Translate

Sunday, March 31, 2019

Bendera

Tanya nenek kepada pemandu kereta 'buggy', "Kata Bukit Bendera, mana benderanya?" "Ada dekat dua tempat," jawab pemuda berbangsa India dalam loghat Utara.
        Umi membeli tiket dalam talian, lebih cepat. RM 5  untuk kanak-kanak dan warga emas (60 tahun ke atas). RM 10  untuk dewasa. Untuk lebih cepat, ada 'Fast Lane'. Harga tiketnya RM 40  untuk dewasa. Untuk kanak-kanak harganya RM 20 dan untuk warga emas  (60 tahun ke atas), harganya tetap sama, RM 5. Untuk meronda  di sekitar Bukit Bendera boleh menaiki kereta 'buggy' dengan harga RM 30.
        Kesempatan yang ada digunakan untuk bergambar sebelum kereta gantian sampai kerana tayar kereta 'buggy' pancit. Jom ke Bukit Bendera!

Friday, March 29, 2019

Sengketa

Satu lagu yang  perlu diperdengarkan kepada anak-anak ialah Anak Kecil Main Api supaya mereka mendapat iktibar.
     "Nenek moyang kaya raya,
       Tergadai seluruh harta benda,
       Akibat sengketa sesamalah kita,
       Cinta lenyap di arus  zaman."
      Ada sesetengah daripada kita terlalu taasub dengan  parti politik sehingga sanggup bersengketa sesama sendiri dan menolak kepentingan agama, bangsa dan negara. Demi kepentingan agama, bangsa dan negara,  kita seharusnya bersatu tanpa mengira fahaman politik.               
      Berbeza pendapat tidak boleh dielakkan, tetapi bersengketa sesama sendiri sehingga menjadi lemah untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air suatu kebodohan yang tidak boleh dimaafkan.



Wednesday, March 27, 2019

Malu

Banyak perkara yang melibatkan malu.
      Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, terdapat tiga peribahasa yang maksudnya sama. Tiga peribahasa tersebut ialah malu bertanya, sesat jalan,  malu berdayung, perahu hanyut dan malu makan, perut lapar. Ketiga-tiganya bermaksud kalau tidak mahu berusaha tentulah tidak akan mendapat kejayaan. Untuk berjaya, kata-kata yang memperlekehkan usaha kita seharusnya diabaikan. Kata-kata ini hanya bertujuan untuk membunuh semangat kita dan menggagalkan impian kita. Siapakah yang mahu menolong kita jika kita susah?
      Mahu berjaya? Mulakan sekarang. Kita kena tolong diri sendiri. Malu apa bosku?

Tuesday, March 26, 2019

Senja

Kami disambut bendang luas terbentang.
      Kemarau mengeringkan sebahagian bendang. Padi telah dituai. Ada juga baru  menghijau. Panas seperti di Pantai Timur juga. Sesekali ditemani sedikit titisan hujan sepanjang perjalanan. Petang menjelang, terasa sayu melihat matahari maghrib mula tenggelam di celah pohon kelapa berlatarbelakangkan bentang yang kontang.
     Bangau cukup setia menanti kerbau  di bendang dan pulangnya berpasangan di langit senja.

     

Monday, March 25, 2019

Baharu

Dua hari lepas hari lahir Achik. Kami, Pok De, Mok De dan Aqil menjejakkan kaki ke Grand Lexis di Port Dickson.
         Tidak kiralah di mana-mana,  tempat itu akan dikira 'lima bintang' dan menarik bagi anak-anak jika ada kolam mandi. Jika tidak ada kolam mandi, tidak ada 'bintang' untuk tempat itu. Kolam mandi di dalam bilik, siapa-siapa pun akan teruja. Kedalaman kolam 1.2 meter. Nampaknya Along begitu bersemangat sebab diajar umi berenang.  Memang betullah belajar itu perlu dimulai sejak kecil, jika sudah besar, faham-faham sahajalah.
       Belajar sesuatu yang baharu di tempat baharu sesuatu yang mengujakan. Kita perlu keluar dari zon selesa untuk meningkatkan semangat.

Sunday, March 24, 2019

Warna-Warni

Hidup ini penuh warna-warni, bukan satu atau dua warna sahaja.
     Warna-warni bukan milik seseorang atau dimiliki satu kumpulan atau kelompok  sahaja, warna-warna milik kita semua. Bukankah Allah s.w.t mengurniakan pelangi yang warna-warni untuk kita semua nikmati? Cantuman warna membuatkan pelangi begitu indah. Begitu juga kita manusia yang walaupun berbeza, tetapi kita saling melengkapi bagaikan warna pelangi. Barulah hidup kita bertambah indah.
      Hiduplah kita seperti pelangi  indah berwarna-warni yang saling melengkapi.

Kekal

Memilih untuk kekal sama, atau memilih untuk kekal berbeza, tanyalah pada diri sendiri.
         Walaupun kopi pilihan tegar, ada masanya memilih teh. Kekal sama itu satu pilihan. Kekal berbeza juga satu pilihan. Pilihan ini penting untuk penambahbaikan. Untuk meningkatkan keupayaan diri, kita tidak boleh kekal sama selamanya. Kita perlu menambah ilmu dan menambah pengalaman untuk terus ke hadapan kerana untuk sampai ke puncak halangan semakin sukar.
      Jika tidak mahu langsung melangkah ke hadapan, bolehkah sampai ke tempat yang dituju?

     

Pilih

Dalam hidup, kita perlu memilih.
    Memilih pakaian, memilih makanan dan memilih perkara untuk dilakukan antara rutin harian. Memilih kerja satu keputusan yang agak besar kerana kita akan bekerja setiap hari. Sudah pasti, kita mahu melakukan kerja yang kita suka dan melakukannya dalam keadaan yang gembira. Memilih kawan juga penting. Pemilihan rakan akan mempengaruhi pemikiran dan kepercayaan terhadap sesuatu. Hobi baharu juga boleh membuatkan kita mendapat kawan baharu dan kepercayaan baharu.
     Kita tidak boleh lari daripada memilih. Membuat pilihan mengajar kita menjadi lebih matang dalam kehidupan.

Saturday, March 23, 2019

Taat Setia

Marilah Mari Rakyat Semua
Buktikan Taat Setia dengan Satu Bahasa
Maju Bangsa dan Maju Negara
Megahkan Bahasa Kita
Bahasa Jiwa Bangsa

Lagu Bahasa Jiwa Bangsa dicipta allahyarham Tan Sri Dol Ramli.
        Bahasa Melayu tidaklah sukar untuk dipelajari kerana pekerja asing dari Nepal dan Bangladesh misalannya, banyak yang boleh bertutur fasih dalam Bahasa Melayu. Ayah pernah menjadi fasilitator Seni dan Budaya di PLKN (Program Latihan Khidmat Negara) dan ada pelajar yang menyertai program tersebut tidak fasih bertutur Bahasa Melayu dan seorang rakan yang sebangsa dengan mereka menjadi penterjemah untuk mereka.
        Sebagai rakyat Malaysia, wajib kita fasih bertutur dalam Bahasa Melayu. Seperti kata dalam lagu, satu bahasa itu tanda taat setia. Malu apa bosku?

       

Thursday, March 21, 2019

Tudung


 Dalam Astro Awani, 22 Mac, dilaporkan Shafizan Johari, semua wanita di New Zealand, termasuk anggota polis wanita, mengenakan tudung atau hijab hari ini sebagai tanda sokongan kepada wanita Muslim di negara ini.
       Sebuah gerakan persendirian iaitu ‘Scarves in Solidarity’ menjalankan kempen pemakaian tudung pada hari ini bagi wanita di New Zealand. Kempen ini turut digerakkan melalui tanda pagar, #headscarfforharmony, usaha
seorang doktor di sebuah hospital di New Zealand, Thaya Ashman.
        Insya-Allah, keharmonian akan terus wujud dengan saling menyokong antara satu dengan yang lain tanpa mengira bangsa dan agama. Jom bertudung!

Puisi

21 Mac Hari Puisi Dunia. Ayah baru tahu setelah melihat akaun 'Twitter' Sastera Malaysia.
        Ada puisi tradisional, ada puisi moden. Puisi tradisional seperti pantun agak unik. Pantun bukan sahaja ada rima akhir, sesetengah pantun ada juga rima tengah. 'Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga, Hancur badan dikandung tanah, Budi yang baik dikenang juga' salah satu pantunnya. Perhatikan suku kata 'dan'  pada perkataan 'Pandan' dan 'badan'. Perhatikan juga suku kata 'ik' pada perkataan 'Daik' dan 'baik'.
      Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Ambil sedikit masa untuk bercinta dengan puisi yang penuh dengan nilai dan pengajaran.


Wednesday, March 20, 2019

Peluang

Semalam takkan lagi berulang,
Peluang pastikan datang,
Mengajar lagi erti,
Hidup di dunia ini,
Hari ini masih bernafas lagi,
Dan selagi itu kuberi sepenuh hati ini.

    'Hanya Mimpi' nyanyian Caliph Buskers. Ini sebahagian petikan liriknya. Baru ayah dengar setelah membaca berita di Astro Awani. Bagus dan penuh makna liriknya. Semalam meninggalkan kita dan kiranya kita masih menghirup udara hari ini, selayaknya kita melakukan sesuatu dengan sepenuh hati kerana Allah s.w.t masih memberikan kita satu peluang yang besar untuk kita pada hari ini.
       Sekejap lagi masih belum tentu, sekaranglah masanya untuk kita lakukan sesuatu dengan sepenuh jiwa raga, Insya-Allah.


Api

Musim panas. Hujan pun jarang-jarang. Hutan di kiri dan di kanan jalan Kuantan-Pekan terbakar setiap tahun.
       Semalam dan hari ini nampaknya agak teruk di kawasan Indera Sempurna. Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan api. Memandu pun perlu berhati-hati  kerana asap agak tebal. Polis trafik turut berada di situ. Pernah sekali ayah mengharung asap menaiki motor, cukup mencemaskan.
     Marilah sama-samalah kita menadah tangan berdoa. Semoga Allah s.w.t menurunkan hujan untuk membantu kita, Insya-Allah.

Sunday, March 17, 2019

Telur

Kerana 'telur', dia dikenali dan dikagumi.
     Lantaran itu, keberanian seorang remaja, Willy Connoly membaling telur kepada Senator Australia, Fraser Anning atas dakwaan mengaitkan umat Islam dengan tragedi yang menimpa dua buah masjid di Christchurch pada Jumaat terus menjadi bualan (Astro Awani, 17 Mac). 'Eggboy' dikenali di dunia dalam sekelip mata.
     Keberanian itu tidak mengenal usia. Keberanian itu ada dalam diri kita. Peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa berani kerana benar, takut kerana salah.

Saturday, March 16, 2019

Taasub

Kita digemparkan dengan tragedi berdarah di New Zealand.
         Menurut Astro Awani (Sahlizah Mohamed), dalam kejadian pada kira-kira jam 1.45 tengah hari Jumaat (waktu New Zealand), 49 orang terkorban dan berpuluh lagi cedera selepas pengganas melepaskan tembakan di dua masjid di Christchurch sewaktu solat Jumaat.               Taasub terhadap sesuatu dan  berpegang teguh pada kepercayaan yang salah boleh membuatkan seseorang hilang kewarasan dan pertimbangan serta bertindak di luar batas kemanusiaan. Al-Fatihah.

Wednesday, March 13, 2019

Sejarah

Tanggal 14 Mac 2019 akan diingati. Alhamdulillah, anak-anak Vivacious mencipta sejarah, 1.96.
        Sejarah dicipta setiap hari, sedar atau tidak sedar. Kejayaan akan menjadi sejarah yang diingati. Untuk berjaya, banyak ceritanya. Banyak yang perlu dilalui. Dalam buku Berani Gagal, Billi P.S Lim, memetik kata-kata Soichiro Honda (Pengasas Honda Corporation),"Apa yang orang nampak daripada kejayaan saya hanyalah 1% daripadanya, tetapi apa yang mereka tidak nampak ialah 99%, iaitu kegagalan-kegagalan saya."
        Kejayaan itu menjadi satu perkara yang manis untuk dikenang dan menjadi satu motivasi untuk lebih berjaya pada masa akan datang. Tahniah Vivacious!
             

Kita

Pencemaran memusnahkan alam sekitar dan memudaratkan manusia.
       Pencemaran alam terancang bermotifkan keuntungan semata-mata.  Kelestarian alam tidak dipeduli, mengabaikan 'pelihara dan pulihara' serta tidak memikirkan kesan kepada manusia, apatah lagi kepada flora dan fauna.
      Hari ini, Sungai Kim Kim dan manusia menjadi mangsa manusia otak tercemar. Sungai itu tempat tinggal kita. Airnya yang mengalir kita minum. Manusia itu kita. Manusia itu ahli keluarga, saudara-mara dan rakan taulan kita.

Monday, March 11, 2019

Ingat

Bermula perhimpunan hari Isnin 7.20 pagi, mestilah kena bangun awal.
      Maka, misi pun bermula jam 5 pagi. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar walaupun sampai tidaklah 7.20 pagi, tetapi sebelum 7.30 pagi. Apabila Achik 'terbabas' terpaksalah ayah bekerja lebih, kena mengemop lantai bilik. Perut ayah pun buat hal juga. Sampai di sekolah, Angah baru perasan kasutnya tidak ada di dalam kereta, jadi berstoking memakai selipar. Tengah hari katanya, duit belanja yang diberi umi tertinggal. Dia meminta duit belanja daripada guru yang dia sendiri tidak kenal. Terima kasih Cikgu. Katanya, cikgu pesan, jika tertinggal duit belanja, jumpa cikgu.
      Memang dia ingat pesan cikgu😅. Biasa ayah tanya tentang duit belanja, hari ini tidak. Anak-anak sekolah memang sentiasa perlu diingatkan dan begitu juga kita yang dewasa. Diingatkan buat kita lebih beringat, Insya-Allah.

Friday, March 8, 2019

Wanita

Semalam Hari Wanita. Hari ini hari lahir emak.
       Wanita pertama dalam hidup kita sudah terang lagikan bersuluh, tentulah ibu kita. Wanita yang bernama ibu memainkan peranan yang cukup besar dalam hidup kita. Ibu tidak pernah melupakan kita dalam doa mereka dan begitu juga yang sepatutnya kita lakukan setiap kali berdoa. Begitu banyak lagu yang menggunakan judul nama wanita. Banyak  juga dengan lagu yang menggunakan  kalimat ibu, bonda, emak, umi dan mama.
         Wanita sememangnya penting dalam hidup kita. "Cikgu ingat lagi tak nama saya?" tanya anak murid perempuan yang tidak lagi diajar ayah. "Terlalu banyak perempuan dalam hidup saya, jadi sebab itu saya tak ingat nama awak!" jawab ayah. Jangan marah!

Thursday, March 7, 2019

Negaraku

Negaraku,
Negaraku dicemburui,
ada yang mahu kami sangsi,
ada yang mahu kami berdengki,
ada yang mahu kami mengkhianati,
ada yang mahu kami kelahi.

Negaraku,
beza agama bersatu hati,
beza bangsa saling memahami,
beza bahasa saling mengerti,
beza budaya saling kenali,
beza pendapat tetap dirai,
selisih faham ke meja diskusi.

Di sini
cinta tersemai
Negaraku aman damai.

7 Mac 2019



Monday, March 4, 2019

Cinta

Semalam, sekolah Along dan Angah cuti peristiwa. Hari Ahad ada sukan.
     Ikut ayah ke tempat kerja, jika tidak di dalam bilik guru, ada masanya ke perpustakaan atau kutubkhanah. Budaya membaca harus disuburkan sejak kecil. Ledakan teknologi, banyak yang sudah tidak membaca buku. Masih ramai yang membaca tetapi menggunakan media lain seperti buku elektronik, media sosial dan laman sesawang. Ayah sebenarnya lebih suka membaca dengan memegang buku atau surat khabar.
      Bagi ayah, buku tetap relevan sampai bila-bila dan kita perlu mengajar anak-anak kecil mencintai buku dan berkawan dengan buku. Beli buku untuk anak-anak supaya mereka mencintai ilmu.

     

Saturday, March 2, 2019

Cuti

Hari ini hari lahir Atuk. Along dengan Alif pula menyertai program Prokids bersama dengan Ustaz Ebit Lew.
       "Kenapa lama sangat?" tanya Angah kerana program yang disertai Along sampai petang. Itu tandanya tidak ada teman untuk bermain walaupun kadang-kadang banyak gaduh daripada bermain. Maka, antara aktiviti hari ini ialah Angah dan Achik memberi ayam mutiara makan. Dihulurnya rumput di celah jaring dan dipagut serta ditelan rumput itu oleh ayam mutiara.
       Cuti dua hari cukup penting dan
bermakna kerana dapat selesaikan kerja-kerja di rumah dan dapat melakukan aktiviti bersama dengan keluarga.

Salam Aidilfitri

"Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain," inilah kata-katanya yang menceritakan segala-gal...