Translate

Monday, December 31, 2018

Baharu

  Banyak perkara perlu dibuat masuk 40 tahun. Banyak perkara yang mahu  kita lakukan selagi bernafas.                                                                  Azam? Banyak muncul apabila tahun baharu datang. Apabila berazam, sudah pasti ada matlamat yang ingin dicapai. Matlamat ada jangka panjang, ada jangka pendek. Pendek kata, matlamat perlu ada dalam hidup kita, jika tidak, matlamat dalam masa satu hari pun tidak  boleh tercapai. Nak lipat kain tak siap, nak kemas rumah tak buat, nak buat apa-apa pun tak jadi. Sebab itu apabila mahu siapkan kerja, ada kerja yang penting dan segera, ada kerja penting tidak segera, ada kerja tidak penting tetapi perlu segera dan banyak lagi.                                     Sudah ada azam atau matlamat, fokus diperlukan. Malam ini ramai fokus menunggu  detik 12.00 tengah malam. Dalam Islam, lepas maghrib, sudah masuk hari baharu. Selamat Tahun Baharu 2019.

Saturday, December 29, 2018

Seni

Seni itu tidak ternilai harganya kerana seni itu ada pada setiap orang.
        Seni itu bukan hanya ada pada orang yang dikatakan berjiwa seni, tetapi percayalah, seni ada dalam diri kita. Dalam komunikasi ada seni, dalam masakan ada seni, mengajar ada seninya, segala-galanya ada seni jika kita memandang dari sudut seni. Maksud seni itu pelbagai. Salah satu maksud seni (ii) dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah kebolehan mencipta sesuatu (lukisan, ukiran dan lain-lain) yang indah-indah. Indah itu pula subjektif sifatnya dan mengikut mata yang memandang. Banyak benda kita cipta sewaktu kita masih kecil hinggalah sekarang.
         Apabila kami ke Salon Du Chocolat di ECM, ayah suka melihat seni dalam makanan. Makanan yang terhidang amat menarik dan rasa seperti tidak mahu makan. Penggemar coklat wajib ke sini.

Kata-Kata

       'Burung di atas bumbung'
Ayah suka kata-kata yang disebut angah. Ada rima.
      'Burung' dan 'bumbung' membuatkan ayat itu lebih sedap didengar. Ayat itu keluar daripada bibirnya sewaktu kami makan kenduri di rumah jiran dekat dengan rumah. Kemudian, kami balik rumah sekejap dan ke ECM. Ya, hari ini hari lahir umi. Acara dimulakan dengan acara makan-makan, kemudian jalan-jalan. Seterusnya, kami bergerak laju ke kedai buku. Di kedai buku, ayah tidak pernah rasa jemu. Mata ayah bergerak dari satu buku ke satu buku. Mata ayah berhenti pada satu buku '44 Cinta dan Koleksi Komik Terbaik Tembakau, #TributeTembakau', Komik M terbitan PTS.
      Arwah Tembakau antara idola ayah dalam melukis kartun sejak dahulu. Juga terpesona dengan kata-katanya. Buku sudah dibeli, giliran umi untuk membeli.

Friday, December 28, 2018

Tangga

Rumah Felda masa mula-mula opah dengan atuk  masuk Felda ada tangga kayu.
         Duduk di atas tangga kayu waktu petang itu biasa. Jatuh tangga semestinya sakit dan tak silap ayah,  opah pernah jatuh tangga waktu mendukung ayah waktu kecil (rasanya betul dah😅).  Nak turun ke dapur pun ada tangga kayu. Nak tengok tangga batu  yang lebih cantik tentulah di Negeri Melaka. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, ada satu peribahasa pasal tangga. Peribahasa 'tolak tangga berayun kaki, peluk tubuh mengajar diri' bermaksud baik-baik dalam kesenangan dan pekerjaan yang berfaedah, tiba-tiba dilepaskan dengan sia-sia.
        Untuk berada di tempat yang lebih tinggi, perlukan kita naik tangga atau mendaki. Untuk mendapat sesuatu yang lebih baik atau melihat pemandangan yang lebih indah, perlu sabar mendaki dan memijak anak-anak tangga.

Wednesday, December 26, 2018

Indah

Banyak perkara baharu akan kita tempuhi dalam kehidupan kerana tidak sengaja,  kerana tanggungjawab, kerana  umur semakin meningkat dan disebabkan perasaan ingin tahu.
        Ada masanya, perkara yang kita lalui itu sememangnya rutin atau kerja kita. Ada masanya, perkara yang kita pernah hadapi, kita berharap tidak akan melaluinya lagi. Achik pula  dengan nada sedih memberitahu umi bahawa abang telah menekan punat pam tandas. Kesukaannya sekarang ini ialah menekan punat pam tandas sejak tidak memakai lampin pakai buang. Itu salah satu perkara baharu  yang menyeronokkannya pada  masa ini.
       Pengalaman baharu akan datang walaupun tidak dipinta. Cubalah dahulu melaluinya sebelum berkata 'tidak', mungkin itu pengalaman yang membuatkan hidup kita lebih indah.

Saturday, December 22, 2018

Congkak

Hari Keluarga waktu yang terbaik untuk sampai ke Janda Baik.
      Suasana kampung yang menarik di kiri dan di kanan jalan sangat mengujakan kami. Umi bertambah teruja melihat durian. Untuk sampai ke Saufiville agak mencabar bagi pengalaman kali pertama dan anak-anak bertambah teruja melihat kolamnya yang lebar dan panjang di banglo. Dingin terasa dan berada di puncak sudah tentulah sejuk terasa. Meriah dengan sukaneka dan bertambah meriah main air. Lepas makan malam dan menikmati kopi di beranda, penyampaian hadiah dan anak-anak main bola beracun.
         Anak-anak juga dapat main congkak, main dengan pak teh. Perkara ini cukup bagus, anak-anak dapat main permainan tradisional. Dulu-dulu, korek lubang congkak di bawah rumah. Guna buah biji getah.

Thursday, December 20, 2018

Kongsi

Pagi ini, atuk, opah, pak ngah, mak su dan pak su sudah balik, Alhamdulillah.
         Malam kami sampai, hujan lebat berselang sepanjang jalan. Dua tiga kali berhenti. Pagi ini, Kami berempat ke KLIA. Masuk pintu 6, sudah nampak ramai yang berjubah dan berkopiah. Semuanya bagasi merah CS Holidays. Jumpa di pintu 7. Meriah dengan sanak saudara yang menunggu. Sampai di rumah pak ngah lagilah riuh-rendah. Anak-anak lagilah, berjubah dan berkopiah. Bermacam aksi, umi menangkap gambar. Pakat-pakat  bahagi coklat, makan buah delima, buah epal dan sebagainya.
        Berkongsi makanan itu antara perkara yang terbaik. Malam ini juga meriah, berkongsi permainan di rumah tok su. Nenek ada di sini.

Tuesday, December 18, 2018

Raudhah

Lepas ambil along yang 3 hari 2 malam menghadiri kem, kami terus ke bandar menyelesaikan  beberapa urusan.
        Hampir Asar, kami sudah berada di bangunan MPK. Hari ini baru sempat melihat Pameran Artifak Rasulullah s.a.w dan Para Sahabat r.a. Sebelum masuk, perlu mendapatkan tiket. Banyak pengunjung. Artifak yang dipamerkan disertakan maklumat untuk bacaan para pengunjung. Melihat bekas tapak kaki Rasulullah s.a.w, melihat pedang yang digunakan para sahabat dalam peperangan dan memegang batu meteor antara pengalaman yang boleh dikutip.
         Ayah membawa Raudhah melihat Raudhah. Yang masih belum sempat mengunjungi Pameran Artifak Rasulullah s.a.w dan Para Sahabat r.a,  segeralah ke dewan bangunan baharu MPK. Pameran berlangsung sehingga 25 Disember 2018.

Monday, December 17, 2018

Al-Fatihah

Kita juga akan ke sana dan perlu bersedia.
         Jenazah pelumba Cub Prix, Mohd Hafiz Nor Azman yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, petang Ahad, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serdang Permai, Simpang Pulai, di sini, pada Isnin (Abd Razak Mohd Ali,Astro Awani).
        Malam tadi, selepas 20 hari bertarung nyawa, Adib akhirnya kembali menemui Ilahi, selepas mengalami kecederaan parah akibat dipukul sekumpulan perusuh dalam insiden Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Seafield, Subang Jaya pada awal 27 November lalu (Luqman Hariz, Astro Awani).
       Takziah diucapkan. Semoga allahyarham Hafiz dan allahyarham Adib ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, Insya-Allah. Al- Fatihah.

Pengalaman

Pengalaman yang kita lalui banyak membantu kita dalam kehidupan.
        Ada pengalaman yang mengajar kita erti kesabaran, ada pengalaman yang mengajar kita erti kesusahan, ada pengalaman yang mengajar kita erti keberanian dan sebagainya.  Pengalaman mengajar kita tentang banyak perkara, sama ada kita sedar atau tidak sedar. Pengalaman itu bagaikan guru kepada kita. Pengalaman tidak memberitahu kita sebagaimana cikgu mengajar tetapi kita perlu mengamati setiap perkara yang kita tempuhi sama ada secara langsung atau tidak langsung.
          Umur hampir 40 barulah ayah menempuh pengalaman melakukan 'flying fox' dan along menempuhnya sewaktu umur hampir 10. Pengalaman itu mungkin cepat, mungkin lambat. Mungkin akan  kita lalui, mungkin juga tidak. Pengalaman membantu kita mengejar impian.

Saturday, December 15, 2018

Pantas

Ayah bukanlah rajin sangat mengemop, achik masih lagi 'terbabas' dan terpaksalah mengemop lantai satu rumah.    
        Achik berjaya membuatkan ayah menjadi rajin. Banyak kejayaan yang datangnya daripada paksaan. Alhamdulillah, petang semalam, dia  sudah beritahu umi mahu ke tandas dan ada kalanya juga lupa tatkala ralit bermain. Petang semalam juga kami keluar dan singgah di rumah jiran, abang Alias yang mahu berpindah setelah bersara. Mak long di belakang rumah pun sudah berpindah. Ya, begitulah kehidupan, pertemuan itu milik perpisahan. Selepas itu, ke UTC dan memang ramai orang sebab di depan UTC ada pasar malam (pasar lambak).
         Sampai di rumah, Harimau Malaya sedang berehat setelah bertarung pada separuh masa pertama. Walaupun tewas, ini satu pengalaman yang baik untuk berlari dengan lebih pantas pada masa hadapan. Tahniah Harimau Malaya!

Friday, December 14, 2018

Positif

Waktu cuti, rutin sudah tidak sama. Tidak perlu mengejar sebelum 7.30 pagi di tempat kerja.
       Banyak masa dihabiskan dengan membaca dan menulis. Membaca perlu menjadi satu tabiat dan penting bagi kita semua. Jika tidak, tidak wujudlah slogan 'Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya.' Dulu, kalau buku atau surat khabar pada tangan, itu tandanya kita membaca. Sekarang, telefon pintar tak lepas daripada tangan. Banyak bahan bacaan dalam laman web dan sebagainya. Tidak kiralah apa-apa pun mediumnya, membaca perlu menjadi makanan rohani sebagaimana makanan yang kita makan setiap hari.
        Apa-apa yang kita makan, lihatlah diri kita. Apa-apa yang baik kita baca juga membentuk pemikiran kita ke arah lebih positif, Insya-Allah. Indahkan hidup kita dengan membaca.

Thursday, December 13, 2018

Hidung

Hidung umi sangat 'mahal'. Anak-anak tak dapat hidung macam umi.
      Bercerita tentang hidung, adik tak boleh lepa, asal datang dekat muka, mesti buka mulut gigit hidung. Hidung juga mendapat tempat dalam peribahasa Melayu. Dalam Kamus Edisi Keempat, hidung dicium, pipi digigit bermaksud kasih sayang yang pura-pura sahaja. Seperti beranak sebesar hidung pula bermakna orang yang gemar memperlihatkan barangnya yang baru. Yang selalu kita guna, seperti kerbau dicucuk (diatur) hidungnya, didefinisikan sebagai orang bodoh yang mengikut perintah orang.
        Tak kira hidung siapa, tak dapat gigit hidung, tarik hidung pun jadi. Mujur 'Hulk' tak marah budak-budak, kalau marah pun, mungkin marah-marah sayang. 'Hulk' nak berswafoto pun tak senang.

Wednesday, December 12, 2018

Faham

Hujan tak menentu, lebih banyak berada dalam rumah, banyak membaca akhbar dalam talian.      
          Membaca pun banyak juga isunya. Setakat ini, isu politik nampaknya tak surut-surut. Hujan ada juga pasang surut. Air laut pun begitu. Komunikasi berkesan seharusnya menjadi medium antara kita, pemimpin dan rakyat. Rakyat perlu memahami isu, pemimpin perlu memahami isu. Apabila memahami isu, media yang diiktiraf pun mesti telus melaporkan berita dengan tepat. Agenda tersembunyi seharusnya tidak ada kerana kita memerlukan negara yang merdeka, aman dan damai untuk memajukan negara kita.
         Segelas kopi 'o' cap Hang Tuah, dicicah biskut Cap Ping Pong Hup Seng dapat menenangkan ayah sebentar setelah achik dua kali 'terbabas' sebab hari pertama tidak memakai lampin pakai buang. Hujan bersambung.

Monday, December 10, 2018

Sokong

Dua hari lepas kami balik, dari KLIA menghala ke Pantai Timur trafik agak perlahan.
     Masih banyak kenderaan di jalan raya  kerana hari sebelumnya berlangsungnya- #DaulatHimpunan812. Walaupun perlahan, tidaklah terlalu sesak dan kenderaan masih boleh bergerak kerana selesai perhimpunan petang Sabtu, sudah ramai yang bergerak balik. Selepas terowong, kenderaan bergerak seperti biasa. Hari ini pula pastinya Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi tumpuan dan sesak, final pertama antara Harimau Malaya  dengan Naga Emas,  pada pukul 8.45 malam. Dalam radio pun, semangat Harimau Malaya itu sangat terasa dengan putaran lagu semangat yang tak henti-henti.
       Bersatulah kita memberi sokongan kepada Harimau Malaya. Bersatu dan saling memahami itu penting untuk kepentingan kita bersama.

Sunday, December 9, 2018

Makan

Menurut Althelme Brillat-Savarin, nasib sesebuah negara bergantung pada bagaimana rakyatnya makan (Mutiara Kata, Susunan Adi Alhadi).
          Untuk memulakan perjalanan yang jauh, kebiasaannya ayah tidak makan atau makan hanya sedikit. Mungkin ayah ikut macam opah.Awal pagi di KLIA,  perut perlu isi dan umi ajak makan. Kafe yang berhampiran banyak menyajikan makanan Barat. Anak-anak pun mula memilih. Selesai memilih dan membayar, tunggu sebentar sehingga dipanggil. Apabila dengan anak-anak, jarang sekali perut tidak sendat kerana perlu menghabiskan makanan mereka.
          Tatkala kita tidak dapat  menghabiskan makanan yang kita makan, seharusnya kita mengingati betapa banyaknya orang yang tidak dapat menikmati walau secebis makanan kerana kemiskinan, peperangan, bencana alam dan sebagainya.

Alhamdulillah

Alhamdulillah. Atuk, opah, pak ngah, pak su dan mak su sudah sampai.
        Pagi-pagi tadi kami menghantar mereka ke KLIA. Kali pertama, adik sampai di sini. Tahun 2016,  atuk, opah, ayah dan umi pergi bersama-sama. Kami dulu transit di Bangladesh dahulu. Kata umi rasanya macam baru pergi sahaja. Atuk, pak ngah dan pak su terus pakai pakaian ihram sebab terus ke  Makkah. Kami dulu ke Madinah terlebih dahulu. Satu perkara yang ayah rasa seperti tergantung ialah ayah  hanya kongsikan pengalaman di Madinah. Pengalaman  di Makkah tidak ayah siapkan dan kongsikan.
           Perasaan yang sukar digambarkan apabila berada di sana apatah lagi buat kali pertama menatap Kaabah. Semoga atuk, opah, pak ngah, paksu dan mak su dapat beribadat dengan tenang dan dipermudah segalanya oleh Allah swt.

Friday, December 7, 2018

Bersatu

Ayah baru membaca sedikit buku Hidup Untuk Menang, karya Razzi Armansur. Dalam buku ini digunakan istilah 'modality'. Maksudnya, cara kita berkomunikasi dengan orang lain , diri kita sendiri dan cara kita menerima komunikasi.                                     'Modality' disebut sebagai 'tunggangan'. Komunikasi dan keadaan itu dihantar ke dalam fikiran menggunakan lima jenis 'tunggangan' iaitu, gambaran (visual), pendengaran (auditory), sentuhan, rasa dan bau. Kebanyakan daripada kita guna tiga iaitu, 'visual', 'auditory' dan 'kinestetik'. Sebab itu, ada orang cakap kereta cantik, ada orang cakap bunyi kereta mengagumkan dan ada cakap tempat duduk lembut dan luas.                                                    Walaupun berbeza pandangan, ada perkara  atau isu besar yang memerlukan kita bersatu padu seperti ICERD. Ini melibatkan kita semua. Jika bukan kita, siapa lagi?

Wednesday, December 5, 2018

Bodoh

Dalam dunia ini, sebahagian besar daripada kita mahu ada kuasa.
      Dalam Buku Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi ada banyak kata tentang kuasa. Antaranya, kata Ralph Waldo Trine,"Anda mahu menjadi paling berkuasa? Jadilah diri sendiri. Ibid pula menyatakan bahawa adalah sesuatu yang amat pahit bagi ramai orang apabila mereka memiliki banyak pengetahuan tetapi tidak memiliki kuasa. Menurut Adolf Hitler, kuasa ialah undang-undang yang teragung. Herodotus berpendapat bahawa kuasa itu berbahaya. Karl Marx dan Friedrich Engels mengatakan bahawa kuasa politik adalah semata-mata kuasa tersusun satu pihak untuk menganiaya pihak lain.
        Peribahasa Jerman ada berbunyi, "Kemarahan tanpa kuasa adalah bodoh."Ada antara kita pula yang ada kuasa sanggup menyerahkan kuasa kepada musuh dan orang yang bodoh. Kesudahannya?

Sejarah

Kata-kata Confucius yang selalu dikenang ialah pelajarilah masa silam kalau kamu mahu beroleh kegemilangan pada masa akan datang (Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi).
         Perkara yang berlalu ialah sejarah. Yang membezakan perkara itu ialah diingati atau tidak diingati. Ayah agak terlambat membaca tentang hayat surat khabar Malay Mail yang berusia 122 tahun telah berakhir (Ismaweb.net). Pada  hari Sabtu, 1 Disember, itu cetakan yang terakhir dan hari yang berikutnya akhbar tersebut hanya boleh didapati dalam talian. Selain akhbar, banyak juga majalah seperti majalah kartun yang sudah tidak ada di pasaran.
         Zaman ayah belajar dulu, sempat ayah mengikuti majalah Era@MOY.com.my yang sudah menjadi sejarah. Malam ini juga kita sedang menanti Harimau Malaya mencipta sejarah dan kedudukan 2-2. Doakan Malaysia, Insya-Allah.

Monday, December 3, 2018

Unta

Achik ada satu fiil baharu sekarang ini.
       Salah satu perkara yang dia akan buat sebelum tidur pada waktu malam, dia akan tengok dan belek-belek buku. Nak baca, dia masih belum pandai membaca. Dibeleknya buku 'Oh, Semua A! Alam Sekitar dan Hidupan' yang ditulis oleh Hwang Keun Ki, terbitan PTS. Salah satu faktanya ialah sel yang paling besar di dunia ini ialah telur burung unta. Tindakan yang seterusnya, tengok telur burung unta dalam  'Youtube'. Nak pecahkan telur burung pun jenuh juga. Jumpa pula chef yang memasak telur burung unta. Akhirnya, ayah, achik dan angah ralit tengok Chef Burak Ozdemir memasak. Kemudian, cari di Instagram -@cznburak.
        Di Kuantan, nak tengok burung unta, bolehlah ke Taman Teruntum dan Bukit Gambang Resort City. Tempat lain di Kuantan, ayah tak tahu. Kalau ada tempat jual telur burung unta lagi bagus, goreng boleh penuh satu talam.

Sunday, December 2, 2018

39

Ada apa dengan angka 39?         
        Dalam Astro Awani  seperti yang dilaporkan Madiha Abdullah, 1 Disember, setelah 39 tahun, pemain boling tenpin negara, Rafiq Ismail membawa pulang pingat emas dalam acara perseorangan di Kejohanan Boling Dunia Lelaki, Hong Kong pada hari Sabtu. Pada tahun 1979, trio J.B Koo, Allan Hooi dan Edward Lim memenangi pingat pingat emas kategori di kejohanan tersebut. Dalam hidup ini, ada perkara yang begitu lama untuk ditunggu. Namun, usaha perlu berterusan dan tumpuan perlu diberikan. Semangat  dan disiplin yang ditunjukkan oleh setiap insan yang berjaya perlu menjadi contoh dan inspirasi kepada kita.
        Tahniah diucapkan pemain boling negara, saudara Rafiq Ismail. Harimau Malaya pula perlu terus positif dan perlu terus mengaum dalam separuh akhir timbal balik  di Bangkok.

Mengapakah Masih?

 Kauseperti langsung tak cuba untuk mengerti sedangkan lama sudah kauberjanji memilih diam di tanah suci. Mengapakah  masih  kaunyalaka...