Translate

Wednesday, January 30, 2019

Hari Ini Dalam Sejarah

Pagi ini, ayah melihat keputusan Liga Inggeris.
        Sambil mengunyah roti disapu mentega kacang halus Sunbear, ayah melihat empat gol pemain Bournemouth yang menerjah gawang pasukan Chelsea. Selepas itu, ayah merebus telur, mahu makan telur separuh masak. Enam minit masa untuk merebus telur. Selesai makan, masa untuk minum kopi o Robusta cap Hang Tuah.
        Hari ini, hari yang bersejarah. Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini bagi tempoh lima tahun (Astro Awani).Daulat Tuanku!

Tuesday, January 29, 2019

Palestin

Aku mencari di mana Palestin?
Yang darahnya mengalir
sepanjang detik
nadi bergerak.
 Yang nyawanya
bagai tiada harga
dicabut diragut
sesuka hati.
Aku mencari di mana Palestin?
Yang siang dan malamnya
bagaikan hamba abdi
sengsara di rumah sendiri.
Aku mencari diriku sendiri
dan mahu bertanya
ke manakah aku
ketika namamu Palestin
dilenyapkan
di dalam lembaran
peta bumi ini?

29 Januari 2019








Dengar

Untuk mengetahui seronoknya sesuatu perkara perlulah mencubanya, mungkin sekurang-kurangnya tiga kali atau lebih.
        Seronoknya membaca ialah kita dapat tahu banyak perkara yang kita tidak tahu sebelum ini atau kita tidak peduli pun. Dalam berurusan atau berkomunikasi dengan anak-anak terutamanya, marah cukup cepat muncul. Pagi ini ayah terbaca tentang 'marah' dalam buku 'Seni Dakwah Kontemporari, Dakwah Berseni Pasti Melenturi Naluri', karya Dato' Ustaz Badli Shah bin Alauddin.
         Dalam buku ini, Mu'tamir bin Sulaiman meriwayatkan bahawa dia pernah mendengar ayahnya berkata, "Jangan harap orang yang engkau bangkitkan kemarahannya mahu mendengar kata-katamu."

Monday, January 28, 2019

Pendirian

Astro Awani melaporkan bahawa hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang bakal dianjurkan di Kuching, Sarawak dibatalkan.
          Apakah pendirian diri kita apabila menerima tetamu? Apabila kita sudah bersetuju menerima tetamu, sudah tentu kita mengalu-alukan tetamu yang datang. Apabila tetamu mula anggap rumah kita seperti rumah mereka sendiri, anggap semuanya milik mereka dan akhir menghalau kita tidur di luar rumah, apakah pendirian kita sebagai tuan rumah, saudara atau sahabat? Buka mata, apakah yang berlaku di Palestin?
          Pendirian  yang benar berdasarkan bukti-bukti yang nyata bukanlah pendirian yang boleh dijual beli. Pendirian itu bukanlah pendirian yang berakarkan emosi tetapi berdasarkan pertimbangan yang wajar atau rasional.

Sunday, January 27, 2019

Sabar

Selalu yang disebut 'penantian itu satu penyeksaan'.
        Menanti atau menunggu itu ada masanya begitu lama. Ada masanya sekejap sahaja. Menunggu bergantung juga pada tempatnya. Kalau ada nombor giliran dan tempat duduk, tidaklah berasa sangat apabila menunggu. Zaman dahulu, waktu menunggu dihabiskan dengan membaca buku atau berborak. Sekarang, hampir semua memegang telefon pintar. Menunggu membeli makanan pula, jika ramai, berdirilah sampai giliran. Anak-anak pula boleh dilihat aksi mereka sewaktu menunggu, macam-macam gaya, duduk pun ada.
        Menunggu sudah tentu memerlukan kesabaran. Kesabaran itu perlu untuk mendapatkan sesuatu yang enak, apatah lagi apabila makanan itu melibatkan coklat. Layan.


Saturday, January 26, 2019

Sejati

Waktu ayah sedang menulis, ayah baru sudah membaca di Astro Awani (dilaporkan Arfa Yunus) tentang kemenangan Barisan Nasional di Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands.
          Dalam artikel yang sama dikatakan bahawa kemenangan Ramli Md Nor mencipta sejarah apabila calon tunggal Orang Asli ini berjaya melangkah masuk ke Dewan Rakyat. Begitulah, sejarah dicipta pada setiap saat. Semalam, adik mencipta sejarah di rumah wan melangkah buat kali pertama. Sebelum ini sudah lama boleh berdiri dan meniti di tepi sofa. Hari ini, dia bangun lagi mula menapak satu dua langkah dengan umi.
         Anak-anak ialah pahlawan dan srikandi sejati. Mereka tidak pernah menyerah kalah dan kita seharusnya begitu kerana kita juga dulu seperti mereka.

Thursday, January 24, 2019

Hari Ini Dalam Sejarah

Merujuk Astro Awani (24 Januari 2019) seperti yang dilaporkan Firdaus Azil, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in, telah dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-16.
      Pelantikan itu diumum oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini.
       Daulat Tuanku!

Tuesday, January 22, 2019

Sesuai

Minggu-minggu penyesuaian diri masih berlaku bagi anak-anak prasekolah yang sudah naik darjah satu dan bagi anak-anak tingkatan satu yang baru tinggal di asrama.
      Ada sahaja yang berlaku. Stoking terlupa dipakai dan semalam along, angah dan ayah mencari beg angah tetapi tidak ada di dalam kereta. Tengah hari tadi, dia menggalas begnya. Katanya, dia terlupa. Semalam, dia letak begnya di tepi tangga berhampiran kelas along. Beberapa hari sebelumnya, dia menggalas beg kelas petang ke kelas waktu pagi. Begitu juga achik yang ceria waktu petang dan paginya masih  dicempung ayah dan mula sedih apabila hampir sampai di sekolah.
        Penyesuaian itu memerlukan sedikit masa dan apabila telah menjadi rutin, Insya-Allah segalanya akan berjalan dengan lancar. Jika tidak, anggaplah itu ujian untuk meningkatkan kesabaran kita.

Monday, January 21, 2019

Pilih

"Tak nak pergi sekolah," kata achik setelah naik kereta melalui jalan ke sekolahnya malam ini.
       Beriya-iya dia mengulangi yang dia tidak mahu ke sekolah. Pagi tadi pun begitu. Ayah fikir ayah tidak akan dengar lagi ayat itu. Ternyatalah telahan ayah menyimpang. Begitulah cabaran setakat ini setiap pagi. Adegan kejar-mengejar masih berlaku. Zaman along dan angah sudah berlalu. Ada masanya sesuatu perkara itu perlu dipaksa untuk menjadi biasa. Kadang-kadang itu sahaja pilihan yang ada. Mahu melalui sesuatu itu dengan rasa gembira atau mahu melalui dengan rasa menyampah, perkara itu tetap akan kita tempuhi.
        Pilihan tetap ada, mahu mencipta gembira atau terus mengeluh sepanjang masa, kita tentukan sendiri.

Saturday, January 19, 2019

Jaga

Melangkah kaki ke kedai haiwan peliharaan, kami melalui 'Lebai Ali Food Street', kawasan tempat persinggahan burung merpati.
        Achik mengejar burung-burung merpati dan burung-burung itu terbang lalu hinggap beratur di atas tali elektrik. Dia tersengih. Dia bukan boleh duduk diam. Apabila kita memandang ke atas, akan nampaklah mural besar gambar salah seorang  pahlawan yang mempertahankan tanah air tercinta, iaitu Mat Kilau.  Sudah sampai masanya kita bersatu dalam apa-apa isu yang melibatkan agama, bangsa dan tanah air kita walau berbeza ideologi politik. Lihat merpati terbang sekawan, walaupun tak sama kumpulan, tetap bersama-sama berkongsi makanan.
         Sama-samalah kita ingat pesan pahlawan kita, Mat Kilau,"Jaga agama, jaga keluarga, jaga negara. Jangan sampai bangsaku tiada negara!"

Tuesday, January 15, 2019

Hari Ini Dalam Sejarah

Hari ini, 15 Januari 2019 (Selasa), 9 Jamadilawal 1440H, hari yang cukup bersejarah.
         Merujuk Astro Awani yang bersumberkan Bernama, tanggal 15 Januari mencatat sejarah istimewa untuk rakyat Pahang apabila istiadat pemasyhuran Sultan Pahang Keenam dalam era moden, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berlangsung di Istana Abu Bakar pagi tadi. Sultan Pahang Keenam, Sultan Abdullah akan memakai gelaran rasmi sebagai Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah.
        Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Pahang, Kolonel Nazim Mohd Alim, gelaran itu membawa maksud Sultan Abdullah pembela agama yang dipilih Allah.

Monday, January 14, 2019

Seekor

Nampaknya, hari ini kucing tidak begitu menghiburkan bagi ayah dan mungkin juga salah ayah.
          Lepas subuh, ayah sudah ke sangkar. Mula-mula, nampak biasa. Kali kedua, baru ayah perasan, dinding daripada kotak yang diikat pada sangkar sudah tercabut. Cepat-cepat ayah buka sangkar, ternyata tinggal seekor. Sewaktu ayah, along dan ayah bawa balik semalam, sudah menarik perhatian Oren dan kawan-kawannya. Terserlah sifat kebinatangan. Itu sebahagian daripada makanan mereka. Ayah pun sudah lupa cara memelihara anak ayam sedangkan itu sebahagian aktiviti kami tiga beradik waktu kecil di kampung.      
         Akhirnya, dibawa masuk ke dalam rumah dan melepaskan ke dalam bekas yang sesuai untuk seekor anak ayam api-api yang comel. Bukan anak-anak sahaja mengulang tengok, ayah umi pun sama. Satu lagi aktiviti luar yang tidak melibatkan telefon pintar.

Sunday, January 13, 2019

Afrika

Umi cakap kalau bela ayam kampung boleh dapat telur ayam kampung.
            Ayah ajak along dan angah pergi kedai di bandar. Ayah parkir agak jauh. Sampai di kedai, dekat muka pintu ada arnab, di bawahnya ada ayam serama. Hajatnya mahu tengok-tengok sahaja. Pandang ke bawah, barulah nampak anak ayam yang agak besar dan tanyanya tentang mana satu jantan dan mana satu betina. Ditunjuknya tetapi mata ayah nampak sama sahaja. Kemudian, anak ayam katanya di sebelah belakang kedai. Ayah, along dan angah ke belakang. Banyak anak ayam dan anak itik.
        Mahu beli yang mana? Akhirnya, kami memilih yang mula-mula kami tengok, ayam api-api. Balik rumah baru ayah rujuk 'Google'. Nampaknya 9 atau 10 bulan lagi, Insya-Allah, umi boleh makan 'telur ayam kampung Afrika'. Nama lainnya ayam mutiara.

Saturday, January 12, 2019

'Mercedes-Benz'

Mungkin ramai yang teruja dengan kata-kata seperti ayah. Ayah teruja dengan kata-kata motivasi.
      Disember 2018, sewaktu kami ke KLIA, setelah ayah membelek kembali gambar-gambar di dalam telefon pintar, ayah terjumpa kata-kata 'The New Mercedes-Benz C-Class: Never Stop Improving'. Setelah ayah menggunakan 'Google Translate', maksud yang ayah fahami ialah jangan berhenti menjadi lebih baik (kalau salah, betulkan ayah). Apa- apa pun yang kita buat, sudah pastinya kita mahu jadi lebih baik, mahu jadi bertambah baik. Mahu jadi lebih baik, mahu jadi bertambah baik, memerlukan tindakan atau cara yang lebih baik atau lebih berkesan.
      Kata-kata yang baik sentiasa memberikan semangat untuk kita. Terima kasih 'The New Mercedes-Benz C-Class: Never Stop Improving'.

Kubang Bujuk

Rasa mahu kembali ke kampung dan menjadi budak semula setelah melihat  gambar Muhammad Syukur dengan kerbau, lembu dan kambing di Kampung Kubang Bujuk.
         Maka, hari ini pun ayah pun bersemangat menyapu daun-daun kering  sepertimana selalu dibuat di kampung. Walaupun di kampung tidaklah bermain dengan kerbau, lembu dan kambing, ayam dan arnab sebahagian daripada kehidupan. Aktiviti sepenuhnya melibatkan alam semula jadi, panjat pokok, kejar ayam, jerat burung, main perang-perang dan macam-macam lagi.
         Salah satu gambar yang ayah suka apabila Muhammad Syukur bertentang mata dengan kambingnya. Petang ini pula, umi bertentang mata dengan ikan celup tepung nasi kerabu Mek La dan nasi kerabu ayah berlaukkan udang celup tepung.

Friday, January 11, 2019

Terima Kasih

Alhamdulillah, setelah empat hari di wad, Achik dibawa balik Umi petang semalam. Terima kasih Umi.
         Sampai sahaja, dia duduk mencapai buku. Rindu pada buku gamaknya. Ayah dan umi lupa bawa buku untuknya semasa di wad. Walaupun tak pandai membaca, dia menyelak-nyelak komik seperti sedang membaca. Apabila masuk hospital, kita boleh nampak begitu sabar jururawat dan doktor melayan kerenah pesakit. Satu kerjaya yang mulia. Terima kasih kepada jururawat dan doktor di DMMC dan di mana-mana yang bergelar doktor dan jururawat.
        Terima kasih kepada semua yang mendoakan Achik. Petang tadi ayah bawa Achik dan Adik singgah ambil angin di Pantai Kempadang selepas balik dari klinik dan Achik gembira bertemu Syasha kembali.

Tuesday, January 8, 2019

Azam

Azam tak pernah padam. Azam sentiasa menyala dalam diri saya.
       'Bacalah, sebutlah dengan nama, Tuhan yang menciptakan segala kejadian di dunia', begitulah antara petikan yang dinyanyikan oleh kumpulan Rabbani. Lagu tersebut dikaitkan dengan maksud ayat dalam surah pertama yang diturunkan Allah swt kepada Rasulullah saw, iaitu surah Al-Alaq. Oleh sebab itu, membaca lebih banyak secara istiqamah salah satu azam saya kerana membaca satu perkara penting bagi kita umat Islam.
      Kesimpulannya, memetik kata-kata Jusuf Kalla, "Bacalah! Maka kamu akan mengenal dunia. Menulislah! Maka dunia akan mengenal kamu!

Sunday, January 6, 2019

Doa

Sakit datang tidak mengira waktu.
       Pukul 3 pagi, achik datang dekat ayah, nafasnya berbunyi. Lepas isyak semalam ayah sudah bawa dia ke klinik. Pukul 3 pagi mengingatkan ayah sewaktu ayah sakit semasa berada di universiti. Tengah malam, rasa sesak nafas, pada waktu itu ayah demam. Apabila kita berada di hospital, banyak perkara yang dapat kita belajar. Tambahan lagi, apabila kita di kelilingi pesakit lain. Kadang-kadang kita rasa kita sakit teruk sangat, apabila tengok orang lain, ada lagi yang lebih berat diuji. Bersyukur sangat apabila kita dapat menikmati nikmat sihat dan sama-sama kita doakan lain juga sihat. Insya-Allah.
         Alhamdulillah.Terima kasih kepada Puan Hajah kerana membenarkan ayah bercuti. Terima kasih kepada umi yang menguruskan anak-anak. Terima kasih kepada kaum keluarga dan   semua yang mendoakan Achik.

Saturday, January 5, 2019

Bertindak

Minggu yang begitu sibuk baru bermula. Ada lagi tanda nama yang umi perlu jahit.
          Di mana-mana tempat pun, ceritanya hampir sama bagi yang berkeluarga, yang  mempunyai anak atau adik yang baru masuk sekolah. Mereka mula dapat kawan baharu dan apabila ditanya, masih belum tahu nama kawan. Proses kenal-mengenal baru bermula dan mereka akan belajar satu demi satu. Bukan setakat cerita anak-anak sahaja, masuk tahun baharu, waktu terbaik bagi yang berazam untuk memulakan langkah atau memulakan tindakan. Masa akan terus berjalan tanpa mempedulikan kita.
         Semalam pula, dilaporkan dalam Astro Awani, atlet Paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Puzi  mencipta sejarah sebagai atlet negara pertama dinobatkan sebagai Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018. Tahniah diucapkan. Atasi halangan, dakap kejayaan.

Thursday, January 3, 2019

Sibuk

Hari kedua persekolahan, lalu lintas di kawasan persekolahan masih agak sibuk.
      Anak-anak yang baru mengenal sekolah sudah tentu banyak ragamnya seperti mana kita dahulu juga. Dulu ayah bawa dua, sekarang ayah bawa tiga orang. Riuhnya bertambah dan banyak ceritanya.  Waktu balik pun sudah tidak sama. Masuk tahun baharu, banyak perkara baharu. Yang pastinya tahun baharu tidak datang dengan perangai atau sikap yang baharu. Sikap atau perangai baharu itu perlu diamalkan secara berterusan. Untuk melakukan sesuatu secara berterusan walaupun selama 5 minit dalam masa satu hari, memerlukan semangat yang tinggi walau sesibuk mana pun.
        Walaupun kita sibuk, masa tetap meninggalkan kita dan kita tetap perlukan melakukan sesuatu secara konsisten jika ingin melihat hasil yang lebih baik.

Mengapakah Masih?

 Kauseperti langsung tak cuba untuk mengerti sedangkan lama sudah kauberjanji memilih diam di tanah suci. Mengapakah  masih  kaunyalaka...