Translate

Thursday, August 30, 2018

Paruh

Pantang mengalah! Itulah yang membawa gol penyamaan setelah Malaysia menjaringkan gol  kedua di minit-minit terakhir.
       Debaran cukup terasa dan along lari tidak mahu tengok setelah penalti berselang-seli gol dan tidak gol. Alhamdulillah, akhirnya pasukan hoki lelaki Malaysia melangkah ke akhir dengan mata  7-6 setelah mengalahkan India.  Harapannya tentulah emas seperti mana pasukan sepak takraw menamatkan kemarau 24 tahun pingat emas Sukan Asia dengan menewaskan Indonesia (Harian Metro, 29 Ogos 2018).
        Kalah dan menang itu sudah pasti berlaku. Berjuanglah berhabis-habisan sehingga habis selagi kita hidup sepertinya peribahasa 'patah sayap bertongkat paruh' demi agama, bangsa dan tanah air. Sayangi Malaysiaku.

Wednesday, August 29, 2018

Luluh

Apabila terdengar RTM Pahang akan bawa Khair Bahar ke Semsas, ayah pun tanya anak-anak murid ayah.
     Ada yang suka 'Bayang', ada yang suka 'Luluh'. Anak-anak murid ayah boleh belajar unsur bunyi guna lagu untuk cepat faham. Dalam lagu 'Luluh', contoh aliterasi (pengulangan huruf konsonan 'n') ialah 'aku tersungkur menunduk meraung'. Dalam lagu duetnya dengan Fatin Husna, 'Rahsia Kita', contoh asonansi (pengulangan huruf vokal 'a') ialah 'rahsia antara kita berdua'. Kalau jawab soalan, huruf vokal dan huruf  konsonan yang berulang itu wajib digaris.
         Lirik lagu Khair Bahar yang puitis sesuai untuk anak-anak murid ayah buat latihan asonansi dan aliterasi (unsur bunyi). Menyanyi sambil belajar, tapi jangan nyanyi kuat-kuat. Kalau Abah atau ayah datang, pasti hati 'luluh'.😂

Tuesday, August 28, 2018

Sabar

Serdang. Ya, Serdang di Selangor. Kampung Bukit Serdang? Bukan di Selangor tetapi di Kuala Bera.
        Anak-anak asyik bertanya bila mahu sampai.Ayah menyuruh mereka melihat Sungai Pahang di kiri jalan. Nampak airnya menyusut kerana pasir pun timbul. Sampai di sana, mereka seronok  tengok ikan yang dibela pakcik Farihan. Mula-mula ada burung tiung yang boleh bercakap, kemudian, tupai terbang dan sekarang ikan di dalam tangki air.
      Satu perkara penting apabila bela haiwan ialah belajar tentang kesabaran. Ayah setuju dengan kata-kata pak cik Farihan. Dulu kalau giliran adik ayah beri arnab makan, ayah terpaksa bersabar sebab kadang-kadang dia buat tak tahu sahaja, ayahlah yang kena.😂

Sunday, August 26, 2018

Ubah

"Saya tidak boleh hidup tanpa buku," kata Thomas Jefferson (Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi).
           Buku 'Screw Work Let's Play' (John Williams) bercerita tentang J.K Rowling yang sedang mengembara dari Manchester ke London apabila tiba-tiba idea tentang Harry Potter dalam kepalanya. Dalam buku yang sama juga bercerita tentang Paul McCartney bermimpi melodi lagu 'Yesterday'. Masih lagi dalam buku yang sama, James D. Watson (penemu bersama struktur DNA) berkata,"Penting untuk berada dalam keadaan sedikit kekurangan kerja sekiranya mahu melakukan sesuatu yang penting."
          Bagi yang sedang bosan atau rasa kekosongan bolehlah membaca buku seperti  mana yang dikatakan Bell Hooks (Mutiara Kata, susunan Adi Alhadi), "Idea-idea untuk mengubah kehidupan selalu datang kepada saya menerusi buku."

Saturday, August 25, 2018

Sahabat

Apabila mengemas di dalam rumah atau di luar rumah, banyak yang akan kita temui.
             Antara yang akan ditemui ialah kenangan lalu yang hadirnya kadang-kadang dalam bentuk kesakitan. Jarang-jarang juga ayah 'mengemas' di luar rumah. Kalau sudah bermula, lambatlah berhenti. Mencakar daun kering dan memangkas dahan-dahan antara yang wajib dibuat. Menyelak-nyelak daun di tepi pasu, maka bertemulah sahabat kenangan lalu. Setelah disengat dan menjumpai sarangnya, itulah sahabat lama ayah, 'Encik Penyengat'. Salam tidak lama tidak bertemu, disengatnya tapak tangan kerana terkejut.
             Ayah potong tempatnya bersarang dan campak ke dalam semak. Kalau zaman budak dahulu jangan harap ayah buat begitu. Siaplah 'Encik Penyengat' dan kawan-kawannya tu!

Carik

Semalam dekat rumah atuk, angah mengingatkan ayah tentang bulu ayam selepas ayah menyiapkan kerja.
          Pencarian pun bermula. Tahi ayam pun susah nak jumpa, apatah lagi bulu ayam. Atuk pun dah tak bela ayam lagi. Dulu, ayam pun masuk beranda, kadang-kadang masuk dalam rumah terus. Ayah mahu tunjuk pada anak-anak  tentang carik, tentang peribahasa carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua. Zaman ayah sekolah dulu, salah satu eksperimen ialah bulu ayam dicarikkan supaya tidak lagi rapi, kemudian diletakkan dalam buku teks dan ditutup semalaman. Esoknya, Insya-Allah, bulu itu akan bercantum kembali, menjadi rapi.                  Dua tiga kali pusing, bulu ayam tak ditemui. Tak apa, lain kali eksperimen 'carik' bulu ayam akan dibuat. "Jangan putus asa," kata angah selalu.

Friday, August 24, 2018

Letih

Letih. Letih bermain, mereka pun tidur.
         Emir sudah balik raya pertama lagi. Aidil dan Ziyad sudah balik semalam. Anak-anak pun bermainlah tanpa ditemani sepupu-sepupu. Cuti raya agak panjang sebab cutinya dalam cuti sekolah. Kuih raya pun masih ada, pagi-pagi pun achik makan peneram, apatah lagi baulu. Raya sekarang, tidak semeriah raya masa ayah kecil dahulu, penuh kanak-kanak di sepanjang jalan.
        Dalam buku Mutiara Kata (susunan Adi Alhadi), Walter Scott berkata,"Anak-anak ialah kebanggaan ibu dan kegembiraan ayah."

Thursday, August 23, 2018

11

Alhamdulillah, bertemu Jumaat. Alhamdulillah, hari ini Hari Ulang Tahun Perkahwinan ayah dan umi ke-11.
      Ya, macam-macam telah dilalui dan diharungi bersama-sama. Semalam kami bawa anak-anak ke rumah kawan ayah dan kata pakcik Farihan, "Asal datang je ada yang baharu." Ayah tersengih. Masa dirasakan cepat berlalu jika kita tidak menghitungnya dan diisi dengan sesuatu. Pengisiannya bergantung kepada kita, pengisian yang akan menentukan hala tuju kita. Semoga ayah, umi dan anak-anak serta semua dapat mengisi hidup dengan perkara yang penuh bermakna. Segala ujian dan musibah yang melanda diharapkan dapat menguatkan lagi semangat kita untuk menuju kehidupan yang lebih indah dan kekal abadi, Insya-Allah.
        Selamat Hari Ulang Tahun Perkahwinan Sayang!

Wednesday, August 22, 2018

Meriah

Alhamdulillah. Masih dapat menemui Aidiladha. Masih dapat berkumpul di rumah opah.
        Pagi, ke masjid Solat Sunat Aidiladha. Balik, anak-anak dan sepupu- sepupu gembira ke tempat sembelih lembu. Pak su buat akikah. Riuh-rendah, rasa penat, tak habis-habis ajak balik.  Balik rumah, opah, atuk, pak long Li, Mak Long Pah dan Pak su potong daging. Pak ngah dah masak nasi dengan opah dan bersedia untuk masak kari daging segar. Nenek dan saudara-mara pun datang. Petang lepas asar, ada majlis akikah Eshal. Sebelum itu, Pak ngah (Hot Catering) sudah beritahu. Akhirnya,Chef Yang Jamil (Duta RNN CEM) sampai dengan anak, menantu dan cucu. Bertambahlah meriah rumah opah.
         Terima kasih kepada Chef Yang Jamil dan keluarga,  keluarga, saudara-mara dan jiran tetangga. Salam Aidiladha.

Monday, August 20, 2018

Aneh

Agak aneh kerana sudah tidak menulis beberapa hari, tidak sempat 'membelek' akhbar digital. Banyak sudah berlaku.
         Bersumberkan Astro Awani, antaranya, Kofi Annan, 80 tahun, bekas Setiausaha Agung PPB meninggal dunia di Geneva, Hujan ribut melanda Arafah, MU dimalukan Brighton dan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 bermula. Esok pun sudah Raya Korban. Semalam, adik menunjukkan bakat, mula merangkak di rumah opah. Jika tidur di dalam buai, tidak boleh dibiarkan bersendirian lagi kerana jika sudah terjaga, kepalanya keluar dahulu.
        Berhati-hatilah balik beraya dan yang tidak bercuti, bersabarlah! Pasti ada sesuatu yang indah menanti anda, Insya-Allah!

Saturday, August 18, 2018

118

Hari ini 18 Ogos 2018. Ramai mahu mengabadikan angka 18818 ini dengan sesuatu yang bermakna seperti tarikh perkahwinan.
        Seratus hari pula ada sebahagian daripada kita begitu bersemangat mahu melihat pencapaian Parti Harapan yang membentuk kerajaan. Ada juga yang tidak peduli. Jika kita seorang yang peduli dan cakna, apa kata kita tengok juga pencapaian diri kita sendiri dalam seratus hari. Adakah semakin baik atau sebaliknya?
         Muhasabah itu perlu untuk sesiapa sahaja kerana kerajaan akan jadi lebih baik untuk rakyat, dan kita sebagai rakyat juga perlu jadi lebih baik untuk negara kita yang tercinta. Sayangi Malaysiaku.

Thursday, August 16, 2018

Indah

Yang berlalu telah pergi meninggalkan kita. Masa berlalu, bererti banyak peristiwa atau perkara telah kita lalui dalam hidup ini.
      Anak-anak kita semakin membesar dan cermin diri kita juga, yang semakin subur uban, semakin kurang gigi dan berkaca mata. Tanda-tandanya sudah ada. Peribahasa Sweden menyatakan bahawa kurangkan mengeluh, lebihkan bersyukur, kurang bercerita, lebihkan berkata, kurangkan membenci, lebihkan berkasih sayang dan segala kebaikan akan menjadi milik anda (Mutiara Kata, susunan Ali Alhadi).
        Dalam buku yang sama,  kata Emily Dickinson, "Kerana yang berlalu itu tidak akan kembali, maka hidup ini menjadi sangat indah." Maka, marilah kita bersama-sama menghargai ahli keluarga kita yang berada di hadapan mata kita pada saat ini.

Wednesday, August 15, 2018

Wap

Dalam buku Mutiara Kata (susunan Adi Alhadi), Wilhelm Busch menyatakan menjadi bapa sangat mudah, melalui hidup sebagai bapa, itu yang susah.
         Banyak tugas bapa atau ayah dalam kehidupan seharian. Jika disenaraikan mungkin tidak sebanyak tugas ibu atau umi tetapi tetap penting dalam sesebuah keluarga. Sebahagian masa ayah juga digunakan untuk menunggu anak balik dari sekolah atau dari kelas mengaji. Anak-anak pula cukup suka jika  cermin kereta berwap dan menulis sesuatu sebelum masuk ke dalam kereta. Along pula menyatakan bahawa sudah lama dia berlatih menulis secara terbalik dan akhirnya dia berjaya. Mesejnya sampai melalui cermin kereta yang berwap.
           Pagi ini, apabila cermin kereta berwap, muncul kembali tulisannya malam tadi. Kata Theodore Hesburgh dalam buku yang sama pula, perkara paling penting yang boleh dilakukan oleh seorang bapa untuk anak-anaknya ialah menyayangi ibu mereka.

Monday, August 13, 2018

Syasya

Sejak awal lagi achik asyik menyebut. Akhirnya, kami berhenti dan bertentang mata.
      Mungkinkah ini cinta pandang pertama, eh, ke berapa kali ya? Syasya namanya setelah ayah bertanya. Anak-anak ayah pula yang begitu teruja. Ayah buat biasa-biasa sahaja. Umi? Jangan tanya, tetapi tidaklah cemburu buta. Along mulakan dahulu, diikuti angah dan akhirnya achik. Achik inilah yang tidak disangka-sangka, nampak macam malu-malu, takut pun nampak ada, nampaknya berani lebih banyak datang. Begitulah, pertemuan akan diakhiri perpisahan.
        Hujung minggu atau Sabtu, Insya-Allah boleh bertemu lagi, melepaskan rindu kepada Syasya di Pantai Kempadang.

Muda

Petang-petang, apabila nampak deretan gerai waktu balik sekolah, perut pun menghantar isyarat lapar atau dahaga dan angah serta along berbunyi, "Lapar! Dahaga!"
        Semalam cuti dan balik dari rumah opah, hari pun sudah lewat petang, maka kami pun lajak ke Pantai Kempadang. Berhenti melayan anak-anak, berpusing balik dan singgah di satu kedai. Kira-kiranya, makan petang merangkap makan malamlah. Ayah dan umi makan mi sup. Ayah tak pasti dia guna sup bunjut Adabi atau tidak. Boleh pilih mi sup daging, mi sup perut atau mi sup ayam. Lagi ayah suka sebab ada lada jeruk.
       Petang-petang, sedap sangat pekena mi sup weh! Minum pula 'Coconut Shake'. Kalau menghala ke Pantai Kempadang,  tempat wajib singgah, 'Warung Muda Kelapa'.

Saturday, August 11, 2018

Dengar

Memetik artikel tulisan Siti Nursyazwani dalam Astro Awani, faktanya ialah Hantu Kak Limah catat sejarah selepas meraih kutipan tertinggi berjumlah RM1.8 juta pada hari pembukaannya pada Khamis (9 Ogos).
        Ayah pun tak pergi lagi tengok Hantu Kak Limah. Ayah suka dialog-dialog yang digunakan dalam filem-filem  Mamat Khalid sebelum ini sebab dialog-dialognya mempunyai maksud dua lapis atau tersirat dan juga sinis. Dialog-dialog yang dituturkan sebenarnya mengajar untuk kita berfikir tentang maksud sebenar atau perkara yang ingin disampaikan jika kita benar-benar fokus mendengar. Mendengar cukup penting kerana jika salah dengar, salah faham akan muncul.
        Jika salah dengar,  orang hidup dikatakan mati. Orang mati boleh jadi hidup. Kebenaran akan tertutup jika kita gagal jadi pendengar yang baik.

Musim

Mungkin masih ada anak-anak yang belum tahu bahawa bilangan pada bahagian bawah  buah manggis menunjukkan bilangan ulas di dalam buah manggis.
       Alhamdulillah, tahun ini pokok manggis opah menjadi. Maksudnya, isinya elok untuk dimakan kerana tahun lepas isinya tidak berapa elok. Manggis pun ayah tengok RM 7 sekilo. Mungkin ada yang lagi murah tetapi ayah tidak berjumpa. Kalau pak cik Hafiz datang, dia boleh panjat lagi pokok manggis. Buah yang di tempat tinggi, ayah jolok buahnya guna galah besi sahaja. Along pun suka dapat petik buah manggis sebab ada yang duduknya rendah. Angah yang paling gemar makan manggis.    
       Ini salah satu musim yang paling seronok ada di Malaysia, iaitu musim buah dan lagi seronok jika ada kebun atau dusun sendiri. Sayangi Malaysiaku.

Friday, August 10, 2018

Banjir

Kawan-kawan ayah kerap datang ke sini mengeteh dan makan roti canai. Letaknya masih lagi di kawasan Batu 8 dan jika sudah melewati Restoran Zaman, itu tandanya sudah terlajak.
      Kedainya depan sedikit selepas simpang Jalan 'Bypass' yang menghala ke Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, duduknya di sebelah kilang papan dan di sebelah kedai pomen serta kedai Hasil Laut Kiah Kee. Pagi ini kami singgah di sini dan seperti biasa, penuh orang. Alhamdulillah, seorang lelaki  memberi ruang kepada kami dan pantas menghabiskan airnya. Roti canai kosong untuk anak-anak, roti canai banjir untuk umi dan nasi berlauk untuk ayah.
        Walaupun ramai orang resah dan susah hati apabila banjir, roti banjir tetap menjadi pilihan hati. Warung arwah Pak Ibrahim tetap menjadi pilihan penggemar roti canai.

Celik

Ayah memang tak pernah jemu menonton 'Night at the Museum' dan sangatlah  gembira jika dapat  ke muzium tersebut bersama dengan keluarga.
      Sebelum pergi lebih jauh, apa kata kita bawa keluarga kita ke muzium berhampiran terlebih dahulu walaupun sebahagian daripada kita mungkin tidak gemar ke tempat sebegitu dan kita kena ingat bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila ke muzium, seperti biasa umi akan membaca segala keterangan yang tertera dan kamilah pendengar setia.
       Apakah bezanya lembing dan tombak? Kita boleh mencari jawapannya dalam laman sesawang tetapi tidak akan sama jika kita melihat dengan mata kepala sendiri. Jom ke Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan dan jadi warganegara yang celik sejarah.

Galah

Anak-anak ayah, umi dan sendiri pun tak pernah mengira kaki udang yang ada sepuluh.
          Seperti yang pernah diceritakan ayah , kami semua suka udang celup tepung dan umi pula suka buat udang nestum. Udang pun ada banyak jenis. Harga pun macam-macam. Ada yang seringgit seekor. Bergantung pada saiz juga. Antara peribahasa Melayu yang jarang kita dengar tentang udang ialah udang merentak dalam tangguk yang bermaksud orang yang tidak tetap laku dan kedudukannya (Kamus Dewan Edisi Keempat).
         Bagi penggemar udang  seperti atuk (ayah umi) pula, udang galah dalam juadah 'shellout'  satu kelainan yang wajib dicuba. Di mana? Di mana lagi kalau bukan di Selera Gergasi, Tanah Putih Baru.

Thursday, August 9, 2018

Batu

Sayangi Malaysiaku. Tidak lama lagi, genap umur 61 tahun negara kita.
         Keunikan negara kita salah satunya tentulah kaum yang berbilang dan hidup dengan harmoni. Apabila kaum berbilang, keunikan kebudayaan yang pelbagai menjadi satu daya penarik.  Inilah yang dicemburui oleh orang lain kerana walau banyak yang berbeza, kita tetap menemui titik yang sama. Yang sama inilah perlu dipertahankan kerana 'Kita Punya Malaysia'.
        Beruntunglah kita berada di Malaysia dan menjadi rakyat Malaysia kerana kadang-kadang kita hanya sedar hujan emas di negeri orang dan tidak sedar tentang hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Monday, August 6, 2018

Tiga

Dalam beberapa hari ini, kita kehilangan beberapa tokoh yang kita kenal, antaranya, Datuk Mahadzir Lokman pada 3 Ogos (Jumaat) yang lalu.
        Dalam kehidupan ini sememangnya kita sering diuji dan kehidupan kita juga perlu diisi dengan sesuatu sebagai bekalan untuk ke sana. Pagi ini ayah membaca tentang mati dalam Telegram Taman Orang Soleh (telegram.me RiyadusShaliheen) yang dipetik daripada 'Facebook' Ainun Mardhiah.
       Rasulullah S.A.W bersabda, “Apabila mati anak Adam, terputuslah segala amalannya kecuali tiga; sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakannya.” (Hadith Riwayat Muslim)
      Al-Fatihah untuk yang telah  meninggalkan kita dan jangan lupa, kita juga bakal ke sana pada bila-bila masa sahaja.

Sunday, August 5, 2018

Cermin

Sebagai manusia kita memerlukan cermin. Berapa kalikah kita melihat cermin hari ini? Berapa kalikah kita 'cermin diri' hari ini?
        Salah satu lagu yang tak pernah jemu ayah dengar setakat ini ialah lagu 'Di Balik Cermin Mimpi', nyanyian Datuk M. Nasir.

        Di balik cermin mimpi 
          Aku melihat engkau 
              Di dalam engkau 
              Aku melihat aku 
    Ternyata kita adalah sama 
     Di arena mimpi yang penuh    
     bermakna

Selain melihat fizikal kita di dalam cermin, ada masanya kita perlu 'cermin' juga hati kita sebab banyak perkara  berpunca daripada hati kita.
       Kadang-kadang apabila bercermin, kita dapat melihat diri kita, kadang- kadang dapat melihat apa-apa yang ada di sebalik cermin dan yang paling penting, mari kita sama-sama 'cermin' hati selalu.

Saturday, August 4, 2018

Chini

Waktu zaman sekolah dahulu, salah satu buku  cerita kegemaran ayah ialah Juara yang Tewas, karya Dato' Arifin Said.
       Kisah yang amat menarik, kisah naga Tasik Chini, Sri Pahang dan Sri Gumum.  Ayah tidak pernah menerokai Tasik Chini tetapi pernah ke Kem PLKN di sana kerana menjalankan tugas. Teratai tak dapat dipisahkan dari tasik. Ayah pernah makan buah teratai sewaktu mencari ikan bersama dengan atuk dan adik-adik ayah di kampung. Rasanya, berlemak dan mungkin lebih sedap daripada kacang.
       Bagi yang rindu tasik Chini dan diutamakan kepada yang sangat lapar serta tercari-cari makanan lazat untuk dimakan, silakan ke Teratai Chini Shell Ouch, Jalan Teluk Sisek. Rasanya? Cubalah!

Friday, August 3, 2018

"Ooooo..."

Walaupun ayah pernah buat latihan vokal, ayah tidak terfikir latihan itu cukup berguna untuk anak-anak ayah.
         Nampaknya umi lebih cekap menggunakan teknik latihan vokal untuk kegunaan anak-anak sewaktu menggosok gigi pada waktu pagi. Ayah pun ikut cara umi.
        "Aaaaaa...," angah nganga. Ayah gosok gigi sebelah dalam atas dan bawah.
        "Iiiiiiii....," mulut angah melebar menampakkan gigi dan ayah pun gosok gigi depan atas serta bawah.
         "Eeeeee....," angah menjelirkan lidah dan ayah pun gosok lidahnya.
         "Ooooo..., baru tahu!" ayah memuncungkan  mulut sewaktu tengok umi kali pertama menggunakan teknik itu pada anak-anak.

Wednesday, August 1, 2018

Antik

  Ayah terbaca dalam Astro Awani tentang artikel 'Temerloh Bandar Mati?' yang ditulis Siti Nursyazwani.
         Radiator Springs sepi disebabkan  ada lebuh raya baharu? Adakah Temerloh begitu juga seperti yang diutarakan Ahmad Loqman Izzat? Radiator Springs yang diinspirasikan dari tempat yang wujud, iaitu 'Route 66' kembali hidup dengan adanya 'Lightning Mc Queen'.  Boleh juga dikatakan salah satu sebab yang 'menghidupkan' Temerloh  ialah ikan patin.
           Waktu ayah sekolah di sini dahulu, salah satu tempat yang ayah suka pergi waktu keluar ke bandar ialah di tepi sungai (Sekarang namanya 'Esplanade'). Sambil 'melayan' majalah Gila-Gila dan dihembus angin sungai, ayah suka tengok bot penumpang yang membawa pergi dan balik orang ke kampung di seberang sungai.  Selalu juga ke kedai majalah yang berhampiran Plaza Temerloh di pekan lama dan nampaknya sekarang bukan lagi kedai majalah.
          Pekan lama Temerloh ini harus dijaga keunikan bangunannya kerana itu salah satu 'barang antik' dan ada tarikan yang tersendiri. Koi orang Temerloh. Aok?

Naik

Dua tiga kali achik menyebut tentang 'naik'. Ayah menyatakan bahawa bukan untuk dinaiki dan tidak boleh dinaiki. Yang dibolehkan hanya untuk tujuan bergambar.
        Sebut tentang 'naik' mengingatkan ayah tentang lagu 'Enjit-Enjit Semut', siapa sakit  naik atas. Alhamdulillah, harga minyak petrol pun sudah tidak lama naik dan kurang satu perkara untuk diberi perhatian atau dibahaskan dan masih juga ada yang membahaskan disebabkan faktor-faktor tertentu. Yang selalu sebahagian daripada kita mengharapkan ialah 'naik gaji' dan yang penting bagi kita, jika kita seorang pekerja ialah 'naik prestasi' dalam kerja yang kita lakukan.
         'Naik' yang kita harapkan mungkin boleh berlaku dan mungkin juga tidak. Jika tidak boleh naik, 'naik taraf' diri kita dengan betulkan yang biasa, biasakan yang betul, Insya-Allah.

Salam Aidilfitri

"Benda yang kecil dan tak penting untuk kita, adalah segalanya untuk orang lain," inilah kata-katanya yang menceritakan segala-gal...