Translate

Wednesday, August 27, 2025

Sajak — Dalam


dalam diam mengandung ribut
dalam ribut selindung takut
dalam riuh mengandung guruh
dalam guruh selindung gemuruh
dalam tindak mengandung telunjuk
dalam telunjuk selindung tunduk
dalam arah mengandung akur
dalam akur mekar ingkar
dalam perintah mengandung patuh
dalam patuh selindung rusuh
tafakur fikir mungkir

27 Ogos 2025
Sungai Soi


Tuesday, August 26, 2025

Sajak — Bala Kota Iktibar

Insan bagaikan panji maruah! Gah megah dikibar berkibar, berkobar memegang amanat, menggenggam mengawas bangga — itulah pejuang! Angin tak terduga pantang tok nenek dibiar jatuh atau terlorot — apatah khabar benar berkibar songsang! Pengkhianat loba sekongkol serakah petualang — tumbang Melaka bala kota iktibar!


Sungai Soi , 26  Ogos 2025


Monday, August 25, 2025

Sajak - Onar Curiga

Mahu sekali aku melihat manusia tanpa rasa, namun kecewa mengonarkan curiga, lantas setiap kali melangkah, cuba kutinggalkan jejak membekas — niat bertunas.


Sungai Soi
24 Ogos 2025

Monday, August 18, 2025

Alhamdulillah

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Isnin bermaksud hari kedua dalam seminggu, selepas hari Ahad.
       Memulakan Isnin, pasti sudah ada rancangan setelah seminggu berlalu dengan pelbagai perkara dan peristiwa. Hari ini Isnin kembali, 18 Ogos, sekejap masa berlalu dan apakah pencapaian kita dalam masa seminggu? Saat kita sedang meraikan kejayaan untuk sesuatu, saat kita sedang menyiapkan sesuatu, saat kita melakukan sesuatu dan saat kita sedang memilih untuk makan apa, haruslah kita sentiasa mengingati saudara kita di Palestin yang berterusan dibunuh dan sedang kebuluran. Dalam buku Mutiara Kata, susunan Hadi Alhadi, Mantan Presiden Amerika  Syarikat yang mati dibunuh, John F. Kennedy menyatakan bahawa manusia harus menamatkan peperangan atau perang akan menamatkan manusia.
        Memulakan hari dengan rasa bersyukur, itulah yang seharusnya. Di saat kita rasa 'berat' atau terbeban, kita masih punya kerja, masih bebas berkomentar dan masih boleh berehat sebentar tatkala lelah, Alhamdulillah.


Friday, August 15, 2025

Tidak Mahu

Bukan tidak tahu
tetapi tidak mahu
malah tidak mengaku
kerana keakuan
kerana keegoan
susu dibalas tuba
kerana kaduk naik junjung.

Semsas
15 Ogos 2025


Thursday, August 14, 2025

Tiada Laksana Bijaksana

Dingin begini
ingin saja mengopi
memutih di kepala
asal sehitam air kopi
meneguk dari segelas fikir
nanti berapakah lagi kan pergi
saban tular menjalar
kan cuma lahir semanis cara
tiada laksana bijaksana.


Semsas

14 Ogos 2025


Sememangnya Aneh

Aneh sekali
tarantula dan si katak kecil
saling menolong
terikat naluri naluri
dan manusia 
sememangnya aneh
mengikat janji 
dan saling mengkhianati
masih bersama 
demi laba sembunyi.


Semsas
11 Ogos

Tuesday, August 5, 2025

Senja Pulang

Kuterpegun di jendela,
Bila hujan gerimis senja,
Tak kulihat di hadapanku,
Diriku dalam lamunan.

Sedikit petikan 'Gerimis Senja' alunan Alleycats mungkin boleh mengembalikan kenangan dan mungkin meninggalkan makna untuk kita.
        Senja sering kali diabadikan dalam lagu dan menjadi pilihan untuk digambarkan dalam lukisan. Senja dan Maghrib juga tak dapat dipisahkan. Kata Opah, "Senja sering buat orang sayu." 'Senja' di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud waktu matahari hampir terbenam (lebih kurang pukul 7.00 malam), ketika hampir akan malam. Di dalam kamus yang sama, 'senja buta'  atau 'senja raya' bermakna senja yg sudah agak larut (lebih kurang pukul 8.00 malam). 'Senjakala' pula diberi makna waktu senja. Masih di dalam kamus yang sama, maksud pertama 'Maghrib' dalam bahasa Arab ialah tempat arah matahari terbenam, barat. Maksud kedua, waktu Maghrib ialah waktu terbenam matahari sehingga hilang cahaya merah di ufuk barat.
         Menatap senja merah ketika pulang, burung-burung riuh pun sudah pulang ke sarang. Hilang senja datanglah kelam dan kita mengharap esok menemui senja kembali untuk satu hari lagi yang lebih baik, Insya-Allah.


Monday, August 4, 2025

Lapar

'Kembara' dalam Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pergi ke mana-mana (dengan tidak tetap tempat kediaman dan tidak tentu pula tempat yg ditujui), bertualang dan menjelajah.
          Sabtu, 2 Ogos pula berakhirnya Kembara Ilmu anak-anak di UMPSA Pekan. Kembara yang amat  jelas tujuannya sebagai persiapan akhir, maka anak-anak bermula hari ini, 4 Ogos, mula berjuang di medan percubaan SPM. Kembara yang berjalan walaupun tidak sampai seminggu seharusnya membangkitkan semangat anak-anak untuk terus berjuang demi matlamat yang telah ditetapkan. Semuanya telah bersiap siaga, dayung sudah di tangan, perahu sudah di air, begitulah peribahasa Melayu.
         Insya-Allah, Kembara Ilmu tidak pernah berakhir bagi kita yang sentiasa lapar ilmu. Ilmu akan membawa kita ke mana-mana yang kita mahu selagi mana kita punya kehendak yang jelas. Teruslah berjuang dan Hidup Berjasa!


Sajak — Bagasi Memori

Di sini kebanyakan menolak lelah dan mengheret bagasi memori diam mengenang sebelum menoleh memilih oleh-oleh untuk simpanan rak ingata...