Translate

Tuesday, April 30, 2019

Sabar

Ayah membiarkan sahaja sinar mentari pagi menjamah muka ayah.
       Langit agak kelam, dilimpahi cahaya, terang dalam suram. Kenderaan bersusun, tidak seperti biasa, seperti ada sesuatu telah berlaku, selalunya begitu. Ada yang membuka tingkap, tangan sedikit terjuntai dan di hujung jari terjepit sebatang sigaret. Asap  berkepul keluar perlahan dari hujung bibir, bulat-bulat macam donat dan  sirna ditiup angin pagi. Ada yang sebentar-sebentar melihat telefon pintar, ada yang melayan kerenah anak sekolah, ada yang terjenguk-jenguk dirangsang rasa ingin tahu.
       Burung-burung pagi bertebaran berterbangan di langit sepertinya juga manusia bertebaran di muka bumi Allah s.w.t., juga mencari rezeki. Rezeki menanti, sabar diuji.

Saturday, April 27, 2019

Jiwa

Membesar bersama dengan buku sesuatu yang menyeronokkan.
     Salah satu perkara yang menyeronokkan ayah sewaktu zaman persekolahan ialah membaca komik atau majalah. Ayah baca Gila-Gila sejak darjah dua sewaktu masuk wad. Waktu itu ada banyak, antaranya Gelihati, Batu Api, Bambino dan Bujal. Sewaktu di sekolah menengah, muncul majalah Ujang. Kartunis-kartunis menjadi idola ayah. Antara cerita yang diingati ialah IBC, Atuk, Tiga Dara Pingitan, Sidek the Rock Star, Bersama Selamanya dan Blues Untuk Aku.  Kemudian, muncul pula Aku dan Sesuatu.
      Kartun berjiwa Malaysia mewarnai hidup anak-anak merdeka sebelum munculnya zaman internet dan telefon bimbit. Bukan sekadar berhibur, kartun juga disulami isu semasa dan asam garam kehidupan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Bersama Selamanya

Salah nikmat besar naik kenderaan jika boleh membaca dalam keadaan kenderaan bergerak.
      Ada orang pening kepala apabila membaca tatkala kenderaan bergerak. Masa yang panjang tidak terasa panjang apabila tekun membaca. Tambah-tambah pula umi yang memandu. Akhirnya, sedar-sedar dah sampai Semambu. Dari Semambu ke Teluk Cempedak menyambung bacaan. Kuantan Bangkit 2019 sedang berlangsung di Teluk Cempedak. Anak-anak sempat main pasir. Ayah ralit tengok buku dan akhirnya kami bertemu.
     Alhamdulillah, setelah sekian lama membesar bersama  dengan 'Bersama Selamanya' akhirnya berjumpa pelukisnya, kartunis Gayour, idola sejak zaman sekolah. Bertambah semangat untuk membaca apabila bertemu dengan penulis atau pelukis buku itu sendiri.

Thursday, April 25, 2019

Tikus

Pencetus perubahan tidak semestinya diri sendiri.
     Kadang-kadang, pencetus perubahan tidak melibatkan sesuatu yang besar, sesuatu yang kecil juga boleh menjadi titik untuk perubahan yang amat besar. Pencetus perubahan mungkin satu patah kata, mungkin juga satu peristiwa, mungkin juga satu cerita, mungkin juga melibatkan manusia, mungkin juga melibatkan alam dan mungkin juga melibatkan binatang.
     Kadang-kadang, sesuatu perubahan itu dicetuskan oleh sesuatu yang tak disangka-sangka seperti seekor tikus. Dunia boleh berubah kerana seekor tikus jika diri kita sendiri sanggup mengambil risiko untuk bertindak ke arah kebaikan.

Wednesday, April 24, 2019

Upih

Semua orang kenal Doraemon.
         Apabila tengok Doeramon, ayah dapat tengok Jepun. Segala-galanya tentang Jepun seperti tempat tinggal, cara hidup, seni budaya , teknologi dan pemikiran mereka. Apabila tengok Doeramon masa budak-budak, kita dapat bandingkan kehidupan zaman kanak-kanak di Malaysia dengan kehidupan di sana. Zaman kanak-kanak yang menyeronokkan tetapi di mana-mana tetap ada kaki buli.
        Untuk kenal Jepun, kita boleh  tengok Doraemon. Untuk kenal Malaysia, kita kena  tengok Upin dan Ipin yang kaya dengan nilai budaya masyarakat Malaysia. Dah lama betul tak main tarik upih! Sayangi Malaysiaku!

Tuesday, April 23, 2019

Bumbung

Ayah sampai di rumah, dua ekor ayam mutiara ada di luar reban.  Semalam baru umi tanya. Jadi, ayah lepaskan lagi seekor.
      Apabila sudah di luar reban, ketiga-tiga ekor terbang naik  ke atas reban. Selalu kita, dengar tentang fikir di luar kotak. Yang ayah nampak sekarang, fikir di luar reban. Salah seekor ayam mutiara terbang tinggi. Tinggi mana? Ayam mutiara sudah di atas bumbung.  Macamlah juga kita  dan anak-anak kita. Kita perlu berubah untuk meningkatkan potensi diri.
     Kita tetap  berada pada tahap yang sama jika tidak menambah ilmu. Kita tetap berada pada tahap yang sama jika berkawan dengan orang yang sama. Kita tetap berada pada tahap yang sama jika kita berada di persekitaran yang sama.

Monday, April 22, 2019

Fokus

Ada sebahagian daripada kita banyak memperuntukkan masa untuk menggelakkan orang lain.
         Menggelakkan orang lain tidaklah sama seperti menonton rancangan lawak  yang sememangnya bertujuan untuk menghiburkan penonton atau membuat penonton ketawa. Ada sebahagian daripada kita suka benar menunggu orang lain buat silap dan menggelakkan mereka. Kesilapan itu lumrah dalam kehidupan. Kesilapan  orang lain dan kesilapan kita sendiri sendiri sebenarnya seharusnya menjadi iktibar kepada kita.
        Kesilapan seharusnya membuatkan kita lebih berhati-hati dan teliti dalam sesuatu perkara. Kesilapan yang lepas menjadikan kita lebih fokus terhadap sesuatu perkara yang kita lakukan sekarang.

Saturday, April 20, 2019

Capai

Adik sudah ada empat batang gigi. Semua benda mahu dikunyahnya.
      Along cakap kali terakhir  giginya dicabut doktor yang datang ke sekolah. Angah pula cakap kali terakhir giginya dicabut sewaktu dia  jalan kaki ke sekolah ayah masa makan aiskrim. Giginya longgar dan dicabutnya sendiri. Kadang-kadang, tujuan atau matlamat sama tetapi cara atau jalannya berbeza.
Kadang-kadang, jalan untuk sampai itu di luar jangka, tujuannya masih sama.
         Untuk mencapai matlamat, kita mesti bergerak. Matlamat itu tidak semestinya dicapai secara sendiri. Matlamat itu boleh dicapai dengan bantuan orang lain. Untuk lebih bahagia, kita boleh berkongsi matlamat yang  sama untuk  berjaya bersama-sama.

Wednesday, April 17, 2019

Menanti

Hidup ini menanti mati. Sementara menanti mati, banyak perkara yang perlu diisi.
       Kata orang, menanti atau menunggu itu satu penyeksaan. Jika tidak mahu terseksa dek waktu menunggu atau menanti, masa itu perlu diisi dengan sesuatu.  Waktu menunggu boleh diisi dengan sesuatu. Waktu menunggu boleh diisi dengan ilmu. Waktu menunggu boleh melihat kebesaran Ilahi. Waktu menunggu boleh diisi dengan bertanya khabar.
       Penyeksaan akan berubah menjadi sesuatu yang indah jika masa menunggu itu diisi dengan sesuatu yang memberi manfaat, memberi kepuasan  dan memberi kegembiraan kepada kita.

Monday, April 15, 2019

Kutip

Pengalaman yang kita dilalui  tidak sama.
        Pengalaman yang kita  dilalui dapat membantu diri kita dan orang di sekeliling itu. Dalam pemikiran kita, sudah tentu ada seorang atau beberapa orang  yang kita yakin dapat membantu kita setiap kali kita memerlukan pertolongan untuk menyelesaikan sesuatu kerja atau perkara.  Kita sendiri juga akan dicari orang lain jika mereka memerlukan kita untuk membantu mereka mengikut pengalaman dan kemahiran yang kita ada.
       Kutiplah pengalaman yang ada di sekeliling kita.  Pengalaman itu sangat penting, tidak kira kecil atau besar. Pengalaman salah satu guru yang terbaik dalam hidup kita.

Air

Waktu panas lit-lit, tekak menjerit-jerit mahukan air.
       Janji air, tidak  kiralah air apa-apa pun, asalkan menghilangkan dahaga dan halal. Ada orang cukup setia dengan air yang diminum dan pembancuh air. Tidak mahu diminum air lain, dan pembancuh air sudah tahu air, sukatan gula atau susu yang diperlukan. Yang memesan minuman pula boleh tahu dan mengenal pasti jika airnya dibuat oleh orang lain, bukan pembancuh air yang sama.
      Begitulah kehidupan ini, kadang-kadang seperti air. Ada masanya tiada rasa, ada masanya manis, ada masanya masam, ada masanya masin, ada masanya tawar, ada masanya masam manis, dan ada masanya terlebih rasa. Minum air apa petang ini?
     

Friday, April 5, 2019

Jasa

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, jasa bermaksud pekerjaan baik (kepada  negara, raja, orang dan lain-lain). Jasa juga bermaksud bakti.
       Sebenarnya, apa-apa sahaja pekerjaan dan perbuatan yang kita lakukan, asalkan baik, tidak kira kecil atau besar, kita telah menyumbangkan sesuatu dalam hidup ini. Kadang-kadang, kita tidak perasan bahawa  kita diperhatikan orang. Jika perbuatan baik itu ditiru orang atau anak-anak kita, kita telah menyumbangkan jasa ke arah pembentukan keluarga yang baik atau masyarakat yang baik. Doa pula  satu sumbangan yang kita tidak nampak tetapi cukup bermakna dan penting.         
       Kecil atau besar jasa yang disumbangkan itu terpulanglah kepada kemampuan dan kepakaran kita. Yang penting, selagi hidup, sumbanglah sesuatu untuk kebaikan kita bersama, Insya-Allah. Ayuh, Hidup Berjasa!



Semuka

"Umi nak pergi rumah Wan tangkap ikan," kata Achik.
       Dalam kereta, masing-masing bercakap, Achik bercakap dengan umi melalui telefon. Sebenarnya umi mahu ke rumah Wan untuk menghantar ikan. Salah faham boleh berlaku dalam komunikasi kerana percakapan tidak jelas dan gangguan persekitaran. Oleh sebab itu, untuk berkomunikasi tentang perkara penting atau membuat sesuatu keputusan, seelok-eloknya kita bersemuka.
      Tutur kata yang jelas ditambah dengan sepotong senyuman yang menawan dapat menambahkan kemesraan dalam komunikasi dua hala secara bersemuka.

Salam Aidilfitri

"Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain," inilah kata-katanya yang menceritakan segala-gal...