Skip to main content

Posts

Showing posts from July, 2008

Berita Harian 6 April 2008

DETIK PAGI SATU

detik satu pagi
masih belum lena
nyanyian cengkerik
menjadi penghibur
di sisiku
secangkir kopi
menghalau
kantuk yang singgah
di sisiku
sepiring pisang goreng
kehilangan rangup
ditelan gelap malam
detik satu pagi
cengkerik terus berlagu
aku masih
bertemankan
pena resah merah.

155pagi2zulkaedah1425H

Berita Harian 13 April 2008

SYILING BERHARGA

Bunga-bunga kenangan mekar kembali
Tatkala melihat anak-anak sekolah menguntum senyuman

Berseluar pendek biru gelap
Berbaju putih susu baru
Berkasut Pallas berpalit tanah merah
Takkala hari kedua baru menjengah

Loceng menjeritkan waktu makan
Syiling tiga puluh sen digenggam rapat
Berasak-asak kelaparan
Terlepas genggaman erat
Kehilangan pandangan di celah-celah kaki bersalut daki

Termenung di kaki lima kehibaan
Menangisi perut belum terisi

Simpati guru mengerti
Senyuman terlukis penuh bererti
Air sirap, nasi lemak daun pisang dan kuih koci
Pengganti syiling berharga keringat bapa.

Berita Harian 27 April 2008

LELAKI DEGIL
DAN ANAK KECIL

Lelaki degil punya segala
Pangsapuri mewah di kota gergasi
Motokar hebat edisi terhad
Namun
Tembok kesepian mengepung diri
Keegoan mencengkam hati
Bertemankan
Anjing kebingungan

Anak kecil
Di muka pintu berdiri kaku
Ikal mayang bergigi jarang
Senyum manis bersulam bicara

Lelaki degil terkebil-kebil
Si kecil comel dirapati
Hancur bersepai tembok kesepian
Dirempuh kata-kata lunak si anak
Jari halus tulus
Menyentuh kulit perasaan
Terlerai cengkaman keegoaan

Berita Harian 11 Mei 2008

KASIH IBU

Sesudah mentari membuka mata
Bergegas ibu tua
Menuruni anak tangga
Berbunga harapan
Meredah paya kegelisahan
Mencari pucuk paku kerinduan
Singgah di kebun ingatan
Bersandar di perdu kenangan
Menjolok nangka muda kegembiraan

Sebelum Zuhur menyapa
Bauan kasih sayang ibu
Mengapung di rumah kayu

Senyum tak lekang
di wajah kedut seribu
menunggu kepulangan
anak menantu cucu

22 JUN 08 Berita Harian (sajak)

KAPAL KEANGKUHAN

Flor De La Mar
Kapal keangkuhan Portugis
Diratah ditelan kerakusan Selat Melaka
Tiada lontaran restu belas kasihan

Bergulung-gulung gelombang amarah
Menggigit mengunyah memamah
Melulur lebur hancur luluh
Keserakahan Portugis

- Bandar Hilir -
01062008