Translate

Wednesday, October 31, 2018

Kejayaan

Dalam buku Nota Jutawan, Nota Motivasi (Irfan Khairi)  muka surat  27, artikelnya bertajuk 'Kejayaan demi Kejayaan'.
        Dalam artikel ini diterangkan tentang 'success breeds success'. Maksudnya, apabila kita berjaya, kejayaan yang akan datang adalah lebih mudah. Menurut Irfan Khairi lagi, kejayaan pertama adalah yang paling sukar, tetapi apabila kita mencapai kejayaan dan matlamat yang pertama, kejayaan yang seterusnya lebih mudah untuk dicapai, Insya-Allah. Dengan tip daripada Irfan Khairi ini, kita boleh terus fokus dengan matlamat yang kita ada walaupun dirasakan sukar.
         Yang pastinya dalam hidup ini, selagi bernafas, selagi dapat menikmati dan merasai indahnya siang dan malam, jangan sesekali berhenti melakukan perkara yang kita sukai. Jangan sesekali berpaling daripada matlamat yang telah kita tetapkan. Rasa letih? Berhenti dan minum kopi ☕, kemudian sambung kembali😊.

Tuesday, October 30, 2018

Minat

Minat memadamkan penat. Kalau sudah minat, tidak mengira masa, siang atau malam, tidak mengira  tempat, Timur atau Barat, tidak menjadi masalah.
           Masalah minat ialah tidak semua orang  boleh memahami minat seseorang tetapi setiap  orang ada minat tersendiri. Minat  boleh membuatkan kita memperuntukkan  masa berjam-jam lamanya melakukan sesuatu perkara yang kita suka. Ayah boleh duduk berjam-jam membaca buku, itu meralitkan ayah. Ada orang pantang cuti pergi berjalan, ada orang boleh duduk berjam-jam membasuh kereta dan mengilatkan kereta, ada orang boleh duduk diam menyusun Lego yang kecil dan ada seribu macam lagi minat.
        Petang semalam, sempat ayah tengok sahabat ayah, Encik Dinizar, panggilan mesranya Ja, ralit menguruskan kolam hiasan di depan makmal. Nak tahu banyak pasal ikan hiasan boleh tanya Ja.

Monday, October 29, 2018

Kenduri

Apakah yang seronoknya tentang kenduri? Yang seronoknya tentang kenduri ialah sebelum hari kenduri.
          Suasana cukup terasa dalam dua tiga hari sebelum kenduri jika kenduri masih dijalankan di rumah sendiri, tidak kiralah di kampung atau di mana-mana sahaja. Pada waktu inilah diadakan khatam Quran dan sebagainya. Pada waktu inilah saudara-mara atau jiran tetangga datang bertanya khabar dan bertukar cerita. Ditambah pula dengan kita atau orang lain yang tidak menetap di situ, sudah tentu waktu begini amat berharga kerana jika rumah mak ayah kita kenduri, pada hari kenduri, banyak perkara perlu kita selesaikan.
          Jika di kampung, malam sebelum hari kenduri pun sudah tumbang seekor lembu. Malam itu ada kenduri, ada marhaban. Duduk makan sup beramai-ramai sambil berborak. Asyiknya kenduri di kampung!

Saturday, October 27, 2018

Anak Kandung

18 tahun bukanlah sekejap. Itulah yang berlaku. Akhirnya Perak menjulang kembali Piala Malaysia.
       Lebih sedikit daripada tahun ayah dan sahabat-sahabat  meninggalkan Perak pada tahun 2003 setelah empat tahun di sana. Kami semua Anak Kandung Suluh Budiman. Sememangnya perjuangan memerlukan kesabaran dan tidak terduga cabarannya. Yang penting, jangan berhenti kerana apabila kita berhenti, segalanya mungkin berakhir. Untuk menggenggam kejayaan, banyak perkara yang terpaksa diharungi. Segala yang diharungi itulah pengalaman dan untuk bangkit sememangnya memerlukan kesabaran. Pokok kesabaran itu menghasilkan buah kejayaan yang manis.
      Perjuangan itu tetap diteruskan walaupun berganti orang kerana masing-masing berkongsi harapan dan impian yang sama. Tahniah kepada Perak dan Terengganu. Malaysia Boleh.

Friday, October 26, 2018

Ghairah

"Helikopter! 'Babai' helikopter!" kata angah sambil melambai serta meluncurkan pandangan ke arah helikopter di langit.       
         Ayah hanya mendengar bunyi helikopter dari dalam rumah. Itu salah satu keseronokan anak-anak apabila berada di luar rumah. Helikopter dimaksudkan sebagai sejenis pesawat terbang yang mempunyai baling-baling di atasnya dan boleh turun dan naik secara menegak (Kamus Dewan Edisi Keempat). Mereka  gembira tengok helikopter, gembira tengok kapal terbang tinggi di langit. Kali pertama ayah naik kapal terbang, sempat ayah coretkan sebuah sajak yang bertajuk 'Anak Kecil Ghairah'.
      Malam ini, tidak ada helikopter tetapi  anak-anak ghairah bermain di atas pasir ditemani bulan yang cantik di dada langit Teluk Cempedak.

Syiling

Zaman dulu, duit syiling sangat berharga walaupun lima sen. Zaman opah, lima sen tu pun dah banyak.
      Kalau jumpa duit syiling bawah rumah, nak bagi syiling tu nampak 'comel' sikit, letak atas tanah dan pusing-pusing guna tumit kaki. Nampaklah duit 'comel' atau bersih sikit. Lima sen zaman tu dapat beli gula-gula. Dua puluh sen boleh dapat nasi lemak daun pisang sebungkus. Sepuluh sen boleh dapat air segelas. Apabila mula kenal dan  pandai guna telefon awam, lagilah duit syiling jadi penting. Itu sebelum ada kad telefon. Suka sangat kalau dapat duit syiling.
       Sekarang, seringgit mungkin macam sepuluh sen. Dulu pergi pasar malam, opah bagi seringgit dah rasa banyak sangat. Sekarang kalau anda ada seringgit, anda nak beli apa? Cuba beritahu.

Sunday, October 21, 2018

Sanggupkah?

Cristiano Ronaldo menjadi pemain pertama menjaringkan 400 gol di lima liga teratas di Eropah ketika Juventus keciciran mata selepas diikat 1-1 ketika menentang Genoa dalam saingan Seria A, pada Sabtu (Sinar Harian).
          Dalam Astro Awani pula, Pearl Wendy Mak, Wang Wen Chien dan Nur Waie Hidayah Mohamad Rasidin memecah tradisi dengan menjadi kumpulan pertama juruterbang wanita bagi Malaysia Airlines. Dalam Nota Jutawan, Nota Motivasi ( Irfan Khairi), dinyatakan bahawa sebelum Jackie Chan popular, beliau berusaha mempelajari tae kwan do, judo, wing chung dan seni mempertahankan diri yang lain selama 18 jam setiap hari.
         Sanggupkah kita melalui atau menempuh segala cabaran untuk kejayaan? Menurut Dr. Irfan Khairi (Nota Jutawan, Nota Motivasi), ketika mengejar impian, beliau cuma tidur 3 hingga 4 jam setiap hari.

Makhluk Asing

Satu perkara yang disukai anak-anak kecil ialah mereka suka menggunakan mulut atau lidah mereka.
       Sikap  ingin tahu mereka bukan sahaja diterjemahkan melalui kaki dan tangan tetapi juga mulut. Kalau pegang mainan, mesti mainan digigit atau yang kecil terus dimasukkan ke dalam mulut. Jika pegang jeriji pintu atau tombol pada kerusi,  mesti 'ditembabkan' ke mulut. Jika baring di pasar raya, 'selamba' dijilatnya lantai. Jika di rumah, sisa makanan di atas lantai, pasti ada tukang kutip, bukan untuk dibuang tetapi untuk ditelan. Telur lipas pun adik kutip.
        Mak ayah yang ada anak kecil, memang kena jadi lipas kudung di rumah atau di mana-mana untuk memastikan tiada 'makhluk asing' masuk dalam mulut anak-anak atau pastikan  anak-anak tidak jilat benda yang bukan-bukan sebagai bahan eksperimen mereka. Bukan setakat kaca mata ayah, hidung umi pun jadi mangsa.

Saturday, October 20, 2018

Panjat

Ayah lebih banyak panjat pokok berbanding anak-anak yang lebih banyak panjat tiang.
         Kalau di rumah, dah tentu anak-anak panjat jeriji tingkap atau pintu dan pintu pagar rumah. Panjat kerusi atau sofa pun jadi dan lompat ke bawah. Paling tak larat, lompat atas ayah yang tengah baring. Ayah dah lah tak besar mana. Kalau ke taman, seronoklah mereka  panjat dan bergayut. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, peribahasa tentang panjat ialah panjat bersengkelit yang bermaksud sesuatu yang sudah menjadi adat (kebiasaan). Yang lain ialah panjat dedap, maksudnya melakukan sesuatu dengan nekad (berani).
          Dah panjat dan bergayut, pandai-pandailah turun. Kalau gayat nak turun, tempat rendah bolehlah ayah angkat dan dukung bawa turun, kalau tinggi, jangan sampai kena panggil bomba atau APM.

Friday, October 19, 2018

5000

Semangat hari Sabtu anak-anak lain macam apabila mahu ikut umi joging di Taman Gelora. Semangatnya mengalahkan nak pergi sekolah.
         Adik duduk di dalam kereta sorong. Ramai sungguh orang. Ada yang menyambut Hari Keluarga, ada yang bersenam robik, ramai yang berjoging. Sampai-sampai, ayah berhenti tengok pokok nipah. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat,  nipah atau nama saintifiknya 'nipa fruticans'  ialah sejenis tumbuhan (palma yang daunnya dibuat atap atau daun rokok). Ayah jalan kaki sambil tolak kereta sorong adik. Along, angah dan achik joging ikut umi. Sasaran umi ialah 5000 langkah.
Baru 4000 langkah, anak-anak sudah menyebut 'lapar'.
        Sebelum ke Teluk Cempedak, sempat ayah dan anak-anak berjalan di atas batu di Taman Gelora. Tengah makan, dikejutkan monyet lapar yang menerpa mencari makan. Mujur monyet agak jauh.

Thursday, October 18, 2018

Rai

Alhamdulillah, masih sempat ayah berada di penghujung 3.  Tahun depan jika panjang umur sudah bermula angka 4.
        Sewaktu ayah mula-mula sambung belajar dahulu di Tanjung Malim, jika ikut tahun, ayah sudah masuk angka  2 dan jika ikut bulan, di angka penghujung 1. Hari ini pula, di Tanjung Malim, satu kemalangan berlaku melibatkan pelanggaran antara tren kargo dan tren KTM Komuter di Stesen Tanjung Malim pada jam 6.02 pagi Khamis, 18 Oktober (Malik Ridhwan, Astro Awani). Dulu, tak ada lagi komuter dan yang paling ayah rindu, bunyi kereta api lalu. Petang semalam, sempena umur ayah naik lagi, kami ke Kedai Mamak Pokok Ceri. Angah nak makan cendol.
      Malam, tengok Venom. Ayah duduk kerusi nombor 14, umi duduk kerusi 18. Tengah, anak-anak. Banyak kali kena cakap, jangan cakap kuat-kuat dan asyik bertukar tempat. Raikan.

Tuesday, October 16, 2018

Sardin

Walaupun ayah dah tua, ayah masih pergi sekolah. Tak banyak sangat yang berubah, terutamanya bilangan murid di dalam kelas.
        Waktu ayah sekolah dulu, dalam kelas ayah ada lebih kurang 44 orang, sekarang pun masih ada kelas yang bilangannya begitu. Ada sekali, ayah dapat nombor 42. 'Bijak' kan ayah 😅. Ayah tak suka baca untuk periksa, tapi ayah suka baca untuk tahu. Yang penting dalam hidup, kena dengar cakap cikgu dan dengar pendapat orang lain untuk jadi lebih baik. Masa  tingkatan 6, baru merasa pakai kasut hitam dan stoking putih. Masa tu stoking tapak hitam tak ada lagi. 
        Mesti anak-anak sekolah suka sangat kalau di dalam satu kelas ada 20 orang. Cikgu pun boleh pun beri perhatian sebab tak ramai sangat. 44 orang dah macam duduk di dalam 'tin sardin'.  Sardin cap apa ayah tak pasti. Ayah sudah alami keadaan itu dulu.

Monday, October 15, 2018

Pagar

"Ayah, tengok angah ni, cakap asyik terpercik air liur dia!" jerit along yang sedang baca komik.
         "Suruh angah buka mulut. Tengok, Angah tak ada 'pagar' belah atas, tu sebab bersembur," jawab ayah sambil gelak. Ayah ingat angah tak faham. Faham rupanya. Dia suruh ayah tengok adik yang hanya baru ada gigi dua batang di bahagian bawah. Sebut pasal pagar, ada beberapa peribahasa tentang pagar. Yang jarang kita dengar ialah memagar diri bagai aur (Minangkabau). Maksudnya dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah menjaga dan memikirkan dirinya anak-beranak sahaja (tidak mempedulikan orang lain).
        Susah juga jika tidak ada 'pagar'. Rumah pun jika pintu pagar terbuka, kambing pun masuk  dan datang dekat muka pintu. Kalau pintu rumah terbuka, silap- silap kambing pun masuk rumah. Nak buat macam mana, kambing ada otak, akal tak ada.

Inspirasi

Minggu lepas, Malaysia menamatkan cabaran Sukan Para Asia 2018 di Jakarta dengan meraih 17 pingat emas (Fahmi Faiz, Ismaweb).
        Dalam berita yang sama dinyatakan bahawa Mohamad Ridzuan Puzi mencatatkan rekod baharu dunia dalam acara lari 100 M T36 (11.87 s). Semangat yang ditunjukkan oleh atlet-atlet yang bertanding seharusnya menjadi satu inspirasi bagi kita dalam melakukan sesuatu. Kadang-kadang ayah sendiri begitu malas melakukan kerja yang kecil seperti membasuh cawan atau gelas selepas minum. Tanpa kita sedari, anak-anak melihat dan mengikuti tabiat itu.
       Bagi kita  yang mampu melakukan pelbagai perkara seharusnya bersyukur, bersemangat dan melakukan bersungguh-sungguh, tidak kiralah perkara kecil atau besar, di rumah, di tempat kerja atau di mana-mana sahaja.

Sunday, October 14, 2018

Al-Fatihah

Perjalanan yang kita lalui di dunia ini masih belum berakhir selagi kita masih diberi rezeki menghirup udara.
       Kita tahu kita pasti meninggal dunia tetapi cara kematian yang akan kita hadapi tidaklah kita ketahui. Walau bagaimanapun caranya, kita mengharapkan kita meninggal dunia dalam keadaan bertaubat dan dalam keadaan mengingati Allah swt. Ramai yang meninggal dunia baru-baru ini di Palu, Sulawesi  disebabkan bencana alam tsunami dan gempa bumi. Sekarang ini pula, musim hujan pun telah tiba dan kita diingatkan tentang keselamatan diri dan keluarga. Yang kita harapkan ialah kita mengakhiri hidup dengan yang selalu disebut-sebut iaitu husnul khotimah.
         Semalam, penyanyi, Saleem meninggalkan kita dan minggu sebelum itu Ustaz Hassan Azhari juga meninggalkan kita. Al-fatihah.

Saturday, October 13, 2018

Gembira

Perkara yang paling  menggembirakan ayah dan umi pada waktu pagi adalah apabila anak-anak bangun pagi dengan gembira dan terus ke bilik mandi.
        Walaupun mungkin nampak kecil bagi sesetengah orang, tetapi apabila anak-anak bangun dengan gembira  pada waktu pagi, ini amat membantu perjalanan menjadi lebih lancar dan sampai awal ke tempat kerja. Tambahan pula sekarang ini pada waktu pagi hujan agak kerap, perjalanan turut menjadi perlahan. Sampai di sekolah, angah turun berjalan sendiri dan abang pula mendapati kasut sekolahnya lagi sekali tiada di dalam kereta. Yang hanya ada kasut 'Avengers'. Dia pun menyarungnya.
         Begitu juga jika kita gembira di tempat kerja, mungkin kita bangun lebih awal atau  lebih  bersedia tetapi jika ada faktor yang  mengganggu kita, mungkin lebih 'liat' untuk bangun atau pagi-pagi sudah mengeluh.

Wednesday, October 10, 2018

Formula

Ayah terjumpa satu istilah, iaitu 'engagement' yang digunakan oleh John Williams dalam bukunya, 'Screw Work Let's Play' (terjemahan Syarafuddin Sulaiman, 2015).
      Dalam buku ini, 'engagement' ialah keadaan apabila kita tenggelam dalam satu-satu perkara yang cukup memuaskan, sehingga waktu berlalu tanpa disedari. 'Engagement' ni salah satu daripada komponen Formula Kegembiraan (Kepuasan + 'Engagement' + Memberi Makna = Kegembiraan ) yang dikemukakan dalam buku ini. Mesti ada sesuatu kerja atau perkara yang meralitkan kita untuk kekal fokus terhadap kerja atau sesuatu. 
         Anda sedang bergembira dengan kerja atau dengan perkara yang anda lakukan? Jika tidak, cari jalan untuk bergembira jika masih terpaksa melakukannya sendiri. Mungkin boleh dengar lagu kegemaran atau tengok  sesuatu yang membuat  anda gembira.

Tuesday, October 9, 2018

Surat

Hari Pos Sedunia disambut pada setiap 9 Oktober oleh pentadbiran pos di seluruh dunia (Salim Aziz, Astro Awani). Baru ayah tahu  sebab baru baca sekejap tadi.
         Barulah ayah faham. Patutlah semalam baca di 'Twitter' artis serba boleh, Adibah Noor, ada banyak tanda pagar, '#JomTulisSurat'. Disebabkan suatu ketika dulu ayah pernah menghantar surat ke Ruangan Hai KP dan tersiar di Majalah Gila-Gila, ayah pernah menerima banyak surat dan itu penyebabnya ayah mengumpul setem. Dapat surat begitu banyak dan yang banyaknya surat berantai. Ramai pula orang percaya dan mengepos.
        Yang paling dinanti waktu itu ialah abang posmen dan asyik menengok jam. Sampai sahaja, berlari berebut-rebut untuk mengambil surat. Salah satu kegunaan lidah pula adalah untuk menjilat setem. Setem ditampal pada sampul surat yang dibuat sendiri.

Monday, October 8, 2018

Solat

Juara Lightweight Dunia, Khabib Nurmagomedov menewaskan Conor McGregor pada 6 Oktober 2018. Masih hangat tentang kejadian yang berlaku.
       Hari ini pula, kawan ayah, Cikgu Yusran mengepos tentang uniknya tarikh hari  ini yang jika dibaca dari belakang pun masih sama, 8/10/2018. Tahun lepas, pada tarikh hari ini, harinya ialah Ahad kerana 'Facebook' telah melakukan imbas kembali untuk ayah. Hari ini ayah mengikut umi membawa adik ke klinik untuk dicucuk. Sebenarnya agak lama tidak dapat ikut sekali kerana bertembung dengan kelas petang. Klinik 1Malaysia pun sudah  lama pindah ke situ.
       Alhamdulillah, adik tidak menangis dan kami terus ke Pantai Kempadang. Ayah tapau lempeng. Sesuai benar dengan cuaca hujan rintik-rintik. Sambil makan lempeng kelapa panas, baca tentang Khabib yang pentingkan agama. Pesannya, "Jangan tinggal solat!"

Sunday, October 7, 2018

Kolaborasi

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, bahagian yang menempatkan kata-kata sebanyak 1817 muka surat.
         Belum lagi dirujuk lagi kamus yang lain seperti kamus istilah. Begitu banyak perkataan membuatkan kita keliru tentang maksudnya. Pada mulanya ayah juga tidak perasan. Cikgu Hashim menerangkan kepada ayah, barulah ayah merujuk kamus. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (m/s 804 dan 805), kolaborasi bermaksud subahat (kerjasama) dengan musuh atau orang jahat, subahat dalam perbuatan jenayah dan sebagainya.  Kolaboratif (m/s 805) bermaksud erat (dr segi kerjasama antara dua pihak atau lebih).
          Oleh itu, lebih tepat digunakan perkataan  'kolaboratif' untuk nama program atau nama anugerah yang menunjukkan kerjasama kerana 'kolaborasi' digunakan untuk kerjasama yang melibatkan perkara negatif.

Saturday, October 6, 2018

Syukur

Kadang-kadang, hidup tak selalunya indah, namun tetap perlu rasa bersyukur.
          Banyak kerja yang perlu dibuat dan bersyukurlah bagi kita yang punya dua tangan yang masih boleh memegang sesuatu dan melakukan kerja. Mendengar anak meragam, bersyukurlah kita masih punya pendengaran yang baik. Melihat rumah bersepah, bersyukurlah kita masih boleh melihat. Tatkala beratur di mesin ATM, bersyukurlah kerana duit gaji masih berbaki. Memandang ke bawah, bersyukurlah masih ada selipar untuk dipakai.
          Bersyukurlah walau selipar yang dipakai lain sebelah dan sekejap lagi ke Tunas Manja membeli-belah memakai selipar lain sebelah. Macam mana ayah tak perasan masa keluar rumah tadi?😭 Apa-apa pun belajarlah bersyukur! Masih ada kaki untuk melangkah!

Patung

Dalam Kamus Edisi Keempat, ada beberapa makna patung.     
       Patung yang pertama (1), patung dimaknakan sebagai sesuatu bentuk manusia (binatang dll) yang diperbuat daripada batu (logam, kayu dll) dan arca. Maksud yang kedua merujuk anak patung, iaitu patung kecil (permainan kanak-kanak), anak-anakan dan boneka. Maksud yang ketiga merujuk maksud kiasan, iaitu orang dll yang menjadi lambang sahaja (menjadi permainan orang lain dll). Mematung pula bermaksud (diam, tiada bergerak-gerak) seperti patung. Maksud patung yang kedua (2) ialah patung belalang yang sama ertinya dengan patung-patung, sepatung dan sibur-sibur.
        Waktu kita kecil atau anak-anak mesti pernah main 'siapa jadi patung?'. Apabila kita besar pula seharusnya kita tidak menjadikan orang lain 'patung' kerana kita sendiri pun tidak mahu dilayan atau dianggap seperti 'patung'.

Friday, October 5, 2018

Baik

Adik dah genap setahun. Buka 'Facebook' tadi, dah 9 tahun rupanya ayah ada di 'Facebook'.
        Banyak perkara yang telah kita harungi sehari demi sehari. Kesannya, tengok kita pada saat ini. Apakah yang berubah? Apakah yang masih tidak berubah? Dari segi fizikal, adakah pemakaian kita masih seperti dahulu? Kalau anda perempuan, adakah belit tudung masih sama atau sudah tidak ada belit? Adakah warna pilihan kita masih sama atau bergantung kepada umur? Dari segi pemikiran pula, ada pemikiran masih seperti dahulu atau sudah berubah mengikut pembacaan atau pengalaman atau kedewasaan?
         Berubah atau tidak berubah, kita sendiri yang lebih mengetahui dan setiap kali kita menyambut hari lahir, diharapkan  perkara yang kita lalui memberikan kita sesuatu untuk menjadi lebih baik dari hari sebelumnya, Insya-Allah. Selamat hari lahir adik!

Thursday, October 4, 2018

Doa

Kita dikejutkan dengan tragedi yang mengorbankan enam anggota penyelamat pasukan bomba.
          Selepas ini, mungkin giliran kita kerana kita akan menemui mati pada bila-bila masa sahaja dan di mana-mana sahaja. Teringat  jawapan  Imam Ghazali yang pernah ayah baca.
"Kenapa aku masih hidup hari ini?"
Jawapan Imam Ghazali, "Kerana dosaku terlalu banyak dan Allah swt masih izinkan aku untuk bertaubat."
      Dalam ruangan Nasihat Ustaz (Syurga Pak Hang! #sounddirect, Ustaz Abdullah Khairi) menyatakan bahawa berdoalah untuk orang yang meninggal dunia kerana Allah swt menuntut supaya hamba-Nya sentiasa berdoa kepada-Nya.

Wednesday, October 3, 2018

Tahu

Kawan ayah, Encik Fakharudin kepakarannya berkaitan inovasi dan dia meneruskan misinya di bumi Al-Fateh. Kerap juga dia ke sana.
          Pengembaraan akan menemukan kita dengan pelbagai perkara biasa,  perkara yang baharu dan mungkin perkara di luar jangkauan pemikiran kita. Penemuan-penemuan ini akan mencorakkan pemikiran, kepercayaan dan persepsi kita. Kadang-kadang,  apa-apa yang kita bayangkan sama sekali berbeza dengan apa-apa yang kita temui. Walaupun perjalanan ke tempat yang mungkin sama, setiap kali kita menempuhnya, setiap kali itu jugalah kita mengalami pengalaman berbeza.
          Dalam Mutiara Kata (susunan Adi Alhadi), Carlo Goldoni mengatakan bahawa pelancong yang bijak tidak akan mencerca negaranya sendiri dan Thomas Fuller pula menyatakan bahawa sesiapa yang banyak melancong akan tahu banyak perkara.

Monday, October 1, 2018

Semangat

Ayah suka menonton filem yang ada 'isi' tentang semangat tidak mudah putus asa atau semangat tidak mahu mengalah.
          Dalam bidang pendidikan, kerja sebenarnya tidak pernah habis. Kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Berurusan dengan anak-anak remaja perlukan kesabaran seperti mana juga anak-anak kecil. Jika tidak ada semangat,  kita lebih cenderung untuk marah-marah sahaja tanpa memikirkan pendekatan yang sesuai untuk mereka. Kadang kala sikap mereka juga membuatkan kita bersemangat untuk melakukan sesuatu kerana mereka mengingatkan kembali kepada kita tentang sikap jangan cepat mengalah.
         Ayah suka watak Fabulous Hudson Hornet, Lightning McQueen dan tidak lupa  Mater apabila bercerita tentang semangat tidak mudah mengalah. Bersemangatlah, Insya-Allah sesuatu yang baik menanti kita.

Fokus

"Susah," itu jawapan yang ayah dapat apabila bertanya tentang soalan peperiksaan hari ini.
      Susah yang pertama, di dalam dewan peperiksaan tidak boleh tanya orang. Rasa soalan susah itu mungkin soalan itu benar-benar susah untuk difahami, perlu dibaca dua tiga kali atau murid kurang memahami kehendak soalan. Soalan itu dirasakan susah mungkin juga disebabkan murid tidak membiasakan diri dengan bentuk-bentuk soalan periksa. Soalan itu susah mungkin sebab apa-apa yang dibaca itu langsung tidak keluar dalam soalan. Soalan itu susah mungkin sebab lupa apa-apa  yang telah dibaca atau lupa teknik menjawab.
        Susah nak tidur sebab rasa soalan  tadi susah dan susah nak tidur sebab bimbang soalan esok susah hanya akan menyusahkan anda. Fikir yang baik- baik sebelum tidur. Lupakanlah 'susah' itu dan fokus pada periksa hari esok.

Salam Aidilfitri

"Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain," inilah kata-katanya yang menceritakan segala-gal...