Translate

Tuesday, December 31, 2019

Sinar

Hari ini 1 Januari 2020. Apakah yang menjadi pilihan kita pada hari ini dan hari-hari yang seterusnya?
    Fokus  atau tumpuan di tangan kita. Kita  boleh memilih perkara untuk diberi tumpuan atau difokuskan. Minggu pertama mungkin  tumpuannya lain. Minggu kedua mungkin tumpuan kepada perkara lain pula. Ada yang fokusnya tiga bulan pertama kepada perkara tertentu dan tiga bulan berikutnya menambah baik atau membetulkan perkara yang telah dilakukan. 
      Kita boleh memilih untuk bercerita tentang mata yang bersinar atau bibir kusam tanpa olesan gincu. Kita boleh memilih kerja, boleh memilih kawan, boleh memilih bahan bacaan. Yang harus kita ingat, semua ini akan mempengaruhi dan membentuk sikap kita sepanjang hayat. 

Monday, December 30, 2019

Tak Patut

Esok 1 Januari 2020. Rasa macam tidak percaya, dulu hanya mendengar dan menyebut tentang Wawasan 2020. Apakah pencapaian setakat ini?
      Bagi cikgu-cikgu, sudah ada perancangan dalam tempoh setahun bagi tahun 2020. Orang lain pun mungkin sama. Habis setahun, kita akan melihat pencapaian yang telah dicapai. Masuk tahun baharu, kita sudah berkira-kira tentang pencapaian yang mahu kita capai dalam tahun 2020. Pencapaian itu pula melibatkan pencapaian diri sendiri dan organisasi.
      Pencapaian boleh membuatkan kita gembira dan putus asa. Ingatlah sampai bila-bila kata Ejen Bakar dalam filem Ejen Ali,"Kautak patut putus asa, semua orang boleh berubah!" Selamat Tahun Baharu 2020.

Sunday, December 29, 2019

Naik

Tiga atau empat hari yang lepas, ayah ada bercerita tentang harga bilis yang bukan lagi 'bilis' dan sambal bawang.
      Muka hadapan akhbar Harian Metro (27 November 2019) menyatakan bahawa harga bawang merah naik antara RM10 hingga RM 15 di seluruh negara. Bawang besar pun naik harga. Jika harga bawang pun naik harga, apalah agaknya yang akan ada dalam sambal nasi lemak? Adakah sudah sampai masanya kita menanam bawang untuk kegunaan sendiri walaupun sekadar menanam di dalam pasu?
     Naik harga kesannya cukup besar, yang lain pun akan naik. Naik harga akan menyebabkan naik geram, naik radang, naik panas, naik marah, naik darah, naik minyak dan naik syeikh.

Vitamin

Pagi sampai tengah hari,  ayah ke taklimat Pasti dan Kaffah. 
     Lepas Zuhur, kami bergerak. Singgah di Petronas, ayah menyuruh Umi melihat sesuatu di dalam laci kereta. Ayah melangkah ke kedai Mesra. 
Ya, Umi menjumpai sesuatu, Umi menemui vitamin C. Itu bukanlah rancangannya. Sampai sahaja di ECM, Angah memberitahu ayah bahawa seliparnya tidak ada. Ya, dia melangkah seperti tidak ada apa-apa berlaku, memakai kasut sukan Umi. Ini juga tidak dirancang. Umi pula tidak sabar menunggu 'golden egg chicken pasta'. Eh, kuahnya tidak melimpah seperti di Bangi! Ini juga bukan satu rancangan. Di dalam mangkuk lain, yang ada hanya kuah laksa dan telur rebus, ini pun bukan satu rancangan.
      Kita hanya merancang, segalanya ditentukan Allah SWT. Perancangan Allah SWT itu yang terbaik, ada sesuatu untuk dikenang. Selamat Hari Lahir Umi!

Friday, December 27, 2019

Penunggu

Kita sering mendengar rangkai kata 'kebersihan sebahagian daripada iman'.
     Kebersihan seharusnya menjadi amalan kita semua. Menjelang 2020, Tahun Melawat Malaysia, sudah pasti Malaysia menjadi tumpuan. Selain kebersihan persekitaran, kebersihan tandas awam juga satu cerminan terhadap sikap rakyat negara kita. Dinding tandas atau bangunan juga perlu bersih daripada contengan dan luahan rasa.
     Lakukannya sekarang! Tidak perlulah kita menunggu sekejap lagi atau esok untuk menjaga kebersihan. Tidak perlulah kita menjadi 'penunggu'. Lainlah 'penunggu tandas' di Bukit Malawati yang menarik perhatian semua pengunjung.

Thursday, December 26, 2019

Hadap

"Jangan tengok apa yang kaudah hilang, tengok apa yang ada di depan mata," kata Alicia kepada Ali.
        Banyak kehilangan yang boleh kita ratap pada setiap  detik, pada setiap masa. Ada masa kehilangan itu sebab sudah sampai masanya, ada masa kehilangan itu pilihan kita. Jika kita terlalu banyak masa untuk meratap segala kehilangan, itu maksudnya kita perlu bertindak segera. Ya, apa-apa yang ada di hadapan kita atau apa-apa yang sedang kita hadapi sekarang itulah fokus kita.
       Bukalah mata, bukalah minda! Bangun dan buatlah kerja sampai habis atau carilah jalan penyelesaian yang terbaik. Yang sedang dilaluilah kita perlu hadapi, yang dikenang berkali-kali jelas tidak kembali.

Gerhana

Hari ini, 26 November, berlakunya gerhana matahari Anulus (cincin). Fenomena ini kali terakhir dilihat di Malaysia 21 tahun lepas di Mersing, Johor (Bernama).
        Anak-anak pula tidak mengira waktu, tengah hari pun tetap bermain di luar. Along  bermain badminton dengan Aidil. Umi ke sekolah, ada kerja. Ayah pula tidak tahu ada gerhana, sudah dua atau tiga hari tidak membaca berita. Dalam bahasa Indonesia dan bahasa kiasan , gerhana turut membawa maksud dalam kesusahan.
       Kita tidak tahu berapa kali kita akan menemui gerhana matahari dan gerhana bulan sepanjang kita hidup. Hidup kita juga mungkin sentiasa gerhana jika tidak mahu berusaha.
 
     
     
   

Tuesday, December 24, 2019

Mata Biru

Kami berhenti di Bentong sebentar tempoh hari sewaktu perjalanan ke Setia Alam.
      Umi menempah ikan bilis mata biru untuk Opah daripada kawannya, Cikgu Mariana. Setelah balik semula ke Pahang, Opah buat nasi goreng ikan bilis mata biru. Ayah beritahu Opah jika nasi goreng ikan bilis mata biru dijual, pasti harganya mahal. Nasi lemak ikan bilis pun jika dibeli pada hari ini, boleh dikira ikan bilisnya, lebih banyak bawang. Lebih layak dipanggil nasi lemak sambal bawang. Adakah nasi lemak akan menjadi sangat mahal jika ikan bilis lebih banyak daripada bawang?
     Hari ini, bilis bukan lagi bilis. Harganya bukan lagi 'bilis'. Jika betul-betul 'bilis', sudah tentu ikan bilis banyak dalam nasi lemak.

Monday, December 23, 2019

Awak

      Pisang Awak Opah bawa balik dari rumah Pak Long Li dan Mak Long Pah.
      Cucu-cucu Opah gemar pisang. Pisang Awak pun mereka makan begitu saja, ayah pun jarang sangat makan pisang awak, kalau pisang emas atau lemak manis  lainlah. Biasanya, Opah buat cekodok. Cekodok pisang dibelah atau dikoyak guna tangan kalau nak bagi cepat sejuk. Susah nak jumpa orang jual cekodok yang kecil sebab cekodok yang dijual sekarang besar-besar, rasa tepung lebih berbanding rasa pisang.
       Kita juga perlu menjadi seperti  pisang sesikat digulai sebelanga, tanda muafakat bersama-sama, iaitu sahabat (keluarga dll) yang hidup setia dan bertolong-tolongan (Kamus Dewan Edisi Keempat).

Tanduk Tiga

"Dekat pokok terung ada kambing tanduk tiga," kata Opah.
     Ayah sudah lama tidak tengok kambing tanduk tiga. Ayah pun ke luar rumah. Ada dua ekor kambing tanduk tiga yang hinggap di situ. Tidak pula ayah pasti ada serangga atau haiwan lain yang bertanduk tiga. Ayah tunjuk pada Along dan Angah. Dulu-dulu, biasanya kambing tanduk tiga hinggap pada pokok senduduk. Bunga senduduk yang biasa dijumpai berwarna ungu, ada juga warna putih. Ada masa gigi kami berwarna ungu kerana makan buah senduduk.
       Serangga dan alam semula jadi sebahagian daripada kehidupan anak-anak zaman dahulu. Siapa-siapa yang tahu tentang kambing tanduk tiga (mungkin ada panggilan lain atau nama khusus, ayah tidak pasti) maknanya kita sudah tua.

Friday, December 20, 2019

'Skywalker'

Ayah tidak tahu sangat tentang 'Star Wars'.
    Secara tiba-tiba Ayah dan Umi pergi menonton filem ''Star Wars'. Bermula sahaja filem, malam gelap  bercahaya dek bintang-bintang yang memenuhi langit. Bermula cerita, maka bermulalah soalan demi soalan timbul, bagaikan anak kecil. Akhirnya umi berkata kepada ayah, "Jangan tanya banyak sangat, nanti peminat 'Star Wars' marah sebab banyak peminat 'Star Wars yang datang!" Ayah pula tidak tahu banyak perkara tentang 'Star Wars'. 
    Begitu juga apabila belajar, kita perlu tahu perkara asas sebelum pergi kepada perkara yang lebih mendalam. Jika perkara asas kita tidak tahu atau tidak faham, sudah tentu banyak persoalan bagaikan bintang-bintang di langit malam. Berjalanlah kita dari bintang persoalan ke bintang persoalan yang lain. Maka, kitalah 'Skywalker'.

Thursday, December 19, 2019

Kayuh

Semalam, 19 Disember, keputusan PT3 diumumkan, maka ayah pun ke sekolah. Tahniah untuk semua!
     Ayah dulu periksa PMR. Perasaan mewarnai Dewan Al-Khawarizmi, yang jauh, yang dekat tetap berdebar. Cikgu yang mengajar, sewaktu menanda lagi sudah berdebar-debar. Ini bukanlah pengakhiran, ini baru permulaan. Bermulalah dengan pilihan sendiri, ikut kata hati, ikut minat sendiri dan waktu untuk mencabar diri sendiri untuk buat lebih baik atau terus istiqamah berusaha.
     Kejayaan semalam ialah sejarah, cukup manis untuk dikenang. Jika semalam mahu dilupakan, jadikan hari ini manis untuk dikenang dengan tekun berusaha. Berpeganglah pada peribahasa Melayu, malu berkayuh, perahu hanyut.

Serambi

Kuih karas Opah sudah 'mendarat' di Serambi Teruntum dua hari lepas. Peminat kuih karas, apa tunggu lagi!
     Ayah dan Umi menghantar kuih karas ke kedai Kak Yah, pada masa itu Kak Yah tidak ada. Anak-anak boleh mencuba mewarna batik yang telah dicanting dengan harga yang berpatutan di sini. Bagi peminat batik, kain batik pun ada dijual. Peminat kuih tradisional  boleh mendapatkan kuih seperti baulu dan dodol. Keropok lekor dan sambal hitam pun ada. Yang mahu menjamu selera tidak perlu risau kerana anak-anak di depan mata (taman permainan di depan kedai makan).
      Cuti masih berbaki, berkunjunglah dan lihatlah sendiri apa yang ada di Serambi Teruntum (di sebelah kiri selepas  Jambatan Tanjung Lumpur) .Luangkan masa dengan menggembirakan keluarga di sini!

Monday, December 16, 2019

Dekat

     Jiran ialah orang dekat dengan kita. Jiran itu sahabat baik kita, bahkan ada orang mengganggap jiran itu seperti ahli keluarga sendiri.
      Di depan rumah Opah dan Atuk, dulu ada rumah, sekarang sudah jadi kebun sayur. Yang masih tinggal di situ pokok macang. Di situlah Cik Nor dan Cik Din tinggal. Dulu, Opah mengasuh Ina dan Ami. Ayah mengaji dengan Cik Din, petang ayah belajar di sekolah Kafa, tempat Cik Nor mengajar. Antara perkara yang tidak boleh lupa ialah ayah, Ina dan Pak Su Apit pernah jatuh basikal setelah menuruni bukit. Ayah mengambil Pak Su Apit dan Ina di sekolah Tadika sewaktu Opah dan Atuk pergi ke ladang.
       Masa berlalu cepat, semua telah berumah tangga, beranak-pinak. Alhamdulillah, silaturahim kekal terjalin. Kata orang tua-tua, jauh di mata, dekat di hati.

Loghat

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, tajau bermaksud sejenis tempayan besar yang dibuat daripada tanah liat. 
    Jika kita tidak melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), menyusuri jalan biasa, kita akan menemui Felda Bukit Tajau dan Felda New Zealand. Apakah keunikan Felda? Salah satunya ialah mengumpulkan semua orang dari seluruh negeri di Malaysia. Kepelbagaian loghat memudahkan urusan seharian kerana masing-masing terdedah kosa kata baharu dalam loghat negeri-negeri di Malaysia. Lorat dan loghat contohnya, bunyi mungkin hampir sama, maksud berbeza.
     Kadang-kadang orang Bukit Tajau berjumpa orang New Zealand di Kota Gelanggi. Walau loghat berlainan, tetap menggunakan Bahasa Melayu. Uniknya Malaysia!

Sunday, December 15, 2019

Misi

"Dia cubit! Naufal gigit!" kata Along. Jawab Angah, "Sama je sakit!" balas Angah kembali. Angah dan Achik  menangis.
     Bergaduh, kemudian kembali bermain bersama. Masih dalam hujan, 'Waze' membawa kami kembali melalui jalan kampung  yang di kiri dan di kanannya sawah setelah meraikan cinta di Sekinchan. Pak Ngah dan Pak Su terperangkap dalam kesesakan. Alhamdulillah, kami sampai. Lewat petang, kaunter tiket pun sudah tutup, tidak sempat naik tram untuk ke atas bukit.
      Di Bukit Melawati, menikmati keletah monyet-monyet (tidak tahu spesies apa), nampak macam jinak. Anak-anak jumpa taman permainan, dikira misi mereka telah tercapai.
      

Saturday, December 14, 2019

Gamit

Masih ada kelapa sawit, ayah masih setia menanti bendang.
     Melalui daerah yang tersohor dengan kunang-kunang atau kelip-kelip, kelihatan bantal kekabu bergayutan. Sempat singgah di Caltex, ayah membeli keropok belinjau. Sebelum masuk pintu gerbang Kampung Parit 7 Baroh Sekinchan, ayah masuk ke kedai, melilau melihat kerepek yang banyak. Kami bergerak, terbentang, kelihatan petak-petak sawah, ada yang sudah dituai, ayah yang menguning.
    Di kelilingi sawah, bangunan kayu menggamit rasa, tiba-tiba menjadi seperti hitam putih, zaman dulu-dulu, sungguh mengujakan. Dalam hujan, raikan cinta di Sekinchan. Moga mempelai bahagia hingga ke sorga.

Benih

Kata bijaksana, yang tua dihormati yang muda disayangi. Inilah perkara yang seharusnya berlaku dalam urusan seharian kita.
     Bijaksana juga sering menyatakan kanak-kanak ialah masa lampau kita, dewasa dan usia emas itulah masa hadapan kita. Tatkala kita masih anak-anak, kita sentiasa mencari contoh atau mencontohi yang dewasa, tatkala kita sudah dewasa atau di usia emas seelok-eloknya kitalah yang menjadi contoh kepada anak-anak yang sedang membesar.
      Kata orang tua-tua, benih yang baik jatuh ke darat menjadi gunung, jatuh ke laut menjadi pulau. Maka, kitalah benih yang dimaksudkan itu, benih yang baik sebagai khalifah di muka bumi Allah SWT, Insya-Allah.
   
        

Friday, December 13, 2019

Baqa

Musim tengkujuh banyak cerita, banyak kisahnya.
     Tengkujuh bukanlah penghalang walimatulurus. Kami bergerak dalam hujan ke Kota Gelanggi 2. Di kiri dan di kanan banyak sekali pokok sawit, kami melalui wilayah Jengka. Jalan yang basah, jalan yang dibaiki melambatkan perjalanan. Perjalanan sentiasa akan mengharungi halangan, walaupun jalan itu lurus. Sampai pun dalam hujan, tahlil pun hampir selesai.
     Semoga mempelai bahagia hingga ke syurga, Insya-Allah. Moga silaturahim kita semua juga terus berkekalan hingga ke syurga, Insya-Allah.

Bawang

Apakah yang difikirkan jika disebut 'bawang'?
      Bawang boleh memutuskan selera ayah. Bawang yang dimaksudkan ayah ialah bawang goreng segera di dalam paket yang dijual. Selera ayah akan terbantut serta-merta walaupun juadah tersebut nampak menyelerakan. Jika Opah memasak bihun sup, biasanya Opah akan menggoreng bawang. Selera semakin bertambah dengan adanya bawang goreng, baunya pun sudah sedap. Makan bawang goreng sahaja pun sedap, ayah suka meratah.
     Membawang dalam Kamus Dewan Edisi Keempat pula membawa maksud kiasan, iaitu makan bawang dan marah. Membawang pada zaman sekarang ini, maksudnya sudah 'lari' agak jauh.

Thursday, December 12, 2019

Torak

Ada yang bunyi sebutannya 'kopok' sahaja, itulah keropok.
     Sebut sahaja 'keropok', banyak yang mula membayangkan keropok kegemaran mereka. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, keropok lekor bermaksud sejenis keropok basah berbentuk torak yang dihiris sebelum digoreng. Torak? Torak ialah berbentuk silinder (bulat panjang). Bayangkan pula keropok lekor yang masih panas, dicicah dengan sos keropok dalam musim hujan atau tengkujuh. 
     Bersyukurlah kita yang masih diberi kesihatan,  pantang nampak keropok atau apa-apa sahaja, asalkan boleh dimakan, kita pun 'telan'. Ada selera, Alhamdulillah. Tidak ada selera, itu yang 'susah'.

Wednesday, December 11, 2019

Kira

Hari ini Khamis, 12 Disember 2019. Cantik angkanya, 1212.
      Banyak orang suka angka. Banyak orang tidak suka angka. Banyak orang fobia angka. Banyak orang obses angka. Angka yang orang paling ingat tentulah tarikh lahir sendiri. Ada yang nombor kereta sama dengan tarikh lahirnya. Ada yang nombor telefon sama dengan tarikh kahwinnya. Ada nombor pada baju sama dengan nombor pemain bola kegemarannya. 
     Ada yang suka angka atau nombor, sentiasa berkira-kira dalam kehidupan. Jikalau terlalu berkira dalam segala hal, kita mungkin akan menjadi spesies yang 'menakutkan' dan orang tidak mahu berurusan dengan kita.

Tuesday, December 10, 2019

Rasa

Dua cerita yang berlainan,       namun soal yang diambil berat ialah persahabatan. 
     Ejen Ali dan Jumanji, dua filem yang harus dinikmati. Persahabatan sentiasa diuji, dipuji dan dikeji. Persahabatan melibatkan emosi, ada masa serasi, ada masa 'bergusti', ada masa berkongsi, ada masa berlainan visi serta misi dan persahabatan bagaikan  peribahasa Melayu, cubit paha kanan, paha kiri sakit juga. Persahabatan itu saling menghargai, bukannya berhasad dengki.
    Persahabatan itu bagaikan sebuah keluarga. Di Kecil MBO Cinemas, Kuantan City Mall kami semua berkongsi rasa.

Gadis

Seorang gadis  malang  tinggal dengan ibu tirinya. 
     Yang meminati filem  Melayu klasik pastilah mengingati filem Bawang Putih Bawang Merah. Yang meminati filem Inggeris pasti terkenangkan  pemilik si kasut kaca, Cinderella. Kereta kudanya diperbuat daripada labu. Kuda asalnya daripada tikus. Bagai tikus membaiki labu, begitulah adanya peribahasa Melayu.
     Pagi ini bukan mimpi, bukan fantasi, tidak ada kereta kuda daripada labu, yang ada lepat labu buatan Opah dan kopi 'o' bancuhan Umi.

Nikmat

"Ayah nak ikut tak?" tanya Achik kepada ayah yang  duduk sekali dengannya di dalam kereta malam tadi. 
  "Boleh tak kereta putih tu 'parking' kat tempat lain?" kata Achik setelah kepalanya terlanggar cermin sisi kereta tatkala berjalan di samping Umi. Kami gelak. Kami menuju ke kedai yang sama, Key Original Sup Gearbox di Serambi Teruntum. Kakak Fatin menyambut kami. Anak-anak pasti gembira kerana taman permainan di hadapan kedai makan.
      Taman permainan boleh membuatkan anak-anak tidak duduk diam. Tatkala anak-anak bermain, ayah boleh duduk diam menikmati sup panas dan kopi 'o' panas.

Sunday, December 8, 2019

Menguji

Buka sahaja pintu pagi ini, Oren masih tidak muncul. Cuaca mendung. Yang hilang tetap sukar untuk diganti. Coklat muncul, tidak manja bagai Oren.
     Hitam yang lebih  besar juga muncul. Tompok pun sudah ada. Menjengah pula Putih, dilehernya kelihatan luka merah dengan  kulit yang masih tergantung. Mungkin tidak cedera teruk, mungkinkah bergaduh? Ayah membuka pintu pagar, kelihatan dua ekor anjing . Eh, ada lagi dua ekor setelah kereta mula bergerak! Kenderaan beratur, Isnin, banyak yang mahu ke tempat kerja. Hujan mulai turun.
     Allah SWT menghantar tengkujuh menguji kita. Hilang tengkujuh berganti panas. Hilang tak dapat dikesan, menyiat perasaan, juga satu ujian!

Saturday, December 7, 2019

Tengkujuh Berpeluh

     Berkumpul sambil makan-makan  saat menyeronokkan.
      Apabila Pak Long dan Mak Long balik bertambah meriah, bertambah 'meriah' juga dengan menu juadah. Malam tadi kami semua makan sup tulang beramai-ramai.  Anak-anak aktif bermain dan ada pula yang 'lupa' dia sedang berpantang. Ada pula tayangan filem aksi, bertambah debaran dalam hujan. Hujan di luar, di dalam rumah pula terhidang sup panas, bagai mengantuk disorongkan bantal.
     Musim hujan, sup panas boleh menjadi pilihan. Sejuk di luar, panas di dalam. Dalam tengkujuh, boleh berpeluh 
tatkala menghirup sup.

Friday, December 6, 2019

Pura-Pura

Amalan memohon maaf dan memaafkan amalan yang amat baik.
     Akhir-akhir ini, ada pihak seperti sengaja melakukan banyak  kesilapan dan kesalahan, kemudian memohon kemaafan atas alasan tidak sengaja. Sekali melakukan mungkin boleh dipanggil kesilapan, tetapi berkali-kali membuat kesilapan yang sama itu sudah menjadi kesalahan yang tidak boleh dimaafkan dan wajib dikenakan tindakan yang tegas. Tidak perlu lagi ada kompromi lagi dalam hal ini. Sudah lama merdeka, Rukun Negara, lagu Negaraku, Jalur Gemilang ialah perkara yang wajib diketahui semua rakyat Malaysia dan tidak perlu berpura-pura tidak tahu.
    Memaafkan itu satu perkara yang terpuji. Memaafkan dan membiarkan pihak yang sengaja mahu menggugat keharmonian negara melakukan kesalahan berulang kali itu adakah satu perkara yang wajar?


Plot

Semalam, 5 Disember, penyanyi Datuk Nassier Wahab telah diambil kembali oleh Pencipta, Al-Fatihah.
    Hari ini, hari Jumaat, masa terus berjalan tanpa kenal erti penat, tidak pernah berhenti, kecuali jam di tangan atau di dinding mati (masa tidak pernah mati). Angah dan Along pun sudah hampir seminggu berpantang. Along pun nampaknya sudah banyak bergerak. Angah? Begitu banyak aksi yang mendebarkan. Demam umi mungkin sudah di penghujung kerana nampaknya kembali berselera, demam Achik dan Adik baru bermula.
    Plot hidup kita ada permulaan, ada pengakhirannya. Mungkin sama, mungkin tidak sama, setiap detik amat berharga. Mari kita hargai masa sebelum kehilangannya.

Wednesday, December 4, 2019

Riuh

"Cuci betul-betul," kata Doktor sambil menunjukkan cara.  Kami kembali semula ke Klinik Al-Amin. Tidak perlu bayar apa-apa pun.
    Baru ayah menghulur tangan, Angah sudah menepis tangan ayah, mahu Umi, nampak sangat ayah kasar. Along macam reda tetapi muka tidak menunjukkan reda. Ayah boleh faham, tapi buat-buat tidak faham. Sampai di rumah, ayam mutiara betina sudah ada di luar reban. Angah asyik menyebut lapar, lapar sungguh dia waktu berpantang. Riuh sungguh ayam mutiara, mungkin mahu bertelur. Sebelas bulan kami menunggu barulah bertelur.
    Anak-anak jika tidak duduk diam itu tandanya sihat. Jika tidak duduk diam sewaktu berpantang, umi  dengan ayah pun jadi riuh mengalahkan ayam mahu bertelur.

Monday, December 2, 2019

Pucuk

Umi cakap 'ungka'. Ayah tak pasti pula.
    Sejak semalam sudah ada, waktu hujan melompat dari pokok mempelam ke atas bumbung jiran sebelah. Musim hujan, bukan manusia sahaja yang kerap lapar, binatang pun sama. Ada pula dua tiga ekor yang menggendong anak. Apabila ayah dan Adik datang lebih dekat, lagi tinggi pokok dipanjat dan akhirnya melompat ke atas bumbung, terus lari. Pemalu rupanya. Ayah masuk ke bilik anak-anak. Siaran lintas langsung di sebalik cermin tingkap. Sedang asyik dua  ekor memakan pucuk cempedak. Dari dahan ke dahan dan melompat.
    Apa-apa yang kita ada belum tentu milik kita sepenuhnya. Walaupun bukan buah, daun juga menjadi rezeki untuk makhluk yang tidak berakal. Kita berkongsi alam ini. Alam ini bukanlah kita yang punya.


Tekanan

Umi selalu berhubung dengan Doktor Sarvinder.
    Jika tidak ke Klinik Ovin, Umi berhubung melalui telefon. Doktor Sarvinder juga menghubungi Umi untuk bertanya khabar. Beliau menyarankan Umi untuk mengambil ujian darah setelah demam Umi masih berlarutan. Ada masanya Ayah menemani Umi berjumpa  beliau. Ayah suka mendengar penjelasannya tentang sesuatu penyakit. Ayah suka fakta.
     Berjumpa doktor atau orang yang 'betul' dapat meredakan tekanan. Berjumpa minuman kegemaran seperti kopi turut membantu mengurangkan tekanan.

Skala

Sejak Jumaat Umi demam. Sudah ke klinik, masih belum kebah. Hari ini ke Bukit Sekilau, buat ujian darah. Alhamdulillah, tiada denggi.
       Anak-anak di rumah Atuk dan Wan, riuh dengan sepupu-sepupu. Walaupun berpantang, mulut tetap rancak bersembang. Berpantang di depan televisyen. Tidak ada tali yang bergayut mengikat kain pelikat. Separuh badannya di bawah meja kecil yang bertutup dengan selimut. Apabila Adik atau Achik datang dekat, mula panggil Ayah dan Umi. Dalam  berpantang, keselamatan paling diutamakan.
      Kesihatan dan keselamatan antara perkara serius yang perlu diambil kira, diberi perhatian selagi jantung berdegup . Sihat dan selamat mempengaruhi skala kegembiraan  hidup kita.

Sunday, December 1, 2019

Pantang

Sebaik sahaja Angah muncul dari pintu,  dia nampak ceria sahaja. Rancak dia bercerita kepada Umi, katanya,"Sakit sikit saja."
     Orang mulai ramai. Angah mulai gelisah. Along dipanggil agak lewat.  Pukul 10.24 pagi Along masuk, pukul  10.48 pagi baru Along keluar. Hujan mulai turun. Hujan air mata juga begitu. Mungkin kesan ubat bius sudah hilang. Sewaktu menuju ke pintu, ada seorang wanita memberi duit kepada Along. Ayah memarkir kereta lebih dekat, hujan semakin lebat. Berpayung melangkah ke arah kereta. Masih hujan, singgah di MBS di sebelah Pasar Raya Giant, ayah membeli beberapa buah buku untuk Angah dan Along.
     Akan bermulalah sesi berpantang. Diingatkan bahawa 'pantang nampak makanan, semuanya masuk ke mulut' tidak termasuk dalam senarai berpantang.

   


   

Saturday, November 30, 2019

Lalui

Kami sampai awal. 9.18 pagi kami sudah sampai di klinik.   Klinik akan dibuka pada 9.30 pagi.
    Hujan sudah reda. Trafik nampaknya berjalan lancar. Restoran Amir Zayyan masih belum banyak pengunjung. Kedai pun masih banyak yang belum buka, hari Ahad, permulaan Disember. Dua ekor merpati melompat menuruni anak tangga mencari makanan.
Tepat 9.30 pagi klinik dibuka. Kami berempat melangkah masuk. Angah tidak duduk diam seperti biasa. Along duduk di sebelah ayah, entah apa-apa yang difikirkannya. Kad pengenalan dipulangkan, angah dan along diminta memakai kain pelikat.
    Jam menunjukkan 9.41 pagi, nama Along dipanggil, Angah bersemangat, dia masuk dahulu. Banyak perkara yang perlu kita lalui untuk menjadi dewasa dan lebih matang.

Friday, November 29, 2019

Virus

Alhamdulillah, Umi berjaya menganjurkan program senam robik, dibantu rakan dan anak muridnya pada hari semalam. Sebagai seorang guru atau pemimpin, guru atau pemimpin yang bagaimana mahu kita jadi?
      Tidak jemu menonton 3 Idiots. Watak Virus pasti akan terus diingati. Lihat reaksinya apabila anak muridnya bertanya atau memberi pandangan. Adakah dia mahu mendengar pendapat anak muridnya atau sekadar mendengar serta mahu jawapan yang keluar itu sama dalam fikirannya, seperti yang difikirkannya? Dilihat dari satu sudut, dia mahu anak murid menjadi sepertinya, semalam anaknya meninggal dunia, hari ini dia sudah bekerja seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.
       Sebagai guru atau pemimpin, tidak perlulah menjadi Virus yang seterusnya. Kita sudah  dapat belajar sesuatu daripada Virus. Terima kasih Virus.

Wednesday, November 27, 2019

Berlabuh

Mungkin Angah yang paling letih antara kami semua. Seliparnya terjatuh tiga hingga empat kali sewaktu kami mengayuh basikal.
    Pada mulanya, kami menunggunya, kemudian kami mengayuh meninggalkannya. Dia mengejar kami diiringi gelak tawa semua. Kami berjalan ke Laman Teruntum semula. Alhamdulillah, kami menemui surau. Sebelumnya, ayah sudah menghidu bau kopi. Selepas itu, ayah memesan Americano sambil menghadap Menara Teruntum yang bercahaya pada waktu malam  tetapi masih belum dibuka untuk pengunjung. Tidak pernah pula ayah berjumpa Malaysiano.
    Senja berlabuh, menikmati kopi sebentar, berlatarbelakangkan Menara Teruntum, anak-anak yang tidak duduk diam tatkala mengambil gambar, harus dinikmati saat-saat ini.

Asyik

Dua hari lepas, ada temu duga murid tingkatan 1 tahun 2020  kuota Pengetua. Umi macam biasa, jaga pelajar SPM.
     Balik ke rumah, Along beritahu Umi bahawa sudah lama tidak ke Taman Teruntum.  Ayah dan umi bertanya untuk kepastian, "Taman Teruntum atau Laman Teruntum?" Setelah mendengar, sebenarnya yang dimaksudkan Along ialah Laman Teruntum. Kami tidak pernah berjoging di sini. Kereta diparkir di tepi Laman Teruntum. Arah main buih sabun, kemudian kami berjalan di trek di sepanjang Sungai Kuantan sehingga sampai ke kawasan arca besi berhampiran taman permainan yang menghadap HTAA. Kemudian, kami menyewa dan mengayuh basikal yang memuatkan kami berenam sambil dibelai angin Sungai Kuantan.
    Selesai mengayuh, kami asyik menyaksikan panorama senja Sungai Kuantan dan helang yang melayah pulang ke sarang.

Tuesday, November 26, 2019

Pergi

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud memprovokasi yang pertama ialah membangkitkan kemarahan.           
      Salah satu tujuan provokasi adalah untuk melihat reaksi pihak tertentu dalam menangani provokasi yang dicetuskan. Apabila timbul tindak balas, sering kali  pihak yang mencetuskan provokasi cuba mewujudkan simpati atau mengingatkan pihak yang memberi tindak balas agar tidak menjadikan isu yang ditimbulkan sebagai satu isu besar kerana isu tersebut tidak disengajakan. Mereka pula cuba mengajar pihak yang memberi tindakan supaya mengikut persepsi yang dicipta mereka kononnya itu satu kesilapan yang tidak disengajakan.
      Provokasi menimbulkan kesan buruk. Keamanan yang dinikmati selama ini tidak seharusnya dimusnahkan oleh provokasi. Jika tidak suka Malaysia, pergi ke tempat lain.

Sunday, November 24, 2019

Planet

Umi dari planet Venus, ayah dari planet Marikh.
    Begitulah yang dikatakan John Gray, lelaki dari planet Marikh dan perempuan dari planet Venus. Memanglah berbeza, umi suka makanan Barat, ayah lebih suka makanan kampung, tetapi durian kegemaran kami, terutamanya Umi. Umi suka kentang goreng, ayah pula suka kentang putar. Apabila Umi suruh ayah membeli anak ayam kampung, ayah pergi membeli anak ayam mutiara (api-api). Umi suka menggunakan pengering pakaian, ayah lebih suka sidai pakaian di bawah cahaya matahari walaupun ayah tahu jika pakaian dikeringkan, ayah boleh melakukan kerja yang lain pada masa yang sama.
    Walaupun Marikh dan Venus berbeza, bukanlah bermaksud tidak ada langsung garis pertemuan. Berbeza itu maksudnya saling melengkapi antara satu dengan  yang lain.

Pejuang

Ayah tidak pasti waktu bila kakak Fatin muncul dalam hidup Umi.
    Yang ayah tahu,  kakak Fatin muncul setelah tingkatan 5, sebelum ini ayah tidak tahu dia tinggal di planet mana. Sewaktu ayah tingkatan lima ayah bukanlah pemimpin sepertinya, ayah lebih banyak dikelilingi buku di perpustakaan. Ayah tidak mengenal 'Instagram' atau 'Boomerang' sepertinya kerana pada zaman itu, tidak ada telefon bimbit, yang ada hanyalah pondok telefon awam, beratur menunggu giliran. Di sekolah sudah ada bilik komputer, tetapi komputer tidak secanggih hari ini.  Kakak Fatin akan menghadapi peperiksaan SPM yang tinggal lagi seminggu, Umi pula bertugas sebagai pengawas peperiksaan SPM.
      Teruskan perjuangan bagi yang menghadapi peperiksaan SPM. Setiap daripada kita ialah pejuang dalam hidup ini. Pejuang tidak sesekali pernah mengalah dalam kehidupan.

Saturday, November 23, 2019

Pupus

Ayah membaca Berita Harian pagi ini. Semalam (23 November 2019), badak sumbu Sumatera betina terakhir (Iman) sudah mati. Kita perlu menerimanya. Tidak ada lagi badak sumbu Sumatera di Malaysia.
    Pupus, itulah yang berlaku. Pupus itu melibatkan kita semua yang dikurniakan akal. Kita berkongsi bumi dengan flora dan fauna. Kita yang berakal menjadi khalifah dan menguruskan segala-galanya. Hilang pertimbangan, maka alam ini akan terganggu dan ekosistem terjejas kerana ketamakan dan hilang perikemanusiaan.
    'Kepupusan' adab, 'kepupusan' sikap yang baik akan memberikan kesan kepada semua yang ada di dalam perut bumi. Ya, kitalah puncanya. Kita perlu mengubah perangai kita sebelum segala-galanya musnah.

    

Gema

Alhamdulillah, selesai sudah Konsert Gema Ekspresi Jasa Winds ke-2 2019. Tahniah untuk semua Warga Semsas.
      Tahniah anak-anak Jasa Winds di bawah bimbingan Puan Zanariah Azhar dan Puan Nidzra Radzwan. Begitu juga anak-anak yang menjayakan 'Lighting Dance' di bawah bimbingan Puan Nadzirah Abd Rashid dan Puan Ainey Suraya Zainal Rahim. Latihan telah dijalankan begitu lama. Ayah dapat melihat kesungguhan anak-anak berlatih di belakang pentas, menggunakan alat tiupan yang pelbagai. Ada masanya bersendiri, ada masanya berkumpulan. Kebiasaan ayah berada di belakang pentas juga, melihat anak-anak yang menghafal skrip dengan cara tersendiri untuk persembahan teater.
     Kegigihan dan kesungguhan sahabat rapat kita. Kegigihan dan kesungguhan akan membawa kita ke mana-mana sahaja yang kita mahukan. Percayalah! Insya-Allah.

Pincang

Hari ini umi membawa Angah dan Along ke sekolah. Adik dan Achik pula duduk rumah kakak Fatin. Ayah ke RTM.
     Angah dan Along kena naik pentas. Suhu badan Umi pula tiba-tiba naik. Ayah memang kena naik pentas lebih awal, tetapi di balik tabir sahaja, di tepi pentas  untuk memastikan orang yang 'betul' masuk ke pentas membuat persembahan mengikut giliran yang ditetapkan.
     Tidak kiralah di mana-mana pun posisi kita, di pentas utama, di hadapan pentas, di belakang pentas, di tepi pentas, di tempat penonton, di luar auditorium atau di luar dewan, di tempat utama, di tempat biasa, kita saling memerlukan antara satu sama lain. Jika tidak, pincanglah bagai irama tanpa lagu.

Tuesday, November 19, 2019

Sengsara

Matlamat lebih jelas dengan adanya cita-citanya.
     Waktu zaman sekolah rendah, ayah mahu jadi Cikgu. Waktu zaman sebelum sekolah, ayah mahu jadi pemandu lori balak. Apabila di sekolah menengah, ayah  seperti meraba-raba di dalam gelap. Pada mulanya, ayah mahu jadi kartunis sebab suka melukis kartun, akhirnya tidak berani mengambil mata pelajaran seni lukis sebab tidak pandai mewarna. Disebabkan ayah 'main' tulis sahaja cita-cita ayah, iaitu akauntan, maka ayah dimasukkan ke kelas akaun.   Dua tahun yang dirasakan begitu lama dan begitu sengsara, itu bukanlah minat dan kecenderungan ayah yang sebenar.
     Memilih jurusan yang kita minati membuatkan kita seronok untuk belajar. Memilih untuk mengikut kawan semata-mata bukan berdasarkan minat atau kerana dipaksa membuatkan kita begitu terseksa.

Monday, November 18, 2019

Ketentuan-Nya

Semua orang mahu berjaya.
     Kita akan bergembira jika kita berjaya atau mencapai kemenangan. Apabila sudah berjaya, kita tidak boleh rasa selesa. Suatu ketika ayah cukup terpukau dengan deejay dan mahu ke ITM (masa itu belum dinaik taraf menjadi Uitm) untuk mengambil jurusan Diploma Komunikasi Massa. Sewaktu percubaan SPM, ayah mendapat kredit dalam bahasa Inggeris, sangat gembira. Sewaktu peperiksaan sebenar SPM, keputusan mengecewakan ayah, ayah tidak mendapat kredit. Allah SWT lebih tahu segalanya. Akhirnya, Ayah jadi Cikgu, bukan setakat deejay, semua ayah boleh jadi.
      Ingatlah bahawa kejayaan itu bukanlah semudah anak-anak tidur di dalam kelas. Kejayaan itu banyak datangnya setelah mengharungi kegagalan, kepayahan dan kesengsaraan.

Sunday, November 17, 2019

Al-Fatihah

Daripada Allah SWT kita datang, kepada Allah kita kembali. Al-Fatihah, Ibu kepada Mak Su Zyma telah meninggalkan kita hari ini.
     Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, begitulah peribahasa Melayu. Dugaan datang silih berganti menguji kita walaupun sangat pahit untuk diterima. Dugaan  datang bukan untuk memusnahkan kita tetapi sebenarnya untuk  menguatkan kita lagi. Jika kita masih ada usia, kita masih boleh membetulkannya. Jika tidak, kita masih ada masa untuk berdoa agar segalanya dipermudah dan dilapangkan segalanya oleh Allah SWT. Kita boleh berdoa untuk yang hidup dan juga yang telah meninggalkan kita.
     Al-Fatihah untuk semua yang telah meninggalkan kita. Sama-samalah kita berdoa agar semua ditempatkan di tempat yang terbaik oleh Allah SWT.

Usia

Sebelum balik, kami  singgah di rumah Mak Su Zima melawat ayahnya. Ibunya masih di Unit Rawatan Rapi, sama-samalah  kita mendoakan kesihatannya.
     Kemudian, bergerak meninggalkan Tangkak. Sebelum sampai Rompin, Negeri Sembilan, kami singgah makan. Angah jumpa lauk kegemarannya, ikan kering. Singgah di Rompin, di kedai baju, angah menyatakan kepada Opah bahawa yang pertama sudah selesai. Opah tidak faham. Yang pertama sudah selesai, dia sudah makan nasi dengan ikan kering sempena hari lahirnya. Ya, yang kedua, Opah belanja pula baju Spiderman dan beg sekolah untuknya. Setelah menghantar Opah dan Atuk, berjumpa nenek dan Tok Chik, kami bergerak. Yang ketiga, sampai di Kuantan, Umi belanja Angah makan kek.
      Meningkat usia, bertambah tanggungjawab dan diuji gelombang kehidupan.


 

Saturday, November 16, 2019

Doa

Kami bukan di Tanjung Piai malam ini, kami di Tangkak. Rudy Habibie sedang ditayangkan di TV2. Sudah masuk hari yang dinantikan Angah.
      Pagi tadi kami bertolak, malam sebelum pagi tadi, kami menerima berita dukacita, bapa mentua dan ibu mentua Pak Su Apit ditimpa musibah, kemalangan jalan raya, dilanggar. Kami singgah di kampung mengambil Opah dan Atuk. Sampai di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Alhamdulillah, sempat kami bertemu dengan ayah Mak Su Zyma yang baru keluar hospital. Ibu Mak Su Zyma berada di Unit Rawatan Rapi.   
     Bukanlah mudah untuk menerima perkara sebegini, mengejutkan. Doa dipohon agar semuanya baik-baik belaka. Doa dipohon agar yang ditimpa ujian kembali sihat seperti sedia kala, marilah kita berdoa untuk kesihatan semua bersama-sama.

Thursday, November 14, 2019

Tidak Lama

Al-Fatihah, semalam ayah ke Sungai Tekam, Mak Long meninggal dunia.
     Hari ini setelah ayah membuka 'Facebook', Cikgu Fazlin, kawan sekolah ayah dulu juga telah meninggalkan kita. Kita juga  akan ke sana, cuma tidak tahu masanya. Gelak tawa senda gurau semua akan menjadi kenangan suatu masa nanti bagi kita semua. Masa yang kita ada inilah untuk kita isi dengan bersilaturahim. Seharusnya dalam hidup ini kita menyenangkan hati semua orang kerana begitu menyakitkan apabila bermasam muka, pasti mengganggu perasaan kita.
    Bersilaturahim selagi kita mampu kerana hidup ini tidaklah lama dan nikmatilah hidup ini bersama dengan keluarga dan rakan taulan.


Salam Aidilfitri

"Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain," inilah kata-katanya yang menceritakan segala-gal...