah penjara bagi orang malas.
        Sewaktu zaman ayah sekolah menengah
dulu, di atas katil tempat yang 'terbaik' untuk membaca jika opah atau atuk menyuruh ayah membaca kerana ayah akan  'membuta' lebih lama berbanding membaca.
          Apabila sudah kerja, membaca apa-apa sahaja ialah satu rutin bagi ayah seperti mengambil sarapan pagi. Jika tidak membaca, rasanya seperti ada yang tidak kena kerana kerja ayah memerlukan ayah mengetahui tentang banyak perkara. Teringat ayah sebahagian lirik lagu Apa Yang Kautahu nyanyian Rabbani.                     Bacalah sebutlah dengan nama
                           Tuhan yang menciptakan
                        Segala kejadian di dunia                     Bacalah tulislah dengan pena
                            Wahyu yang diutuskan
                     Risalah kebenaran untuk insan

Sayap

Peribahasa Inggeris ada menyatakan bahawa orang yang tidak mempunyai cita-cita, bagaikan burung tanpa sayap.
       Alhamdulillah, cita-cita Malaysia ke perlawanan akhir sudah tercapai dan menunggu saat untuk menjadi juara. Tidak ada yang mustahil selagi perjuangan diteruskan, selagi semangat sepasukan terus membara.
       Kata angah yang bermain 'Dream League Soccer dengan along, "Walaupun Naufal keliru, tapi Naufal tetap fokus."
      Adik pula hilang fokus sekejap sewaktu menonton Trolls kerana terjumpa bola. Fokusnya kembali dan menggoyang-goyangkan badan mengikut Trolls berjoget.

Gelora

Apakah yang menariknya di Taman Gelora? Dua hari ini memang banyak aktiviti dan kebiasaannya akan ada aktiviti, cuma ambil tahu atau  tidak ambil tahu dan ada masa atau kurang masa terluang  yang membezakannya.
      Kebiasaannya, orang datang berjoging. Ayah dan umi kadang kala bawa anak-anak bermain. Umi suka keropok Crispy di sini tetapi setelah tempat di sini diubah suai, kami pun tidak tahu masih ada atau tidak gerai itu. Ayah pula biasa minta laksa atau rojak ayam.
      Adik menunjuk ke arah bot nelayan yang meredah air dari jauh. Angin pantai yang bertiup mengurangkan rasa panas.
       Alhamdulillah umi ajak keluar pagi ini, jika tidak, ayah dan anak-anak berkejar di dalam rumah sahaja.

Kelinci

Anak-anak memang pantang nampak buih sabun.
     Ayah dulu masa kecil, kadang-kadang buat sendiri buih sabun menggunakan 'Fab buku' dan sabun-sabun lain. Buihnya tidaklah keluar banyak sangat kerana itu sabun untuk membasuh.
     Abang pula lebih gemar bermain dan memberi arnab makan. Gigi arnab boleh tahan tajamnya kerana ayah pernah digigit sewaktu memberi arnab makan dan arnab kuat makan pada waktu malam. Nama lain bagi arnab pula antaranya ialah kelinci dan kucing belanda.
      Cuaca semakin panas, namun ru tetap setia memayungi kami semua.

Rakun

Nampaknya adik begitu berani. Dia menggosok skunk berkali-kali seperti dia bermain dengan kucing di rumah.
       Nasib baiklah skunk tidak berasa terancam, jikalau tidak pastilah skunk melepaskannya bau amat  busuk. Kemudian, rakun yang bermain di dalam sangkar dilepaskan di atas meja. Ayah menyuruh adik mendekati rakun. Adik berdiri di situ.
        Tiba-tiba rakun datang seperti mahu mencium adik. Adik tidak perasan. Apabila adik berasa dia disentuh, dia terkejut dan menjauhkan diri.
        Kemudian, dia mula menarik tangan ayah untuk keluar dari khemah.

Terbuka

Sediakan payung sebelum hujan bermaksud hendaklah bersiap sedia sebelum terjadi sesuatu perkara yang kurang baik.
       Abang pernah menyuruh ayah membeli payung kecil untuknya kerana dia memberitahu kalau hujan turun dia boleh guna payung untuk ke kereta ayah.
      Pagi tadi sewaktu kami mahu pergi makan di kedai Eda Yasin Nasi Minyak Tanjung Api, umi tidak nampak cermin belakang. Apabila umi berpusing ke belakang semasa kereta berhenti di lampu trafik, umi menyuruh ayah berpusing.
      Ayah pun berpusing dan melihat angah dengan payung yang terbuka di tempat duduk belakang.

Kerajaan

Fikiran yang baik ialah pemerintah sebuah kerajaan (Seneca - Thyestes).
     Fikirkan yang baik-baik dan fikiran yang baik bukanlah sesuatu yang mudah dibentuk jika tidak menjadi kebiasaan. Kita yang menjadi pemerintah kepada diri kita sendiri.
     Untuk mengubah orang lain sesuatu yang mustahil kerana yang paling senang untuk diubah ialah diri kita sendiri. Pemikiran kita yang akan mempengaruhi tingkah laku kita.
      Jika kita semua berfikiran baik, maka kita semua akan melahirkan keluarga yang baik, masyarakat yang baik dan kerajaan yang baik serta negara yang baik.
       Peribahasa Melayu pula menyatakan bahawa buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Skunk

Selepas selesai makan pagi, kami bergerak ke Taman Gelora.
      Di kedai makan tadi pun nampaknya ramai yang terlibat dengan aktiviti di sana. Iklan yang dipos yang dibaca ayah berbunyi, ' Santai di Gelora. Food. Talk. Nature.'
       Gerai yang menarik minat anak-anak ialah khemah binatang. Kami masuk ke situ. Nampaknya adik cukup berani memegang skunk  diikuti angah.
       Abang pula tidak mahu memegang apa-apa walau disuruh berkali-kali. Ayah memang suka memegang binatang-binatang.
      Dalam buku Mutiara Kata susunan Adi Alhadi, kata Hamka,"Anak adalah untuk zaman akan datang, bukan untuk zaman kita. Silaplah ibu bapa yang mendidik anaknya supaya menjadi seperti mereka juga."

Jangan Bimbang

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, menyinga (kiasan) bermaksud memberang atau meradang.
        Peribahasa hendak singa di tengah padang lagi, daripada ular di dalam rumput  pula bermaksud lebih baik berdepan dengan musuh besar di tempat terang daripada musuh kecil di dalam sulit.
        Dalam buku 'Why? Haiwan' terbitan Orbit Buku menyatakan bahawa singa berehat pada waktu siang dan memburu mangsa pada waktu malam. Singa betina akan menangkap mangsa dan mengajar anak-anaknya berburu manakala singa jantan bertugas menjaga  kawasan dan anak-anaknya.
          'Hakuna Matata' yang bermaksud jangan bimbang atau risau yang diungkap dan dilagukan dalam 'The Lion King' akan bermain di fikiran ayah apabila perkataan 'singa' disebut.

Tanggungjawab

Kata pak cik Ben, "kuasa yang besar datang dengan tanggungjawab yang besar."
     Tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi Allah memang cukup besar. Untuk bertanggungjawab terhadap sesuatu memerlukan komitmen yang bukan sedikit. Untuk memberikan komitmen, memerlukan disiplin yang tinggi dan dibuat secara berterusan atau istiqamah.
       Anak-anak akan belajar sedikit demi sedikit untuk bertanggungjawab kerana proses mendidik ada masanya memakan masa yang sedikit dan adakalanya begitu panjang.
        Salah satu tanggungjawab kita kepada anak-anak ialah mendedahkan mereka kepada pengalaman yang pelbagai dan peluang untuk memanjat jarang dilepaskan oleh anak-anak.

Kolam

Sebut sahaja di rumah pak su ada kolam, along dan angah cukup-cukup teruja.
     Hampir seminggu sibuk bercerita dan bertanya tentang kolam. Sampai sahaja di rumah pak su dan mak su, sudah nampak kolam renang tetapi sampainya pada waktu malam. Melalui tingkap rumah bertingkat, boleh nampak kolam. Ayah cakap pada along esok lepas subuh boleh pergi mandi. Esok memang betul, subuh along sudah bangun. Semangat lain macam apabila dapat mandi kolam.
      Airnya nampak membiru sebab kolam berwarna biru. Air ditetak tiada akan putus pula peribahasa yang sering dikaitkan dengan air. Maksudnya perbalahan orang yang sekaum atau bersaudara tiada akan cerai-berai (Kamus Dewan Edisi Keempat).
       Petang pun turun ke kolam juga mandi bersama dengan sepupu-sepupunya.

Cara

Kuih cara Mak Lang memang sedap dimakan waktu masih panas. Waktu masih panas memang sedap dan kena hati-hati mengunyah kerana air gulanya masih panas.
     Nenek 'menyiat' kuih-kuih tersebut supaya kuih itu berkurangan panasnya. Itulah juga yang dibuat ayah apabila makan cekodok pisang untuk mengurangkan panasnya kerana nenek dan opah selalu buat begitu apabila kuih baru keluar dari kuali.
     Adik sudah tidur keletihan. Abang dan angah makan kuih sambil tengok kartun. Opah dan atuk pula telah kami tinggalkan setengah jam yang lalu.

Lemak

Nasi lemak buah bidara,
                Sayang selasih hamba lurutkan,
                 Hilang emak hilang saudara,
                Kerana kasih hamba turutkan.Fokus ayah pada pagi ini bukan pada baris maksud pantun ( dua baris terakhir) tetapi
pada baris pembayang.
       Semua orang suka nasi lemak. Ada nasi lemak yang cukup lemaknya dan ada juga nasi lemak yang tiada lemak sebagaimana laici kang yang tidak ada pun laici di dalamnya.
       Pantun ini juga cukup menarik kerana ada rima tengah. Baris pertama dan ketiga perkataan di tengah-tengahnya ialah lemak dan emak. Baris kedua dan keempat pula perkataan di tengah-tengahnya selasih dan kasih.
        Jikalau dalam pertandingan, kedua-kedua pasukan cukup hebat, maka pasukan yang mempunyai pantun rima di tengah-tengah mempunyai kelebihan.
        Jangan lupakan nasi lemak dan kopi pagi ini.

Tua

Saat sedang bekerja, ada masanya seperti ada yang tidak kena.
     Segelas kopi  atau secangkir kapucino boleh menjadi peneman yang baik walau hadirnya cuma seketika. Baunya singgah di hidung dan rasanya bermain di lidah dan tekak.
      Pernah sekali ayah memesan kopi 'o' dan tatkala kopi sampai di meja katanya, "Ingat  orang tua yang memesannya."
Ya, di kampung kopi minuman lazim orang-orang tua di pangkin di luar rumah atau di warung menonton gusti.
        Tua atau muda, nikmatnya tetap sama walau rasa berbeza itulah rasa-rasa dalam kehidupan.

Emosi

Dalam Sinar Harian, infografik laman sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menunjukkan harga runcit petrol RON95 naik lima sen kepada RM2.12 seliter. Harga runcit petrol RON97 pula naik tujuh sen kepada RM2.39 seliter.
     Malam tadi ayah hanya singgah di stesen minyak untuk membeli roti. Untuk beratur panjang mengisi tangki minyak tidak sanggup rasanya. Begitulah setiap kali rabu malam khamis jika keesokan harinya harga minyak naik. Harga barang lain naik atau turun ayah tidak pasti dan perkataan 'naik' atau 'turun' menjadi perkataan popular sejak harga minyak tidak keruan.
      Yang pastinya, 'naik' dan 'turun' sentiasa menjadi perhatian semua orang pada masa ini termasuk ayah yang agak panjang masanya di dalam kereta. 'Naik' dan 'turun' mempengaruhi emosi semua orang pada hari ini.

Tagal

Ayah suka meratah ikan. Tambah-tambah kalau ikan pelalin baru keluar dari kuali.
    Kadang-kadang kalau pergi KFC pun  ayah mencari burger ikan. Disebabkan ikan,  ayah dan umi pernah mendukung along dan seterusnya berjalan kaki merentas hutan di Kenyir untuk bermain dengan kelah.
    Jika ke Kota Kinabalu, bolehlah terus ke "Tagal" Sg. Moroli, Kampung Luanti Baru, Ranau untuk bermain dengan ikan. Perjalanannya hampir tiga jam dari Kota Kinabalu.
     Kami pun tidak pasti nama ikan yang berkerumun pada kaki di dalam air. Abang pula berada di darat kerana lari tidak mahu masuk ke dalam air.

Pondok

Dahulu, selain setem, ayah mengumpul kadfon atau kad telefon. Kad telefon juga menarik untuk dikumpul kerana ada gambar menarik dan sedikit maklumat.
     Kadfon dikumpul ayah dan sudah tentu waktu itu telefon awam menjadi alat perhubungan penting. Waktu itu baru bermula zaman Nokia dan 3310 lah yang paling terkenal dan nak beli nombor pun boleh tahan mahalnya. Jadi, telefon awamlah yang menjadi tumpuan untuk menelefon opah seminggu sekali.
     Tatkala  kami terjumpa pondok telefon  merah yang berpintu di Jesselton Point pada kenangan lalu di Kota Kinabalu, ayah teringat akan cerita Superman.

Luas

Hidup ini menurut pandanganmu. Engkau mahunya seluas depaan tanganmu atau engkau mahunya seluas lautan, itu ialah pilihanmu.
    Dalam kehidupan akan kaulalui menurut caramu. Akan kautemui segalanya seperti yang lain juga. Ada yang memandang hijaunya lautan, ada yang mendengar deburan ombak, ada yang asyik diulit bayu pantai, ada merasa halus kasarnya pasir, ada yang memungut cengkerang dibawa air, ada yang melihat olang-aling perahu dilambung gelombang serta ditolak angin dan ada segala-galanya.
     Biarpun engkau di tempat yang sama, kaukan hidup dengan caramu dan yang lain begitu juga.

Gembira

Gembira itu dapat dilihat pada senyuman atau raut wajah. Banyak perkara yang boleh membuatkan seseorang itu gembira.
     Angah nampaknya cukup gembira bermain dengan kucing yang baru datang  ke rumah di muka pintu. Warnanya bertompok-tompok seperti warna kucing yang baru beranak di rumah opah. Abang masih ralit dengan robotnya dan adik mengekek-ngekek bermain dengan umi.
       Dan nampaknya ayah berjumpa dengan sekeping gambar yang membuatkan umi gembira.

Hayat

Hari cuti hari anak-anak dan juga hari mengemas rumah.
    Apabila mengemas, dah nama pun cuti tu hari anak-anak, kemasnya pasti tidak bertahan lama. Adik berhenti kerana tertidur setelah penat bermain. Malam masih meneruskan bermain.
       Abang-abang pula langsung tidak  tidur kecuali berhenti makan  nasi goreng. Angah menyuap adik. Along pula makan dengan gembira kerana dapat menyiapkan kereta kebal angah dan robotnya.
        Tidak tahulah jangka hayat kereta kebal dan robot itu kerana selalunya akan bercerai-bercerai kembali menjadi  kecil.

Cinta

Cinta kepada negara itu bermacam-macam cara.
    Belajar bersungguh-sungguh itu cinta negara. Bekerja bersungguh-sungguh itu juga cinta negara. Melakukan apa-apa sahaja yang baik itu tanda cinta akan negara.
    Setiap orang yang melakukan amalan yang baik, Insya-Allah akan melahirkan keluarga yang baik, masyarakat yang baik dan seterusnya negara yang baik. Setiap masa dan ketika  kita sering melakukan kebaikan.
     Oleh itu, semua orang  tidak perlu merasa tidak menyumbang apa-apa kepada negara kerana apa-apa perkara yang baik dibuat itu tandanya cinta kepada agama, bangsa dan negara.

Terlentang

Dalam Sinar Harian menyatakan bahawa kelab bola sepak Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) mengumumkan menandatangani perjanjian selama lima tahun dengan bintang sensasi Brazil, Neymar (agensi berita China Xinhua).
       Neymar yang berusia 25 tahun  dibeli daripada kelab Barcelona dengan harga 222 juta euro. Hal ini sekali gus mencatatkan rekod pembelian terbaharu dan menjadi pemain termahal dunia.
        Lelaki dan bola memang tak dapat dipisahkan bagai irama dan lagu walaupun lelaki itu kaki bangku (ayah la tu). Zaman ayah sekolah rendah dulu guna bola getah, tak macam bola zaman sekarang. Pernah sekali, sewaktu kawan ayah membuat sepakan, ayah berada di hadapannya. Nyata sepakannya cukup bertenaga dan singgah di muka ayah. Ayah terlentang ke belakang.
          Sekarang ayah hanya main bola dengan anak-anak dan menjadi pengurus pasukan bola sepak dalam permainan video.

Dema

Kali terakhir ayah makan di dewan makan asrama ialah sewaktu di tingkatan 6. Waktu itu, tingkatan 6 tak macam sekarang. Masih memakai baju putih dan seluar hijau berserta kasut hitam.
      Ayah kembali ke dewan makan asrama setelah bekerja. Ayah masih ingat saat itu. Saat makan malam di dewan makan asrama kali pertama bukan sebagai pelajar. Sungguh menyelerakan walaupun menu pada masa itu masih sama sewaktu ayah di tingkatan 6.
      Saat ayah menikmati keenakan makan malam, tiba-tiba kedengaran doa makan di baca. Macam mana pula ayah tak perasan budak-budak asrama masih tak makan dan menunggu semua sudah mengambil makanan untuk makan bersama-sama.
       Sekurang-kurangnya ada sesuatu untuk dikenang pabila di dewan makan asrama.😆🙈

Dema

Kali terakhir ayah makan di dewan makan asrama sewaktu di tingkatan 6. Tingkatan 6 dahulu tak macam sekarang. Dahulu masih pakai baju putih dan seluar hijau serta kasut hitam.
     Setelah sekian lama ayah tidak makan di dewan makan asrama, akan kembali ke dewan makan asrama tetapi bukan sebagai pelajar. Yang paling diingati ayah, peristiwa waktu kali pertama makan malam setelah sekian lama tidak makan di dewan makan asrama.
      Menu pada waktu itu masih sama dengan menu sewaktu ayah masih bersekolah. Ayah cukup berselera menikmati makan malam sebelum maghrib. Tiba-tiba ayah terdengar pelajar membaca doa. Barulah ayah sedar bahawa apabila makan malam, pelajar duduk bersama-sama dan makan bersama-sama. Ayah pula sudah tidak ingat peraturan asrama.
     Patutlah pelajar-pelajar tengok ayah semacam. Apa-apa pun, ada sesuatu untuk dikenang apabila berada di dewan makan asrama. 😆🙈

Terbang

Tolonglah angin
                  Bawa kapal terbang kertasku
                               Kepadanya
                      Supaya ternyata jelas
                              Isi hatiku
                   Yang sebenar-benar ikhlas
                           Dengan cintaku
                          Hanya dia satuItulah sedikit petikan lirik Kapal Terbang Kertas nyanyian kumpulan Exists.
      Kuranglah kenangan jika melalui zaman kanak-kanak tanpa  bermain kapal terbang kertas. Kadang-kadang, kapal terbang kertas menjadi perantara untuk menyampaikan pesanan.
       Malam ini, kami bermain kapal terbang kertas. Kertas apa yang paling sesuai untuk membuat  kapal terbang? Ayah mencuba pelbagai kertas dan kertas yang paling sesuai ialah kertas buku nota atau buku latihan yang dijual di sekolah.
      Untuk menerbangkannya, luncurkannya secara condong ke atas seperti mana kapal terbang mahu berlepas ke langit. Maka, terbanglah kapal terbang kertas ke u…