Translate

Wednesday, July 23, 2025

Hidup Berjasa

Berakhirnya  semalam, 23 Julai Rabu,  Kejohanan Hoki Sekolah Berasrama Penuh Peringkat Kebangsaan 2025.
       Di sebalik sesuatu yang dirangka, ada usaha keras. Lima hari yang berwarna-warni dan panas berpanjangan, kita dapat melihat usaha gigih, kecekalan dan kesabaran. Di mana-mana, kita dapat melihat wajah-wajah yang bertungkus-lumus  demi memastikan segala-galanya berjalan dengan baik. Wira dan wirawati yang dijulang ada di mana-mana, wira dan wirawati yang tak didendang pun ada di mana-mana, Allah SWT jua yang mengetahui segala-galanya. Segalanya cuba untuk disempurnakan seperti yang telah dirancang demi membina modal insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.  Terima kasih tak terhingga buat Cikgu Haliq, Encik Arif, Encik Zaki dan Encik Nasir. Terima kasih tak terhingga juga buat semua yang bertungkus-lumus.
      Pengalaman dan pengajaran dikumpul dan digaul bersama. Setiap yang terjadi ada hikmah untuk direnungi. Kejayaan dan kegagalan itulah guru dalam kehidupan. Terima kasih dan tahniah untuk semua! Hidup Berjasa!


Wednesday, July 16, 2025

Hidup Berjasa

Semalam Selasa, 15 Julai, sewaktu Ayah hendak ke kereta terserempak dengan pak cik Idin dan pak cik Ja yang sedang Hidup Berjasa.
        Hari ini Rabu, 16 Julai, bumi Hidup Berjasa cukup bertuah kerana dikunjungi kembali warga Hidup Berjasa yang pernah melimpahkan jasa sejak bumi Hidup Berjasa mula dibuka. Patah tumbuh hilang berganti, namun yang berganti tetaplah tak sama tetapi saling melengkapi serta meneruskan perjuangan yang telah dimulakan sejak awal. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain, begitulah peribahasa Melayu yang amat indah. Peribahasa ini paling sesuai untuk menggambarkan begitu banyak kenangan yang bersimpang-siur meluru keluar dari pintu dan jendela fikiran tatkala melangkah ke tempat yang pernah siang dan malam berkampung. Siang dan malam  berkampung tiada jemu untuk membina masa depan negara dengan mendidik anak-anak supaya lebih kental menghadap hidup yang 'keras'.
        Hidup Berjasa motto keramat yang terpahat dalam jiwa warganya. Ukhuwah yang terjalin erat, mekarnya tak bermusim. Alhamdulillah, moga terus Hidup Berjasa!

Friday, July 11, 2025

100

Hari ini, Sabtu 12 Julai, sedang kita melaluinya, esok sudah Ahad. Semalam 11 Julai, hari lahir Baba dan 10 Julai, hari yang istimewa, hari lahir Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ke-100.
        Yang bernama Melayu, yang mengambil tahu pasti tahu tentang 'Dilema Melayu' yang pernah diharamkan. Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, analisis dan pandangan beliau dibuat berdasarkan pemerhatian dalam tahun 60-an. Menurut beliau lagi dalam prakata Dilema Melayu bertarikh 2 Julai 2008, beliau percaya bahawa faktor keturunan tidak lagi menjadi faktor yang menyekat kemajuan orang Melayu. Tambahnya lagi, apa yang lebih ketara dan dan lebih berpengaruh hari ini ialah peranan budaya serta sistem nilai hidup. Begitulah sedikit ulasan Tun yang Ayah bawa di sini. Maka persoalannya di sini, apakah budaya yang kita pegang atau anuti dan sistem nilai hidup yang kita praktikkan pada hari ini? Apakah budaya dan sistem nilai hidup yang kita amalkan pada hari ini memberikan impak yang besar kepada agama, bangsa dan tanah air kita? Jika dirujuk maksud 'budaya' dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud pertamanya ialah tamadun, peradaban. Maksud kedua pula kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya). Maksud 'nilai' yang ketiga dalam kamus yang sama ialah darjah, kualiti, mutu, taraf. Maksud keempat 'nilai' pula ialah sifat ketinggian (pemikiran, agama, kemasyarakatan dan lain-lain).
       Semalam, hari ini dan esok, tiga hari yang sentiasa ada untuk kita selagi bernyawa, inilah masanya untuk menyemak kembali diri kita, tentang budaya dan sistem nilai hidup seperti yang diungkapkan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Budaya dan sistem nilai hidup yang betul, yang kita pegang dan amalkan akan membantu kita untuk menjadi lebih baik  demi agama, bangsa dan negara, Insya-Allah.


Monday, July 7, 2025

Seronok

Ahad, 6 Julai, semua rumah bersaing untuk hari yang terakhir. Seronok memungkinkan segala jerih penat diabaikan untuk memberikan yang terbaik setelah hampir seminggu berjuang dan membuat persediaan. 
     Merah, hijau, kuning dan biru mewarnai padang harapan yang begitu luas. Segala-galanya dikerah — kudrat  dicurah dan idea diolah. Sorakan bergema — membangkitkan semangat supaya tak mudah menyerah dan mengalah — biar sampai ke penamat walau lelah. Idea diolah melalui kreativiti yang terserlah melalui pakaian dan hiasan, dibantu dan dipantau guru bersungguh-sungguh siang malam, anak-anak dilatih menjalin kerjasama dan mengagih-agihkan tugas. Kehangatan dicairkan dengan kedinginan aiskrim, terima kasih banyak yang memberi semangat dengan menghadirkan kelazatan tanpa bayaran.
     Keseronokan yang dikecap bersama dapat menyatupadukan kita. Keseronokan dapat membangkitkan semangat dan menghalau rasa terbeban meskipun penat. Tahniah untuk semua!

Tuesday, July 1, 2025

Pelakon

Mengiringi menemukan kami. Ada yang pernah ditemui, ada yang baru dikenali, cukup tiga hari, banyak cerita dapat didengari dan dikongsi.
       Di sini, anak-anak dilentur untuk ilmu baharu dan diingatkan kembali jika sudah tahu. Tatkala di atas pentas, mereka ditekankan untuk sedar ruang dan sedar masa. Mereka juga bukan lagi siapa mereka yang sebenar semasa di atas pentas jika terpilih sebagai peran dalam persembahan. Nada dan intonasi turut memainkan peranan, bergantung kepada watak yang dipegang, begitu juga dengan pergerakan. Jika tidak berwatak, mereka jua tetaplah amat penting kerana segala-gala yang berlaku di atas pentas mesti berjalan dengan bantuan semua ahli kumpulan. Persembahan bukanlah bersifat individu walaupun di atas pentas seorang saja yang bersandiwara, semuanya berjalan lancar disebabkan kerja berkumpulan.
         Mengiringi tetap dapat memberikan pengalaman yang baharu, ilmu yang baharu dan mengenang pengalaman terdahulu yang masih relevan di pentas dunia. Kitalah pelakon yang sebenarnya.
      

Friday, June 27, 2025

Selami

Kesunyian itu antara itu sahabat yang boleh membantu untuk kita merenung sesuatu yang telah lepas atau yang telah kita lalui dan juga sahabat yang membantu kita untuk terus menulis.
        "Barang yang lepas jangan dikenang," itulah yang sering Ayah dengar dan mungkin jua didengari orang lain. Tak ada yang lepas atau tak ada yang berlalu, tak adalah saat yang masih kita diizinkan untuk dinikmati pada saat ini. Yang berlalu meninggalkan kita dan ada jua saat dan sampai saat kita meninggalkan yang lain. Mungkin masih ada yang berbekas, kita masih teringat akan saat kita ditinggalkan dan saat kita meninggalkan dalam setiap babak hidup kita. Kita tidaklah 'keseorangan' walau hakikat yang dilihat ada antara kita keseorangan. Jika kita benar-benar memahami hakikat, kita tak akan cemas kerana keseorangan — sama ada ditinggalkan atau meninggalkan. Tatkala cemas menjadi sahabat pula, dalam keramaian pun kita boleh merasakan diri keseorangan.
         Kesunyian itu sahabat yang boleh hadir pada bila-bila masa, tak kira sewaktu meninggalkan atau sewaktu ditinggalkan. Kesunyian itu boleh menyedarkan kita akan adanya sesuatu yang lain di sekeliling kita jika benar-benar kita amati dan selami.


Sunday, June 22, 2025

Menginjak

Hari ini sudah 22 Jun. Ahad lepas,  15 Jun Hari Bapa. Seminggu yang berlalu banyak yang terjadi.
         Sabtu minggu lepas, 14 Jun ada Karnival STEM dan Xplore 2025. Bergembiralah anak-anak menyertai pertandingan yang disediakan untuk menimba pengalaman dan juga menyertai aktiviti yang ada. Robot anjing yang bergerak dengan pelbagai aksi pastilah menjadi kegemaran anak-anak. Kesempatan bermain permainan video mengggunakan VR turut tak dilepaskan. Jumaat, 21 Jun pula, perlawanan akhir ragbi MSSD berlangsung setelah beberapa hari anak-anak bertungkus-lumus berjuang menggunakan kudrat dan akal. Syabas dan Tahniah buat anak-anak Helang! Teori dan praktikal berjalan seiring. Teori yang dipraktikkan sewaktu latihan dapat memberikan pengalaman yang amat mahal untuk anak-anak semasa pertandingan.
         Seminggu yang berlalu banyak memberikan pengalaman dan pengajaran. Menginjak dewasa itu memang seharusnya dimatangkan oleh pengalaman yang dikutip dalam hidup sehari-hari. Pengalaman itu pula akan memberikan kita pengajaran yang terbaik untuk lebih bersedia menghadapi cabaran yang  mendatang.


Hidup Berjasa

Berakhirnya  semalam, 23 Julai Rabu,  Kejohanan Hoki Sekolah Berasrama Penuh Peringkat Kebangsaan 2025 .        Di sebalik sesuatu yang dir...