Translate

Friday, March 28, 2025

Raikan

Menjelang hari raya, akan ada beberapa aktiviti telah disusun dan kebiasaannya menjadi acara wajib sebelum raya.
     Khamis 27 Mac, Majlis Khatam Al-Quran berlangsung seperti yang dirancang, Alhamdulillah. Beberapa pertandingan yang dijalankan sepanjang Ramadan, keputusannya telah diumumkan. Begitu juga anak-anak yang terpilih, diraikan Exsas, moga Allah SWT melimpahkan rezeki. Jumaat 28 Mac, semestinya semua sudah tak sabar nak balik kampung untuk beraya. Kad raya pun sudah diterima, terima kasih Tuan Mohamed Nasser, setiap tahun menghidupkan tradisi. Hari terakhir bersekolah, maka pagi tadi, Majlis Jalinan Aidilfitri menjadi medan bermaaf-maafan di samping menitipkan pesan. Sudah pasti terbayang kampung halaman, masing-masing tersenyum panjang mahu balik berbuka di rumah menanti lebaran. Menanti petang, sudah pasti banyak permintaan, memesan juadah kegemaran tatkala pulang. Petang di rumah seperti biasa, menanti Maghrib, Achik menunggu azan di atas pagar setelah semuanya ada menunggu untuk berbuka.
      Ramadan masih bersisa, marilah kita sama-sama meraikannya. Dalam masa yang sama, jangan dilupakan perkara yang sangat penting, tunaikanlah zakat fitrah. Banyak juga yang sudah pulang ke kampung, berhati-hatilah. Moga selamat di perjalanan.

Tuesday, March 25, 2025

Jangan Dilupakan

Ahad, 23 Mac, ada ruang untuk makan bersama-sama walau mula-mulanya tak pasti. Nak makan apa pun kadang-kadang boleh buat fikiran celaru.
       Setelah membentang tikar, kemudian beralih tempat kerana rintik-rintik hujan sudah menyapa, orang makin banyak. Ada yang kekal menikmati rintik-rintik hujan yang akhirnya berlalu. Cikgu Sakirin pun sampai dengan keluarga, bertambahlah meriah. Sebelum Maghrib habis, masing-masing siap mengemas setelah mengecap nikmat berbuka bersama-sama. Isnin, 24 Mac, anak-anak tambah semangat, tak sabar menanti berbuka kerana hari yang dinanti-nanti dan disebut-sebut sentiasa telah tiba. Tentulah Achik gembira, bukan pau merah jambu seperti yang diceritakan. Bertambah gembira setelah dijanjikan Umi permainan.
         Saat berkumpul bersama-sama,  menikmati juadah, tak kiralah di mana-mana pun, boleh jadi saat yang menggembirakan dan saat yang ditunggu-tunggu. Nikmatilah saat itu jika kita berpeluang, ada ruang dan ada kemampuan. Dalam kenikmatan, jangan dilupakan kesengsaraan Palestin.

Saturday, March 22, 2025

Serasi

Khamis ke Hospital UIA, waktu sudah selesai urusan, jumpa Farouq, agak lama tak berjumpa, sudah bekerjaya, Alhamdulillah.
     Jumaat, 21 Mac, ada sesi penggambaran, kena pakai baju raya. Walau hari-hari bertemu, jarang sekali berkumpul semua dalam keadaan berwarna-warni. Ya, bagaikan warna-warni di sekeliling, kita saling melengkapi. Meriah bersama dengan orang muda yang penuh semangat membara - Aidil, Din, Ifzul, Hakim, Kir, Shafiq, Arsyad dan bersama dengan orang yang masih muda dipenuhi pengalaman  - Yusran, Amir, Ustaz Fuad, Cikgu Hashim dan Cikgu Karim, masing-masing mempunyai aura dan persona yang tersendiri. Masing-masing ada karakter dan pembawaan yang tersendiri, jelas kebolehan dan kepakaran yang dipunyai bukan saja berwarna-warni, malah saling melengkapi seperti susun suai gambar (jigsaw puzzle), tak boleh hilang walau satu pun.
      Warna-warni itu sememangnya saling melengkapi dalam kehidupan, maka orang tua-tua sering berpesan,"Yang muda dihormati, yang tua disayangi." Walau warnanya tak sama, tak bermakna tak boleh bersama kerana jika kita saling percaya dan cuba saling memahami, Insya-Allah serasi itu pasti sampai.

Wednesday, March 19, 2025

Rindu Ramadan

"Ayah tanya Adik, "Bukan bila ada asyik gaduh?Adik jawab, "Tak berminat dah, sebab rindu."
       Banyak sekali yang dirindui tatkala Ramadan. Sekejap saja, semalam Nuzul Al-Quran, sudah 17 Ramadan bersamaan 18 Mac, hari ini sudah 19 Mac bersamaan 18 Ramadan. Bukan saja rindu Madinah, rindu Ramadan juga terkandung segala macam. Limau yang diambil dari rumah Tok Li sudah jadi acar limau yang tak sempat dijamah arwah Tok Pah. Biasanya, qasidah Tok Pah yang di atasnya ditabur bawang goreng sangat menyelerakan dan begitu juga nasi ulam, sudah hilang air tangan Tok Pah Ramadan ini. Berbuka dengan air tangan Opah juga sangat menyelerakan. Kali ini juga Pak Su Apit pasti terkenang saat tempoh hari, 'rindu' mengait kelapa kadang-kadang jadi tak terduga. "Sunyi pula tak ada abang," tiba-tiba Angah muncul meluahkan rasa.
       Ya, sekejap tak ada, sekejap ada pun boleh menerbitkan rindu, apatah lagi diambil tak kembali. Beruntunglah kita yang masih bersama dengan  Ramadan untuk beramal dan rindu itu untuk kita yang masih lagi ada.


Saturday, March 1, 2025

Ramadan Kareem

Moga amalan kita bertambah.
Moga Allah SWT merahmati dan memberkati kita. Selamat Berpuasa.

Menginjak

Hari ini sudah 22 Jun. Ahad lepas,  15 Jun Hari Bapa. Seminggu yang berlalu banyak yang terjadi.          Sabtu minggu lepas, 14 Jun ada Ka...